PERKIM Latih Daie Dakwah Jalanan Zon Selatan

oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Bukan mudah untuk berinteraksi secara terbuka dengan seseorang mengenai Islam kepada individu apatah lagi berdakwah kepada mereka yang belum Islam. Seseorang penyampai itu perlu diberi pendedahan ilmu agama dan asas berkomunikasi secara efektif,” kata Jais.
Mengambil pendekatan yang sama seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan ianya sesuai dilaksanakan di negara ini, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menganjurkan Bengkel Latihan Street Da’wah Peringkat Zon Selatan bertempat di Hotel Orkid, Kampung Bukit Cina, Melaka pada 8 hingga 10 Disember 2017 lalu.
Penyelaras program, Muhammad Jais Mariappan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Jais berkata, Street Da’wah atau dakwah jalanan telah dimulakan oleh para nabi yang menyeru umat mereka untuk mentauhidkan diri kepada Allah SWT termasuk Nabi Muhammad SAW, walaupun ramai yang beranggapan aktiviti ini adalah baru.
Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita seharusnya meneruskan perjuangan dakwah Baginda kerana, dakwah merupakan sunnah terbesar yang ditinggalkan oleh Baginda untuk kita melakukannya agar setiap manusia di dunia ini mendapat tahu kebenaran tauhid yang sebenar. Seperti sabda Rasulullah SAW iaitu; “Sampaikanlah dariku walau satu ayat.” (Riwayat Al-Bukhari)
Program yang mendapat kerjasama daripada PERKIM Bahagian Negeri Melaka itu disertai seramai 60 peserta terdiri daripada Kelab PERKIM Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Kelab PERKIM Universiti Kuala Lumpur Institut Kimia dan Teknologi Bio-Kejuruteraan Malaysia (UniKL-MICET), saudara Muslim berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan serta ahli PERKIM Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.
Ia diadakan bagi memperkasakan para daie dengan pengetahuan dan kemahiran sebagai pendakwah untuk berdakwah kepada belum Islam.
Bengkel tersebut melahirkan pendakwah yang berketerampilan dan secara profesional untuk menyebarkan risalah Islam kepada masyarakat belum Islam.
Jelas Jais, ini merupakan kali keempat dianjurkan oleh PERKIM di mana ia telah dilaksanakan sebelum ini di zon tengah bertempat di Wangsa Maju, Kuala Lumpur manakala zon utara di Pulau Pinang dan zon timur di Kuantan, Pahang.
Program tersebut melatih dan melengkapkan pendakwah dengan pengetahuan dan kemahiran berdakwah melalui dakwah jalanan.
Tambahnya, ia mewujudkan penggerak kepada rancangan dakwah masyarakat belum Islam melalui program khidmat masyarakat serta dapat mengumpul dan menambah daie sukarelawan Perkim.
Selain itu, ia dapat memberi keyakinan kepada bakal daie dan sukarelawan untuk membantu menyampaikan dakwah dalam program dakwah melalui khidmat masyarakat secara langsung.
“PERKIM memilih Mutilracial Muslims Malaysia (MRM) untuk dakwah jalanan adalah kerana MRM merupakan satu-satunya organisasi Islam yang mempunyai modul dakwah jalanan diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan merupakan kajian tesis dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA),” kata Jais selaku Pengawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan.
Program tersebut dikendali sepenuhnya oleh Pengerusi MRM, Firdaus Wong Wai Hung atau lebih mesra dikenali Saudara (Bro) Firdaus Wong merupakan seorang pendakwah bebas dan pengasas awal program dakwah jalanan.
Menurut Firdaus Wong, ia merupakan jalinan ukhwah yang baik antara Perkim dan MRM dalam menggiatkan usaha dakwah bagi melahirkan pendakwah dan pelatih berbakat.
Kata bekas penganut Buddha lagi, yang utama ialah semua umat Islam perlu bersedia berdakwah serta menyeru kemudian terserah kepada Allah SWT kerana Dia yang memberikan hidayah dan Allah SWT tidak akan tanya berapa ramai sudah kita Islamkan.
Antara pengisian program yang dijalankan ialah suai kenal, pembahagian kumpulan, solat dan pembentangan kumpulan.
Sepanjang tiga hari dua malam Firdaus Wong menyampaikan ceramah kepada pendakwah bertajuk Dakwah atau Didakwa?, Apa itu Street Da’wah’, ‘Adakah Street Da’wah Efektif, Do and Don’ts, Jenis-Jenis Dakwah, Teknik Dialog dan Penyampaian Berkesan Mengenai Islam Bersama Prospek, Adakah Street Dakwah Efektif, Jenis-jenis Prospek, Dialog Dakwah, Praktikal Dialog serta Taklimat Perancangan dan Persiapan Untuk Praktikal Street Da’wah.
Pendakwah turut melaksanakan program one to one dakwah dalam sesi soal jawab bersama prospek belum Islam bagi memberi peluang kepada mereka menanyakan soalan yang hangat, sinis, dan sensitif bagi menjawab salah tanggapan mereka terhadap Islam.
Tambahnya, pendakwah perlu sentiasa senyum ketika bertemu prospek sambil menyampaikan risalah sekali gus menjawab segala soalan yang diajukan dengan penuh bijaksana.
Isu-isu yang sering diutarakan oleh masyarakat bukan Islam perlu dikenalpasti bagi memudahkan untuk menjawab segala ketidakfahaman yang ada. Hal ini penting bagi memastikan para pendakwah mempunyai persediaan mental dan emosi yang teguh semasa menjawab segala persolan yang akan diajukan oleh masyarakat bukan Islam atau prospek berkenaan.
Peserta juga disajikan tayangan video dakwah jalanan berdurasi 1:10:15 yang dilakukan oleh Firdaus Wong bersama kumpulannya di Bukit Bintang pada tahun 2014 yang berjaya menarik minat pelancong bukan Islam dari Australia sekali gus beliau melafazkan syahadah kerana komunikasi mereka yang penuh berhikmah.
Aktiviti dakwah jalanan dijalankan di kawasan tumpuan masyarakat bukan Islam mahupun Islam seperti di Christ Church, Jonker Street dan A’Famosa, Melaka. Pemilihan lokasi tersebut berdasarkan jumlah masyarakat bukan Islam yang lebih ramai mengunjungi kawasan tersebut dan hal ini akan memudahkan proses dakwah kepada golongan bukan Islam dan ramai di antara mereka merupakan pengunjung dari luar negara.
Jelasnya lagi, kebiasaan pendakwah yang telah menjalani latihan bengkel dakwah jalanan serta melakukan praktikal dakwah jalanan ini, mereka akan menghidapi kecanduan berdakwah (Da’wah Addict Disorder – DAD) yang bersifat seronok dan ingin terus menerus berjumpa prospek untuk menyampaikan dakwah.
Firdaus Wong berharap, pendakwah dapat meningkatkan ilmu komunikasi dalam berdakwah dan melaksanakan dengan cara berhikmah serta menambah ilmu dalam asas-asas komunikasi dan tauhid.
Sebelum itu, pendakwah dibahagikan kepada lima kumpulan iaitu Sheikh Abdul Qadir al-Jailani, Galaksi, In 2 Dakwah, Orkid Selatan dan Mahabbah.
Aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh pendakwah ialah mengedar risalah Islam pelbagai tajuk serta terjemahan Al-Quran kepada belum Islam serta menjawab persoalan-persoalan mengenai Islam yang dikemukakan oleh belum Islam.
Peserta-peserta telah dibahagikan kepada dua kumpulan di mana kumpulan pertama yang menjalankan latihan pratikal di Christ Church, Melaka manakala kumpulan kedua pula memberi tumpuan di Kota A’Famosa.
Para pendakwah juga mencadangkan supaya pihak PERKIM mengadakan bengkel susulan bagi memantapkan lagi kemahiran dan pengetahuan mereka.
Program berakhir dengan perasmian penutup serta penyampaian hadiah dan sijil penghargaan kepada pendakwah disampaikan oleh Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Melaka, Datuk Abu Pit.
Abu Pit turut menyampaikan piala trofi kepada Al-Nisha Vellakanoo yang dinobatkan peserta terbaik sepanjang program di atas kredibiliti dan keyakinannya bertemu dan bersoal jawab bersama 54 prospek belum Islam.
Turut hadir, Pegawai PERKIM Bahagian Negeri Melaka, Rukiah Sungip.
Antara pendakwah yang hadir menyertai bengkel dakwah jalanan anjuran PERKIM.
Pendakwah bekerjasama menyiapkan tugasan dalam kerja berkumpulan.
Peserta kumpulan In 2 Dakwah membentangkan tugasan yang diberikan dalam persembahan kumpulan.
Firdaus Wong menyampaikan beberapa tajuk berkenaan dakwah jalanan kepada pendakwah.
Firdaus Wong bersama pendakwah memberikan penerangan Islam kepada salah seorang pelancong.
Al-Nisha (berniqab) menyampaikan risalah dan menemubual prospek berbangsa India.
Pendakwah bersoal jawab mengenai Islam kepada prospek belum Islam.
Pendakwah bertanyakan salah seorang prospek mengenai Islam dan sejauh mana pengetahuan mengenai Islam.
Abu Pit (tengah) menyampaikan hadiah kepada kumpulan In 2 Dakwah.
Al-Nisha Vellakanoo (kiri) menerima piala kategori peserta terbaik daripada Abu Pit (tengah) sambil disaksikan oleh Firdaus Wong (kanan).
Keyakinan dan semangat terukir di setiap wajah para pendakwah untuk meneruskan tugas mereka membawa manusia ke jalan Allah SWT.
Para pendakwah bergambar kenang-kenangan bersama tetamu kehormat sambil menunjukkan isyarat syahadah di akhir program.