KPU UUM & UniSHAMS Santuni Masyarakat Siam Behor Gelam
Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Program bersama masyarakat Siam adalah salah satu usaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) menyebar luaskan dakwah melalui aktiviti kebajikan kepada pelbagai kaum dan etnik di Malaysia,” kata penyelaras program, Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan.
PERKIM sebagai organisasi Islam bukan hanya komited membantu saudara seagama malah menjalinkan hubungan silaturahim bersama masyarakat belum Islam.
Munirah ditemui ketika menyampaikan ucapan di Program Khidmat Masyarakat Perkampungan Masyarakat Thai anjuran PERKIM Kebangsaan bertempat di Behor Gelam, Arau, Perlis pada 23 Jun 2019 lalu.
Program tersebut mendapat kerjasama 50 mahasiswa dari Kelab PERKIM Universiti (KPU) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (UniSHAMS) serta Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Taqwa Alor Redis.
Turut hadir ialah Naib Yang DiPertua PERKIM, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim serta Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPPP) PERKIM, Muhammad Farhan Tee Abdullah, Fatimah Ladda Abdullah; Penyelaras Pejabat Naib Yang DiPertua PERKIM, Wan Zawiyah Wan Halim; Penyelaras Pejabat Parlimen Arau, Syuhadah Sabdin; Pengerusi Masjid Al-Taqwa, Ali Said dan Pengerusi KPU UUM, Muhammad Syafie Mr Dorloh.
Kata Munirah, melalui aktiviti kebajikan, diharap PERKIM dapat memperkenalkan Islam dan keindahan akhlak Islam yang sentiasa prihatin dan berkasih sayang sesama insan.
“Islam adalah bersifat membimbing manusia ke arah kebaikan dan juga kejayaan. Ia bukanlah agama yang menyusahkan atau membawa manusia kepada permusuhan.” tambahnya.
Ujar beliau, ia bukan sahaja merapatkan silaturahim dan perpaduan tanpa mengira batasan agama, bangsa dan keturunan.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah memberi kepercayaan dan mandat kepada PERKIM dalam usaha-usaha dakwah, kebajikan dan pendidikan untuk membantu golongan khususnya saudara baharu dan memerlukan.
Selain itu, ia juga melahirkan ahli KPU yang mengamalkan nilai-nilai murni dan menghayati konsep kebajikan yang diamalkan dalam Islam,” kata Munirah yang juga Pegawai UPPP.
Ia juga dapat mengeratkan hubungan dua hala dalam menjana kesepaduan ummah dan langkah mewujudkan hubungan baik dengan pelbagai pihak dan sesama umat Islam dalam usaha menjadikan kebajikan selaras dakwah Islamiah serta dapat melahirkan para pendakwah muda di kalangan mahasiswa.
Secara tidak langsung, ia menjalinkan persaudaraan bersama golongan terbabit dengan memahami dan melihat sendiri kesusahan yang mereka alami.
Ia sebagaimana hadis yang bermaksud: “Daripada Abdullah bin Salam, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: Wahai manusia, tebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturahim, solatlah di malam hari ketika manusia terlelap tidur, nescaya kalian akan masuk syurga dengan selamat.” – Riwayat Ibnu Majah.
Hujan lebat tidak mematahkan semangat rombongan PERKIM, KPU UUM dan UniSHAMS menziarahi 27 buah rumah warga emas, ibu tunggal dan fakir miskin di perkampungan Behor Gelam.
Kampung dikelilingi dengan sawah padi itu bersempadan dengan negara Thailand dan ia merupakan antara pengeluar padi, mempelam Harum Manis, Mas Indera dan Mas Hitam.
Majoriti yang di ziarah mahasiswa berusia di antara 60 hingga 80 tahun dan mereka sebelumnya bekerja sebagai petani sawah padi.
Rombongan turut menyampaikan 50 sumbangan makanan asasi seperti beras, bihun, gula, minyak, biskut, teh, kicap, kordial, tepung, gula, sardin, kopi dan keropok kepada mereka yang memerlukan.
Munirah berharap dengan sumbangan yang diberikan dapat membantu meringankan beban keluarga terbabit kerana kebajikan merupakan suatu ibadah yang terpuji dan dituntut amalannya serta dipandang mulia di mata masyarakat sekali gus perbuatan itu mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.
Setelah selesai ziarah, mahasiswa di bawa ke Kampung Alor Redis untuk beramah mesra bersama penduduk kampung serta bergotong-royong membersihkan masjid, membuat kuih peneram, bahulu, rempeyek, loyang, kacang kuda dan bubur asyura.
Suasana pemandangan menghijau di Kampung Behor Gelam, Arau, Perlis.
Wan Zawiyah (kanan) dan Fatimah Ladda (kiri) bersama mahasiswa KPU beramah mesra bersama warga emas.
Mahasiswa KPU UUM dan UniSHAMS menziarah dan menyampaikan sumbangan makanan kepada golongan memerlukan.
Warga emas diziarahi rombongan PERKIM dan mahasiswa sambil menyampaikan barang makanan.
Penduduk Behor Gelam menerima sumbangan daripada mahasiswa KPU.
Terukir wajah gembira ketika penerima sumbangan diziarahi dan mendapat bantuan.
Dr. Shahidan Kassim (kanan) menyantuni penerima sumbangan dan bertanya khabar sambil diterjemahkan oleh Fatimah Ladda (tengah).
Dr. Shahidan Kassim berkesempatan bergambar bersama-sama mahasiswa KPU di perkarangan rumah penerima sumbangan.
Warga emas menerima sumbangan barangan makanan daripada rombongan PERKIM dan mahasiswa KPU.
Dr. Shahidan Kassim menyampaikan peti sumbangan makanan kepada golongan memerlukan di Kampung Alor Redis.
Penduduk kampung bergotong-royong memasak bubur asyura.
Mahasiswa KPU bersama penduduk kampung menjamu selera di akhir program.