Aktiviti Dakwah

Teruskan Amanat Tunku Untuk Sebar Dakwah – SUA PERKIM

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2023 – Alhamdulillah, kita dapat berjumpa lagi di dataran ini di bulan tertubuhnya Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) iaitu bersamaan 63 tahun yang lalu pada 19 Ogos 1960,” kata Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.


Dr Yusof Noor berkata ketika menyampaikan amanatnya di Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan diadakan di ruang legar, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, pada pagi Jumaat.

Seramai lebih 40 orang hadir terdiri daripada pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negarku dan PERKIM Pacu Kemajuan dipimpin oleh Pasukan Nasyid PERKIM serta bacaan doa oleh Penolong Pegawai Dakwah IDIP-KL, Abdul Qawi Navine Abdullah.

Majlis tersebut diacarakan oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI), Muhammad Farhan Tee Abdullah.

Menurut Dr Yusof Noor, ia merupakan satu kewajipan kita untuk meneruskan perkhidmatan yang diamanahkan oleh Pengasas PERKIM, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

“Cuba kita semua bayangkan dimanakah tempat perkhidmatan kita sekiranya PERKIM tidak ditubuhkan, adakah kita masih berada di sini?” soalnya.

Jelasnya, kita mestilah bersyukur kepada Allah SWT kerana ada sebuah pertubuhan yang boleh memberikan peluang kepada kita untuk menyampaikan mesej dakwah.

Mungkin ada juga yang telah mendapat tawaran tempat lain tetapi mereka tolak kerana komitmen dan cinta mereka kepada dakwah.

Perkhidmatan kita ini secara tidak langsung memberi peluang untuk kita berdakwah atau berkhidmat untuk agama kita.

Tambah Dr Yusof Noor, penubuhan ini sebenarnya berasal daripada cetusan idea orang Inggeris, Allahyarham Tan Sri Datuk Haji Abdul Mubin Sheppard.

Sewaktu Abdul Mubin berada di padang Arafah untuk mengerjakan haji, beliau melihat keadaan Mekah yang dikunjungi oleh berjuta juta manusia daripada pelbagai latar belakang, kaum atau bangsa yang berlainan.

Suasana ibadah di Mekah di kalangan pelbagai bangsa itulah yang menggerakkan hati Abdul Mubin untuk mencadangkan kepada Almarhum Tunku kerana ia mewujudkan perpaduan, persatuan dan ikatan yang kuat walaupun mereka datang daripada berlainan bangsa dan bahasa dari pelusuk dunia yang memeluk agama Islam sama ada daripada China, Afrika, Amerika, Eropah, Arab dan lain-lain demi menyembah Tuhan yang satu.

Setelah mendapat persetujuan, Almarhum Tunku telah memanggil mesyuarat yang pertama dan dihadiri daripada pelbagai kaum.

Hasil mesyuarat, PERKIM telah melantik pemimpin berketurunan India Muslim sebagai Yang Dipertua pertama iaitu Allahyarham Tan Sri SOK Ubaidullah Kadir Basha.

Mesyuarat yang pertama itu sudah dan sendirinya menterjemahkan objektif penubuhan PERKIM untuk mencantumkan berbagai kaum menerusi agama.

“Berdasarkan kepada inspirasi Almarhum Tunku, apakah peranan kita?” soal Dr Yusof Noor.

“Saya dapati banyak perkara yang boleh kita perbaiki atau perkemaskan terutamanya bila kita melihat keadaan semasa hari ini maklumat yang kita berikan kepada masyarakat dan bukan hanya untuk masyarakat di Kuala Lumpur ini.

Sebagai PERKIM Kebangsaan yang diamanahkan, kita menjalankan kegiatan bukan sahaja di Malaysia secara umum tapi di mana-mana sahaja iaitu kepada masyarakat Burma, Rohingya, Cambodia, Australia, New Zealand, Sri Lanka dan lain-lain lagi.

Almarhum Tunku juga menggagaskan bahawa PERKIM turut memberi tumpuannya di kawasan seperti Sabah seperti Sarawak dan ia telah terbukti bila ada persefahaman yang begitu kukuh di antara Almarhum Tunku dengan Yang Dipertua Agung Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Allahyarham Tun Mustapha Datu Harun.

Dr Yusof Noor turut memaklumkan bahawa PERKIM akan perkemaskan peranan dan fungsi Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) di Kelantan dan Institut Dakwah Antarabangsa Kuala Lumpur (IDIPKL).

Katanya, IDIPKL akan ditumpukan menjadi kegiatan dakwah kepada golongan terpelajar dan profesional yang menggunakan pelbagai bahasa mengikut standard semasa.

Beliau turut berkongsi kisah seorang pelajar berbangsa Cina ketika beliau belajar di Universiti Malaya pada tahun 1958.

Pelajar Cina tersebut telah dianugerahkan pelajar terbaik dalam jurusan Pengajian Islam meskipun tidak memeluk Islam.

Tambahnya lagi, tugas kita memberi khidmat kepada orang Islam dan berdakwah kepada bukan Islam akan diberi ganjaran pahala yang tinggi disisi Allah SWT.

Beliau turut memutuskan untuk memberi bantuan khas kerajaan kepada warga PERKIM Kebangsaan seperti mana yang diumumkan oleh kerajaan melalui Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai 2023 lalu.

Dr Yusof Noor turut bersetuju dengan hasrat pelbagai pihak untuk menjadikan semua pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di PERKIM sebagai seorang pendakwah.

Di akhir ucapannya, beliau turut mengucapkan selamat mengundi kepada kakitangan yang menetap di negeri Selangor dalam Pilihanraya Negeri (PRN) esok.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Encik Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah UDPI, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Pengarah Unit Penerbitan dan Media Baru PERKIM Kebangsaan, Encik Firdaus Lokman Tah.


Pasukan Nasyid PERKIM memimpin nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.


Warga dan Kepimpinan Tertinggi PERKIM menyanyikan lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.


Farhan Tee selaku pengacara Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan.


Abdul Qawi memimpin bacaan doa pembuka majlis.


Kepimpinan Tertinggi PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan.


Pegawai dan kakitangan PERKIM mengaminkan doa yang dibacakan.


Dr Yusof Noor menyampaikan amanat kepada pegawai dan kakitangan PERKIM.


Kakitangan PERKIM mendengar amanat yang disampaikan.


Dr Yusof Noor berhasrat menjadikan kakitangan PERKIM sebagai pendakwah.


Dr Yusof Noor meminta untuk warganya untuk terus sebarkan amanat Almarhum Tunku.

Related Articles

Back to top button