Ucapan Dasar Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad – MAT’60MAYA

[youtube url=”https://www.youtube.com/watch?v=pV6KJGZ46Cs” width=”500″ height=”376″]
Ucapan Dasar Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad di Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-60
Saya berbangga kerana walaupun terdapat keadaan luarbiasa yang mana kita tidak boleh bertemu sesama kita, tapi masih juga kita dapat mengadakan Mesyuarat PERKIM Mesyuarat Agung PERKIM pada kali yang kedua sejak wabak COVID-19 ini.
Alhamdulillah, walaupun wabak ini menyekat kegiatan kita, kita tidak dapat bertemu tetapi teknologi baru ini membolehkan kita bercakap melalui aplikasi zoom , iaitu satu sistem yang mana kita boleh bercakap kepada kumpulan-kumpulan melalui sistem telefoni yang ada sekarang ini. Dengan ini, kita masih bersyukur kerana masih juga kita teruskan hubungan kita sesama kita. PERKIM memainkan peranan sebagai menyebar agama Islam di kalangan orang Islam dan juga orang bukan Islam.
Di waktu ini kita dapati orang Islam diserang, dihina di merata-rata tempat Kita tidak menunjuk kejayaan kita, bahkan tamadun kita tertinggal di belakang kerana segala-galanya kita bergantung kepada orang yang bukan Islam walaupun untuk menangani masalah COVID-19 ini dan juga lain-lain. Kita bertanya-tanya kenapa kita ketinggalan. Saya cuba cari panduan daripada Al-Quran dan saya dapati bahawa banyak ajaran Islam ini tidak diamal oleh kita.
Saya lihat kita memang mengamalkan fardu ain iaitu kita sembahyang, kita puasa, kita keluar zakat, kita buat kerja haji dan juga kita mengucap dua kalimah syahadat tetapi selain daripada itu, banyak perkara-perkara yang dilakukan oleh kita adalah dilarang oleh agama Islam.
Saya berpendapat bahawa, kerana kita tidak mengikut ajaran Islam dalam cara hidup kita. Maka inilah sebabnya yang kita menghadapi banyak masalah, ketinggalan dalam dunia yang kita ada sekarang ini, sebab itu kita perlu kembali kepada Al-Quran kerana walaupun kita menghargai pengajaran ramai daripada ulama-ulama kita tetapi mereka mempunyai pendapat yang tersendiri yang mana kadang-kadang berlainan antara satu dengan lain, sebab itu kalau kita rujuk kepada Al-Quran, kita dapat satu punca sahaja dan daripada punca ini pula adalah wahyu daripada Allah SWT kepada Nabi Muhammad untuk dihebah kepada seluruh manusia (umat manusia).
Jadi agama Islam ini bukanlah milik kita sahaja, dia adalah milik sesiapa sahaja yang percaya percaya kepada ajaran-ajarannya dan ajaran Islam memang bertujuan untuk mewujudkan satu masyarakat yang lebih berjaya, lebih baik yang mengamalkan segala ajaran yang datang daripada wahyu Allah SWT.
Inilah sesuatu yang patut kita ingat bahawa apabila kita sesat dan tidak tahu ke mana yang mana nak pilih adalah lebih baik kalau kita rujuk kembali kepada Al-Quran seperti yang disuruh oleh Al-Quran iaitu apabila kita sesat, tak ada jalan yang dikehendaki oleh agama Islam kita perlu rujuk kepada Al-Quran kerana ini adalah wahyu daripada Allah SWT, kalau kita buat demikian saya yakin kita akan berjaya.
Hari ini kita lihat banyak yang dilakukan oleh orang Islam tidak menepati ajaran agama Islam. Di larang membunuh orang (manusia) kerana membunuh walaupun satu orang itu sama dengan membunuh seluruh umat manusia, tetapi kita lihat orang Islam membunuh bukan sahaja orang yang bermusuh dengan mereka tetapi dalam agama Islam pun berlaku pembunuhan dan balasannya di akhirat tidak tahulah sudah disebut dalam Al-Quran.
Selain daripada itu, orang Islam ini sepatutnya bersaudara tetapi kita bermusuh sehingga kadang-kadang kita berperang sesama kita. Apabila kita lakukan benda-benda yang dilarang oleh agama Islam, maka masalah yang menimpa kita tentulah menjadi lebih buruk lagi. Sebab itu kita dalam PERKIM dalam kerja-kerja mendakwah kepada orang Islam dan bukan Islam, kita perlu pegang kepada Al-Quran dan ayat-ayat dalamnya walaupun ayat dalam Al-Quran itu ada yang jelas dan ada yang kurang jelas. Kalau kita pegang kepada yang jelas sahaja pun, saya yakin kita akan dapat membangkitkan perasaan yang boleh memajukan kita dalam dunia ini. Soal di akhirat kita tahu sudah pun diterangkan tetapi kita tak dapatlah membuat keputusan apa akan terjadi kepada kita selain daripada apa yang dijanji dalam Al-Quran.
Jadi kalau kita pegang kepada ajaran Al-Quran, saya yakin kita akan jadi lebih maju lebih berpengetahuan dan lebih selamat. Kita di Malaysia ini, hidup dalam sebuah negara berbilang kaum, berbilang agama. Sepatutnya mereka yang beragama yang lain daripada agama Islam memilih untuk mengikut ajaran Islam tetapi kelakuan orang Islam menyebabkan ramai yang menolak agama Islam. Bukan agama, agama itu baik tetapi kelakuan ataupun cara hidup orang Islam tidak menunjukkan kebaikan Islam, umpamanya kita mempunyai orang yang bertindak ganas sehingga menyebabkan agama Islam itu menjadi ditafsir agama yang mengajar kita mengganas. Ini tidak benar sama sekali tetapi selagi kita lakukan perbuatan-perbuatan yang ganas, maka itulah akan menjadi imej Islam bagi orang yang bukan Islam, dengan itu mereka akan menolak.
Saya harap kita di Malaysia ini di mana penduduknya terdiri daripada orang yang berbagai agama, menunjuk sikap yang lebih bertoleransi kepada orang bukan Islam kerana kalau kita nak mereka mendekati diri mereka dengan kita dan menerima agama Islam, kalau kita mengenepikan atau pun menolak mereka jauh daripada kita sudah tentu kita tak mungkin kembangkan ajaran Islam kerana mereka tidak ada berdekatan dengan kita. Ini adalah satu perkara yang harus PERKIM terutamanya yang terlibat dalam usaha dakwah mestilah tunjuk satu sikap toleransi kepada orang bukan Islam supaya mereka lebih selesa mendekatkan diri mereka kepada orang Islam dan agama Islam. Mudah-mudahan mereka akan terima agama Islam dan apabila mereka terima agama Islam maka, PERKIM sudah berjaya melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada orang PERKIM.
Saya harap ini akan berlaku di masa-masa hadapan. Selain daripada itu, kita dapati ramai orang Islam di Malaysia ini miskin. Mereka miskin kerana sebab-sebab yang mereka tidak menurut ajaran agama Islam yang suruh mereka berusaha dan tidak menipu dan buat apa-apa yang dilarang. Sebab itu mereka jadi miskin. Kita perlu betulkan diri kita sebelum kita cuba betulkan diri orang lain. Kita perlu dibetulkan diri kita dan kita saya yakin kalau kita ikut cara hidup Islam, kita akan berjaya di dunia ini dan juga di akhirat. Jadi ini perlu diamal oleh kita, sebab itu PERKIM sebagai badan dakwah perlu memberi tafsir-tafsiran yang betul, yang benar berkenaan dengan ajaran agama Islam. Kalau kita dapat menjayakan usaha kita supaya cara hidup Islam ini diterima.
Insya-Allah, lebih ramai orang akan mendekati, bersimpati bahkan akan mungkin akan memeluk agama Islam. Inilah sahaja yang saya ingin sebutkan di sini tetapi di PERKIM masa yang sama, kita mempunyai strategi PERKIM pada masa hadapan. PERKIM telah mempunyai strategi khusus untuk masa hadapan.
Yang pertamanya ialah Menangani Kemiskinan di Kalangan Orang Mualaf. Kita tak perlu anggap bahawa semua orang yang memeluk agama Islam daripada agama lain adalah miskin belaka, tapi yang kita lihat ialah ramai yang berada dalam memeluk agama Islam tapi yang miskin memeluk agama Islam untuk itu kita perlu menangani masalah kemiskinan di kalangan mereka iaitu pendekatan yang akan digunakan dalam membasmi kemiskinan ialah secara holistik iaitu bukan sahaja dari segi pendapatan tetapi meliputi sosial, pemerkasaan, kerohanian melalui peluang-peluang pendidikan peluang-peluang pekerjaan, program-program latihan vokasional serta pembiayaan pendidikan bagi pelajar-pelajar mualaf di institusi dan universiti.
Ini bermakna bukan sahaja menghulur derma, tetapi juga membolehkan mereka mempunyai kepakaran kecekapan tertentu supaya dengan itu mereka dapat mengasing prinsip kemiskinan mereka.
Yang kedua berkenaan dengan Belia. Kita perlu ada usaha membantu belia kerana mereka adalah aset negara yang penting dan mereka akan memikul tanggungjawab untuk meneruskan proses dakwah dan pembangunan ummah, pembangunan daie (belia) akan dibuat menerusi Program Perkaderan Daie Profesional Secara Komprehensif yang dijalankan oleh Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) di Kelantan dan International Da’wah Institute PERKIM (IDIP-KL) kita ingin memperluaskan kegiatan kita di kalangan negara-negara lain juga.
Yang ketiga ialah Dakwah Digital dan kepada Generasi Belia. Dalam era digital ini, Dakwah Digital memainkan peranan yang amat penting dalam menyebarkan risalah Islam. Oleh kerana agama Islam adalah agama ‘Rahmatan Lil A’lamin’ maka tindakan-tindakan untuk menyebarkan ajaran Islam dan membawa generasi belia Islam kepada ajaran dan nilai-nilai Islam diberi keutamaan.
Mengikut Al-Quran, Surah An-Nahl, ayat 125 yang membawa maksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik, bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”
Perkara yang keempat tumpuan kita adalah strategi ini ialah Pembinaan Rangkaian Kerjasama Pengantarabangsaan disebut Internationalisation. Pembinaan rangkaian dan kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan Islam adalah selaras dengan penekanan dalam pindaan Perlembagaan PERKIM. Ke arah ini, sebuah sekretariat badan-badan gabungan akan diwujudkan di bawah Timbalan Yang Dipertua atau seseorang yang difikirkan munasabah dan akan ditentukan oleh Yang Dipertua.
Yang kelima ialah Aktiviti-Aktiviti Penjanaan Pendapatan. Bagi menjana pendapatan PERKIM, usaha-usaha akan ditumpukan kepada pemilikan aset-aset yang boleh menjana pendapatan kepada PERKIM dan pembangunan aset yang sedia ada di PERKIM Pusat, PERKIM Bahagian dan PERKIM Cawangan yang bertujuan untuk mendapatkan pendapatan yang konsisten dan stabil. Itu ada lima strategi yang kita perkenalkan untuk diamalkan oleh PERKIM.
Saya berharap bahawa PERKIM dapat melaksanakan tanggungjawabnya secara berkesan dan negara dan rakyat berhadapan dengan cabaran dan dugaan yang sebegitu besar.
Pesanan saya adalah di dalam apa juga usaha yang kita lakukan teras dakwah kita mestilah berasas sifat ihsan dan belas. Sifat-sifat ini akan memastikan kita tidak berpaling dari amanah Allah SWT kepada hambanya untuk membantu sesama manusia.