Aktiviti Dakwah

PERKIM Wilayah, Bukit Damansara Tingkatkan Kefahaman Islam Mualaf

oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Prihatin dengan mualaf yang masih lemah dalam kefahaman Islam dan bacaan rukun solat, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Wilayah Persekutuan dan PERKIM Cawangan Bukit Damansara mengadakan Program Pengukuhan Iman Saudara Baru bertempat di Hotel Putra KL, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 13 hingga 14 Julai 2019 lalu.

Ia menghimpunkan 40 saudara baharu berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan, Murut dan Bidayuh dari seluruh Lembah Klang dengan sebahagian besar peserta memeluk Islam lebih dari lima tahun.


Penyelaras program, Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan berkata, program tersebut menjadi medan untuk mengumpulkan mualaf dengan objektif memantapkan kefahaman peserta mengenai Islam.

Selain memupuk semangat kekeluargaan pelbagai bangsa dan menyediakan ruang untuk peserta mendalami Islam secara mendalam.

Ia bertujuan memberi peluang kepada saudara baharu menambah pengetahuan dan menimba pengalaman sekali gus mempertingkatkan lagi kefahaman mengenai Islam supaya dapat mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.

Mereka diberikan pendedahan dalam pelbagai aspek bermula daripada kuliah kerohanian yang menekankan pengukuhan akidah dan kepatuhan syariat.

Program tersebut memberi pendedahan dan latihan secara teori mengenai akidah dan amalan kehidupan Islam seharian.

Ia bukan sahaja memupuk semangat ukhuwah peserta, malah berpeluang memperkemaskan keimanan dan keperibadian Muslim dalam semua aktiviti.

Menurut Munirah, program itu antara inisiatif melahirkan saudara baharu bertakwa selain memperkukuh dan memantapkan minat peserta menuntut ilmu.

Selain itu, peserta berpeluang mengenali PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan dan Cawangan Bukit Damansara serta fungsinya.

Jelas  Munirah, usaha dakwah itu penting bagi melahirkan peserta berilmu, berakhlak mulia, berketerampilan dan bertanggung jawab.

Matlamatnya, supaya mereka mempraktikkan Islam sebagai cara hidup serta menjadi Muslim dan muslimat yang soleh dan solehah.

Turut hadir ialah Setiausaha Kehormat PERKIM Cawangan Bukit Damansara, Muhammad Farhan Tee Abdullah; Pegawai Dakwah PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Mohd. Jogi Maruli Panjaitan dan Bendahari PERKIM Cawangan Bukit Damansara, Hamidah Ismail.

Peserta dibahagikan kepada empat kumpulan bagi sesi latihan dalam kumpulan (LDK) slot : ‘Asas Pengenalan Islam’ di mana mereka ditunjuk ajar oleh pemudah cara bagi memperkemaskan syahadah, bacaan al-Fatihah, duduk antara dua sujud, tahiyat akhir, rukun Islam dan rukun Iman.

Peserta juga diberi penekanan hadas besar dan hadas kecil serta cara-cara menyucikannya dalam slot LDK ‘Teori Bersuci dan Taharah’.

‘Iman Ibarat Sebatang Pokok” merupakan tajuk slot LDK disampaikan oleh Pendakwah Pedalaman Sabah, Muhammad Suffian Mohd. Sulaiman.

“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik (kalimah Tauhid) seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.” (Ibrahim: 24 – 25)

Menurut Suffian seorang Muslim diibaratkan sebatang pokok di mana akar tunjang pada pokok itu adalah iman, batangnya adalah rukun Islam, dahannya fardu kifayah, rantingnya umpama amalan-amalan sunat manakala buahnya adalah akhlak keperibadian seseorang.

Perkongsian hati ke hati bertajuk ‘Mengapa Aku Memeluk Islam’ disampaikan oleh Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan, Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Kata Jais, kita sebagai mualaf haruslah bersyukur kerana dalam ramai ramai manusia Allah SWT memilih kita untuk mendapatkan hidayah-Nya iaitu Islam dan sebagai tanda bersyukur kepada-Nya kita mesti melakukan apa sahaja segala perintah-Nya dan meninggalkan segala laranganNya.

“Selepas pemergian ayah pada tahun 80-an, ibu beliau telah berkahwin lain dan berpindah dari estet Subang ke Johor (di perkampungan orang Melayu) bersama tiga daripada sepuluh orang adik beradik,” katanya.

Kehidupannya pada ketika itu terpaksa meminta belas kasihan dari penduduk kampung yang majoritinya berbangsa Melayu kerana masalah ibu dan ayah tiri sering mabuk akibat ketagihan arak.

Jais atau nama asalnya Mariappan mula mengikut budaya hidup orang Melayu untuk ke surau dan mengamalkan amalan orang Islam walaupun dijaga oleh keluarga angkat, tetapi beliau tidak tahan diperlakukan sebagai hamba dan beliau dimasukkan ke rumah kebajikan masyarakat  di Melaka sehingga berumur 18 tahun.

Tanggal 3 Julai 1998 merupakan detik bersejarah bagi Jais apabila Allah SWT membukakan pintu hidayah untuknya memeluk Islam dan beliau mencari semula ibunya di perkampungan tersebut setelah terpisah lama.

Jais turut disarankan untuk menyambungkan pelajarannya ketika bermusafir di sebuah surau oleh imam berkenaan dan membiayai pengajian beliau selama 3 tahun di Pondok Pasir Tumbuh, Kota Bharu dan dibantu Lembaga Zakat Selangor.

Setelah mahir menulis, membaca dan menghafal al-Quran, Jais menlanjutkan pelajarannya di Institut Dakwah Islamiah PERKIM, Pengkalan Chepa dalam bidang Pengajian Islam dan Dakwah.

Hasil keputusan yang cemerlang, beliau berjaya melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang pengajian Pengajian Islam dan Adab di Universiti Al Iman, Yaman selama enam tahun serta beliau mengambil kesempatan  menunaikan haji dan umrah beberapa kali kerana Yaman berada tidak jauh dari Mekah.

Setelah pulang ke tanah air, Jais menyambung pengajiannya pada peringkat Sarjana dalam bidang Syariah di Universiti Malaya dalam masa yang sama beliau mengajar di sebuah sekolah swasta sebelum bertugas di PERKIM Kebangsaan.

Beliau turut membawa ibunya tinggal bersamanya walaupun berlainan agama dan menjalani kehidupan berumah tangga bersama isteri serta anak perempuannya yang tersayang.

Jais juga merupakan penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 2015 anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Beliau menyarankan peserta supaya tidak berputus asa dan sekiranya sebelum Islam kamu sanggup tinggalkan segalanya demi agama Islam, maka amat malanglah kamu apabila sudah Islam kamu tidak melakukan apa-apa untuk agama.

Jais turut berpesan supaya tidak meletakkan diri mualaf sebagai orang yang tidak berdikari, menjaja Islam untuk meraih simpati dan keluar dari persepsi lemah dari pandangan Muslim.

“Jadilah Muslim yang terbaik dan keluar dari kepompong mualaf kepada mukalaf serta elakkan diri dari dihina, dikutuk dan dipandang rendah oleh orang lain,” jelas Jais.

Turut diadakan kuliah Subuh bertajuk ‘Tujuan Manusia Diciptakan’ disampaikan oleh Naib Pengerusi Perkim Cawangan Bukit Damansara, Kamilen Marzoki.

Nur Atikah Abdullah, Ameen Jonathan Liew, Nur Hidayah Abdullah, Nur Jamilah Abdullah dan Nur Sandhyalini Sumayyah Abdullah turut menyampaikan perkongsian pengalaman pahit dan manis memeluk Islam.


Majlis diserikan lagi dengan perasmian penutup disampaikan oleh Pengerusi PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad.

Nakhaie dalam ucapannya berkata, pegangan yang kukuh akan membantu kita untuk mendapatkan jalan kebenaran dan melancarkan urusan kita.

Katanya, diibaratkan seperti jalan raya yang tidak kukuh dan tidak rata akan menyebabkan orang yang melaluinya tidak stabil dan mungkin menyebabkan kemalangan.

Paling penting, agama perlu diperkukuhkan dan diperelokkan supaya cahaya kebenaran sentiasa menyuluhi kehidupan kita.

Allah berfirman dalam surah Ali-Imran, ayat 92 bermaksud: “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya”.

Ayat tersebut menjelaskan bahawa jika kita memberi apa yang kita suka, maka Allah akan memberi kita pencapaian untuk merasai keindahan dalam melakukan kebaikan.

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).””

Ujar Nakhaie, manusia sering bertengkar dan bersaing dengan benda yang mereka suka, untuk melakukan dan berusaha mendapatkan apa yang disukai tidaklah salah asalkan sanggup memberi. Jika ada perasaan untuk sanggup memberi, kita akan berjaya mendaptakan nikmat perasaan itu.

Beliau turut berpesan supaya memberi masa di jalan Allah SWT iaitu belajar dan memahami agama Allah serta ajaran Islam seperti panduan yang terdapat di dalam surah Al-Asr bermaksud: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Katanya, Islam menyeru kita untuk menjaga masa dengan baik, dan menjadikan setiap saat itu dalam kebaikan serta korbankan dengan memberi masa untuk diri kepada Islam, berjuang sekali gus belajar memperkukuhkan pengetahuan Islam dalam diri.

Saidina Umar al-Khattab bukanlah orang terawal memeluk Islam tetapi beliau diangkat menjadi khalifah yang kedua kerana pengorbanan beliau yang sanggup berkorban dan memberi masa sepenuhnya untuk Islam dan bukanlah diukur dari tahap berapa lama Islamnya seseorang itu.

Nakhaie turut menyampaikan sijil penyertaan kepada setiap peserta di akhir majlis.


Peserta membaca dan memperbetulkan bacaan syahadah, al-Fatihah dan tahiyat akhir dibantu oleh pemudah cara.


Antara peserta Program Pengukuhan Iman Saudara Baru diadakan di Hotel Putra KL, ibu negara.


Suffian menyampaikan slot LDK bertajuk ‘Iman Ibarat Sebatang Pokok’ kepada peserta.

 
Suffian mengajak peserta bersama-sama memperbaharui kalimah toyyibah.


Jais berkongsi liku-liku perjalanan kisah suka duka kehidupan dan kecemerlangannya sebagai seorang mualaf bersama peserta.


Peserta bersama-sama menunaikan solat lima waktu secara berjemaah.


‘Tujuan Manusia Diciptakan’ merupakan tajuk kuliah Subuh disampaikan oleh Naib Pengerusi PERKIM Cawangan Bukit Damansara, Kamilen Marzoki.


Peserta menadah tangan ketika doa dibacakan oleh imam.


Peserta kumpulan menyiapkan tugasan yang diberikan untuk dibentangkan.


Kumpulan Nur Iman membentangkan tugasan bertajuk ‘Iman Ibarat Sebatang Pokok’.


Atikah berkongsi kisah pahit beliau sehinggakan berniat ingin membunuh diri ketika diuji dengan desakan hidup sewaktu memeluk Islam.


Pengerusi PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad menyampaikan ucapan perasmian program.


Nakhaie (tengah) menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta program.


Saudara baharu menerima sijil penyertaan daripada Nakhaie (tengah) sambil disaksikan Jais (kiri).


Saudara baharu bergambar kenang-kenangan bersama tetamu kehormat di akhir program.

Related Articles

Back to top button