Aktiviti Dakwah

Tun Mahathir Pengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan PERKIM Bilangan 1/63

oleh: SRZ

PUTRAJAYA, 27 SEPTEMBER 2024 – “Sudah tiba masanya saya berehat daripada menjadi kepimpinan PERKIM kerana sekarang umur saya telah mencecah 99 tahun,” kata Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya berharap kita dapat mencari kepimpinan yang baharu untuk menerajui PERKIM,” jelas beliau.

Tun Mahathir berucap ketika menyampaikan ucapan pengerusi dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bilangan 1/63 bertempat di Yayasan Kepimpinan Perdana dekat sini, pada pagi Jumaat.

Mesyuarat tersebut dihadiri lebih 50 terdiri daripada Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM.

Antara yang hadir ialah Timbalan Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim; Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, YBhg Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah dan YBhg Prof Dr Ramle Abdullah.

Mesyuarat membuka tirai dengan bacaan doa dipimpin oleh Mufti Negeri Melaka merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Melaka, YBhg Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim Tawil.


Menurut Tun Mahathir, kita perlu ingat bahawa satu daripada tugas PERKIM ialah untuk menjelaskan mengembangkan ajaran agama Islam bukan sahaja kepada orang bukan Islam tetapi juga kepada orang orang Islam sendiri.

“Kini kita tahu bahawa pihak kerajaan sedang mengambil tindakan terhadap Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) disebabkan tindakan terhadap penyelewengan kepada ajaran agama Islam dan amalan yang tidak baik terhadap kanak-kanak dan wanita.

“Kita mendapati bahawa GISBH merupakan organisasi mewarisi gerakan Al-Arqam yang dipimpin oleh Ustaz Ashaari Muhammad.

“Dahulu, saya telah mengambil tindakan kepada gerakan Al-Arqam kerana menyampaikan ajaran yang menyeleweng dan mengembalikan mereka kepada ajaran Islam yang sebenar,” jelas beliau.

Ujar Tun Mahathir, kita percaya bahawa GISBH terdiri daripada ramai orang Al-Arqam dan penerangan berkenaan dengan ajaran Islam yang sebenar tidak lagi dibawa tetapi membawa fahaman taksub kepada Ashaari.

Namun demikian, mereka nampak lebih menumpu kepada perniagaan dan perusahaan sehingga mereka sudah jadi satu konglomerate dengan membina rangkaian sebanyak 415 cawangan perniagaan di 20 buah negara di dunia termasuk di Turki, di Saudi Arabia dan lain-lain lagi.

“Saya juga diberitahu bahawa pekerja mereka tidak dibayar gaji hanya mendapat pakaian dan makanan sahaja. Jika tiada gaji, mereka seolah-olah seperti hamba seperti mana amalan yang dilakukan oleh Israel.

“GISBH berkembang maju sehingga mereka mempunyai ratusan juta ringgit dalam perniagaan seperti syarikat gergasi.

“Saya berpuas hati kerana kerajaan telah mengambil tindakan terhadap penyelewengan ajaran GISBH tetapi janganlah mereka yang tidak bersalah pun diambil tindakan sehingga semua perniagaan mereka ditutup.

“Saya berpendapat bahawa PERKIM merupakan satu badan yang menumpu kepada perkembangan agama Islam, jadi kita perlu mengambil berat mengenai perkara dan isu yang berlaku dalam negara,” tambah Tun Mahathir.

“Walaupun isu tersebut merupakan tanggungjawab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), tetapi kita sebagai umat Islam perlulah cakna kepada perkara yang mencemarkan kesucian agama Islam seperti penyelewengan akidah serta mengeksploitasi terhadap kanak-kanak dan wanita,” jelas Tun Mahathir mengakhiri ucapannya.

Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor membentang Minit Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bilangan 2/62.

Ia disusuli dengan pembentangan laporan perkara-perkara berbangkit.

Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun berkesempatan membentang kertas makluman Penyata dan Laporan Kewangan Semasa Bagi Tempoh Sehingga 31 Ogos 2024.

Dr Ramle turut membentangkan kertas makluman Laporan Terkini Jawatankuasa Petugas Khas [Task Force] Pembangunan dan Pembangunan Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) Kota Bharu, Kelantan.

Mesyuarat ditangguhkan dengan jamuan makan tengah hari.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, YBhg Dato’ Sri Hajah Rohani Abdul Karim, YBhg Dr Nur’azah Dato’ Abdul Manaf, YBhg Dr Haji Ann Wan Seng, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa, YBhg Datuk Haji Ali Ab. Majid, YBhg Tuan Haji Hushim Haji Salleh, YBhg Tan Sri Dr Ismail Ibrahim, YBhg Tuan Haji Mohamad Shaiful Bahri Abdullah, YBhg Dato’ Haji Khairi Hasan dan YBhg Datin Paduka Hajah Norsiah Harun.


Antara Ahli Majlis Kebangsaan yang hadir di Mesyuarat Majlis Kebangsaan PERKIM Bil.1/63.


Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menandatangani kehadiran.


Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, YBhg Dato’ Sri Hajah Rohani Abdul Karim hadir mendaftar kehadiran.


Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM bergambar bersama Mufti Kerajaan Negeri Melaka merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Melaka, Sahibus Samahah Datuk Haji Abdul Halim Tawil.


Tun Mahathir menandatangani borang kehadiran mesyuarat.


Kepimpinan Tertinggi PERKIM bersama-sama di dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bilangan 1/63 berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.


SS Datuk Haji Abdul Halim Tawil memimpin doa pembuka majlis.


Kepimpinan Tertinggi PERKIM menadah tangan dan mengaminkan doa yang dibacakan.


Tun Mahathir menyampaikan amanat dalam ucapan pengerusi.


Tun Mahathir berpuas hati di atas tindakan kerajaan terhadap penyelewengan ajaran GISBH.


Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bil.1/63 bersidang.


Lebih 50 Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM dihimpunkan di dalam mesyuarat tersebut.


Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM yang hadir dari seluruh Malaysia.


Dr Yusof Noor membentangkan laporan minit mesyuarat yang lalu.


Mesyuarat yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.


Datuk Hajah Maznah Dasmi mengajukan soalan.


Dr Ramle turut membentangkan laporan IDIP Kota Bharu.


Ahli Majlis Kebangsaan meneliti agenda yang dibentangkan.


Ahli Majlis Kebangsaan, Tuan Haji Hushim Haji Salleh yang juga Tokoh Kaunselor Negara menyatakan pendapat beliau.


Tun Mahathir bersalaman dengan kepimpinan PERKIM di akhir mesyuarat.

Related Articles

Back to top button