Aktiviti Dakwah

Kunjungan Hormat Naib Canselor AlBukhary International University Ke PERKIM HQ

oleh: UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI  

22 JUL – KUALA LUMPUR. Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyambut mesra kehadiran Naib Canselor merangkap Pengerusi Universiti Antarabangsa AlBukhary (AiU), YBhg Prof Dato’ Dr Abd Aziz Tajuddin di atas kunjungan hormat beliau ke Ibu Pejabat PERKIM, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah di sini petang tadi.

Antara tujuan Prof Abd Aziz ke PERKIM ialah untuk mengenali PERKIM dengan lebih dekat dan mengeratkan hubungan silaturrahim antara PERKIM dan AiU.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L Isa; Pengarah Komunikasi PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Pembangunan dan Aset PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Pentadbiran dan Program PERKIM, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik dan Setiausaha Kerja, Encik Zulkefli Arifin.


Menurut Prof Abd Aziz, AiU merupakan sebuah universiti berkonsepkan wakaf ditubuhkan oleh Yayasan Albukhary dan ianya diasaskan oleh ahli perniagaan terkemuka, YBhg Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

AiU yang terletak di tengah bandar Alor Setar, Kedah Darul Aman dikenali sebagai sebuah universiti yang banyak mengubah kehidupan golongan kurang berkemampuan kerana ia tidak mengenakan sebarang bayaran kepada penuntut yang rata-rata daripada golongan miskin dari seluruh dunia.

Prof Abd Aziz turut memetik kata-kata Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary yang menjadi panduan AiU:  “Ketika harta saya sedikit, saya derma sedikit dan ketika perniagaan saya mengembang, saya menambahkan lagi sumbangan saya kepada mereka yang memerlukan tidak kira Melayu, Cina, India di Malaysia dan masyarakat yang kurang bernasib baik di luar negara.”

Kata Prof Abd Aziz, hasrat utama kunjungan AiU bertemu YBhg Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan serta barisan kepimpinan PERKIM adalah untuk memperkenalkan AiU dan membantu anak-anak yang kurang berkemampuan di kalangan mualaf.

Kata beliau, AiU ditubuhkan pada akhir 2010 dengan rekabentuk sembilan bangunan yang indah bercirikan senibina dan kaligrafi Islam dari timur tengah.

Perpustakaan AiU mengambil inspirasi senibina daripada Dome of the Rock di Palestin manakala Teater kuliah AiU pula mengambil inspirasi senibina daripada Masjid Suleimaniye di Istanbul.

Dalam sistem pendidikan AiU, kami masukkan 5 elemen yang dikenali sebagai 5A iaitu aqidah, adab, amalan, akhlak dan amanah. Bahasa komunikasi utama di AiU ialah Bahasa Inggeris kerana 80 peratus daripada pelajar AiU adalah dari luar negara.

Syarat pengambilan AiU kami adalah pelajar yang kurang berkemampuan. Buat masa ini kami hanya menawarkan Ijazah dan ke atas tiada diploma.

AiU juga menawarkan Foundation (Asasi) namun hanya kepada pelajar luar negara sahaja.

Pelajar yang mendaftar asasi di AiU diwajibkan mengambil Malaysian University English Test (MUET) sebagai syarat untuk menyambung Ijazah Sarjana Muda.

Pada tahun ini, AiU mengambil 600 pelajar di mana 120 pelajar dari dalam negara dan selebihnya pelajar luar negara.

AiU turut bekerjasama dengan badan-badan zakat dalam dan luar negara antaranya ialah Badan Amil Zakat Nasional (BAZNAS), Indonesia serta majoriti pelajar di AiU adalah warga negara dari Indonesia.

Sebab utama AiU bekerjasama dengan badan-badan zakat adalah untuk mudah mengenal pasti golongan asnaf di setiap negara kerana badan zakat mempunyai pangkalan data yang tepat serta mudah untuk carian.

Buat masa ini, AiU mempunyai 218 pelajar serta akan ada kumpulan pertama yang akan bergraduasi.

AiU menawarkan biasiswa dengan menanggung yuran pengajian selama tiga tahun anggaran RM 60,000 serta tempat tinggal disediakan.

Satu bilik hanya dikongsi oleh dua orang pelajar sahaja. Duit poket juga disediakan sebanyak RM 450 sebulan bagi yang layak. Pelajar yang mendapat biasiswa ini terikat dengan kontrak.

Mereka perlu mengekalkan prestasi pelajaran mereka supaya biasiswa mereka tidak ditarik semula dan apabila selesai graduasi, kontrak ditamatkan.

AiU akan melaksanakan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan beberapa badan zakat dari luar negara dalam masa terdekat ini.

Semua kursus yang ditawarkan telah diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan AiU dalam proses untuk mewujudkan kursus bagi Master dan PhD.

Di AiU juga menawarkan kursus School of Business and Social Sciences serta School of Education and Human Sciences dan akan datang School of Communicating and Informative. Kursus baharu ini untuk memastikan semua pelajar mahir dalam komunikasi.

AiU juga mempunyai satu pusat kajian iaitu di AlBukhary Centre of Excellence (ACE), Socio-Economic Development and Innovation (SEDI) atau nama ringkasnya ACE-SDI. Pusat kajian ini diperuntukkan dengan geran tiga juta untuk menjalankan kaji selidik.

Kursus yang telah diiktiraf adalah Bachelor of Business Administration (Hons) (Marketing) dan Bachelor of Business Administration (Hons) (Human Resource and Management) manakala kursus Bachelor of Computer Science baru sahaja diluluskan.

Antara kursus yang bakal ditawarkan di AiU pada masa akan datang ialah Bachelor of Politics and International Relations (Hons) dan Bachelor of Media and Communication (Hons).

AiU juga mengambil pelajar dari Sabah dan Sarawak yang tinggal di pedalaman serta fasih berbahasa Inggeris.

AiU juga akan mengadakan kursus belajar sambil bekerja berbeza dengan pengajian jarak jauh (PJJ).

AiU juga akan menemuduga setiap pelajar yang ingin menuntut serta melawat kediaman pelajar tersebut untuk memastikan maklumat yang diberikan adalah benar.

Pelajar tempatan yang akan bergraduasi kali ini majoritinya dari kalangan pelajar Sabah dan Sarawak.

Peratus pelajar kami adalah 30 peratus pelajar tempatan dan 80 peratus pelajar dari luar negara kerana aspirasi kami adalah untuk membantu pelajar luar negara dan ini juga adalah kehendak daripada YBhg Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary sendiri.

Kampus ini mampu menampung maksimum seramai 2500 pelajar dan AiU akan mengisi kekosongan pelajar tersebut dalam masa 5 tahun ini.

Berikutan penularan wabak COVID-19 pengambilan pelajar terhenti seketika.

AiU telah menerima sebanyak 2,000 permohonan untuk tahun ini dan pihak AiU sudah menawarkan biasiswa kepada 400 orang pelajar dan sesi pembelajaran akan bermula pada bulan Oktober 2020 kelak.

Permohonan boleh dilakukan menerusi atas talian menerusi laman sesawang AiU https://www.aiu.edu.my.

Prof Abd Aziz turut mempelawa Tan Sri bersama kepimpinan PERKIM membuat lawatan balas ke AiU di Kedah.

Di akhir pertemuan, Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat PERKIM menyampaikan plak cenderamata PERKIM dan sebuah buku PERKIM Reflection of Malaysia – Libya Cooperation In Dakwah kepada Prof Abd Aziz.

Prof Dato’ Dr Abd Aziz turut menyampaikan sebuah buku berjudul ‘Biografi Syed Mokhtar AlBukhary’ kepada Tan Sri SUA PERKIM sebagai hadiah balas dan berakhir dengan sesi bergambar.

Related Articles

Back to top button