Aktiviti Dakwah

Usrah dan Ziarah Dakwah Saudara Muslim Perak

Oleh : MUHAMMAD FARHAN TEE ABDULLAH

LUMUT (1 MAC): Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dengan kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Perak telah mengadakan Program Usrah Dan Ziarah Dakwah Saudara Muslim pada 27 Februari hingga 1 Mac 2015 bertempat di Marina Resort, Lumut, Perak.

MUHAMMAD FARHAN TEE ABDULLAHsPenyelaras Program, Ustaz Muhammad Farhan Tee berkata, tujuan program ini diadakan adalah untuk memberikan penjelasan mengenai konsep usrah kepada Saudara Muslim, mendekati dan menyelami masalah Saudara Muslim yang memerlukan bantuan, membentuk kumpulan usrah yang boleh menjadi perintis dalam aktiviti dakwah pada masa akan datang dan menjalin hubungan persaudaraan sesama penganjur dan Saudara Muslim.

Program tersebut telah disertai seramai 45 orang peserta dari pelbagai kaum dan latar belakang. Seramai sembilan keluarga Saudara Muslim telah diziarahi melibatkan kawasan Beruas, Lumut dan Ayer Tawar, Perak.

Pada program tersebut, pelbagai acara dan pengisian telah diadakan antaranya, tiga sesi ceramah, latihan dalam kumpulan (LDK), kembara ilmu, mini forum dan pertandingan penghayatan Islam.

Ustaz KhalidPeserta telah disajikan dengan ceramah yang bertajuk ‘Hakikat Kehidupan Muslim’ yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd. Khalid Noor, Pegawai Dakwah PERKIM Bahagian Negeri Perak.

Khalid yang juga selaku ketua fasilitator telah memberikan penjelasan berkenaan tujuan manusia dicipta dan tugas yang perlu dijalankan setelah seseorang bergelar seorang Muslim.

Beliau yang juga penceramah bagi sesi ceramah pertama telah memberikan penjelasan di dalam lima jenis alam yang ditempuh manusia, iaitu alam roh, rahim, dunia, barzakh, dan akhirat. Sejak di alam roh lagi, manusia telah mengaku Allah itu adalah Tuhan.

Pada sesi ceramah kedua berkenaan isu akidah, Khalid menekankan kepentingan mengetahui dan mempelajari ilmu tauhid dalam mengenal Allah melalui sifat-sifat dan nama-nama-Nya, kepentingan rukun iman dan syahadah serta setiap Muslim perlu mementingkan aspek solat kerana ia adalah pengukuh tali ikatan antara Allah dan manusia.

Manakala pada sesi cermah ketiga pula, peserta telah disajikan dengan ceramah berkaitan ibadah di mana Khalid menerangkan segala bentuk kebaikan yang dilakukan semata-mata kerana Allah akan mendapat ganjaran. Ibadah juga adalah bukti perlakuan manusia terhadap kepercayaan aqidah yang mantap. Selain itu beliau menjelaskan mengenai rukun Islam itu adalah satu perbezaan di antara orang Islam dan bukan Islam.

Melalui acara latihan dalam kumpulan (LDK) pula, peserta telah dibahagikan kepada lima kumpulan dan diketuai oleh seorang fasilitator. Perbincangan dilakukan dengan merujuk kepada tajuk yang telah dibentangkan iaitu ‘Hakikat Kehidupan Muslim dan Aqidah’.

Pada acara kembara ilmu, terdapat lima check point yang disediakan. Setiap check point mempunyai soalan yang diajukan kepada setiap kumpulan. Antara soalan yang ditanya ialah berkenaan makhluk ciptaan Allah di sekitar hotel tersebut. Ia adalah bertujuan untuk memupuk kesedaran bahawa sekecil-kecil ciptaan Allah adalah amat berguna di dalam kehidupan. Selain itu, soalan yang ditanya juga adalah membabitkan ilmu fiqh, dan sirah.

Pada acara mini forum yang bertajuk Kasih Allah, Kasih Rasul, Muhammad Farhan Tee Abdullah selaku moderator bersama dua orang ahli panel yang juga Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM iaitu Ustaz Ann Wan Seng dan Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah telah mengupas mengenai sirah Rasulullah SAW tatkala berdakwah kepada golongan sasaran yang belum Islam.

Ann Wan SengsUstaz Ann Wan Seng menceritakan bagaimana khalifah kedua, iaitu Saidina Umar Al-Khattab dan panglima perang, Khalid Al-Walid telah berjaya diislamkan dan menjadi manusia yang berguna. Selain itu beliau menambah, Nabi Muhammad s.a.w. berjaya menukar hati sasaran menjadi lebih lembut. Beliau turut menekankan kepentingan solat di dalam kehidupan. Solat perlulah ikhlas hanya kerana Allah dan penjagaan makanan adalah amat perlu dalam memupuk hati menjadi lebih bersih.

Beliau turut menegaskan bahawa Islam tidak berkompromi di dalam perkara yang melibatkan aqidah, manakala bab fiqh masih boleh dibahas. Allah SWT hanya mementingkan takwa di dalam diri manusia, dan bukannya mengira pangkat, latar belakang, jawatan dan bangsa. Antara punca yang mengakibatkan seseorang itu murtad ialah kerana kurangnya ilmu pengetahuan Islam yang kukuh.

Di samping itu, Ustaz Fitri menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah mengakui umat selepas Baginda adalah mereka yang lebih mulia daripada malaikat. Hal ini kerana mereka percaya dan merindui Rasulullah SAW walaupun tidak pernah bersua dengannya.

Antara cara yang boleh diaplikasikan untuk lebih mencintai Rasul ialah dengan berzikir, selawat, baca Al-Quran, membantu orang di dalam kesusahan, bersedekah dan mengamalkan sunnah lain yang pernah dilakukan Baginda s.a.w. Beliau turut menyebut antara ciri-ciri pendakwah ialah mereka yang sentiasa dekat dengan Allah SWT.

Pertandingan penghayatan Islam turut diadakan di mana tiga kategori telah dipertandingkan iaitu pertandingan tilawah Al-Quran yang telah dimenangi oleh Saudari Siti Aisyah Abdullah, pertandingan azan dimenangi oleh Saudara Muhammad Nur Azman Abdullah dan pertandingan ceramah dimenangi oleh Saudara Muhammad Saleh Ravindran Abdullah.

Fitri AbdullahMajlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah.

Beliau menjelaskan PERKIM merupakan ‘kemudahan’ dan sebagai platform untuk berdakwah malah turut menggalakkan kepada peserta untuk menjadi ahli PERKIM.

Jelas Fitri, sebagai pendakwah perlulah menggunakan kemudahan teknologi terkini untuk manfaat bersama. Beliau turut menasihatkan agar peserta perlulah berusaha meningkatkan hubungan dengan Allah SWT, ikhlas di dalam setiap perkara yang dilakukan dan sentiasa menghadiri majlis ilmu.

02
Antara keluarga Saudara Muslim yang telah diziarahi melibatkan kawasan Beruas, Lumut dan Ayer Tawar, Perak.

03
Puteh Kalsom (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Saudara Muslim.

04
Abdul Hanif (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Saudara Muslim berbangsa India dalam program ziarah.

05
Latihan dalam kumpulan (LDK), peserta telah dipecahkan kepada lima kumpulan dan diketuai oleh seorang fasilitator.

06
Sesi ceramah kedua berkenaan isu akidah, Ustaz Khalid menekankan kepentingan mengetahui dan mempelajari ilmu tauhid dalam mengenal Allah melalui sifat-sifat dan nama-nama-Nya.

07
Acara kembara ilmu yang diadakan kepada peserta.

08
Peserta bersama-sama menunaikan kewajipan solat fardu.

09

Pertandingan azan yang turut diadakan.

10

Pertandingan tilawah al-Quran yang diadakan kepada peserta.

11
Pertandingan Tilawah Al-Quran yang dimenangi oleh Saudari Siti Aisyah Abdullah.

12
Pertandingan Azan dimenangi oleh Saudara Muhammad Nur Azman Abdullah.

13
Muhammad Saleh Ravindran Abdullah menerima hadiah pertandingan ceramah.

14
Ustaz Muhammad Fitri Abdullah dalam sesi ceramah telah mengupas mengenai sirah Rasulullah SAW tatkala berdakwah kepada golongan sasaran yang belum Islam disusuli  merasmikan majlis penutup program.

15
Peserta bergambar kenang-kenangan di akhir program Usrah dan Ziarah Dakwah Saudara Muslim Perak

Related Articles

Back to top button