Berita PERKIM Bahagian & Cawangan

PERKIM Wilayah Latih Mualaf Urus Jenazah

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati.” (Ali Imran: 185)


“Seringkali apabila berlaku kematian di kalangan saudara baru, tidak ramai dari kalangan mereka yang mempunyai pengetahuan menguruskan jenazah saudara mereka itu malah ahli keluarga mereka yang bukan Islam tidak turut serta di dalam urusan seperti memandikan dan mengkafankan jenazah,” kata Amran Anbarasu Abdullah.

Beliau dalam ucapannya berkata, penjelasan mengenai prosedur pengurusan jenazah juga terbatas oleh kekangan bahasa dan situasi menyebabkan menimbulkan tanggapan buruk kepada keluarga mereka seperti tidak dibenarkan melihat dalam urusan memandikan mayat, tidak dibenarkan memasuki tanah perkuburan Islam, tidak dibenarkan menyentuh jenazah Islam dan tidak dibenarkan menyertai majlis tahlil.

Mualaf memerlukan kehadiran saudara seagama terutama apabila berlakunya kematian supaya keluarga si mati dapat melihat sendiri ukhuwah di antara orang Islam saling bekerjasama sepenuhnya dalam memenuhi tuntutan fardu kifayah dan berkongsi ilmu mengenai cara pengurusan jenazah serta pengebumian.

Amran berkata demikian ketika ucapan perasmian di  Kursus Pengurusan Jenazah Untuk Mualaf anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Wilayah Persekutuan (PBWP) bertempat di Dewan Masjid Amru Ibni Al-‘As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur pada 28 Julai 2019 lalu.

Program itu dihadiri 74 peserta terdiri daripada saudara Muslim dari kaum Cina, India; warga Thailand, Filipina dan Indonesia yang merupakan pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM dan Kompleks Darul Hidayah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Yang turut hadir, Pegawai Dakwah dan Kerja PBWP, Mohd. Jogi Maruli Panjaitan dan Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM, Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Amran selaku Pengerusi Biro Dakwah PBWP berkata, program itu secara tidak langsung merapatkan integrasi antara institusi masjid dengan saudara baharu di samping menjadi pusat interaksi serta bimbingan kepada mereka yang baru berjinak-jinak dengan Islam.

Setiap surau atau masjid perlu memainkan peranannya untuk mendekati saudara baharu supaya mereka lebih selesa beriktikaf, belajar dan beribadah bersama masyarakat Islam.

Selain itu, institusi masjid dan surau perlu cakna dan mengenalpasti kawasan sekitar saudara baharu sekali gus melibatkan mereka dengan aktiviti atau program sebagai kariah lebih-lebih lagi kursus pengurusan jenazah.

Program seperti ini juga dapat membantu masyarakat Islam supaya prihatin dengan saudara baharu di kawasan mereka.

PBWP juga berusaha untuk merealisasikan hasrat supaya urusan jenazah mualaf dapat dilakukan oleh golongan mualaf sendiri kerana boleh membawa banyak kebaikan dan manfaat serta impak yang besar dalam mencapai kefahaman dan melebarkan toleransi di antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

Pada masa yang sama ia juga dapat membantu meringankan beban tugas jabatan dan agensi kerajaan dengan memainkan peranan sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang proaktif.

Katanya, matlamat bengkel tersebut ialah antara persediaan ilmu teori dan praktikal mengenai pengurusan jenazah kepada mualaf; memberikan khidmat nasihat dengan menjawab persoalan dengan menerangkan prosedur, peraturan dan adab pengurusan jenazah kepada keluarga mereka.

Ujar Amran, kursus tersebut akan diadakan lagi pada masa hadapan dalam beberapa siri termasuk kursus pengkebumian, talkin dan tahlil.


Sementara itu, Bekas Penolong Pegawai Bahagian Falak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Mohd. Marngi Wasim menyampaikan slot Teori dan Latihan Pengurusan Jenazah Menurut Islam.

“Menurut syarak apabila seseorang Islam itu meninggal dunia wajiblah ia dimandi, dikapan, disembahyang dan dikebumikan,” jelas Marngi.

Beliau turut menekankan kepada peserta ketika di ambang sakaratul maut dengan menghampiri di telinga bakal jenazah dan mengucapkan dua kalimah syahadah atau menyebut ‘la ilaha il lallah’ berulang-ulang kali dengan harapan mendapat ‘husnul khatimah’.

Melalui hadis Riwayat Tirmidzi, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sakaratul maut itu sakitnya sama dengan tusukan dengan 300 mata pedang.”

Marngi merupakan salah seorang petugas pasukan dalam menguruskan 23 rakyat Malaysia dan seorang warga Indonesia yang terbunuh dalam nahas pesawat  Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Belanda selama 33 hari berlaku pada 14 Julai 2014.

Antara perkara sunat menguruskan mayat ialah menutup mata mayat dengan mengikat dagunya dengan secarik kain dengan menyimpulkan ikatan itu di kepalanya, melembutkan sendi-sendinya, meletakkan mayat  mengadap kiblat dan membaca al-Quran atau sekurang-kurangnya membaca surah al-Fatihah serta mendoakannya semoga Allah SWT mengampunkan dosa dan melimpahkan rahmat ke atas rohnya.

Sebelum memandikan mayat, disyorkan menyediakan kelengkapan kafan terlebih dahulu supaya jenazah mudah dikafankan dengan segera. Mayat dibersihkan daripada segala kekotoran di gigi, lubang hidung, lubang telinga, celah ketiak, celah jari tangan, kaki, rambut dan istinjakkan kemaluan dari sebarang najis.

Kemudian mandikan dengan meratakan air ke seluruh tubuhnya bermula di bahagian kanan dan sebanyak tiga kali. Kali yang pertama dimandikan dengan air bercampur serbuk daun bidara atau sabun, kemudian dibilas dengan air dan sesudah itu dimandikan dengan air yang dicampurkan sedikit kapur barus padanya serta diwudukkan.

Setelah dilapkan badan tersebut, pindahkan mayat di tempat kafan dengan meletakkan kain kafan sehelai demi sehelai setiap lapisan diletakkan kapur barus. Kemudian tutuplah semua rongga seperti hidung, telinga, mulut, dan kemaluan dengan kapas. Selimutkan kain kafan sebelah kanan yang paling atas, kemudian hujung lembar sebelah kiri dengan kemas sebanyak tiga lapisan serta diikat dengan tali kafan sebanyak tiga atau lima ikatan serta direnjiskan minyak wangi tanpa alkohol.

Jenazah kemudiannya disembahyangkan sebanyak empat takbir iaitu membaca al-Fatihah, berselawat kepada Nabi Muhammad SAW, berdoa keampunan untuk jenazah, dan salam serta kemudian dikebumikan.

Majlis berakhir dengan penyampaian sijil penyertaan oleh Mohd. Jogi dan Jais kepada peserta.

 


Peserta saudara baharu menyertai Kursus Pengurusan Jenazah Untuk Mualaf baru-baru ini.

 


Marngi menyampaikan teori dan kaedah pengurusan jenazah kepada peserta.

 


Peserta wanita turut mencatat penyampaian dari penceramah.

 


Marngi menunjukkan cara pengurusan jenazah kepada peserta.

 


Model jenazah mualaf dibersih, dimandi dan diwudukkan oleh Marngi sambil disaksikan oleh saudara baharu.

 


Marngi menunjukkan kaedah yang betul untuk mengkafankan jenazah.

 


Saudara baharu bersama-sama mengkafankan model jenazah sambil ditunjuk ajar oleh Marngi.

 


Jenazah disolatkan empat takbir oleh peserta saudara baharu.

 


Peserta saudara baharu turut mempelajari kaedah mengkafankan jenazah.

 


Peserta bergambar bersama model jenazah yang telah dikafankan.

 


Jogi (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Aiman Saw sambil disaksikan oleh Jais (kiri).

 

74 peserta saudara baharu yang telah menamatkan Kursus Pengurusan Jenazah Untuk Mualaf.

 

Related Articles

Back to top button