Program Khidmat Masyarakat Bersama Masyarakat Islam dan Mualaf Pattani Thailand

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Agama Islam adalah agama persekutuan negara, manakala agama lain hanya boleh beramal sahaja tetapi tidak boleh menyebarkan dakwah,” kata Naib Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim.
Tambahnya, pada hari ini perlembagaan tersebut tidak dihormati dan dilanggar oleh ahli politik dan beberapa badan bukan kerajaan.
Dr. Shahidan berkata ketika menyampaikan ucapan perasmian di Program Khidmat Masyarakat Bersama Masyarakat Islam dan Mualaf Pattani Thailand anjuran PERKIM Kebangsaan bertempat di Dewan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM), Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 21 Julai 2019 lalu.
Program yang dihadiri seramai 80 orang itu mendapat kerjasama AKSEM dan Charity Foundation for Relief Pattani Thailand (CFR).
Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, Tan Sri Datuk Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Datuk Hasbullah L. Isa; Pengarah Pembangunan dan Aset PERKIM, Datuk Ahmad Mustafa; Exco Jawatan kuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perlis, Azizan Sulaiman; Komander AKSEM Kedah, Abdul Latif Abdul Rahman; AKSEM Perlis, DSP Syed Basri Syed Ali; PERKIM Bahagian Negeri Perlis, PERKIM Bahagian Negeri Kedah, Wanita PERKIM Negeri Kedah, Kelab PERKIM Universiti Utara Malaysia (UUM), Kelab PERKIM Universiti Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (UniSHAMS).
Dr. Shahidan menegaskan bahawa PERKIM merupakan organisasi yang menjaga kebajikan orang Islam dan bukan Islam yang ingin mendalami serta mengenal Islam.
Ujarnya, sejarah menceritakan negara yang diperintahkan oleh kerajaan Islam yang tewas adalah kerana kealpaan pemerintahannya. Saidina Umar al-Khattab menyebut bahawa Allah SWT sendiri akan menarik nikmat dari kamu jika kamu tidak bersyukur.
Jangan jadi orang Islam yang makin lama makin lemah dan longlai tetapi jadilah orang Islam yang kuat dan amanah.
Dr. Shahidan turut menekankan bahawa seringkali berlakunya pecah amanah adalah apabila jawatan diberi kepada orang yang tidak layak memegangnya.
Katanya, PERKIM akan bekerjasama dengan semua badan-badan kebajikan dan dakwah di seluruh negara.
Tambah beliau, jika seluruh negara Islam bersatu, makin kukuhlah Islam kerana negara Islam majoritinya adalah kaya dan merupakan pengeluar utama minyak namun untung kekayaan itu diambil oleh orang bukan Islam yang bijak mempergunakan negara tersebut.
Katanya, selain berdiskusi berkaitan Islam dan mualaf di selatan Thailand, kita turut menjalinkan hubungan kerjasama dan perjanjian persefahaman (MoU) di antara PERKIM Kebangsaan, AKSEM, CFR dan pihak-pihak lain.
Sumbangan juga turut diberikan kepada para mualaf, fakir miskin dan anak yatim.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata matlamat PERKIM ditubuhkan untuk kebajikan secara tidak langsung untuk menarik mereka yang belum Islam untuk mengenali Islam.
PERKIM ditubuhkan oleh AlMarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bukan berperanan untuk negara Malaysia sahaja malah cakna dengan negara yang berhampiran kerana hubungan tidak boleh dipisahkan atas dasar agama dan asal usul.
Dr. Yusof Noor turut mencadangkan pertubuhan kebajikan di Thailand menjadi salah satu daripada badan gabungan PERKIM bagi melaksanakan hasrat asal Tunku untuk bergabung dengan negara luar dalam melakukan kerja kerja kebajikan.
Tambahnya, mudah-mudahan orang bukan Islam dapat memahami Islam dan umat Islam akan lebih kuat pegangannya sehingga tidak ada perselisihan faham.
Pengerusi Charity Foundation for Relief Pattani, Thailand, Dr. Fakhruddin Saad berkata, semenjak 2011 lagi mencari jalan untuk mendapat bantuan bagi waris mangsa korban pengeboman dan peperangan di Selatan Thailand yang terdiri daripada anak yatim piatu, fakir, miskin, ibu tunggal dan warga emas.
Katanya, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami dapat menubuhkan beberapa pusat anak yatim dan beberapa sekolah persendirian untuk memberi kemudahan kepada masyarakat Pattani.
Pada 28 September 2017, beliau mendapat kelulusan dan kebenaran untuk menjalankan kegiatan-kegiatan kebajikan sekali gus mempromosikan pertubuhannya di Malaysia untuk demi meraih bantuan dan sumbangan.
Beliau turut menemui dan menyatakan hasrat kerjasama usaha murni kepada beberapa agensi kerajaan Malaysia dan PERKIM.
Jelas beliau, dalam menaiktarafkan bangsa Islam Pattani, CFR menanggung lima buah pusat anak yatim piatu yang terdiri daripada 500 orang dan beberapa buah sekolah.
Ujarnya, perbezaan di antara kemajuan pendidikan Malaysia dan Pattani diukur sejauh 14 tahun.
Dr. Fakhruddin berharap, apa sahaja sumbangan yang ingin diberikan, beliau bersedia menerima dengan hati terbuka dan mengalu-alukan kehadiran penyumbang dari Malaysia untuk menziarahi masyarakat serta asnaf yang memerlukan di Pattani.
Ketua Pengarah AKSEM, Dato’ Shaharuddin Abu Sohot turut berterima kasih kepada PERKIM kerana memberi kerjasama dalam menyantuni mereka yang memerlukan.
Katanya, program tersebut memberi peluang untuk bertukar pandangan, pendapat, maklumat serta mengeratkan hubungan sesama Islam di antara sempadan kerana sempadan memerlukan kerjasama antara dua pihak negara.
Program diserikan lagi dengan majlis menandatangani hubungan kerjasama dan perjanjian persefahaman (MoU) di antara PERKIM, AKSEM dan CFR.
Majlis berakhir dengan persembahan gimik dari anggota kenderaan bermotor dan trak AKSEM yang membawa barangan kotak makanan untuk di hantar kepada masyarakat Pattani.
Kotak berpelakat PERKIM memuatkan barang makanan seperti beras, bihun, gula, minyak, biskut, teh, kicap, kordial, tepung, gula, sardin, kopi, keropok termasuk sejadah dan al-Quran yang akan diagihkan.
Dr. Shahidan turut menyampaikan sumbangan beras kepada Dr. Fakhruddin tanda bermulanya bantuan kepada masyarakat Islam dan mualaf Pattani serta hubungan kerjasama dan persefahaman di antara dua negara.
Program Khidmat Masyarakat Bersama Masyarakat Islam dan Mualaf Pattani Thailand diadakan di AKSEM, Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Ketibaan Dr. Shahidan di majlis tersebut.
Tetamu kehormat menyanyikan lagu Negaraku dan lagu PERKIM
Masyarakat Islam dan mualaf Pattani turut hadir memberi penghormatan ketika lagu Negaraku dan lagu PERKIM dinyanyikan.
Mahasiswa Kelab PERKIM UniSHAMS dan UUM turut memberi sokongan program bersama masyarakat Pattani.
Adik Muhammad Amir Haziq Mohd. Azhari mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran al-Karim di majlis pembukaan.
Dr. Fakhruddin dari CFR Pattani berkongsi penderitaan dan kesempitan hidup yang dihadapi oleh waris mangsa pengeboman dan peperangan masyarakat Islam di Pattani.
Shaharuddin selaku Ketua Pengarah AKSEM memberikan sokongan yang padu dan kerjasama bagi misi khidmat masyarakat.
Dr. Yusof Noor berhasrat menjadikan CFR salah satu daripada badan gabungan PERKIM.
Dr. Shahidan Kassim selaku Naib Yang DiPertua PERKIM menyampaikan ucapan perasmian.
Dr. Shahidan menyampaikan amanat dan nasihat kepada tetamu yang hadir.
Dr. Shahidan (kiri) dan Dr. Fakhruddin menurunkan tandatangan tanda persetujuan kerjasama di antara PERKIM, AKSEM dan CFR.
Dr. Yusof Noor (kiri) dan Shaharuddin (kanan) selesai menandatangani perjanjian persefahaman di antara PERKIM, AKSEM dan CFR.
Dr. Shahidan (kiri) menyampaikan cenderahati PERKIM kepada Shaharuddin (kanan).
Dr. Shahidan (dua dari kiri) menyampaikan beras kepada Dr. Fakhruddin (dua dari kanan) tanda penyerahan sumbangan makanan dan peralatan solat sambil disaksikan Dr. Yusof Noor (kanan) dan Shaharuddin (kiri) di atas jentera AKSEM.
Tetamu kehormat PERKIM bergambar bersama masyarakat Islam dan mualaf Pattani di akhir majlis.