Aktiviti Dakwah

Ramah Mesra Tan Sri SUA PERKIM Bersama Pengurusan UniSZA

Foto: DATUK HAJI HASBULLAH L. ISA

26 JUL – KUALA TERENGGANU. YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor selaku Setiausaha Agung Kehormat PERKIM merangkap Pro Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkesempatan di Program Ramah Mesra Bersama Pengurusan Tertinggi, Ketua Pusat Tanggungjawab, Ahli Senat dan Pegawai-pegawai Kanan UniSZA bertempat di Dewan Perdana UniSZA, Gong Badak di sini pagi tadi.

Tan Sri Dr Yusof Noor berkesempatan menyampaikan ucapannya kepada kepimpinan UniSZA.

Tan Sri Yusof Noor dalam ucapannya berkata, beliau hanya berpeluang berjumpa dengan warga UniSZA setahun sekali iaitu semasa konvokesyen para pelajar UniSZA.

Katanya, beliau merindui warga UniSZA dan perjumpaan seumpama ini juga telah dilakukan oleh universiti-universiti lain supaya dapat beramah mesra dengan warga universiti tersebut.

“Perjumpaan ini juga bertujuan supaya adanya komunikasi dua hala. Cabaran yang dihadapi oleh universiti hari ini semestinya ditanggung oleh kepimpinannya, sama ada dari segi akademik atau pentadbiran yang berbeza dari satu masa ke satu masa,” ujarnya.

Pada masa kini, penularan wabak COVID-19 memberi kesan kepada pengurusan universiti.

Menurut Tan Sri Pro Canselor UniSZA lagi, 1970 adalah tahun penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada masa itu terdapat dua buah universiti lain yang ditubuhkan iaitu Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Setiap universiti terdapat University Council atau Majlis Universiti sendiri. Cabaran yang kita hadapi hari ini ialah penularan wabak COVID-19 yang memberi kesan terhadap pengurusan universiti.

Universiti di luar negara misalnya University Oxford berperanan dalam mengkaji vaksin untuk COVID-19 dan ia dijangka akan mengeluarkan vaksin untuk merawat pesakit yang terkena dengan pendamik Corona Virus.

Jadi di luar negara universiti di luar negara berperanan membantu negara dalam mengatasi keadaan semasa.

Tan Sri Yusof Noor berpendapat bahawa, universiti tempatan juga mampu melakukan sedemikian serta pelajar universiti pada masa kini semestinya mampu serta mempunyai keupayaan untuk mengatasi isu semasa yang dihadapi oleh negara.

UniSZA antara universiti-universiti di Malaysia yang mempunyai Fakulti Perubatan dan kita boleh menghasilkan vaksin-vaksin lain selain daripada vaksin untuk COVID-19 seperti vaksin untuk mencegah penyakit.

Bermakna tidak perlu mendapatkan vaksin selepas terkena jangkitan. Kita tidak menjangka keadaan ini akan melanda bukan sahaja di negara kita, malah di seluruh dunia.

Kita juga perlu berhati-hati kerana kita tidak mengetahui tempoh wabak ini akan terus menular. Kita tidak boleh mencontohi sikap sambil lewa Amerika Syarikat yang menyebabkan penularan wabak di negaranya bertambah teruk.

Kita juga tidak pernah terfikir ibadah Haji tidak dapat dilaksanakan serta kita perlu solat jemaah dalam keadaan mematuhi Operasi Prosedur Standard (SOP).

Kalau keadaan ini berpanjangan, UniSZA mungkin boleh memikirkan cara menangani wabak ini di peringkat negara.

Kata Tan Sri Yusof Noor lagi, jikalau kita berjaya menemui cara penyelesaiannya UniSZA akan menjadi tumpuan pelbagai pihak.

Cabaran besar yang kita hadapi hari ini ialah kewangan. Bagaimanapun universiti awam lebih terjamin kerana mendapat peruntukkan dari kerajaan.

Namun institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bergantung kepada pelajar yang mendaftar di institusi tersebut.

“Kita perlu fikirkan bagaimana untuk kita menjana pendapatan sendiri dengan memanfaatkan aset yang kita ada,” jelas beliau.

Jikalau dalam akademik ada tujahan, dalam aset pun begitu. Kita perlu fikirkan dan usahakan bersama.

Pelajar juga merupakan aset yang berharga dalam aspek iaitu keupayaan pelajar dalam menarik minat awam terhadap UniSZA.

Pelajar universiti perlu mendapatkan pendidikan dari segi etika dan akhlak di samping pendidikan utama iaitu akademik.

Islam amat mementingkan akhlak serta sahsiah setiap individu Muslim dan pelajar UniSZA mempunyai ciri-ciri tersebut serta perlu dimantapkan lagi.

Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, YBhg Tan Sri Dr Abdullah Md Zin bersama Ahli Lembaga Pengarah UniSZA, YBhg Prof Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mat Dahlan menyampaikan sebuah potret Tan Sri Yusof Noor berpakaian jubah Pro Canselor kepada Tan Sri Dr Yusof Noor.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa dan Pengarah Pembangunan dan Aset PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa.

 

 

 

Related Articles

Back to top button