PERKIM Zon Timur, Kebangsaan Anjur Ziarah Dakwah Selatan Thai
oleh : MUHAMMAD JAIS MARIAPPAN ABDULLAH | susunan: SRZ
THAILAND, 23 JULAI 2023 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Terengganu telah menganjurkan Program Jalinan Dakwah Ke Selatan Thailand pada 18 hingga 22 Julai 2023 lalu.
Program tersebut mendapat kerjasama PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Zon Timur iaitu PERKIM Bahagian Negeri Terengganu, Pahang dan Kelantan.
Program ini diketuai oleh Naib Yang Dipertua PERKIM merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Terengganu, YBhg Prof Dr Ramle Abdullah.
Seramai empat orang pimpinan PERKIM Kebangsaan turut menyertai program itu iaitu Pengarah Kanan Dakwah, YBhg Dato Razali Haji Shahabudin; Pengarah Pembangunan dan Aset, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Setiausaha Kerja Eksekutif, Zulkefli Arifin serta Pegawai Dakwah dan Pembangunan Insan, Muhammad Jais Mariappan Abdullah.
Penglibatan dari PERKIM Kebangsaan bertujuan memberi pendedahan kepada mereka berkaitan aktiviti dakwah di lapangan dan turut serta dalam aktiviti ziarah dakwah di Selatan Thailand.
PERKIM Kebangsaan telah memperuntukan sebanyak RM15,000.00 untuk disumbangkan kepada beberapa buah pusat tahfiz dan madrasah di Selatan Thailand.
Pimpinan PERKIM Kebangsaan telah bertolak dari Kuala Lumpur ke Kelantan pada malam 18 Julai 2023 dan bertemu dengan rombongan PERKIM Zon Timur pada 19 Julai 2023.
Seramai 71 orang yang terdiri daripada PERKIM Zon Timur mengikuti program tersebut kemudiannya masing-masing menyerahkan passport di Kompleks Imigresen Rantau Panjang, Kelantan untuk ke Thailand melalui Pos Sempadan Sungai Golok.
Lawatan pertama ke Pusat Tahfiz Torokil Ibadah, Institut Lalo’ Reso Narathiwat di mana kehadiran rombongan ziarah disambut oleh pengetuanya, Ustaz Ismail A. Rahman diiringi selawat oleh 150 pelajar tahfiz.
Ustaz Yala selaku mudir telah memberikan taklimat berkaitan sejarah penubuhan tahfiz itu di mana
80 peratus daripada pelajarnya merupakan golongan asnaf fakir miskin dan anak yatim dari Thailand termasuk Malaysia.
Menurut Yala, sumber kewangan pusat tersebut bergantung sepenuhnya daripada sumbangan dan infak orang ramai kerana kerajaan negara tersebut tidak menyalurkan sebarang bentuk bantuan.
80 peratus daripada pembangunan pondok pengajian, asrama pelajar dan makan minum pelajar tahfiz merupakan sumbangan, derma dan wakaf daripada penyumbang dari Malaysia.
Pelajar yang berkemampuan perlu membayar yuran 1000 bath setiap orang, manakala pemebelajaran percuma bagi pelajar yang fakir dan miskin.
Ziarah di pusat tahfiz itu cukup menginspirasikan rombongan ziarah untuk sebuah perjuangan dakwah di samping nilai pengorbanan guru-gurunya yang berkhidmat secara sukarela tanpa gaji atau upah.
Dr Ramle mewakili rombongan ziarah turut merakamkan ucapan terima kasih kerana sudi menerima rombongan ziarah PERKIM dan menyatakan hasrat untuk menziarahi dan menyantuni lagi di pusat itu.
Di akhir pertemuan, Dato’ Razali menyampaikan sumbangan wang tunai, plak cenderamata, sebuah buku coffee table PERKIM dan dua kotak naskah al-quran kepada Ustaz Ismail.
Pada hari ketiga, rombongan ziarah meneruskan perjalanan ke Pusat Tahfiz Markaz Yala di Sateng Nok, Yala.
Markaz merupakan tempat yang mahsyur bagi menghimpunkan jemaah tabligh terbesar sehingga ratusan ribu anggota jemaah dari serata dunia pada setiap tahun.
Ketibaan rombongan telah di sambut oleh Ustaz Abdullah selaku mudir markaz.
Menurut Ustaz Abdullah, markaz tersebut telah ditubuhkan sekitar tahun 1985, bermula dengan sebuah surau hinggalah menjadi bangunan pusat tarbiah Islamiah.
Sebelum berlaku pandemik COVID-19 di seluruh negara, markaz mempunyai seramai 1,200 orang pelajar dari negara asal, Malaysia, Filipina, Vietnam Kemboja dan China, kini markaz tersebut hanya mempunyai lebih 500 orang pelajar.
Ustaz Abdullah turut berkongsi kisah mengenai pengorbanan pelajar markaz ada yang terpaksa menghafaz al-Quran di dalam keadaan berdiri kerana kerana banjir.
Kini, markaz tersergam kukuh di samping disekelilingnya terdapat pelbagai aktiviti ekonomi dijalankan seperti pusat jualan jubah, pakaian wanita, kedai makan, pusat servis kenderaan, jualan kenderaan terpakai dan sebagainya.
Markaz juga dilengkapi dengan Pusat Pengajian Tahfiz dan Pengajian Kitab di mana pelajar mempelajari hafazan Al-Quran dan daurah kitab empat mazhab.
Yuran pengajian di markaz tersebut ialah 1000 bath setiap bulan dan dikecualikan kepada pelajar yang tidak berkemampuan.
Pelajar markaz dibimbing seramai 40 orang tenaga pengajar dan imbuhan gaji bergantung pada sumber kewangan dari pelbagai sumber khususnya dari penyumbang.
Tempoh pengajian di markaz ialah selama lapan tahun di mana tiga tahun menghafal al-Quran, empat tahun pelajaran berkitab dan satu tahun berkhidmat di markaz itu.
Di akhir kunjungan, Dr Ramle telah menyampaikan sumbangan wang tunai, plak cenderamata, sebuah buku coffee table PERKIM dan dua kotak naskah al-quran kepada Ustaz Abdullah.
Kunjungan diteruskan ke Majlis Agama Islam Wilayah Pattani dan disambut oleh Timbalan Yang Dipertuanya, Ustaz Haji Ishak Daud dan Ustaz Haji Husin Che Ubong Ismail bersama barisan ahli majlis dan pengurusan.
Majlis Agama Islam Wilayah Pattani turut memberikan taklimat mengenai pembangunan dakwah, institusi pondok, tadika Islam, isu perkahwinan dan kekeluargaan serta mualaf.
Destinasi seterusnya membawa rombongan ke Majlis Agama Islam Songkhla yang terletak di dalam Masjid Besar Wilayah Songkhla yang tersergam indah umpama Taj Mahal.
Rombongan ziarah diberi penerangan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Daerah Songkla, Tuan Guru Haji Abdul Wahab Abdullah.
Menurut Abdul Wahab, penganut Islam di Thailand merupakan penganut minoriti yang menyebabkan segala aktiviti dakwah terbatas, begitu juga dengan mualaf.
Mereka hanya membantu bergantung dengan kemampuan yang ada pada mereka dan Majlis Agama Islam di Thailand tidak mempunyai peruntukan khusus kepada mualaf seperti mana di Malaysia dan Majlis Agama Islam di Thailand hanya bergantung kepada pungutan zakat.
Jelasnya lagi, Majlis Agama Islam di Thailand hanya mengkhususkan kepada pendidikan sekolah iaitu tadika, sekolah rendah dan menengah.
Dr Ramle ketika menyampaikan ucapannya turut mengundang Majlis Agama Islam Songkhla ke PERKIM Kebangsaan atau ke PERKIM Bahagian Terengganu dan Kelantan bagi kunjungan balas dan melihat sendiri aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan kepada mualaf.
Di akhir pertemuan, Dato’ Razali telah menyampaikan plak cenderamata, sebuah buku coffee table PERKIM kepada Majlis Agama Islam Songkhla manakala Dr Ramle menerima cenderamata balas daripada Majlis Agama Islam Songkhla.
Pada petang berikutnya, peserta meneruskan sesi ziarah ke Universiti Prince Of Songkhla.
Rombongan ziarah dakwah telah disambut oleh Dekan Fakuliti Sains Islamik, YBhg Prof Madya Dr Mohd Roflee Wae Hama.
Dr Roflee telah memberikan taklimat ringkas berkaitan penubuhan universiti, pengurusan dan pentadbiran serta misi Fakulti Sains Islam untuk pembangunan Islam.
Dr Ramle dalam ucapannya berharap jalinan muhibbah akan berterusan dan kerjasama secara strategik dapat dilaksanakan khususnya dalam membangunkan Islam secara lebih sistematik di sini.
Dr Ramle turut menyampaikan al-Quran yang diinfakkan oleh orang ramai dan sumbangan wang tunai bagi bantuan pelajar universiti kurang berkemampuan dan juga mualaf kepada Dr Roflee.
Dr Rofflee turut menyampaikan cenderahati balas kepada PERKIM di atas kesudian rombongan melawat dan menziarahi di fakultinya.
Rombongan meneruskan lawatan ke tempat bersejarah iaitu Makam Sultan Sulaiman Syah di Singhanakhon, Songkhla.
Dalam lawatan itu, Ahli Jawatankuasa Perdamaian, Nikah dan Cerai Majlis Agama Islam Songkhla merangkap Imam Masjid Sultan Sulaiman Syah, Tuan Haji Hanafi Hasan menyampaikan taklimat kepada rombongan ziarah.
Katanya, Sultan Sulaiman Syah merupakan salah satu tokoh penting dalam sejarah Kesultanan Singgora atau Kesultanan Songkhla pada abad ke-16 di mana ia merupakan sebuah kerajaan Melayu Islam yang terletak di wilayah selatan Thailand.
Menurut Haji Hanafi, Sultan Sulaiman Syah merupakan pimpinan terkemuka pada ketika itu yang memainkan peranan penting dalam mempertahankan dan memperluas wilayah kerajaan dalam menghadapi pengaruh kekuatan tetangga, terutamanya Siam.
Almarhum baginda dikenali kerana usahanya memperluaskan ajaran Islam. Selepas baginda mangkat, empayar Kesultanan Singgora mengalami kejatuhan dan perpecahan umat Islam disebabkan paksaan berkahwin campur dengan bukan Islam.
Rombongan lelaki berkesempatan menunaikan solat fardu Jumaat di Masjid Sulaiman Syah.
Seusai solat, Dr Ramle menyampaikan sumbangan wang tunai bagi pembangunan masjid serta beberapa buah kotak mengandungi al-Quran kepada Haji Hanafi.
Sebelum pulang ke tanah air, rombongan berkesempatan menziarahi destinasi terakhir di Maahad al-Imaniah al-Dalawiyyah atau lebih dikenali Pondok Dala di Mukim Manangyong Daerah Yaring, Pattani.
Kehadiran rombongan ziarah dialu-alukan oleh Pengetua Pondok Dala, Tuan Guru Baba Haji Abdul Karim Hasbullah Naknawa.
Menurut Abdul Karim, sekolah pondok merupakan institusi penting penduduk Pattani mendalami ilmu Islam sejak lebih 80 tahun.
Insititusi pengajian agama di Wilayah Pattani lebih 80 tahun berjaya menghasilkan pelajar agama yang menghayati kitab ulama dari tanah suci Mekah termasuk pondok paling lama iaitu Pondok Yala.
Antara mata pelajaran yang diajar di pondok ialah al-Quran, Tafsir, Nahu, Sorof, Tajwid, Usul Tafsir, Usul Hadis, Usul Fiqh, Faraid dan Balaghah.
Di akhir ziarah, Dr Ramle menyampaikan sumbangan wang tunai, plak cenderamata, sebuah buku coffee table PERKIM dan dua kotak naskah al-quran kepada Abdul Karim.