Aktiviti Dakwah

Rasulullah SAW Cerminan Keperibadian Sejati: SKOP-20 PERKIM Rai Lebih 200 Peserta di Pulau Pinang

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝐏𝐔𝐋𝐀𝐔 𝐏𝐈𝐍𝐀𝐍𝐆, 𝟐𝟎 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Bersempena bulan Rabiul Awal dan sambutan Maulidur Rasul SAW, Dewan Besar An-Nur, Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam, Penaga dekat sini pagi tadi menjadi saksi penganjuran Siri Kuliah Dakwah Perdana (SKOP) Ke-20 yang mengangkat tema “Rasulullah SAW: Cerminan Keperibadian Muslim Sejati”.

Program anjuran bersama PERKIM Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu menghimpunkan lebih 200 peserta terdiri daripada saudara baharu pelbagai bangsa, penghuni Kompleks Darul Hidayah, ahli PERKIM Cawangan Daerah Kuala Muda, serta ahli-ahli PERKIM cawangan di sekitar negeri ini.

Turut serta memeriahkan majlis ialah mahasiswa Kelab PERKIM Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dan Kelab PERKIM Universiti Sains Malaysia (USM) yang tampil memberi sokongan kepada agenda dakwah dan pengukuhan kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan.

Program ini turut mendapat kerjasama erat daripada PERKIM Bahagian Negeri Pulau Pinang serta Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAIPP) yang menyediakan fasiliti, tenaga kerja dan koordinasi bagi memastikan perjalanan majlis berlangsung dengan penuh lancar.

SKOP Ke-20 dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis oleh Nur Syahirah Musa, Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan yang menekankan kepentingan menyemarakkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW melalui perkongsian ilmu.

Majlis turut diserikan dengan bacaan doa oleh Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong, yang memohon keberkatan Allah SWT agar majlis memberi manfaat besar kepada peserta yang hadir.

Selepas itu, ucapan aluan disampaikan oleh 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐞𝐫𝐮𝐬𝐢 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐁𝐚𝐡𝐚𝐠𝐢𝐚𝐧 𝐍𝐞𝐠𝐞𝐫𝐢 𝐏𝐮𝐥𝐚𝐮 𝐏𝐢𝐧𝐚𝐧𝐠, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐃𝐫. 𝐀𝐦𝐢𝐧 𝐌𝐚𝐥𝐢𝐤 𝐒𝐡𝐚𝐡 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐌𝐚𝐣𝐢𝐝.


Dr Amin Malik dalam ucapannya menegaskan bahawa penganjuran SKOP di negeri ini amat bertepatan kerana Pulau Pinang merupakan negeri yang kaya dengan kepelbagaian bangsa dan agama, sekali gus menjadikan usaha dakwah sebagai satu tuntutan penting.

Menurut beliau, program seperti SKOP perlu diperkasakan dari semasa ke semasa kerana ia bukan sahaja membimbing saudara baharu dalam memahami asas Islam, bahkan turut memperkukuh silaturahim dalam kalangan masyarakat Islam pelbagai latar belakang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PERKIM Kebangsaan, MAIWP serta JAIPP yang memberi sokongan penuh terhadap penganjuran SKOP ke-20.

Tambahnya, dengan perkongsian ilmu daripada panel berwibawa serta sokongan padu daripada pelbagai pihak, SKOP Ke-20 bukan sahaja menyemarakkan semangat mencintai Rasulullah SAW, malah mengukuhkan tekad untuk menjadikan Baginda sebagai cerminan keperibadian Muslim sejati.


Majlis perasmian disempurnakan oleh 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐊𝐚𝐧𝐚𝐧 𝐃𝐚𝐤𝐰𝐚𝐡 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐑𝐚𝐳𝐚𝐥𝐢 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐒𝐡𝐚𝐡𝐚𝐛𝐮𝐝𝐢𝐧, yang dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur kerana SKOP dapat dilaksanakan dengan penuh jayanya di Pulau Pinang selepas sebelum ini berlangsung di Kedah dan Melaka.

Beliau menyampaikan salam hormat daripada 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗔𝗴𝘂𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗗𝗿. 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗠𝗮𝗿𝘇𝘂𝗸𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗢𝗺𝗮𝗿, yang tidak dapat hadir kerana urusan lain yang tidak dapat dielakkan.

Dato’ Razali menjelaskan bahawa SKOP merupakan program yang telah lama berjalan dan menjadi wadah utama PERKIM untuk turun padang menyampaikan ilmu serta mesej dakwah secara terus kepada masyarakat di pelbagai negeri.

Katanya, keberlangsungan siri kuliah ini membuktikan komitmen PERKIM dalam menghubungkan ilmu, pengalaman serta teladan Islam kepada umat.

Mengulas tema kali ini, beliau menegaskan bahawa Rasulullah SAW merupakan cerminan keperibadian Muslim sejati yang wajib dicontohi sepanjang zaman.

“Sirah Rasulullah SAW bukan hanya untuk dihayati pada bulan Maulid semata-mata, tetapi harus dijadikan panduan hidup sepanjang hayat,” tegas beliau.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Taqwa MAIWP yang menyalurkan sumbangan berjumlah RM10,000 bagi membiayai peralatan perubatan kepada saudara baharu di Pulau Pinang, termasuk katil pesakit, kerusi roda dan tongkat. Katanya, sumbangan itu akan meringankan beban golongan asnaf serta saudara baharu yang memerlukan.

Akhir ucapannya, beliau merasmikan SKOP Ke-20 dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran 𝗞𝗲𝘁𝘂𝗮 𝗣𝗲𝗴𝗮𝘄𝗮𝗶 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗿. 𝗦𝘂𝗮𝗿𝗶𝘇𝗮 𝗛𝗶𝗱𝗮𝘆𝗮𝗵 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱; 𝗡𝗮𝗶𝗯 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝟏, 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗣𝘂𝗹𝗮𝘂 𝗣𝗶𝗻𝗮𝗻𝗴, 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗦𝗵𝗮𝗿𝗶𝗳𝘂𝗹 𝗔𝘇𝗵𝗮𝗿 𝗢𝘁𝗵𝗺𝗮𝗻 𝘀𝗲𝗿𝘁𝗮 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗣𝘂𝗹𝗮𝘂 𝗣𝗶𝗻𝗮𝗻𝗴, 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗿. 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗕𝗮𝗵𝗿𝗶𝗻 𝗥𝗶𝗮𝗱 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵.

Kehadiran tokoh-tokoh ini menambah nilai kepada penganjuran SKOP kerana memperlihatkan komitmen bersama dalam memperkukuh agenda dakwah di peringkat kebangsaan dan negeri.

Sesi utama SKOP ke-20 berupa forum dakwah bertajuk “Rasulullah SAW: Cerminan Keperibadian Muslim Sejati” dimoderatorkan oleh Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah.

Forum ini menampilkan dua tokoh panel berwibawa iaitu 𝗣𝗿𝗲𝘀𝗶𝗱𝗲𝗻 𝗣𝗲𝗿𝘁𝘂𝗯𝘂𝗵𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗻𝘆𝗲𝗯𝗮𝗿𝗮𝗻 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺 𝗔𝗻𝘁𝗮𝗿𝗮𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮 (𝗜𝗣𝗦𝗜), 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗞𝗮𝗺𝗮𝗿𝘂𝗱𝗶𝗻 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 serta 𝗽𝗲𝗻𝗱𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗯𝗲𝗯𝗮𝘀, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗠𝗶𝗾𝗱𝗮𝗱 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗝𝗮𝗻.


Dato’ Kamarudin membuka bicara dengan merakamkan doa dan penghargaan kepada pengasas PERKIM, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang jasanya dalam dakwah terus dikenang hingga kini.

Beliau turut menyanjung sumbangan besar kaum ibu dalam menggerakkan PERKIM yang disifatkan sebagai tulang belakang, umpama Khadijah dan Aisyah pada zaman Rasulullah SAW.

Menyentuh akhlak Rasulullah SAW, beliau mengangkat pandangan ulama tersohor, Ibn Hajar al-Asqalani, yang menegaskan bahawa kehidupan Nabi SAW itu sendiri adalah mukjizat terbesar.

Selain mukjizat masyhur seperti membelah bulan, Israk Mikraj dan air memancar dari jari Baginda, keperibadian Nabi SAW yang penuh amanah dan berakhlak mulia adalah bukti nyata keteladanan unggul.

Beliau menegaskan bahawa kecintaan kepada Allah mestilah diterjemahkan dengan ketaatan kepada Rasulullah SAW sebagaimana firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran ayat 31.

Namun katanya, sambutan Maulidur Rasul pada hari ini sering terbatas pada ceramah atau perarakan sahaja, sedangkan penghayatan sunnah Nabi SAW jauh lebih penting walau sekecil senyuman yang dikira sebagai sedekah.

Dato’ Kamarudin turut menyorot prinsip tegas Nabi SAW dalam mempertahankan dakwah meskipun ditawarkan harta, kuasa dan wanita oleh Quraisy.

Jawapan Baginda yang enggan meninggalkan dakwah menjadi teladan bahawa prinsip iman tidak boleh digadai meskipun berdepan kuasa besar. Hal ini, katanya, perlu dicontohi umat Islam masa kini khususnya dalam pembelaan isu Palestin.

Beliau seterusnya menyentuh episod kesabaran Rasulullah SAW menghadapi penolakan di Taif. Meskipun dicaci, dipukul hingga berdarah dan ditawarkan oleh malaikat untuk menghancurkan kota itu, Baginda tetap mendoakan agar zuriat penduduk Taif suatu hari nanti memeluk Islam.

Malah, Nabi SAW menisbahkan penolakan itu sebagai kelemahan dirinya, bukan menyalahkan orang lain kerana ia merupakan lambang kerendahan hati dan akhlak agung.

Mengakhiri bicara, beliau menyeru agar umat Islam benar-benar meneladani Rasulullah SAW dalam dakwah, bersifat pemaaf, sabar menghadapi ujian dan konsisten mengamalkan sunnah. “Hanya dengan mengikut Nabi SAW, barulah kita mencapai cinta Allah,” tegas beliau.


Sementara itu, Ustaz Miqdad membuka bicara dengan merujuk dua perkara utama yang disentuh oleh Dato’ Kamarudin iaitu keteguhan Nabi menolak tawaran duniawi serta kesabaran Baginda menghadapi penghinaan di Taif.

Menurut beliau, ujian utama manusia khususnya lelaki adalah tiga perkara: tahta (jawatan), harta, dan wanita. Namun, Rasulullah SAW membuktikan bahawa Baginda tidak tunduk pada godaan tersebut, sebaliknya tetap istiqamah membawa risalah Allah.

Katanya lagi, tiga perkara yang boleh melembutkan hati wanita pula ialah permata, kata-kata baik, dan cinta tetapi Rasulullah SAW mengajarkan bahawa asas kasih sayang yang sebenar ialah berlandaskan iman dan takwa.

Menjawab soalan moderator, beliau menghuraikan bagaimana Al-Quran dan hadis menampilkan Rasulullah SAW sebagai teladan sepanjang zaman.

Antara ayat yang dirujuk ialah Surah al-Ahzab ayat 21 yang menegaskan bahawa dalam diri Nabi terdapat contoh terbaik, serta hadis, “Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Beliau juga menyentuh Surah al-Ahzab ayat 56 yang membuktikan kemuliaan Baginda apabila Allah dan para malaikat sendiri berselawat ke atasnya di mana ia merupakan suatu penghormatan luar biasa yang tiada pada insan lain.

Ustaz Miqdad menyeru umat Islam agar memperbanyakkan selawat, mendalami sunnah dan mencintai Rasulullah SAW melalui tiga tanda cinta sebenar, iaitu pertama memperbanyakkan selawat sebagai jalan mendekatkan diri dan meraih keberkatan.

Kedua mengamalkan sunnah, daripada hal besar hingga sekecil adab harian seperti cara mandi atau bermain dengan cucu.

Ketiga memelihara agama Islam, meninggikan martabatnya sebagaimana sabda Nabi SAW, “Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.”

Beliau mengingatkan bahawa musuh Islam kini tidak semestinya meruntuhkan masjid, tetapi berusaha menghakis akhlak Rasulullah SAW daripada umat Islam. Justeru, penghayatan sunnah adalah benteng utama.

Mengakhiri bicaranya, beliau menegaskan bahawa mencintai Rasulullah SAW bukan sekadar kata-kata tetapi perlu dibuktikan melalui amalan, pengorbanan dan istiqamah menegakkan Islam dalam kehidupan seharian.

Majlis turut menyaksikan penyampaian plak cenderahati PERKIM oleh Dato’ Razali kepada kedua-dua ahli panel sebagai tanda penghargaan.

Selain itu, Dr. Suariza Hidayah Muhammad menyampaikan cek cura Yayasan Taqwa MAIWP sebanyak RM10,000 kepada Dr. Amin Malik bagi tujuan bantuan peralatan kesihatan untuk asnaf dan saudara baharu di Pulau Pinang.

Majlis berakhir dengan sesi fotografi kenang-kenangan bersama tetamu jemputan, peserta serta para mahasiswa yang hadir sebelum para hadirin dijemput menikmati jamuan makan tengah hari.

 


Urus setia mendaftarkan diri peserta dari kalangan saudara baharu, ahli PERKIM dan mahasiswa.

 


Nur Syahirah mempengerusikan majlis SKOP ke-20 bertempat di Dewan Besar An-Nur Kompleks Darul Hidayah Pulau Pinang.

 

 


Sulaiman Ding memimpin bacaan doa pembuka majlis.

 

 


Peserta menadah tangan ketika doa dibacakan.

 

 


Dr Amin Malik selaku Pengerusi PERKIM Bahagian Pulau Pinang menyampaikan ucapan aluan pada SKOP-20.

 

 


Dato’ Razali menyampaikan ucapan perasmian mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Dr Marzuki Omar.

 

 


Hadirin mendengar ucapan perasmian yang disampaikan.

 

 


Ustaz Farhan Tee mempengerusikan SKOP-20 bertajuk “Rasulullah SAW: Cerminan Keperibadian Muslim Sejati”.

 


Saudara baharu dan pelajar tahfiz turut mendengar forum yang disampaikan.

 


Dato’ Kamarudin merakamkan doa dan penghargaan kepada pengasas PERKIM, Almarhum Tunku yang jasanya dalam dakwah terus dikenang hingga kini.

 

 


Tetamu kehormat mendengar dan menghayati SKOP yang disampaikan.

 


Ahli-ahli PERKIM turut bersama menghayati ilmu yang disampaikan dalam SKOP ke-20.

 


Dato’ Kamarudin menyeru agar umat Islam benar-benar meneladani Rasulullah SAW dalam dakwah, bersifat pemaaf dan sabar.

 

 


Menurut Ustaz Miqdad, Rasulullah SAW membuktikan bahawa Baginda tidak tunduk pada godaan harta, wanita dan takhta sebaliknya tetap istiqamah membawa risalah Allah.

 

 


Ustaz Miqdad menyeru umat Islam agar memperbanyakkan selawat, mendalami sunnah dan mencintai Rasulullah SAW melalui tiga tanda cinta sebenar.

 

 


Saudara baharu mendengar sambil mencatat ilmu yang disampaikan.

 

 


Dato’ Razali menyampaikan plak cenderahati dan Al-Quran Edisi Khas PERKIM kepada Dato’ Kamarudin.

 

 


Ustaz Miqdad menerima plak cenderahati PERKIM daripada Dato’ Razali.

 

 


Dr Suariza menyerahkan cek cura bantuan peralatan kesihatan asnaf Yayasan Taqwa MAIWP kepada Dr Amin Malik.

 

 


Tetamu kehormat berkesempatan bergambar bersama barisan ahli panel SKOP-20.

 

 


Tetamu kehormat PERKIM bergambar bersama peserta-peserta yang hadir.

 

 


Kepimpinan PERKIM Pulau Pinang bergambar kenang-kenangan bersama mahasiswa KPU UniSHAMS dan KPU USM.

 


Saudara baharu menikmati jamuan makan tengah hari yang disediakan secara bufet.

 

Related Articles

Back to top button