Aktiviti Dakwah

Majlis Jamuan Muhibah Sempena Tahun Baru Cina 2018

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Kita perlu mengelak dari terus berfikir bahawa agama itu memisahkan kaum serta bangsa kerana agama adalah alat penyatuan semua kaum dan Islam adalah agama yang menerima segala unsur dari budaya lain selagi tidak bercanggah dengan syariatnya,” kata Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Kehormat Perkim berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Jamuan Muhibah Tahun Baru Cina 2018 di Masjid Al-Muhsinin, Taman Danau Desa, Kuala Lumpur pada 11 Mac 2018 lalu.

Program yang mendapat kerjasama Jawatankuasa Masjid Al-Muhsinin, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu dihadiri hampir 500 tetamu terdiri daripada saudara Muslim berbangsa Cina, India, Siam, Filipina, Indonesia, Sekretariat PERKIM Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), PERKIM Gerak dan penduduk Taman Danau Desa.

Menerusi petikan laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Bayan Linnas (siri 48) bertajuk Islam dan Tahun Baru Cina karangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri: “Tidak ada halangan bagi Muslim merayakan Tahun Baru Cina dengan tidak ada unsur yang bertentangan dengan akidah Islam.”

Katanya, setiap agama perlu hormat-menghormati penganut agama yang lain supaya penerimaan ini mengukuhkan lagi tali silaturahim sesama kita.

Tambah Dr. Yusof Noor, kita tidak boleh lupa jasa Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj kerana beliau merupakan pengasas PERKIM. Jika tiada beliau, maka tiada PERKIM dan tiadalah program dan aktiviti bersejarah seperti hari ini.

“Kita berdoa supaya Allah memberi rahmat kepada Almarhum kerana bakti beliau kita dapat bersama pada hari ini dan PERKIM adalah inisiatif dari Almarhum yang mahu melihat semua kaum di Malaysia ini bersatu-padu,” katanya.

Beliau berharap semoga perlaksanaan program seperti ini akan diteruskan pada masa hadapan dalam keadaan lebih harmoni.

Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Bendahari Kehormat, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hasbullah L. Isa; Pengerusi Bahagian Negeri Selangor, Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah, Naib Pengerusi Negeri Sembilan, Datuk Ali Ab. Majid; Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Perlaksanaan (UPPP), Haji Mamat Che Chik; Timbalan UPPP, Datuk Abdul Hanif Harun; Penyelaras Unit Pembangunan dan Aset, Datuk Ahmad Mustafa Penyelaras Unit Komunikasi dan Media Baru, Datuk Haji Idris Mamat; Pegawai Dakwah Negeri Sembilan, Zafri Ismaiskandar Abd. Ghani; Pegawai Penerbitan, Firdaus Lokman Tah; Pegawai UPPP, Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan.

Sebelum itu diadakan forum perkongsian pengalaman dalam bahasa Mandarin dipengerusikan oleh Pembantu Mubaligh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Maisarah Leong serta ahli panelnya ialah hos rancangan Kembali Fitrah TV AlHijrah, Syafiq Raffiqin Liow dan tenaga pengajar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Wan Ni Huang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Muhsinin, Haji Mohd. Fazlin Mohd. Yatim berkata, objektif program ialah mewujudkan silaturahim sekaligus melahirkan semangat perpaduan antara penduduk setempat tanpa mengira bangsa dan agama.

Beliau menambah, sejak akhir-akhir ini wujud persepsi masjid hanya untuk orang Islam sahaja. Hakikatnya masjid boleh dimasuk oleh sesiapa sahaja dengan syarat mereka mestilah memenuhi adab-adab yang tertentu.

Islam adalah agama yang mencintai perpaduan dan keamanan dan bukan agama pengganas seperti digambarkan oleh puak-puak tertentu.

Kata Mohd. Fazlin, melalui program seperti ini, pihak masjid mengambil kesempatan menerangkan kepada bukan Islam mengenai aktiviti masjid seperti tempat wuduk, dewan solat, mimbar dan cara ibadat dijalankan. Secara tidak langsung ia memberi mereka pengetahuan dan juga maklumat.

“Masjid seharusnya menjadi tempat tumpuan utama atau one stop centre untuk semua aktiviti kemasyarakatan dalam aspek ekonomi, kesihatan, sukan dan pendidikan selain beribadah semata-mata,” katanya.

Antara aktiviti diadakan ialah sukaneka kanak-kanak, tarian singa, pemeriksaan kesihatan percuma, pameran PERKIM, senaman taici dan persembahan mi tarik.

Wong Chan Choy selaku Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Taman Danau Desa merangkap Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Danau Desa dalam ucapannya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak masjid dan PERKIM kerana memberi maklumat dan pendedahan kepada beberapa penduduk setempat.

Penerangan mengenai masjid, cara menutup aurat, kiblat, wuduk dan fungsi-fungsinya yang telah disampaikan oleh pegawai Unit Antarabangsa PERKIM, Khadijah Dingjan.

“Ia merupakan pengalaman pertama saya apabila dibawa masuk ke ruangan dewan solat oleh petugas dan diberi penerangan bahawa kiblat setiap masjid akan menuju ke arah Mekah,” jelas Chan Choy.

Baru saya tahu, masjid bukan untuk Muslim sahaja tetapi ianya merupakan pusat hentian.

Majlis tersebut secara tidak langsung merupakan program yang berjaya membuka minda kepada masyarakat bukan Islam.

Sementara itu, kaum bukan Islam yang hadir menyambut baik inisiatif Perkim itu memandangkan perspektif mereka sebelum ini mengganggap masjid sebagai tempat eksklusif dan hanya untuk orang Islam sahaja.

Naib Yang DiPertua Perkim, Datuk Dr. Haji Mustapha Ma dalam ucapannya menjelaskan bahawa pada masa dahulu masyarakat Cina meraikan Tahun Baru Cina selama 15 hari sebagai masa untuk mereka berehat kerana sepanjang tahun mereka telah bekerja keras.

Manakala perayaan Cap Goh Meh akan diraikan selepas 15 hari perayaan Tahun Baru Cina.

“Majlis ini penuh bermakna kerana kita dihimpunkan bersama semua penduduk setempat di perkarangan Masjid Al-Muhsinin. Pada dua tahun lalu, kita pernah mengadakan program seperti ini tetapi diadakan pada waktu malam,” ujarnya.

Menurut Mustapha lagi, cara orang Cina meraikan tahun baru adalah dengan mengucapkan Gong Xi Fa Cai antara satu sama lain sambil menggenggam tangan kanan manakala tangan kiri diletakkan di atas genggaman dan menggoyangkan kedua-duanya.

Kemudahan di masjid banyak memberi manfaat termasuk kepada bukan Islam. Kita sangat mengalakkan orang bukan Islam masuk ke dalam masjid untuk melihat sendiri cara orang Islam melaksanakan ibadah solat dan mengambil wuduk.

Banyak masjid telah melakukan aktiviti seumpama ini dan ia adalah petanda positif bagi menyemai benih perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Tetamu menikmati juadah makanan yang disediakan seperti bihun hailam, pau, itik panggang, sayur campur, kari ayam, ayam goreng berempah dan teh cina.

Majlis berakhir dengan acara menggaul yee sang, penyampaian hadiah cabutan nombor bertuah, angpau kanak-kanak dan nyanyian lagu Gong Xi Fa Cai beramai-ramai.

 


Petugas menyediakan borang bagi proses pendaftaran peserta.

 


Dr. Rais (tengah) dan Hanif (kanan) menyertai senaman taici di awal majlis.

 


Tetamu yang hadir berkesempatan menyertai senaman taici.

 


Antara tetamu yang mengunjungi pameran PERKIM.


Khadijah memakaikan tudung kepada salah seorang tetamu belum Islam.

 


Pengunjung belum Islam menunjukkan isyarat bagus setelah petugas memakaikan tudung kepada mereka.

 


Khadijah (kiri) memberi penerangan mengenai Islam kepada pengunjung.

 


Pengunjung diberi penerangan dan maklumat mengenai solat yang wajib ke atas setiap umat Islam.

 


Sofia (kanan) turut memberi penerangan mengenai masjid dan solat kepada wartawan yang hadir.

 


Pengunjung diberi tunjuk ajar mengenai kaedah dan cara solat yang betul oleh Khadijah.

 


Syukri (kiri) menyampaikan ceramahnya dalam sesi forum perkongsian dalam bahasa Mandarin bersama Maisarah (tengah) dan Wan Ni (kanan).

 


Kanak-kanak tidak melepaskan peluang menyertai acara sukaneka yang disediakan.

 


Mualaf turut membuat pemeriksaan darah di kaunter pemeriksaan kesihatan.

 


Jururawat memeriksa tekanan darah salah seorang mualaf.

 


Tetamu kehormat menyaksikan persembahan tarian singa.

 


Dr. Yusof Noor (tengah) menerima cenderahati setelah merasmikan majlis tersebut.

 


Wong menyampaikan hamper kepada pemenang cabutan hadiah nombor bertuah.

 


Antara tetamu bertuah menerima hamper hadiah cabutan nombor bertuah dari Dr. Yusof Noor (kiri).

 


Dr. Yusof Noor menyampaikan hadiah kepada pemenang sukaneka kanak-kanak.

 


Antara tetamu yang hadir di majlis tersebut.

 


Penduduk setempat tidak melepaskan peluang untuk menyertai program yang unik.

 


Dr. Ann Wan Seng (berbaju putih) mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada kenalan yang hadir.

 


Dr. Mustapha Ma (kanan) menyampaikan hamper kepada pemenang hadiah cabutan nombor bertuah.

 


Dr. Yusof Noor (dua dari kanan) teruja dengan persembahan mi tarik.

 


Kanak-kanak menerima sumbangan angpau daripada tetamu kehormat.

 


Tetamu kehormat turut menyertai acara menggaul yee sang.

 


Petugas mengagihkan makanan kepada jururawat bertugas dan tetamu yang hadir.

Related Articles

Back to top button