PERKIM Ziarah Keluarga Allahyarham Firdaus, Ketua Belia PERKIM Pulau Pinang Meninggal Dunia Akibat Kemalangan
foto: UMAG
PULAU PINANG, 31 MAC 2024 – Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, Muhammad Farhan Tee Abdullah telah menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Firdaus Mohd Nazri selaku Ketua Belia PERKIM Bahagian Negeri Pulau Pinang.
Farhan Tee menziarahi keluarga Allahyarham di Taman Bertam dekat sini bersama dua rakan sekerjanya, Jamilatun Noor Hashim @ Hamid dan Umi Musfirah Abdul Ghani.
Menurut Farhan Tee lagi , Allahyarham meninggal dunia akibat kereta yang membawanya pulang dari Mesyuarat Belia PERKIM di Kuala Lumpur pada 30 Mac 2024 bersama tiga Ahli Jawatankuasa Belia PERKIM Pulau Pinang hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan di Tanjung Malim melalui Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara.
Akibat pendarahan teruk di kepala, Allahyarham serta merta meninggal dunia di tempat kejadian.
Salah seorang lagi ahli dikejarkan hospital berdekatan disebabkan kecerderaan parah untuk mendapat rawatan manakala dua lagi dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Allahyarham telah disolatkan dan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Permata Langsat di sini pada jam 3 petang semalam.
Farhan Tee turut menyampaikan ucapan takziah daripada Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusod Noor dan seluruh Kepimpinan Tertinggi PERKIM serta warga PERKIM kepada bapa dan keluarga Allahyarham Muhammad Firdaus.
Di akhir ziarah, Farhan Tee turut menyampaikan sumbangan kepada bapa Allahyarham, Nazri sebagai tanda keprihatinan PERKIM Kebangsaan dan Majlis Belia PERKIM Pusat di atas kehilangan Allahyarham yang telah banyak berbakti dan berjasa dalam kepimpinan Majlis Belia PERKIM Pulau Pinang.
Allahyarham juga merupakan bekas Ketua Kelab PERKIM Universiti Sains Malaysia (USM).
Bendahari PERKIM Bahagian Negeri Pulau Pinang, Abd. Fattah Mohamad Abbu Bakar turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga Allahyarham.
Keadaan sedih dan bertambah hiba suasana di rumah keluarga Allahyarham, namun ibu Allahyarham, Haslina Ali Akhbar reda dengan pemergian anaknya Muhammad Firdaus.
Menurut luahan daripada rakan-rakan Allahyarham, mereka juga bersaksikan akan kemuliaan sahabat mereka, di mana Allahyarham selalu membantu orang dalam kesusahan malah ada sahaja idea untuk menjalankan kerja dakwah.
Allahyarham merupakan anak kedua daripada empat orang adik beradik dan juga pelajar semester akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial USM.
Allahyarham kembali ke Rahmatullah di bulan Ramadan yang penuh mulia iaitu di 10 malam terakhir.
Semoga segala amal kebaikan yang dikerjakan dan diusahakan untuk agama Islam serta dakwah akan beroleh ganjaran yang tinggi disisi Allah SWT.
PERKIM juga turut mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Turut hadir ialah Pegawai PERKIM Pulau Pinang, Siti Nasyrah Rosli.

Rombongan PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Bahagian Negeri Pulau Pinang hadir ke rumah keluarga Allahyarham Firdaus di Taman Bertam.

Ibu bapa Allahyarham Muhammad Firdaus iaitu Mohd Nazri dan Haslina Ali Akhbar reda dengan pemergian anaknya.

Bendahari PERKIM Pulau Pinang, Abd. Fattah Mohamad Abbu Bakar merakamkan ucapan takziah kepada ayah mangsa kemalangan.

Farhan Tee menyampaikan sumbangan kepada Mohd Nazri dan menyampaikan ucapan takziah daripada seluruh warga dan Kepimpinan Tertinggi PERKIM Kebangsaan.

Bendahari PERKIM Pulau Pinang menyampaikan sumbangan kepada Mohd Nazri.

Allahyarham Firdaus telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Permata Langsat pada jam 3 petang.



