PERKIM Hadir Mesyuarat Naik Taraf Surau Jumaat Kekal Bagi Surau PERKIM
KUALA LUMPUR, 24 JULAI 2024 – Jawatankuasa Surau Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) telah menghadiri Mesyuarat Permohonan Menaik Taraf Surau Jumaat Kekal bagi Surau PERKIM yang diadakan di Surau PERKIM, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini pada pagi Rabu.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim yang juga Pengerusi Surau PERKIM.
Mesyuarat tersebut dihadiri pegawai-pegawai daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul.
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara akibat COVID-19, Surau PERKIM telah mendapat kebenaran daripada JAWI untuk melaksanakan Solat Jumaat sementara yang telah memuatkan 700 orang dalam satu-satu masa.
Namun, setelah berakhirnya pandemik tersebut, kebenaran melaksanakan Solat Jumaat itu telah luput dan tidak dibenarkan.
Sebelum ini, Penasihat Surau PERKIM yang juga Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Dr Mohd Yusof Noor turut berhasrat menjadikan Surau PERKIM sebagai Surau Jumaat yang kekal bagi membolehkan penyewa di Bangunan PERKIM, saudara baharu dan masyarakat di sekitarnya menunaikan Solat Jumaat di Surau PERKIM.
Majoriti jemaah di sini terpaksa berjalan kaki sejauh 500 meter ke Surau Ar-Rahman PWTC atau satu kilometer ke Surau Balai Islam di mana surau yang mendapat kebenaran untuk menunaikan Solat Jumaat.
Menurut Datuk Nordin, alangkah baiknya jika Surau PERKIM dikekalkan sebagai Surau Jumaat bagi memudahkan saudara baharu dan jemaah sekitar dapat menunaikan Solat Jumaat di situ.
Surau PERKIM juga digunakan bagi pelaksanaan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha di mana ratusan saudara baharu yang tidak pulang ke kampung menunaikan solat dan meraikan di sini.
Selain itu, Surau PERKIM berfungsi dalam pelaksanakan solat fardu lima waktu, tadarus Al-Quran, tazkirah, kelas fardu ain, majlis akad nikah dan perkahwinan saudara baharu serta kelas pengajian Islam dan praktikal kepada mualaf.
Memandangkan sepanjang Jalan Sultan Azlan Shah tiada surau yang diberi kebenaran untuk mendirikan Solat Jumaat, wajar jika Surau PERKIM dapat dijadikan Surau Jumaat sekali gus mendapat kebenaran daripada JAWI.
Jawatankuasa Surau PERKIM telah menyerahkan borang permohonan kebenaran diri Solat Jumaat, surat sokongan masjid kariah dan Minit Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Surau PERKIM kepada Pejabat Pentadbiran Masjid dan Surau Zon 2 Bahagian Pengurusan Masjid JAWI untuk mendapat kelulusan.
Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa serta Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin; Timbalan Pengerusi Surau PERKIM, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah serta Setiausaha Surau PERKIM, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah.

Mesyuarat bagi menaik taraf Surau PERKIM kepada surau yang mendirikan Solat Jumaat.

Surau PERKIM yang pernah mendirikan Solat Fardu Jumaat secara sementara di atas kebenaran JAWI ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara pada tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Datuk Nordin (kiri) selaku Pengerusi Jawatankuasa Surau PERKIM mengalu-alukan kehadiran ahli mesyuarat di Surau PERKIM.

Mesyuarat yang dihadiri pegawai-pegawai daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul.

Barisan ahli mesyuarat bergambar seusai perbincangan dan kata putus yang telah dipersetujui serta perlu mendapat kelulusan ke peringkat seterusnya.



