Aktiviti Pendidikan

PERKIM Kebangsaan Terima Lawatan Ilmiah Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM

Oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 24 NOVEMBER 2023 – Pengarah Kanan Dakwah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahbudin mengalu-alukan kunjungan lima mahasiswa dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan, Jalan Sultan Azlan Shah, pagi tadi.

Dato’ Razali dalam ucapannya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kerana kesudian mahasiswa hadir bagi tujuan lawatan ilmiah ke PERKIM Kebangsaan.

Beliau turut memberi penerangan berkenaan sejarah penubuhan, objektif dan kepimpinan PERKIM.

Selain itu, Dato’ Razali memperkenalkan institusi utama di PERKIM iaitu Institut Dakwah Islamiah PERKIM Kota Bharu (IDIP-KB) dan Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) yang bertujuan untuk melahirkan pendakwah di bawah produk PERKIM yang juga melibatkan pelajar dari seluruh negara manakala Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) pula merupakan kelas untuk mendidik mualaf yang baru memeluk Islam dan yang telah lama memeluk Islam bagi mendapatkan ilmu pengetahuan Islam.

Tambahnya lagi, Pusat Pendidikan Muhajirin Rohingya PERKIM (PPMRP) juga merupakan inisiatif PERKIM untuk mendidik anak-anak etnik Rohingya agar dapat mempelajari ilmu Islam dan akademik.

Ujarnya, kita mempunyai Asrama Darul Falah (ASDAF) yang menempatkan anak-anak Orang Asli dari seluruh negara untuk mempelajari ilmu agama Islam dan akademik.

Sementara itu, ketua rombongan Yang Dipertua Kelab PERKIM UKM, Muhammad Aiman Ismail turut menyatakan hasrat lawatan itu diadakan adalah untuk mengenali PERKIM dengan lebih dekat di samping mengetahui psikologi mualaf, gerak kerja, visi dan misi PERKIM.

Beberapa persoalan turut diajukan oleh pelajar-pelajar untuk dijadikan sumber tugasan mereka.

Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI), Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan turut memberi penerangan mengenai perkara yang dilakukan selepas pengislaman iaitu melakukan proses susulan, khidmat nasihat dan ziarah akidah.

Ia bergantung kepada permasalahan yang dihadapi oleh mualaf, seperti kes rumahtangga, perbezaan budaya, cabaran dan konflik dengan keluarga asal dan pasangan, pekerjaan dan lain-lain.

Di akhir lawatan, Dato’ Razali menyampaikan cenderahati PERKIM kepada Aiman manakala Aiman turut memberikan cenderahati balas kepada Dato’ Razali.

Turut hadir ialah Pegawai UDPI, Sulaiman Ding Yu Zhong, Muhammad Farhan Tee Abdullah, Nur Syahirah Musa dan Pegawai Dakwah IDIP-KL, Muhammad Hizam Abdul Rahim.


Dato’ Razali (dua dari kiri) menyambut mesra dan mengalu-alukan kehadiran mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM ke PERKIM.


Barisan mahasiswa UKM mendapatkan maklumat mengenai penerangan yang disampaikan oleh PERKIM.


PERKIM turut memberi penerangan mengenai permasalahan yang dihadapi oleh mualaf kepada mahasiswa.


Dato’ Razali menyampaikan cenderahati PERKIM kepada Aiman.


Aiman yang juga selaku Yang Dipertua Kelab PERKIM UKM menyampaikan cenderahati balas kepada Dato’ Razali.


Dato’ Razali bersama pegawai-pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan bergambar bersama Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM di akhir kunjungan.

Related Articles

Back to top button