Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-60
“Alhamdulillah, walaupun wabak ini menyekat kegiatan kita, kita tidak dapat bertemu tetapi teknologi baru ini membolehkan kita bercakap melalui aplikasi teknologi panggilan video, iaitu satu sistem yang mana kita boleh bercakap sesama kita walaupun di hujung dunia kerana PERKIM memainkan peranan sebagai menyebar agama Islam di kalangan orang Islam dan juga orang bukan Islam,” kata Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau menyampaikan Ucapan Dasar Yang Dipertua PERKIM kepada persidangan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-60 (MAT’60MAYA) pada 23 Oktober 2021 lalu di Yayasan Kepimpinan Perdana, Presint 8, Putrajaya dan diadakan secara lintas langsung menerusi aplikasi zoom.
Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Timbalan Yang Dipertua, YABhg Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim; Naib Yang Dipertua, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah; Naib Yang Dipertua, YBhg Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah; Naib Yang Dipertua, YBhg Dato’ Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad;; Bendahari Kehormat, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa dan Timbalan Pengerusi Tetap; YBhg Haji Wan Abd Halim Wan Ismail.
Ketua Wanita PERKIM, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj serta bersama Pengerusi, Setiausaha Kehormat dan lebih 70 perwakilan-perwakilan PERKIM Bahagian Negeri-negeri hadir di persidangan secara lintas langsung.
Menurut Tun Yang Dipertua, kita masih juga dapat mengadakan Mesyuarat PERKIM Mesyuarat Agung PERKIM secara maya pada kali yang kedua sejak wabak COVID-19 melanda.
Kata beliau, kita dapati orang Islam diserang, dihina di merata-rata tempat dan kita tidak menunjuk kejayaan kita, bahkan tamadun kita tertinggal di belakang kerana segala-galanya kita bergantung kepada orang yang bukan Islam walaupun untuk menangani masalah COVID-19 ini dan juga lain-lain. Kita bertanya-tanya kenapa kita ketinggalan. Saya cuba cari panduan daripada Al-Quran dan saya dapati bahawa banyak ajaran Islam ini tidak diamal oleh kita.
Sebab itu kita dalam PERKIM dalam kerja-kerja mendakwah kepada orang Islam dan bukan Islam, kita perlu pegang kepada Al-Quran dan ayat-ayat dalamnya walaupun ayat dalam Al-Quran itu ada yang jelas dan ada yang kurang jelas. Kalau kita pegang kepada yang jelas sahaja pun, saya yakin kita akan dapat membangkitkan perasaan yang boleh memajukan kita dalam dunia ini. Soal di akhirat kita tahu sudah pun diterangkan tetapi kita tak dapatlah membuat keputusan apa akan terjadi kepada kita selain daripada apa yang dijanji dalam Al-Quran.
Saya harap PERKIM terutamanya yang terlibat dalam usaha dakwah mestilah tunjuk satu sikap toleransi kepada orang bukan Islam supaya mereka lebih selesa mendekatkan diri mereka kepada orang Islam dan agama Islam. Mudah-mudahan mereka akan terima agama Islam dan apabila mereka terima agama Islam maka, PERKIM sudah berjaya melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada orang PERKIM.
Jadi ini perlu diamal oleh kita, sebab itu PERKIM sebagai badan dakwah perlu memberi tafsir-tafsiran yang betul, yang benar berkenaan dengan ajaran agama Islam. Kalau kita dapat menjayakan usaha kita supaya cara hidup Islam ini diterima.
Insya-Allah, lebih ramai orang akan mendekati, bersimpati bahkan akan mungkin akan memeluk agama Islam. Inilah sahaja yang saya ingin sebutkan di sini tetapi di PERKIM masa yang sama, kita mempunyai strategi PERKIM pada masa hadapan. PERKIM telah mempunyai strategi khusus untuk masa hadapan.
Yang pertamanya ialah Menangani Kemiskinan di Kalangan Orang Mualaf. Kita tak perlu anggap bahawa semua orang yang memeluk agama Islam daripada agama lain adalah miskin belaka, tapi yang kita lihat ialah ramai yang berada dalam memeluk agama Islam tapi yang miskin memeluk agama Islam untuk itu kita perlu menangani masalah kemiskinan di kalangan mereka iaitu pendekatan yang akan digunakan dalam membasmi kemiskinan ialah secara holistik iaitu bukan sahaja dari segi pendapatan tetapi meliputi sosial, pemerkasaan, kerohanian melalui peluang-peluang pendidikan peluang-peluang pekerjaan, program-program latihan vokasional serta pembiayaan pendidikan bagi pelajar-pelajar mualaf di institusi dan universiti.
Ini bermakna bukan sahaja menghulur derma, tetapi juga membolehkan mereka mempunyai kepakaran kecekapan tertentu supaya dengan itu mereka dapat mengasing prinsip kemiskinan mereka.
Kedua berkenaan dengan Belia PERKIM, kita perlu ada usaha membantu belia kerana mereka adalah aset negara yang penting dan mereka akan memikul tanggungjawab untuk meneruskan proses dakwah dan pembangunan ummah, pembangunan daie (belia) akan dibuat menerusi Program Perkaderan Daie Profesional Secara Komprehensif yang dijalankan oleh Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) di Kelantan dan International Da’wah Institute PERKIM (IDIP-KL) kita ingin memperluaskan kegiatan kita di kalangan negara-negara lain juga.
Yang ketiga ialah Dakwah Digital dan kepada Generasi Belia. Dalam era digital ini, Dakwah Digital memainkan peranan yang amat penting dalam menyebarkan risalah Islam. Oleh kerana agama Islam adalah agama ‘Rahmatan Lil A’lamin’ maka tindakan-tindakan untuk menyebarkan ajaran Islam dan membawa generasi belia Islam kepada ajaran dan nilai-nilai Islam diberi keutamaan.
Mengikut Al-Quran, Surah An-Nahl, ayat 125 yang membawa maksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik, bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”
Perkara yang keempat tumpuan kita adalah strategi ini ialah Pembinaan Rangkaian Kerjasama Pengantarabangsaan disebut Internationalisation. Pembinaan rangkaian dan kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan Islam adalah selaras dengan penekanan dalam pindaan Perlembagaan PERKIM
Yang kelima ialah Aktiviti-Aktiviti Penjanaan Pendapatan. Bagi menjana pendapatan PERKIM, usaha-usaha akan ditumpukan kepada pemilikan aset-aset yang boleh menjana pendapatan kepada PERKIM dan pembangunan aset yang sedia ada di PERKIM Pusat, PERKIM Bahagian dan PERKIM Cawangan yang bertujuan untuk mendapatkan pendapatan yang konsisten dan stabil. Itu ada lima strategi yang kita perkenalkan untuk diamalkan oleh PERKIM.
“Saya berharap bahawa PERKIM dapat melaksanakan tanggungjawabnya secara berkesan dan negara dan rakyat berhadapan dengan cabaran dan dugaan yang sebegitu besar,” tambah bekas Perdana Menteri.
Sebelum itu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor memaklumkan bahawa jumlah perwakilan yang mengikuti dari seluruh PERKIM Bahagian adalah 138 orang serta telah melebihi korum, kerana kehendak daripada korum hanyalah 70 orang.
Beliau turut berterima kasih kepada hadirin walaupun dalam keadaan kurang baik tetapi mesyuarat ini ramai dapat hadir.
Walaupun Bangunan PERKIM atau Ibu Pejabat PERKIM terletak dalam kawasan berisiko tinggi serta terdedah kepada pelbagai golongan, di mana ada yang terlibat dengan COVID-19 danPERKIM telah berusaha membendung daripada berlakunya penularan wabak ini.
Walaupun keadaan tidak begitu menggalakkan tetapi beberapa pengorbanan daripada kakitangan dan pegawai mengharukan saya. Saya sendiri agak bimbang apabila pegawai dan kakitangan menjalankan tugas menyampaikan bantuan kepada lebih daripada 1000 orang yang perlu dibantu.
Beliau berterima kasih kepada kakitangan PERKIM yang sanggup bertugas dan menyampaikan bantuan COVID-19 kepada mereka yang memerlukan kerana kasih kepada PERKIM itu sendiri.
Tan Sri Dr Yusof Noor turut memaklumkan bahawa pada masa ini, keahlian PERKIM seluruh Malaysia berjumlah 37,882 orang manakala badan gabungan PERKIM iaitu Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) mempunyai ahli seramai 26,658 orang, Harakah Islamiah (HIKMAH) di Sarawak mempunyai ahli seramai 5,039 orang dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) mempunyai ahli seramai 10,793 orang.
Ahli-ahli PERKIM pada masa ini walaupun bertambah masih perlukan usaha yang lebih kerana nampaknya badan-badan yang lain keahlian mereka telah bertambah.
Beliau juga merakamkan tahniah kepada Wanita PERKIM Kebangsaan khususnya kerana daripada 37,882 ahli PERKIM di seluruh negara, sebanyak 66% adalah wanita dan kaum hawa ini telah mengambil inisiatif mengembangkan mesej PERKIM ini ke seluruh negara terutamanya di Sarawak.
Sarawak adalah merupakan ahli warga PERKIM yang tunggal di Malaysia ini yang kesemuanya perempuan tidak ada lelaki. Maka, ini adalah satu keunikan dan saya ingin mengucapkan terima kasih diatas usaha Wanita PERKIM Sarawak. Mudah-mudahan ahli PERKIM bertambah. Jumlah keahlian tertinggi di Semenanjung adalah di Perak iaitu 4,610 orang.
Usaha-usaha penambahan ahli akan dilipat gandakan oleh PERKIM Bahagian-bahagian dan PERKIM Cawangan-cawangan kerana keahlian adalah urusan yang berkaitan dengan mereka.
Tan Sri SUA turut mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan yang telah berjaya mengadakan majlis ini walaupun keadaan begitu rumit dan beliau juga menyampaikan penghargaan dan terima kasih khusus kepada YABhg Tun kerana telah membenarkan penggunaan dewan bagi acara MAT’60MAYA.
Antara agenda Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-60 ialah meluluskan minit Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-59; menerima Laporan Tahunan PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Bahagian-bahagian dan Wanita 2019; meluluskan akaun bagi tahun berakhir 31 Disember 2020; meluluskan Anggaran Pendapatan dan Perbelanjaan bagi Tahun 2022 serta membincang dan meluluskan usul.
YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyampaikan ucapan penangguhan sebelum persidangan berakhir.
-SZ