Sesi Penerangan Dakwah Bersama Yang DiPertua PERKIM
Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (an-Nahl: 125)
Bagi memberi kefahaman dakwah dan panduan kepada pucuk pimpinan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di bahagian-bahagian dan cawangan, PERKIM Kebangsaan menganjurkan Sesi Penerangan Dakwah Bersama Yang DiPertua PERKIM bertempat di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur pada 1 hingga 2 November 2017 lalu.
Program tersebut dihadiri seramai 55 peserta terdiri daripada pimpinan PERKIM iaitu Setiausaha Kehormat dan Pegawai Kerja seluruh bahagian serta Pengetua Institut Dakwah Islamiah.
Turut hadir ialah Naib Yang DiPertua Perkim iaitu Prof. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, Dato’ Haji Mohd. Nakhaie Ahmad dan Dr. Mustapha Ma serta Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin.
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dalam ucapan aluannya berkata, program tersebut diadakan kerana ingin menunaikan hasrat Yang DiPertua PERKIM untuk berjumpa pimpinan-pimpinan PERKIM bagi menyuarakan pandangan beliau mengenai dakwah yang kini perlu mendapat perhatian yang khusus.
“Ia diadakan bertujuan untuk memberi kefahaman mengenai perkara yang berkaitan dengan dakwah kepada pimpinan PERKIM sendiri supaya ia turut dijadikan panduan kepada PERKIM bahagian-bahagian dan berpeluang untuk bersoal jawab,” katanya.
Kata Dr. Yusof Noor lagi, Yang DiPertua PERKIM pernah membincangkan mengenai penerapan nilai-nilai Islam yang mana ia bukan perkara yang mudah dan harus diperkenalkan dasar nilai-nilai Islam
Jelasnya, melihat komitmen yang ditunjukkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad di dalam menaiktaraf pendidikan ketika Allahyarham Tan Sri Dr. Sulaiman Daud menjadi Menteri Pendidikan Malaysia, beliau telah menerima satu nota daripada Dr. Mahathir supaya melaksanakan penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) serentak dengan arahan untuk menubuhkan universiti di utara bagi menjadikan kawasan utara tidak ketinggalan dari memiliki institusi pengajian tinggi sendiri.
Tanpa komitmen dalam Islam, mustahil nota seperti itu dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri yang sibuk memimpin negara.
Melalui pengalaman Dr. Yusof Noor sendiri ketika memohon untuk menubuhkan masjid rasmi bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang telah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri keempat itu dengan syarat masjid itu harus dikelilingi dengan air untuk menarik para jemaah dengan keadaan masjid yang cantik dan selesa.
Sepanjang perkenalan, Dr. Mahathir adalah seorang yang tidak suka bercakap mengenai Islam semata-mata atau berretorik tetapi lebih kepada pengaplikasian.
Maka dari situlah wujudnya slogan “leadership by example”. Apa yang difahami dari slogan itu adalah untuk menarik non Muslim sebenarnya.
Ujarnya, Islam menitikberatkan cara memimpin dan bekerja bukan hanya kata-kata semata.
Dr. Yusof Noor berharap mudah-mudahan jentera PERKIM akan lebih fokus dalam menanggani isu dakwah dan mengikut panduan yang diberikan oleh Yang DiPertua.
Majlis diserikan dengan ucaptama disampaikan Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Mahathir dalam ucaptamanya berkata, penting bagi seseorang pendakwah untuk mengenali sifat-sifat yang ada pada manusia.
“Walaupun saya bukan ulamak, tapi ilmu yang saya belajar juga mampu memahamkan saya tentang sifat manusia, sifat pendakwah dan orang yang didakwah,” katanya.
“Kita tidak akan dapat mencapai hasil dalam usaha mengembangkan Islam jika kita menerangkan pendirian kita dengan cara yang keras dan menggunakan paksaan. Apa yang utama adalah tingkah laku, teladan yang kita tunjukkan adalah teladan yang baik akan menjadikan diri kita mudah didekati oleh orang lain kerana semua manusia sukakan kebaikan.
“Kini imej Islam, orang Islam dan negara Islam buruk disebabkan oleh kegiatan orang Islam sendiri yang bermasalah dan suka berperang. Islam datang adalah untuk memperbaiki akhlak dan amalan orang jahil seperti tanam anak perempuan hidup-hidup, samun dan sebagainya,” tambah Bapa Permodenan itu.
Tambah Dr. Mahathir lagi, Nabi Muhammad SAW menerangkan Islam dengan baik sehingga mampu menjadikan orang yang beramal dengan Islam membina sebuah tamadun yang dikagumi dunia.
“Kepimpinan melalui teladan perlu kembali kepada ajaran agama Islam kerana kita mesti memahami isi kandungan al-Quran kerana di dalamnya terdapat nilai-nilai hidup serta cara hidup yang betul,” ulasnya.
Menurutnya, tafsiran dalam bahasa yang kita fahami akan memandu kita hidup dengan lebih berjaya dan maju di dunia dan akhirat kerana al-Quran itu sendiri memberi panduan yang menyeluruh.
Ajaran Islam juga menyuruh kita untuk mencari ilmu dan apabila berdakwah, pendakwah yang baik perlu bersifat lemah lembut serta menunjukkan keyakinan dan kejayaan untuk mempengaruhi sekali gus menarik minat orang bukan Islam.
Masyarakat non Muslim akan memandang Islam pada diri pendakwah. Oleh yang demikianlah orang Islam dan pendakwah khususnya harus menunjukkan kejayaan diri di dunia lagi untuk menarik oraang bukan Islam dan sekurang-kurangnya menjadikan mereka mendekati agama Islam.
Turut diadakan sesi soal jawab bersama Yang DiPertua PERKIM.
Siapakah yang mencipta fahaman Daesh (ISIS) yang mengelirukan dunia Islam sekarang?
Siapa yang mencipta bukanlah satu masalah, tapi yang melaksanakan itulah yang menjadi masalah. Daesh adalah dari orang Islam sendiri. Tetapi amalan yang dilakukannya amat bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar dan menampakkan Islam itu agama yang ganas sepeti sembelih orang Islam hidup-hidup.
Bagaimanakah permulaan untuk mengaplikasikan dakwah?
Kerja dakwah kita kini lebih mengikut tradisi. Sebagai pendakwah kita harus mulakan dakwah dengan diri sendiri. Buang tabiat buruk kita yang tidak baik. Berusaha untuk menjayakan diri sendiri dan tunjukkan kejayaan itu. Dalam kerja contohnya, amalkan lah sifat-sifat yang dituntut oleh Islam seperti amanah dan jujur. Kegagalan kita untuk menjayakan diri sendiri pula adalah kerana kita tidak mengikut acuan ajaran Islam. Mereka yang lupa sejarah akan terus didera dengan mengulangi kesalahan yang sama berulang kali.
Bagaimanakah PERKIM memainkan peranan sebagai pendakwah untuk mengharmonikan dakwah di Malaysia?
Pendakwah mesti berjaya dari segi pencapaian, tingkahlaku, personality, pakaian, peribadi dan lain-lain aspek lagi kerana kejayaan amat penting selain dari petah berkata-kata.
Adakah harapan semua rakyat Malaysia untuk melaksanakan hudud dapat dicapai?
Permohonan untuk dilaksanakan hudud di Malaysia adalah kerana tujuan politik semata-mata sedangkan Islam mementingkan keadilan. Janganlah memperalatkan agama untuk kepentingan sendiri. Kalaulah cadangan hudud itu tidak ada kaitan dengan politik, mungkin ia akan dipertimbangkan.
Dr. Mohd. Yusof Noor juga turut membentangkan hal ehwal pengurusan dan pentadbiran PERKIM melalui slot bertajuk ‘Pengurusan dan Tadbir Urus’ kepada peserta.
Ia disusuli dengan pembentangan tajuk ‘Pembiayaan Projek Kompleks Saudara Baru (KOSBA) dan Sistem Kewangan’ disampaikan oleh Bendahari Kehormat PERKIM, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim.
‘Pembentangan Laporan Mengenai Pembangunan Aset’ pula disampaikan oleh wakil daripada setiap PERKIM bahagian-bahagian.
Pengarah Pembangunan dan Aset, Dato’ Ahmad Mustafa menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Pembangunan Aset: Penambahan Sumber Kewangan’ kepada peserta.
Tajuk ‘Memenuhi Tujuan PERKIM dan Merintis Sumbangan Dakwah di Peringkat Antarabangsa’ pula disampaikan Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM, Haji Mamat Che Chik.
‘Pembangunan Keahlian PERKIM dan Pelaksanaan elektronik Sistem Maklumat Keahlian PERKIM (eMIS)’ merupakan tajuk terakhir disampaikan oleh Penyelaras Unit Komunikasi dan Media Baru, Dato’ Haji Idris Mamat serta Pengarah EZ Park Solution, Jeffry Noor Ali.
Ketibaan Yang DiPertua PERKIM di Seasons 2, Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur.
Farhan mengacarakan majlis Sesi Penerangan Dakwah Bersama Yang DiPertua PERKIM.
Ghazali membuka majlis dengan bacaan doa.
Pimpinan kehormat PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan.
Peserta di kalangan pendakwah turut mengaminkan doa yang dibacakan.
Dr. Yusof Noor menyampaikan ucapan aluan pada majlis tersebut.
Peserta mendengar panduan dan amanat yang disampaikan.
Tun Dr. Mahathir selaku Yang DiPertua PERKIM menyampaikan ucaptamanya dalam Sesi Penerangan Dakwah kepada pimpinan PERKIM.
Dr. Sayyid (berdiri) bertanyakan soalan mengenai Daesh kepada Yang DiPertua.
Pimpinan PERKIM mendengar dan mencatat dalam Sesi Penerangan Dakwah Bersama Yang DiPertua PERKIM.
Dr. Yusof Noor menyampaikan taklimat mengenai ‘Pengurusan dan Tadbir Urus’ kepada peserta.
Peserta mendapat maklumat dan informasi yang baharu bagi memantapkan gerak kerja dakwah PERKIM.
Dr. Abdul Rais menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Pembiayaan Projek Kompleks Saudara Baru (KOSBA) dan Sistem Kewangan’.
Nakhaie (kanan) mengemukakan soalan kepada Bendahari Kehormat mengenai hal ehwal kewangan.
Ahmad selaku Pengarah Pembangunan dan Aset membentangkan tajuk ‘Pembangunan Aset: Penambahan Sumber Kewangan’ kepada peserta.
Ahmad (kiri) menjawab soalan daripada Nakhaie (kanan) mengenai pembangunan dan aset.
‘Memenuhi Tujuan PERKIM dan Merintis Sumbangan Dakwah di Peringkat Antarabangsa’ merupakan tajuk yang dibentangkan oleh Mamat.
Idris membentangkan tajuk ‘Pembangunan Keahlian PERKIM kepada peserta.
‘Pelaksanaan elektronik Sistem Maklumat Keahlian PERKIM (eMIS)’ disampaikan oleh Jeffry Noor Ali.
Amanat dan harapan yang disampaikan oleh Dr. Yusof Noor dalam ucapan penggulungannya.
Peserta bersama pimpinan utama PERKIM mengambil gambar kenang-kenangan di akhir program.