Aktiviti Dakwah

Ralat Tidak Dapat Hadiahkan Al-Fatihah, Syartilla Peluk Islam

oleh : SRZ

KUALA LUMPUR, 17 NOVEMBER 2023 – Berjurai air mata gadis berketurunan Dusun setelah hasrat sekian lama terpendam untuk memeluk Islam akhirnya tercapai selepas melafazkan dua kalimah syahadah di pagi Jumaat yang penuh barakah.

Syartilla Ayuna Pius berusia 24 tahun melafazkan kalimah tayyibah dalam Bahasa Arab diikuti Bahasa Melayu di hadapan Pengarah Kanan Dakwah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin bertempat di Bilik Hidayah, Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan, Jalan Sultan Azlan Shah di sini.

Beliau hadir bersama abang sepupunya, Abdul Rashif Selubin Abdullah setelah diminta oleh bapa Syartilla melalui panggilan telefon dari Ranau, Sabah meminta bantuannya untuk menunaikan hajat Syartilla yang terpendam lama untuk memeluk Islam.

Syartilla mengucapkan rasa syukur tidak terhingga kepada Allah SWT dan gembira kerana impiannya tertunai untuk memeluk agama Islam.

Menurut Syartilla, beliau memeluk Islam kerana perasaan ingin mengetahui tentang Islam yang sangat mendalam dan Islam merupakan agama yang baik kerana Allah Taala.

Jelasnya lagi, antara faktor menyebabkan beliau memeluk Islam setelah pemergian neneknya, Sarimah Lungkinui ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambahnya, beliau berasa ralat tidak boleh pulang ke Ranau pada ketika itu dan bertambah kesal kerana tidak boleh menghadiahkan Surah al-Fatihah kerana berlainan agama.

Beliau bertekad juga untuk menghadiahkan Al-Fatihah kepada neneknya walaupun beliau belum memeluk Islam.

“Ya Allah, saya nak juga baca Al-Fatihah ini untuk nenek, terimalah Ya Allah,” kata Syartilla sambil mengesat air mata kerinduan.

Selepas negara mengumumkan fasa peralihan endamik, lantas beliau terus pulang ke Ranau menuju ke pusara neneknya yang tercinta sambil menghadiahkan surah Al-Fatihah sebanyak-banyaknya.

Mengimbau kenangan pada masa kecil, Syartilla sering menemani neneknya walaupun rumah ibu bapanya dekat tidak menghalang untuk beliau melepaskan kerinduan bersama neneknya yang tinggal keseorangan.

Pada setiap petang dan malam pula neneknya sentiasa mengamalkan membaca Surah Yasin, Al-Fatihah dan tiga Qul sambil didengari oleh Syartilla.

Jelasnya, hatinya tertambat pada agama Islam sejak di tingkatan empat lagi dan beliau belajar untuk menutup aurat secara tidak langsung beliau belajar perbandingan di antara agama-agama lain.

Katanya, lima tahun lalu beliau telah mempraktikkan Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadan dan berbuka serta bersahur bersama rakan Muslimnya.

Beliau yang kini bekerja di institusi perbankan di Ara Damansara berkata akan mendalami agama Islam dengan mengikuti Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan pada hari Sabtu dan Ahad.

Syartilla berharap dapat memberikan contoh dan akhlak lebih baik daripada agama dahulu serta berhasrat dapat melihat ibu bapanya untuk memeluk agama Islam.

Dato’ Razali berkesempatan menyampaikan kit pengislaman dan Al-Quran Edisi Khas Saudara Baharu kepada Syartilla selepas memberi penerangan berkenaan Rukun Islam, Rukun Iman, halal dan haram serta memimpin bacaan doa kesyukuran.

Turut hadir ialah Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI) PERKIM Kebangsaan, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan dan Pembantu Pegawai UDPI, Tuan Haji Amran Anbarasu Abdullah.


Dato’ Razali (kanan) mengalu-alukan ketibaan saudara baharu, Syartilla bersama abang sepupunya, Rashif di Pejabat PERKIM Kebangsaan.


Dato’ Razali menyampaikan penerangan berkenaan Rukun Islam, Rukun Iman kepada Syartilla.


Syartilla berketurunan Dusun meyakini dengan hasratnya untuk memeluk Islam.


Syartilla melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan Dato’ Razali.


Air mata Syartilla berderai jatuh bercucuran setelah melafazkan dua kalimah syahadah.


Dato’ Razali mengupamakan Syartilla telah suci daripada dosa seperti warna tisu yang putih bersih kerana memeluk Islam.


Dato’ Razali memimpin bacaan doa selamat selepas memeluk Islam.


Syartilla bersama Rashif mengaminkan doa yang dibacakan oleh Dato’ Razali.

D
Dato’ Razali menyampaikan Al-Quran Edisi Khas Saudara Baharu dan kit pengislaman kepada Syartilla di akhir upacara pengislaman.

Related Articles

Back to top button