Town Hall PERKIM Rangsang Penyelarasan Nasional Perkukuh Gerak Kerja Dakwah
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑, 𝟗 𝐃𝐈𝐒𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Town Hall bersama Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri-negeri yang berlangsung di Dewan Seminar, Aras 1, Bangunan PERKIM hari ini menghimpunkan lebih 50 pimpinan negeri dan Eksekutif PERKIM bagi membincangkan hala tuju, keperluan semasa serta cabaran pentadbiran organisasi di seluruh negara.
Majlis membuka tirai dengan ucapan aluan oleh Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah sebelum nyanyian Negaraku dan lagu PERKIM Pacu Kemajuan bergema.
Bacaan doa pula dipimpin Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah diaminkan oleh para delegasi, menandakan permulaan perbincangan yang sarat isu dan harapan.
Turut hadir ialah 𝐍𝐚𝐢𝐛 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐃𝐢𝐩𝐞𝐫𝐭𝐮𝐚 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌, 𝐘𝐁 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐒𝐞𝐫𝐢 𝐃𝐫 𝐒𝐡𝐚𝐡𝐢𝐝𝐚𝐧 𝐊𝐚𝐬𝐬𝐢𝐦, 𝐃𝐫 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐑𝐢𝐝𝐡𝐮𝐚𝐧 𝐓𝐞𝐞 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡 𝐝𝐚𝐧 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐅𝐢𝐭𝐫𝐢 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡 serta 𝐓𝐢𝐦𝐛𝐚𝐥𝐚𝐧 𝐌𝐞𝐧𝐭𝐞𝐫𝐢 𝐄𝐤𝐨𝐧𝐨𝐦𝐢 merangkap 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐞𝐫𝐮𝐬𝐢 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐒𝐚𝐫𝐚𝐰𝐚𝐤, 𝐘𝐁 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐇𝐚𝐣𝐣𝐚𝐡 𝐇𝐚𝐧𝐢𝐟𝐚𝐡 𝐇𝐚𝐣𝐚𝐫 𝐓𝐚𝐢𝐛.

𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐀𝐠𝐮𝐧𝐠 𝐊𝐞𝐡𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌, 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐃𝐫 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐌𝐚𝐫𝐳𝐮𝐤𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐎𝐦𝐚𝐫 dalam ucapannya berkata, tujuan penganjuran Town Hall ialah bagi mendengar sendiri suara akar umbi dan memperkukuh komunikasi dua hala antara kepimpinan pusat dan negeri-negeri.
Beliau yang baru empat bulan menerajui kepimpinan PERKIM berkata, program ini secara tidak langsung dapat bertemu dan merapatkan ukhwah Islamiah, kenal-mengenal dan menghubungkan silaturahim antara sesama warga PERKIM.
Beliau turut menjelaskan hala tuju strategik PERKIM merangkumi dakwah, pendidikan, kebajikan serta pengukuhan organisasi agar selari dengan matlamat penubuhan.
Beliau menegaskan keperluan tambahan dana kerajaan bagi menampung peningkatan kos operasi, termasuk pertemuan khas bersama Perdana Menteri yang sedang dirancang.
Dato’ Dr Marzuki berharap sesi ini menjadi medan memperkukuh persefahaman serta kerjasama kerja antara semua peringkat penggerak PERKIM.

Sementara itu, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas komitmen para delegasi, sambil memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pusat kini bermesyuarat lebih kerap bagi mempercepat pelaksanaan dasar.
Beliau turut menjelaskan pembahagian tanggungjawab Jawatankuasa dalam aspek pentadbiran, kewangan, dakwah antarabangsa, dana, pengurusan aset dan pendidikan. Struktur Pengerusi Zon yang meliputi lima zon utama diwujudkan bagi memantapkan koordinasi dakwah setempat.
Menyentuh soal pembiayaan, beliau menjelaskan bahawa dana kerajaan ketika ini merosot kepada RM5 juta berbanding RM10 juta sebelum ini, namun optimis permohonan penambahan akan dipertimbangkan.
Beliau turut menggesa budaya kerja positif diamalkan dan badan bukan kerajaan Islam (NGOi) bergerak secara tersusun, selain menekankan kepentingan sokongan sektor korporat dan pengukuhan media sosial PERKIM agar keberhasilan dakwah lebih terserlah.
Sesi dialog bersama wakil negeri memperlihatkan pelbagai isu signifikan, antaranya Wanita PERKIM yang diwakili oleh Bendahari Kehormat Wanita PERKIM, YBhg Prof Madya Dr Nur’azah Dato’ Abdul Manaf memohon penstrukturan semula peruntukan memandangkan mereka merangkumi 67 peratus keahlian dan mengurus lebih 80 cawangan, namun berdepan kekangan pendaftaran menerusi Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) yang menjejaskan pelaporan dan saluran dana.
Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Perlis, YBhg Dato’ Khairi Hasan menekankan isu mualaf Thailand yang berisiko kembali kepada agama asal jika pulang, manakala negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang dan Perak menyuarakan cabaran kos pembangunan serta premium tanah yang tinggi.
Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Selangor, Ustaz Fitri turut berkongsi kejayaan penjanaan aset dan pengurangan premium tanah, manakala PERKIM Wilayah Persekutuan diwakili Setiausaha Kehormatnya, YBhg Tuan Haji Mathurudi Rejab mencadangkan dakwah berbilang bahasa dan pengurangan sewa pejabat.
Isu ROS, kebajikan mualaf gelandangan, rekod pengislaman warga asing dan sistem keahlian turut diutarakan oleh Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.
PERKIM Sarawak yang diwakili oleh pengerusinya, Dato’ Hajjah Hanifah Hajar Taib berkata, Sarawak berusaha memanfaatkan aset, teknologi komunikasi serta kaedah kreatif bagi memperkukuh kedudukan kewangan dan menjalankan aktiviti secara berdikari.
Tambahan itu, pertemuan tahunan organisasi diterangkan sebagai platform membincangkan isu semasa dan matlamat pembangunan lestari (SDG), agar masyarakat memahami kaitannya dengan Islam, tanggungjawab sosial dan perubahan iklim.
𝐁𝐞𝐧𝐝𝐚𝐡𝐚𝐫𝐢 𝐊𝐞𝐡𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐃𝐚𝐭𝐮 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐞𝐫𝐬𝐚𝐥 𝐀𝐛𝐚𝐧𝐠 𝐑𝐨𝐬𝐥𝐢 pula berkata, cabaran pembinaan bangunan asrama Institut Dakwah Islamiah PERKIM Kota Bharu (IDIPKB) yang tertangguh akibat kekangan kewangan, namun PERKIM tetap berusaha mencari penyelesaian.
Beliau menegaskan bahawa PERKIM perlu menyatukan bakat seluruh negara untuk menjana pendapatan melalui media sosial secara tersusun di bawah penyelarasan PERKIM Kebangsaan.
Beliau juga mengusulkan kerjasama dengan Kementerian Agama dan Kementerian Komunikasi untuk mendapatkan rebat daripada syarikat gerbang pembayaran (payment gateway) yang mengenakan caj transaksi, di samping menjadikan PERKIM sebagai agensi pemantau kepada NGO yang mengutip derma awam agar tiada penyelewengan.
Model ini digambarkan sebagai “low hanging fruit” yang mudah dan cepat dilaksanakan demi mewujudkan pendapatan berterusan untuk PERKIM.
Pimpinan turut menyuarakan pandangan agar town hall ini dijadikan Mesyuarat Majlis Edisi Khas PERKIM 2025.
Dato’ Dr Marzuki kemudiannya melengkapkan sesi dengan menyatakan bahawa pertemuan ini akan diteruskan pada masa hadapan dan mencadangkan agar mesyuarat seterusnya dipertimbangkan untuk diadakan di Sarawak.
Beliau turut mengumumkan perancangan mengadakan Persidangan Wakaf Antarabangsa yang dijadualkan pada pertengahan tahun 2026 dengan penglibatan Yang Dipertua PERKIM merangkap Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg.
Majlis berakhir dengan penyerahan cek RM15,000 kepada PERKIM Bahagian-bahagian oleh Dato’ Seri Dr Shahidan bersama barisan pimpinan tertinggi sebagai simbol komitmen memperkasa dakwah dan kebajikan.
Town Hall bersurai dengan sesi fotografi dan jamuan makan tengah hari menandakan tekad baharu PERKIM untuk terus memperkukuh peranan di seluruh negara.
Hadir sama ialah Mufti Kerajaan Negeri Melaka merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Melaka, YBhg Dato Wira Haji Abdul Halim Tawil; Timbalan Pengerusi Tetap PERKIM, Mahadi Deraman; Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, Tuan Haji Mohamad Shaiful Bahri Abdullah, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa, YBhg Datin Paduka Hajah Norsiah Haron; Pengarah Pentadbiran PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad dan Eksekutif Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin.

Pengerusi dan Eksekutif PERKIM Bahagian Negeri-negeri menandatangani borang pada sesi pendaftaran.

Dr Shahidan Kassim bersalaman bersama delegasi PERKIM Bahagian ketika ketibaannya.

Kepimpinan Tertinggi PERKIM bersama para delegasi berdiri hormat bagi menyanyikan lagu Negaraku.

Ustaz Farhan Tee selaku pengacara majlis membuka tirai Town Hall Bersama Pengerusi PERKIM Bahagian-bahagian.

Ustaz Jais Mariappan memimpin bacaan doa pembuka majlis.

Para delegasi menadah tangan dan mengaminkan doa yang dibacakan.

Town Hall berlangsung dengan pelbagai lontaran idea, pendapat dan cadangan.

Dato’ Dr Marzuki dalam ucapannya berkata, penganjuran Town Hall ialah bagi mendengar sendiri suara akar umbi dan memperkukuh komunikasi dua hala antara kepimpinan pusat dan negeri-negeri.

Dato’ Seri Shahidan dalam ucapannya memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pusat kini bermesyuarat lebih kerap bagi mempercepat pelaksanaan dasar.

Beliau menekankan kepentingan sokongan sektor korporat dan pengukuhan media sosial PERKIM agar keberhasilan dakwah lebih terserlah.

Dr Nur’azah Dato’ Abdul Manaf memohon penstrukturan semula peruntukan Wanita PERKIM.

Dato’ Khairi Hasan menekankan isu mualaf Thailand yang berisiko kembali kepada agama asal jika pulang ke negara mereka.

Town Hall berlangsung dengan iltizam baharu untuk memperkukuh gerak kerja dakwah PERKIM di seluruh Malaysia.

Haji Turedy mengusulkan keperluan Program Syahadah Perdana Orang Asli.

Delegasi Pulau Pinang mengutarakan kos pembangunan meningkat serta isu premium tanah bernilai RM500,000.

Ustaz Fitri juga selaku Pengerusi PERKIM Selangor berkongsi kejayaan penjanaan aset dan pengurangan premium tanah.

Haji Mathurudi mencadangkan dakwah berbilang bahasa dan pengurangan sewa pejabat.

Delegasi PERKIM Negeri Sembilan mengusulkan isu pendedahan pertukaran sistem ROS yang terlalu umum.

Dato’ Wira Abdul Halim menyuarakan isu pengislaman warga asing tidak didaftarkan sempurna, hanya diberi perakuan, menjejaskan rekod dan menyulitkan dakwah.

Ustaz Ghazali mewakili Johor mencadangkan penempatan khas untuk saudara baharu yang dibuang keluarga, termasuk pelajar dan keluarga mualaf yang tiada tempat tinggal.

Mahadi Deraman mewakili Pahang mencadangkan penambahbaikan pendaftaran wanita dan belia, isu kelewatan ROS serta pemurnian sistem keahlian agar pentadbiran PERKIM lebih tersusun dan efisien.

Setiausaha Kehormat PERKIM Kelantan, Tuan Haji Mohamed Nazir Che Ibrahim menyatakan pendapat beliau.

Dato’ Hanifah Hajar selaku Pengerusi PERKIM Sarawak menggesa pemantapan bimbingan kepada belia, memperkukuh aset sendiri, memahami isu pembangunan lestari serta berdikari tanpa bergantung dana kerajaan demi masa depan dakwah dan kebajikan.

Datu Mersal turut menyarankan agar PERKIM Bahagian-bahagian berusaha gabungkan tenaga, sosial media dan derma kecil berterusan dapat jana dana lestari dan selaraskan penjanaan dana seluruh Malaysia.

Dr Seri Shahidan menyerahkan cek RM15,000 kepada Dato’ Wira Abdul Halim pada penghujung town hall.

Dato’ Hanifah Hajar menerima cek RM15,000 daripada Dr Seri Shahidan bagi memperkasa hala tuju dan peranan PERKIM.

Kepimpinan Tertinggi PERKIM bergambar kenang-kenangan bersama delegasi PERKIM Bahagian-bahagian di akhir majlis.



