Tingkat Tahap Produktiviti Kakitangan PERKIM Kebangsaan
oleh : MUHAMMAD ASYRAF MURTADHA AZAHAR, MUHAMMAD SOLEHIN ABDUL HALIM
susunan: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
Bagi meningkatkan tahap kecemerlangan dan produktiviti kakitangan sesebuah organisasi, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) mengadakan ‘Sesi Penyediaan Program / Aktiviti / Projek Bagi Unit / Institusi PERKIM Kebangsaan Untuk Tempoh Ogos 2019 hingga Ogos 2021′ bertempat di Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada 2 hingga 4 Julai 2019 lalu.
Program tersebut menghimpunkan seramai lebih daripada 40 kakitangan PERKIM dari Unit Pentadbiran Am, Unit Kewangan, Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan, Unit Pembangunan dan Aset, Unit Penerbitan, Unit Komunikasi dan Media Baru, Unit Pembangunan Wanita, Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP), IDIP-KL dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok (SCORE).
Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Pengarah Unit Pembangunan dan Aset, Dato’ Mustafa Ahmad; Penyelaras Unit Komunikasi dan Media Baru, Dato’ Idris Mamat; Penyelaras Unit Penerbitan, Zuber Zain; Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin dan Pengetua IDIP, Che Ahmed Che Mahmood.
Pengarah Pentadbiran dan Program PERKIM Kebangsaan, Mamat Che Chik mengetuai taklimat sepanjang tiga hari tersebut mengenai Sesi Penyediaan Program / Aktiviti / Projek bagi Unit / Institusi PERKIM Kebangsaan.
Pada sesi perbincangan dan penyediaan, Mamat membentangkan Matlamat dan Aktiviti Kerja Unit / Institusi serta Program / Aktiviti / Projek Bagi Unit / Institusi dan Anggaran Perbelanjaan Program / Aktiviti / Projek.
Peserta dibahagikan mengikut setiap unit dan institusi bagi membincangkan deskripsi tugasan pegawai / kakitangan dan proses bagi aktiviti-aktiviti kerja.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.
Dr. Yusof Noor dalam ucapannya berkata, beliau mempunyai satu cita-cita iaitu ingin melihat kakitangannya mempunyai cara kerja yang menarik di samping menampakkan suasana ceria di kalangan mereka.
Katanya, kita perlu mempertingkatkan prestasi dan produktiviti kakitangan kerana sekiranya tidak digilap berkemungkinan hasil kerja mereka akan menurun menyebabkan akan ke belakang.
Jika kita lihat, badan dakwah seperti PERKIM begitu banyak wujud ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dan mereka dilihat lebih berjaya dan mengatasi PERKIM.
Di dalam program tersebut, setiap unit perlu membuat perancangan tahunan bagi meningkatkan prestasi ke arah cara kerja yang lebih strategik dan profesional di samping memperbaiki segala permasalahan yang dihadapi kerana kita dinilai oleh orang luar.
Kita juga turut merancang bagi pihak luar menyokong PERKIM dengan lebih kuat memandangkan PERKIM akan menyambut hari Jubli Intan ke 60 tahun tidak lama lagi.
Unit Penerbitan harus menterjemahkan peristiwa penting yang perlu ditonjolkan selama 60 tahun yang signifikan dengan identiti PERKIM seperti Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE) yang memberi rawatan kepada pesakit secara serius kerana ia merupakan salah satu daripada cabang dakwah selain khutbah atau ceramah.
Selain itu, PERKIM juga mempunyai keunikannya di mana satu jawatan kuasa yang berkaitan dengan PERKIM ditubuhkan di universiti atau kolej yang diberi nama Kelab PERKIM Universiti (KPU).
Masyarakat umum mengenali bahawa PERKIM adalah badan dakwah yang baik tetapi mereka tidak tahu kesulitan yang kita hadapi.
Maka sebab itu, kita perlu memikirkan bagaimana PERKIM boleh berdikari dengan hanya mendapatkan sumber dari Jabatan Perdana Menteri sahaja dan berapa banyakkah pendapatan daripada aset PERKIM di Kelantan dan Terengganu bagi meletakkan organisasi kita dalam keadaan selesa.
Kita harus membuat perancangan yang betul supaya jika kita tak dapat bantuan selepas ini, sekurang-kurangnya kita ada sandaran, maka kita mestilah berusaha untuk meningkatkan PERKIM maju ke hadapan dengan menjadikan ia berkesan dan menarik orang menyumbang kepada kita.
Dr. Yusof Noor dalam ucapan penutupnya turut memetik firman Allah SWT yang merupakan slogan bagi PERKIM iaitu ‘Islam Itu Persaudaraan’ terdapat di dalam Surah al-Hujurat, ayat 10 bermaksud: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
“Kadang-kadang kita terlupa untuk meningkatkan kemesraan sesama kita, ini merupakan satu kesilapan di mana kita mengajak orang lain bermesra tetapi sesama kita tidak berapa mesra,” ujarnya.
Beliau turut bersyukur dengan adanya program terbabit dapat merapatkan ukhwah sesama kakitangan dan diharap program tersebut dilaksanakan pada setiap tahun.
Menurut Dr. Yusof Noor lagi, tokoh yang memainkan peranan di dalam PERKIM ini ialah Ketua Menteri Singapura yang kedua, Tun Omar Lim Yew Hock atau nama asalnya Lim Yew Hock yang pernah bertugas sebagai pegawai dan berkhidmat di PERKIM tidak lama dahulu.
Beliau turut mengajak supaya mencari jalan bagi memeriah dan menceriakan kembali PERKIM dengan penglibatan orang yang bukan Islam dengan PERKIM.
Jelasnya, kita harus mewarisi kebijaksanaan AlMarhum Tunku Abdul Rahman iaitu bagaimana beliau menjinakkan orang-orang bukan Islam seperti Setiausaha Agung Kehormat PERKIM pertama, Tan Sri Datuk Abdul Mubin Sheppard, Menteri Pengangkutan, Tun Omar Yoke Lin, Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Donald Stephens dan lain-lain.
“Saya percaya, dengan pertemuan seperti ini banyak faedah diperolehi selain daripada menghargai jasa yang dicurahkan oleh pengasas dalam melaksanakan idea ini,” tambahnya.
Jikalau Tunku telah menjalankan dengan baik, maka sama-samalah kita dalam satu pasukan merealisasikan setitis embun yang telah beliau hadiahkan kepada kita.
Apakah sesuatu yang baharu bagi PERKIM? Jangan kita melakukan perkara yang sama, kalau melakukan perkara yang sama kita akan ketinggalan dan mesti ada satu pembaharuan dibuat.
Salah satu wasilah dakwah selain daripada media massa ialah melalui media cetak seperti surat khabar dan jika dakwah menerusi nasyid itu berkesan, maka nasyid dalam pelbagai bahasa akan menyerikan Majlis Sambutan Jubli Intan PERKIM ke-60 tahun.
Melalui persembahan itu, masyarakat dapat mengenali PERKIM dengan lebih dekat terutama kepada masyarakat yang bukan Islam.
Selain itu dakwah menerusi seni turut menjadi satu tarikan bukannya semata-mata untuk mendapat keuntungan sahaja.
Jadi dengan itu kita perlu menghayati perjuangan tokoh-tokoh yang banyak memberi sumbangan kepada PERKIM dan kita doakan kepada ahli-ahli PERKIM dikurniakan kesihatan yang baik.
Majlis berakhir dengan penyerahan dokumen Sesi Penyediaan Program / Aktiviti / Projek bagi Unit / Institusi PERKIM Kebangsaan oleh Pengarah Pentadbiran dan Program, Mamat Che Chik kepada Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.
Pegawai dan kakitangan menghadiri ‘Sesi Penyediaan Program / Aktiviti / Projek Bagi Unit / Institusi PERKIM Kebangsaan Untuk Tempoh Ogos 2019 hingga Ogos 2021′.
Tekun…pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan mendengar taklimat yang disampaikan
Pengarah Pentadbiran dan Program, Mamat Che Chik mengetuai taklimat program selama tiga hari.
Staf mencatat maklumat yang disampaikan semasa taklimat disampaikan.
Dr. Yusof Noor menyampaikan amanat dan nasihat kepada kakitangan di majlis perasmian program.
Kakitangan Unit Pentabiran Am menyediakan tugasan yang diberikan untuk sesi pembentangan.
Kakitangan Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM membuat perbincangan secara kumpulan.
Nini Yanti membentangkan aktiviti-aktiviti tahunan IDIP-KL.
Mamat (kanan) menyerahkan dokumen ‘Sesi Penyediaan Program / Aktiviti / Projek Bagi Unit / Institusi PERKIM Kebangsaan Untuk Tempoh Ogos 2019 hingga Ogos 2021′ kepada Dr. Yusof Noor (tengah) sambil disaksikan oleh Dr. Muhammad Rais (kiri) dan Hasbullah (dua dari kanan).
Pegawai dan kakitangan bergambar kenang-kenangan bersama tetamu kehormat di akhir program.