Aktiviti Dakwah

Majlis Bacaan Yasin, Doa, Tahlil Sempena Hari Penubuhan PERKIM

📷 : MUHAMMAD FARHAN TEE ABDULLAH

Oleh : UMAG

PULAU PINANG, 24 OGOS 2023 – “Majlis bacaan Yasin yang memang rutin diadakan setiap malam Jumaat dan diadakan pada hari ini munasabah juga bersempena majlis memperingati ulang tahun Hari PERKIM”, kata Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim.

Beliau berucap ketika menyampaikan ucapannya mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor di Dewan Solat, Masjid Negeri Pulau Pinang sempena Majlis Bacaan Yasin, Doa dan Tahlil Sempena Memperingati Hari Penubuhan PERKIM.

Datuk Nordin mengucapkan terima kasih kepada semua jemaah yang sudi hadir bagi memeriahkan majlis dan mendoakan agar semua sentiasa dalam rahmat Allah SWT.

“Secara ringkasnya, PERKIM adalah sebuah pertubuhan yang telah beroperasi sejak tahun 1960 dan pada tahun ini genap 63 tahun penubuhannya.

“Tahlil yang diadakan pada hari ini dihadiahkan buat Pengasas PERKIM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, pimpinan- pimpinan PERKIM terdahulu secara khususnya dan kepada semua muslimin dan muslimat yang telah kembali ke rahmatullah secara amnya.”

Beliau turut menyebutkan beberapa jasa Almarhum Tunku, antaranya kira-kira tujuh tahun selepas merdeka beliau merupakan pemimpin yang bertanggungjawab melahirkan ilham membina Masjid Negara dan kekal diimarahkan sehingga ke hari ini.

Majlis Tilawah Al-Quran yang masih dianjurkan hingga ke hari ini merupakan cetusan idea daripada Almarhum Tunku.

Almarhum Tunku merupakan pengerusi pertama bagi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bertanggungjawab membincang, menimbang dan menguruskan apa-apa perkara yang dirujuk kepada Majlis oleh Majlis Raja-Raja.

Beliau menyampaikan hasrat agar semua ahli PERKIM bekerjasama dalam menambahkan ahli dengan mempromosikan PERKIM  sebagai wadah perjuangan Islam dari segi dakwah, kebajikan serta pendidikan di peringkat generasi muda khususnya dan semua lapisan masyarakat amnya.

Beliau mengajak agar semua jemaah sama-sama beramal jariah dengan menyumbang kepada PERKIM melalui Projek Infak Al-Quran yang sedang dilaksanakan oleh PERKIM.

Al-Quran terjemahan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris khusus dicetak atas nama PERKIM untuk diedarkan kepada setiap saudara baharu yang memeluk Islam melalui PERKIM.

Di akhir ucapan beliau mengucapkan terima kasih kepada Imam Besar Masjid Negeri Pulau Pinang, Dato’ Mohd Nordin Samah dan pihak pengurusan Masjid Negeri Pulau Pinang khususnya yang telah memberikan ruang dan peluang untuk pihak PERKIM berkunjung ke masjid negeri ini.

Selepas Maghrib, Dato’ Mohd Nordin Samah memimpin bacaan Yasin, doa dan tahlil.

Majlis tersebut dihadiri oleh kira-kira 80 orang jemaah Muslimin dan Muslimat yang terdiri daripada kalangan ahli-ahli PERKIM dan penduduk setempat.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, Dato’ Haji Abdul Hanif Harun, Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM, Encik Zulkefli Arifin, Pengarah Kanan Dakwah PERKIM, Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin, Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Pulau Pinang, Encik Abdul Bahrin Ri’ad Abdullah dan Bendahari Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Pulau Pinang, Encik Abdul Fattah Mohamed Abbu Bakar.

Barisan kepimpinan tertinggi PERKIM mengetuai bacaan Yasin di hadapan Dewan Solat, Masjid Negeri Pulau Pinang.

Antara jemaah wanita yang turut serta dalam Majlis Bacaan Yasin pada malam itu.

Sebahagian Kakitangan PERKIM Kebangsaan yang turut serta dalam Majlis Bacaan Yasin itu.

Farhan Tee mempengerusikan Majlis Bacaan Yasin, Doa dan Tahlil sempena memperingati Hari PERKIM.

Datuk Nordin menyampaikan ucapan mewakili Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor.

Kepimpinan tertinggi PERKIM Kebangsaan bergambar dengan PERKIM Bahagian Negeri Pulau Pinang.

Related Articles

Back to top button