Aktiviti Dakwah

Pertemuan Khas Tun Yang Dipertua PERKIM Bersama 100 Pendakwah

oleh: SRZ

PUTRAJAYA, 27 MAC 2023“Dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil,” kata Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad ketika memetik firman Allah di dalam Surah Al-Maidah, ayat 42.


“Ramai di kalangan umat Islam tidak menuruti perintah Al-Quran dan kerap kali menghukum dengan tidak adil dan bertentangan dengan ajaran Islam,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata ketika mengadakan Sesi Perjumpaan Khas Yang Dipertua PERKIM Bersama Pendakwah di Lapangan bertempat di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya petang Isnin.

Seramai 100 orang hadir di pertemuan tersebut terdiri dari pendakwah dari seluruh Malaysia bagi membincangkan hala tuju dakwah dan peranan pendakwah masa kini.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor; Pengarah Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa serta Setiausaha Kerja Bahagian dan Cawangan PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin.

Menurut Dr Mahathir, ajaran agama Islam telah berkembang dengan pesatnya dari negara China hingga ke Sepanyol pada awal perkembangan Islam.

Kini, walaupun ada orang yang memeluk agama Islam tetapi tidaklah ramai dan kita dapati pula orang Islam sekarang ini tertindas oleh orang lain kerana sebab-sebab tertentu.

Ujar Dr Mahathir, ia berkemungkinan kerana kefahaman berkenaan ajaran Islam ini tidak menyeluruh bukan sahaja di kalangan orang bukan Islam tetapi penerapan ajaran Islam kepada orang Islam juga tidak sepenuhnya.

“Sebab itu saya ingin tahu apakah yang dilakukan oleh para pendakwah kerana kita hidup di dalam sebuah negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai agama.

“60 peratus terdiri daripada orang Islam dan selebihnya menganut agama-agama yang lain.

“Walaupun kita duduk dekat dengan mereka tetapi mereka tidak menerima ajaran Islam seperti yang berlaku di zaman dahulu,” jelas beliau.

Katanya, terdapat sebilangan orang Korea yang telah menerima agama Isla dan mereka melihat orang yang menganut agama Islam adalah orang yang berani dan berjaya.

Jika kita lihat sejarah Islam, kita dapati bahawa negara-negara Islam dahulu begitu kuat sekali dalam mempertahankan agama Islam dan tidak ada sesiapa yang berani menghina agama Islam.

Maka sebab itulah berjuta-juta yang memeluk agama Islam termasuklah orang yang bermusuh dengan orang Islam.

Beliau berpendapat bahawa, kejayaan yang ada pada orang Islam menjadi penarik  untuk mengembangkan lagi ajaran Islam.

Jelas Dr Mahathir lagi, jika didapati orang Islam itu mempunyai sifat baik, berani, bertimbang rasa, maka mereka mudah tertarik dengan agama Islam sekali gus menerima ajaran Islam.

Berbeza di zaman kini, kita dapati orang Islam sesama orang Islam berperang, membunuh sesama sendiri dan ramai orang yang menghina agama Islam sehingga ada yang berkata bahawa Islam agama pengganas kerana banyak berlaku peristiwa-peristiwa yang mana orang Islam terlibat dengan perbuatan yang dilarang oleh agama Islam.

“Pada usia 12 tahun, saya telah mengkhatamkan bacaan Al-Quran tetapi saya tidak memahami Al-Quran kerana ia ditulis dalam Bahasa Arab dan setelah saya membaca terjemahan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris ternyata saya dapati bahawa banyak ajaran di dalam Al-Quran itu memberikan panduan serta mengajar manusia menjadi lebih baik.

“Tetapi ramai umat Islam tidak mengikuti apa yang telah disebutkan di dalam Al-Quran.

“Sebab itulah di dalam kita berdakwah kita hendaklah menentukan pendakwah kita merupakan di kalangan orang yang berjaya serta orang yang serba mengetahui agama Islam, Al-Quran dan hadis,” kata beliau.

Katanya, pendakwah hendaklah menyebarkan dakwah dengan cara yang berkesan dengan menunjukkan kebaikan agama Islam, kebaikan orang Islam, bertimbang rasa dan keprihatinan terhadap mereka.

“Jika kita menunjukkan akhlak dan kebaikan kita, itu adalah kesan dakwah yang terbaik tetapi jika kita menunjukkan sifat bengis, pemarah atau pembunuh saya tidak fikir orang akan mudah menerima agama Islam sebaliknya akan melebelkan Islam agama yang tidak baik.

“Islam merupakan agama yang memberi peluang kepada kita untuk memohon keampunan, pelbagai panduan dan cara hidup, tetapi orang Islam kini sibuk pula hendak melaksanakan hukuman memotong kepala atau memotong tangan orang.

Terdapat sebab-sebab tertentu dalam Islam bagi pelaksanaan hukuman berat dan agama Islam tidak boleh memotong tangan orang sewenang-wenangnya.

Pembunuhan juga tidak disebut dalam agama Islam tetapi ada masanya mengikut keadilan, kita terpaksa bertindak.

“Perjumpaan ini merupakan satu platform yang lebih dekat dengan para pendakwah untuk kita berbincang cara-cara berdakwah dengan lebih berkesan.

“Jika kita tidak berbuat demikian di Malaysia, saya khuatir agama lain yang akan mengambil kesempatan.

“Mereka yang memilih agama Islam adalah mereka yang diberi hidayah oleh Allah SWT untuk bertemu dengan Muslim yang berakhlak baik sekali gus mereka tertarik dengan agama Islam.

Setelah mendengar sedikit pandangan dari para pendakwah, saya dapati bahawa mereka sememangnya faham mengenai tugas sebagai pendakwah dan kita perlulah bijak serta pandai dalam melaksanakan tugas secara beristiqamah.

Beliau berharap, PERKIM akan menganjurkan lagi program tersebut untuk berbincang tentang masalah-masalah yang menghalang daripada menjalankan tugas dan kerja sebagai pendakwah kerana setiap seorang Muslim itu adalah pendakwah.

Jika kita boleh menyampaikan secara langsung berkenaan agama Islam, sekurang-kurangnya kita menunjukkan bahawa orang Islam itu adalah orang yang bertimbang rasa, mengambil kira perasaan pihak lain, tidak keras dan tidak zalim.

“Kita perlu menunjukkan bahawa penganut agama Islam adalah orang yang mengutamakan keadilan seperti yang terdapat di dalam Al-Quran.

“Jika kita menghukum dengan adil maka lebih mudah lagi dakwah kita berkesan sehingga akan ada pihak yang akan menerima agama Islam kerana ini adalah agama terbaik yang telah disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW untuk disebarkan kepada seluruh umat manusia,” kata Dr Mahathir mengakhiri ucapan.

Turut diadakan sesi perkongsian pengalaman berdakwah di antara para pendakwah.

Hadir sama ialah ialah Isteri Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Mufti Kerajaan Negeri Melaka merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Melaka, YBhg Sahibus Samahah Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, YBhg Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin; Presiden Briged Bakti Malaysia, YBhg Dato’ Dr Abdul Razak Kechik; Penolong Setiausaha Bahagian Dasar Perancangan Strategik Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Amiruddin Robert Ta Honn Yu; Penolong Pengurus Dakwah Multiracial Reverted Muslim (MRM), Muhammad Azim Abdullah Suhaimin; Pegawai Dakwah Global UNITY Network, Mohammad Hafizi Mohd Radzi, Pendakwah Sabah, YBhg Haji Suip Saniman; Pendakwah PERKIM, YBhg Dr Aisyah Jamian; Naib Pengerusi II PERKIM Bahagian Negeri Sembilan, Encik Aslam Nawabdin; Pengerusi PERKIM Cawangan Daerah Kuala Muda, YBhg Ustaz Imron Kochem Hj Ahmad; Pengetua Asrama Darul Falah PERKIM, YBhg Ustaz Mohd Azmi Azman; Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan, YBhg Datin Mawanchik Che Jais, Hajah Norliza Haji Md Yamin, Ketua Majlis Belia PERKIM, Mohamad Mohsin.

Majlis disusuli dengan jamuan berbuka puasa, solat fardu Isyak, solat sunat tarawih dipimpin oleh Ustaz Yus Ondri dan berakhir dengan jamuan moreh.


Ketibaan Yang Dipertua PERKIM di perkarangan Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.


Dr Mahathir bersama para pendakwah menadah tangan ketika doa dibaca.


Isteri Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Siti Hasmah bersama para pendakwah Muslimat mengaminkan bacaan doa.


Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan aluan di majlis tersebut.


Dr Mahathir menyampaikan amanat beliau ketika di majlis perjumpaan bersama pendakwah.


Pendakwah menghayati ucapan yang disampaikan daripada Yang Dipertua PERKIM.


Aminuddin Robert Ta turut memberikan pandangan beliau mengenai dakwah.


Dr Aisyah Jamian yang berpengalaman berdakwah sejak 2003 turut memberikan pandangan dakwah.


Pendakwah Sabah, Suip Saniman menceritakan pengalaman dakwahnya.


Presiden MACMA, Dr Taufiq Yap berkongsi pengalaman dakwahnya khusus kepada masyarakat Cina.


Dr Abdul Razak turut berkongsi kejayaannya mengislamkan ribuan penduduk pulau di Filipina.


Dr Mahathir bersama pendakwah menikmati juadah berbuka puasa.


Pendakwah menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan.


Pelbagai juadah dan sajian disediakan yang dinikmati oleh pendakwah Muslimat.


Para pendakwah menunaikan solat fardu Maghrib, Isyak dan tarawih selepas berbuka puasa.

Related Articles

Back to top button