PERKIM Kebangsaan Anjur Praktikal Pengurusan Jenazah Untuk Mualaf
susunan: SRZ
KUALA LUMPUR 20 OGOS, 2023 – Bagi memberi kefahaman ilmu fardu kifayah berkenaan pengurusan jenazah khusus untuk saudara baharu, Kelas Pengajian Islam Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan (KPIPK) telah menganjurkan Kursus Praktikal Pengurusan Jenazah bertempat di Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah di sini.
Kursus tersebut dihadiri seramai 90 pelajar KPIPK di kalangan mualaf terdiri daripada pelbagai latarbelakang bangsa iaitu Cina dan India serta warga negara dari Thailand, Filipina, Kemboja, Indonesia, Myanmar termasuk juga beberapa pelajar berketurunan Melayu.
Menurut Penyelaras Program, Muhammad Jais Mariappan Abdullah, kursus tersebut memberikan pendedahan kepada saudara baharu berkaitan ilmu cara dan kaedah pelaksanaan untuk menguruskan orang Muslim yang telah meninggal dunia.
Bersandarkan firman Allah SWT di dalam Surah Ali Imran, ayat 185 bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati.”
Jelas Jais, kursus tersebut sebagai flatform untuk pelajar mempelajarinya secara praktikal di luar persekitaran kelas dengan mengaplikasikan kaedah yang dipelajari dalam kelas.
Ia juga memberikan pengalaman pratikal kepada pelajar melakukan pelaksanaan fardhu kifayah serta memberi peluang kepada mereka mengamalkan pengurusan jenazah di luar bersama dengan masyarakat sekali gus meningkatkan semangat kerjasama.
“Kita lihat majoritinya apabila berlaku kematian di kalangan saudara baru, tidak ramai dari kalangan mereka yang mempunyai pengetahuan menguruskan jenazah saudara mereka secara praktikal,” kata Jais.
Ulas beliau, penjelasan mengenai prosedur pengurusan jenazah juga kadang kala terbatas oleh kekangan bahasa dan situasi menyebabkan menimbulkan tanggapan buruk kepada keluarga mereka yang bukan Islam seperti tidak dibenarkan melihat dalam urusan memandikan mayat, tidak dibenarkan memasuki tanah perkuburan Islam, tidak dibenarkan menyentuh jenazah dan tidak dibenarkan menyertai majlis tahlil.
Majlis diserikan lagi dengan ucapan Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin.
Dato Razali dalam ucapannya mengambil kesempatan mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh para pelajar yang sudi mengikuti kursus itu walaupun ianya diadakan pada hari minggu.
Beliau yang mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor berkata, peserta perlu mengambil perhatian terhadap dua perkara iaitu mengetahui cara pengurusan jenazah yang sebenar dan merasai diri diuruskan oleh orang lain sebagai jenazah.
Tambah Dato’ Razali lagi, perasaan keinsafan akan timbul pada diri kita ketika menguruskan jenazah dan adakah kita sudah bersedia untuk menjadi jenazah?
Ujarnya, kursus tersebut memberikan pendedahan dan persiapan kepada peserta kerana sekiranya berlaku kematian terhadap ahli keluarga atau pun sahabat handai, maka peserta telah bersedia dan mempunyai pengetahuan dalam membantu menguruskan jenazah.
Dato’ Razali turut mengesyorkan supaya ditubuhkan Skuad Pengurusan Jenazah PERKIM Kebangsaan terbuka kepada warga PERKIM atau pun saudara baharu bagi mengendalikan urusan mereka yang telah pulang menghadap Ilahi.
Mualaf memerlukan kehadiran saudara seagama terutama apabila berlakunya kematian supaya keluarga si mati dapat melihat sendiri ukhuwah di antara orang Islam saling bekerjasama sepenuhnya dalam memenuhi tuntutan fardu kifayah dan berkongsi ilmu mengenai cara pengurusan jenazah serta pengebumian.
Ustaz Mohd Sharif Khairul Anuar daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membentangkan tajuk Pengurusan Jenazah secara lisan kepada peserta bagi memperingati semula pelajaran yang diajar di dalam KPIPK.
Peserta kemudiannya dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan Muslimin diketuai oleh Ustaz Sharif manakala Kumpulan Muslimat pula dibimbing oleh Ustazah Ruzeeta Saad selaku Pembantu Hal Ehwal Islam JAWI.
Praktikal pengurusan jenazah Muslimat diadakan di dalam surau manakala kumpulan Muslimin diadakan di parkir aras tiga.
Peserta Muslimat diajar dalam pelaksanaan mandian secara kering dan cara mengkafan jenazah di mana pelajar tahap pertengahan KPIPK, Nur Diyana Abdullah secara sukarela untuk menjadi model manakala Charles Abdullah merupakan pelajar KPIPK tahap pertengahan menjadi contoh jenazah bagi kumpulan Muslimin.
Antara bahan-bahan untuk menguruskan jenazah ialah kain kafan, kapas, sabun, minyak wangi, sarung tangan, gunting,air mawar, daun bidara, bekas air atau baldi, kapur barus dan kain tapis.
Program diakhiri dengan jamuan makan tengahari dan solat zohor secara berjemaah.
Antara 90 peserta yang hadir di Kursus Praktikal Pengurusan Jenazah.
/
Ustaz Sharif menyampaikan tajuk Pengurusan Jenazah kepada peserta.
Ustaz Jais selaku Penyelaras Program merangkap pengerusi majlis berkata ilmu pengurusan jenazah yang dipelajari di dalam kelas dapat diaplikasikan secara praktikal.
Dato’ Razali mewakili Setiausaha Agung Kehormat merasmikan kursus tersebut.
Kata Dato’ Razali, menerusi kursus itu perasaan keinsafan akan timbul pada diri kita ketika menguruskan jenazah.
Ustaz Sharif memberikan penerangan dan kaedah memandikan jenazah kepada peserta.
Ustaz Sharif menunjukkan alat-alat untuk memandikan jenazah.
Ustaz Sharif menunjukkan serbuk cendana dan air mawar kepada peserta bagi memandikan jenazah.
Memandikan dengan membuang segala kekotoran pada jenazah.
Charles Abdullah secara sukarela menjadi model jenazah untuk dimandi dan dikafankan.
Peserta memandikan di bahagian badan jenazah.
Jenazah dimandikan dengan serbuk cendana.
Setelah dimandikan, jenazah dikafankan.
Jenazah perlu dibalut dengan kapas dan kain kafan.
Ustazah Ruzeeta menunjukkan cara memandikan jenazah wanita secara kering.
Kaedah ikatan kain kafan jenazah yang ditunjukkan kepada peserta.