PERKIM Ziarah Tiga Mualaf Hidap Kanser
oleh: SITI MUNIRAH SAYED MOHD HAMDAN
KUALA LUMPUR, 1 APRIL 2024 – Ketika umat Islam sedang berlumba-lumba melakukan amalan-amalan kebajikan di 10 hari terakhir Ramadan ini, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan yang sentiasa cakna dengan isu-isu melibatkan mualaf telah turun padang menziarahi tiga keluarga mualaf yang diuji dengan kesusahan kerana kesempitan kewangan dan mengalami penyakit yang serius.
Rombongan ziarah itu diketuai oleh Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Mohammad.
Turut serta ialah Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan, Pegawai Unit Hal Ehwal Wanita PERKIM Kebangsaan,Fatin Hamizah Ismail, serta pelajar latihan industri, Aiman Zakwan Ariffin.
Rumah pertama yang diziarahi PERKIM di PPR Kampung Muhibbah, Jalan Klang Lama iaitu mualaf berbangsa Cina, Farah Lilian yang telah diuji menghidap kanser payudara sejak tahun 2010.
Pelbagai rawatan telah diusahakan dan beberapa kali kimoterapi dilakukan namun keadaan beliau masih belum sembuh bahkan bertambah teruk apabila didapati kanser telah menyerang tulang belakang dan memberi kesan kepada buah pinggang beliau.
Keadaan Farah Lilian semakin sukar bergerak dan kadang kala hanya terbaring lesu dan mengharapkan suami serta anak-anak hadir membantu.
Selera makan juga semakin hilang dan pendapatan mereka sekeluarga pula bergantung kepada suaminya yang bekerja seorang diri manakala dua orang anak mereka masih belajar di universiti dan sekolah menengah.
Di akhir pertemuan, Dr Suariza menyampaikan sumbangan wang tunai dan bakul makanan kepada Farah Lilian.
Rombongan ziarah meneruskan ke Kampung Dato’ Razali, Ampang untuk menziarahi mualaf berbangsa India, Nur Ain Venetha.
Nur Ain merupakan ibu tunggal kepada tiga orang anak. Beliau baru sahaja disahkan menghidap sakit kanser payudara.
Menurut Nur Ain, beliau sebelum ini pernah terlibat dalam kemalangan pada tahun 2021 yang menyebabkan beliau terlantar koma selama dua minggu di hospital.
Kemalangan itu juga menyebabkan kedua tulang kaki dan tangan kirinya pecah dan terpaksa menggunakan besi hingga ke hari ini.
Selepas sedar daripada koma, beliau telah hilang ingatan dalam beberapa ketika kesan akibat daripada kemalangan.
Tidak lama selepas itu beliau diuji dengan masalah darah beku dalam perut kesan akibat kemalangan dan beliau menjalani pembedahan bagi mengeluarkan darah tersebut.
Pada tahun 2023, beliau sekali lagi diuji apabila doktor mengesahkan beliau menghidap kanser payudara yang berkemungkinan kesan dari kemalangan yang berlaku.
Keadaan menjadi bertambah sukar apabila beliau melepaskan pekerjaan kerana hilang keupayaan akibat kemalangan dan sekali lagi diduga apabila suaminya yang berasal dari Terengganu meninggalkan beliau dan anak-anak.
Kini, keadaan hidup mereka sangat susah kerana tiada sumber pendapatan namun masih bersyukur kerana pihak masjid sering menghantar makanan sepanjang bulan Ramadan ini. Urusan permohonan bantuan zakat Nur Ain sedang diuruskan juga oleh pihak masjid dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Tanda keprihatinan PERKIM, Siti Munirah menyampaikan sumbangan wang tunai dan bakul makanan kepada Nur Ain.
Rombongan ziarah menuju ke destinasi terakhir iaitu ke rumah mualaf berbangsa Cina di Flat Sri Kedah, Gombak.
Nurul Huda Phuan telah menghidap kanser payudara sejak beberapa kebelakangan ini dan fikiran beliau semakin celaru apabila disarankan untuk menjalani rawatan kimoterapi.
Beliau telah berusia 56 tahun dan mempunyai penyakit kencing manis sejak usia muda. Kini Nurul Huda hanya tinggal di rumah dan menjaga cucunya sepeninggalan anaknya keluar bekerja.
Beliau meluahkan rasa resahnya dan runsing kerana rawatan bagi penyakitnya itu pasti akan menelan belanja yang besar.
Di kesempatan itu, Fatin Hamizah telah menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan dapur bagi meringankan bebanan Nurul Huda.
PERKIM turut mendoakan agar ketiga-tiga saudara baharu yang diziarahi dapat bersabar dengan ujian Allah SWT dan segera sembuh daripada segala penyakit.
PERKIM menziarahi Farah Lilian di PPR Kampung Muhibbah, Jalan Klang Lama.
Farah Lilian menerima sumbangan wang tunai dan barang makanan daripada PERKIM.
Rombongan ziarah bertemua Nur Ain Venetha di Kampung Dato’ Razali, Ampang.
Siti Munirah menyampaikan sumbangan wang tunai beserta barangan makanan kepada Nur Ain.
Fatin Hamizah telah menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan dapur bagi meringankan bebanan Nurul Huda.