Aktiviti Dakwah

PERKIM, MAIWP dan AL-HIDAYAH Kukuhkan Jalinan Muhibbah Bersama Komuniti India Di Kampung Kongsi 6

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝐒𝐔𝐍𝐆𝐀𝐈 𝐏𝐄𝐓𝐀𝐍𝐈, 𝟔 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk di Kedah terus diperkukuh melalui Program Ziarah Masyarakat Majmuk India anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Persatuan Dakwah Islamiah & Kebajikan Saudara Baru India Se-Malaysia (AL-HIDAYAH) Cawangan Kedah.

Program yang berlangsung di Kampung Kongsi 6, Bedong dekat sini bermula jam 2.30 petang itu membawa mesej kebersamaan yang merentasi sempadan bangsa dan agama.


Menurut 𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐫𝐚𝐬 𝐏𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐉𝐚𝐢𝐬 𝐌𝐚𝐫𝐢𝐚𝐩𝐩𝐚𝐧 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡, penganjuran aktiviti tersebut bertujuan merapatkan hubungan dengan komuniti India setempat, khususnya golongan bukan Islam yang menetap di kawasan estet.

Beliau berkata, PERKIM sentiasa berusaha mencari pendekatan berhemah dalam menyantuni masyarakat majmuk, sejajar dengan misi organisasi yang mengutamakan kebajikan serta nilai kemanusiaan sejagat.

“Program ini adalah inisiatif bermakna yang membuka ruang kepada masyarakat untuk saling mengenali, beramah mesra dan menjalin persefahaman. Walaupun kita datang dari latar belakang berbeza, tetapi nilai hormat, kasih sayang dan kerjasama adalah asas kepada keharmonian.

“Kami amat menghargai sokongan padu daripada MAIWP yang memberikan kepercayaan kepada PERKIM untuk menggalas tanggungjawab ini,” jelas beliau.

Katanya lagi, selain bantuan berbentuk peruntukan, sokongan moral daripada rakan strategik seperti AL-HIDAYAH dan komuniti setempat menjadi pemangkin kejayaan program yang menekankan semangat perpaduan.

Ketibaan rombongan PERKIM dan AL-HIDAYAH yang diketuai oleh Ustaz Mohd Naim Islam Abdullah, Pengerusi AL-HIDAYAH Cawangan Kedah, disambut penuh mesra oleh penduduk kampung sebaik tiba di Dewan Serbaguna Komuniti India.

Sambutan istimewa itu jelas menunjukkan keterbukaan masyarakat setempat dalam menerima kehadiran tetamu luar.

Lebih istimewa, rombongan telah dijamu dengan hidangan tengah hari yang disediakan bersama oleh penduduk kampung. Suasana ceria dan harmoni tercetus apabila warga kampung daripada pelbagai peringkat umur dari peringat kanak-kanak, golongan muda, dewasa hinggalah warga emas dapat duduk semeja menikmati juadah sambil bertegur sapa.

Biarpun berbeza agama dan budaya, nilai kebersamaan dan rasa hormat jelas terpancar dalam setiap interaksi.

“Bila ada majlis sebegini, kita dapat berkenalan dan mengeratkan hubungan dengan lebih mesra. Ia bukan sekadar makan bersama, tetapi simbol penyatuan hati,” ujar salah seorang penduduk.

Selepas sesi ramah mesra, program diteruskan dengan gotong-royong besar-besaran yang tertumpu di kawasan sekitar Dewan Serbaguna Komuniti India.

Rombongan PERKIM bersama penduduk berganding bahu melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan.

Aktiviti termasuk memotong rumput, mencuci tingkap, membasuh lantai, membersihkan tandas serta membaiki peralatan asas yang rosak seperti lampu, kipas dan tingkap.

Bagi memastikan kesan program dapat dirasai untuk jangka panjang, PERKIM turut menyumbangkan pelbagai kelengkapan kebersihan seperti mop, penyapu, baldi, tong sampah dan peralatan kecil lain.

Ia sekali gus membantu memudahkan urusan komuniti untuk menjaga kebersihan dewan pada masa akan datang.

Seorang penduduk, Vijaya Vengadasamy, yang turut serta dalam gotong-royong itu menyatakan rasa terharu dengan kesungguhan rombongan PERKIM. “Biasanya kami bergotong-royong sesama sendiri.

Tetapi hari ini, kami lakukan bersama dengan PERKIM dan AL-HIDAYAH. Ia sesuatu yang sangat berharga kerana membuktikan kita semua boleh bekerjasama walaupun berbeza latar agama.”

Sekitar jam 4.00 petang, rombongan meneruskan agenda dengan Ziarah Muhibah dari rumah ke rumah yang diketuai oleh Penolong Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Kongsi 6, Muniandy A/L Subramaniam.

Antara keluarga yang diziarahi ialah S. Subramaniam, Vijaya Vengadasamy, Gobala Krishnan, Ravi Chandaran A/L Kamikaraju, Adi Letchumi A/P Muniandi, Kala Wati A/P Jaya Prakash, Panchavarnum A/P Mariappan, dan Vasantha A/P Ajunian.

Setiap kunjungan disambut dengan wajah mesra, malah ada keluarga yang menyediakan minuman sebagai tanda penghargaan. Lawatan ini bukan sahaja menjadi ruang memperkenalkan diri malah turut menyampaikan jemputan rasmi ke Program Dialog Harmoni yang dijadualkan berlangsung keesokan harinya di dewan yang sama.

Menurut Ustaz Muhammad Jais, sesi ziarah ini adalah wadah penting untuk menanam kepercayaan antara masyarakat Islam dan komuniti India bukan Islam.

“Bila kita masuk ke rumah mereka, bertegur sapa, bertukar khabar, barulah mereka rasa dihargai. Inilah nilai sebenar perpaduan yang tidak boleh dicapai hanya dengan ucapan, tetapi perlu dizahirkan melalui tindakan.”

Program diteruskan hingga ke senja sebelum diakhiri dengan jamuan minum petang di dewan komuniti.

Para penduduk dan tetamu berkumpul sekali lagi untuk menikmati hidangan ringan sambil mengimbas kembali aktiviti sepanjang hari.

Suasana mesra dan penuh gelak tawa menutup tirai program dengan kenangan yang mendalam.

Tepat jam 6.30 petang, rombongan PERKIM berangkat pulang dengan hati yang penuh syukur dan gembira kerana program telah mencapai objektif.

Persiapan terakhir dibuat menjelang Program Dialog Harmoni bersama komuniti India yang bakal berlangsung pada keesokan harinya.

Program Ziarah Masyarakat Majmuk India di Kampung Kongsi 6 bukan sekadar acara kebajikan atau gotong-royong biasa.

Sebaliknya, ia adalah manifestasi kepada nilai perpaduan nasional yang menjadi teras pembangunan Malaysia.

Melalui program sebegini, PERKIM dan rakan strategiknya berjaya menunjukkan bahawa keharmonian bukan sekadar slogan, tetapi perlu dihidupkan melalui interaksi mesra, kerjasama praktikal dan penghormatan kepada kepelbagaian.

Ia juga membuktikan bahawa masyarakat berbilang bangsa di Malaysia boleh saling menyokong demi membina kehidupan bersama yang lebih baik.

Kejayaan program ini juga menggariskan bahawa pendekatan dakwah bil hal iaitu berdakwah melalui perbuatan baik dan kebajikan lebih mudah diterima masyarakat majmuk berbanding hanya dengan kata-kata.

Ia sekaligus membina imej Islam sebagai agama rahmah yang meraikan kepelbagaian dan menyebarkan kasih sayang.

Turut serta memeriahkan program ialah urus setia PERKIM Kebangsaan iaitu Azura Abdul Rahman dan Mualish Shah Haji Mohd Anuar bersama sukarelawan Mohd Firdaus Pompeyo Abdullah.

Hadir sama, Setiausaha AL-HIDAYAH Kedah, Ustaz Mohd Firdaus Abdullah dan Bendahari AL-HIDAYAH Kedah, Ustazah Nurasiqin Abdullah yang memainkan peranan besar dalam menghubungkan PERKIM dengan masyarakat tempatan.

Kehadiran mereka diterima baik oleh penduduk dan menjadi jambatan komunikasi yang efektif.

Secara keseluruhannya, Program Ziarah Masyarakat Majmuk India di Kampung Kongsi 6 berjaya mencapai objektif utamanya membina jalinan mesra, menyalurkan sumbangan, memperkukuh kerjasama dan menghidupkan nilai muhibah dalam masyarakat majmuk.

Lebih daripada itu, program ini membuka ruang kepada dialog hati ke hati antara masyarakat Islam dan komuniti India bukan Islam, sekali gus mengikis persepsi negatif serta mengukuhkan rasa saling percaya.

Usaha sebegini wajar diteruskan sebagai model perpaduan masyarakat di Malaysia, selari dengan aspirasi negara untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian.

Benih muhibah yang ditanam di Kampung Kongsi 6 ini diharapkan akan terus subur, melahirkan lebih banyak inisiatif yang menyatukan hati-hati rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

 


Urus setia PERKIM Kebangsaan dan AL-HIDAYAH tiba di Kampung Kongsi 6 bagi melaksanakan aktiviti gotong-royong dan ziarah masyarakat majmuk India.

 


Ustaz Naim Islam (berkopiah) bertemu dengan masyarakat kampung dan beramah mesra bersama mereka.

 


Ustaz Naim Islam dan Ustaz Jais berkenal-kenalan bersama masyarakat kampung setibanya mereka di dewan serbaguna.

 


Ustaz Naim Islam menyantuni masyarakat kampung dan menjemput mereka ke Program Dialog Harmoni yang diadakan esok.

 


Urus setia program bergotong-royong membersihkan cermin dewan serbaguna.

 


Penyelaras program juga tidak terkecuali bersama-sama bergotong-royong membersihkan dewan bagi persiapan program Dialog Harmoni.

 


Urus setia mencuci dan membersihkan lantai dewan bagi persiapan program esok.

 


Rumput dan lalang panjang di perkarangan dewan turut dipotong bagi memastikan keceriaan dan kebersihan.

 


Kerusi diatur dan dilap supaya masyarakat kampung dapat duduk dengan selesa.

 


Rumput dan lalang yang dipotong dikumpulkan sebelum dibuang.

 


Rombongan PERKIM dijamu air ketika menziarahi keluarga S. Subramaniam.

 


Urus setia PERKIM dan AL-HIDAYAH bergambar bersama ahli keluarga S. Subramaniam sambil menjemput ke program diadakan esok.

 


Selepas beramah mesra, urus setia PERKIM berkesempatan bergambar kenangan bersama keluarga Vijaya Vengadasamy dan Gobala Krishnan.

 


Ravi Chandaran A/L Kamikaraju dan anak-anaknya gembira saat diziarahi rombongan PERKIM dan AL-HIDAYAH.

 


Ustaz Jais Mariappan bertemu penduduk kampung, Adi Letchumi A/P Muniandi sambil bertanyakan khabar dan mempelawanya ke program esok.

 


Kala Wati A/P Jaya Prakash gembira ketika bertemu dengan rombongan PERKIM dan AL-HIDAYAH.

 


Panchavarnum A/P Mariappan memberikan nasihat dan motivasi kepada ahli rombongan ketika berkunjung ke rumahnya.

 


Panchavarnum A/P Mariappan sudi bergambar bersama urus setia di perkarangan rumahnya.

 


Rombongan PERKIM dan AL-HIDAYAH bertanyakan khabar ketika menziarahi Vasantha A/P Ajunian bersama cucunya.

 

Related Articles

Back to top button