Ibu Bapa Tunggal Mualaf PERKIM Terima Zakat Wakalah DAS-2
ᵒˡᵉʰ: ˢᴿᶻ
𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑, 𝟐𝟓 𝐉𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Dana Asy-Syakirin 2 (DAS-2), melalui program zakat wakālahnya, hari ini menyerahkan sumbangan zakat kepada 10 ibu dan bapa tunggal mualaf Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dalam satu majlis simbolik bertempat di Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini pada jam 3 petang tadi.

Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg. Dato’ Haji Abdul Hanif Harun dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas keprihatinan dan kepercayaan pihak DAS-2 terhadap PERKIM.
Beliau turut menyampaikan salam hormat dan ucapan terima kasih daripada Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg. Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor kepada seluruh Lembaga Pemegang Amanah DAS-2 atas kesudian meneruskan kolaborasi kebajikan ini.

Menurut 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐒𝐨𝐬𝐢𝐚𝐥 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐣𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐃𝐚𝐧𝐚 𝐀𝐬𝐲-𝐒𝐲𝐚𝐤𝐢𝐫𝐢𝐧, 𝐃𝐫. 𝐑𝐚𝐟𝐢𝐳𝐚 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐞𝐝, majlis ini merupakan sebahagian daripada inisiatif terbaru DAS-2 yang berteraskan penjenamaan Program Asnaf i-Single Parents di mana ia merupakan satu usaha murni menumpukan bantuan kepada golongan ibu dan bapa tunggal asnaf termasuk mualaf.
Beliau hadir bersama wakil Dana Asy-Syakirin, Tuan Haji Mohd Amer Peter Abdullah.
Jelas Dr Rafiza, pada tahun ini sebanyak 200 penerima asnaf telah dikenal pasti untuk menerima sumbangan, di mana 50 daripadanya terdiri daripada ibu bapa tunggal mualaf di bawah jagaan PERKIM.
Tambah beliau, penyerahan hari ini adalah kesinambungan daripada kerjasama DAS-2 dan PERKIM pada tahun lalu yang menyaksikan sejumlah RM625,000 diagihkan kepada 625 mualaf PERKIM di seluruh negara.
“Tahun ini kita tampil dengan pendekatan baharu melalui penjenamaan Asnaf i-Single Parent bagi menumpukan bantuan kepada golongan ibu dan bapa tunggal asnaf yang semakin terhimpit dengan tekanan ekonomi semasa,” ujar Dr Rafiza.
Dr. Rafiza turut menyatakan bahawa dalam situasi semasa, kadar inflasi negara bagi kos sara hidup mencatatkan peningkatan sebanyak 1.7 peratus menyebabkan ramai ibu bapa tunggal berdepan kesukaran menguruskan perbelanjaan asas, maka zakat wakālah ini diharap mampu menjadi suntikan segera dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban serta membantu dalam kelangsungan hidup mereka.
Beliau turut menyampaikan salam hormat daripada Lembaga Pemegang Amanah DAS-2 kepada PERKIM dan menyatakan sokongan berterusan kepada misi kebajikan yang inklusif.
Dr Rafiza menegaskan harapan agar kolaborasi bersama PERKIM ini dapat diteruskan dalam jangka masa panjang kerana ia bukan sahaja memperkukuh ukhuwah dan silaturahim antara institusi, malah menjadi jambatan persaudaraan Islam yang lebih utuh dalam menyantuni ummah.
Jelas beliau lagi, inisiatif ini selaras dengan matlamat DAS-2 untuk memastikan agihan zakat menepati sasaran melalui saluran strategik kepada golongan yang benar-benar memerlukan seiring dengan prinsip keadilan sosial dan pembangunan insan yang menjadi teras kepada pengurusan zakat kontemporari.
Di akhir majlis, Dr Rafiza menyampaikan cek cura zakat wakalah DAS-2 sebanyak RM50,000 kepada Dato’ Abdul Hanif sekali gus menyampaikan sumbangan kepada penerima zakat.
Turut hadir ialah Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah dan Nur Syahirah Musa.

Dato’ Bendahari Kehormat PERKIM menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan dan kepercayaan pihak DAS-2 terhadap PERKIM.

Dr Rafiza berkata, Program Asnaf i-Single Parents merupakan satu bantuan kepada golongan ibu dan bapa tunggal termasuk mualaf.

Antara ibu bapa tunggal mualaf hadir dalam majlis simbolik di ibu negara.

Dr Rafiza menyerahkan cek cura Zakat Wakalah Asnaf i-single Parents Ibu Bapa Tunggal berjumlah RM50,000 kepada Dato’ Abdul Hanif.

Dr Rafiza menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal mualaf berbangsa Iban.

Ibu tunggal mualaf India menerima sumbangan daripada Dr Rafiza.

Dr Rafiza menyerahkan sumbangan zakat wakalah kepada ibu tunggal mualaf berbangsa Cina.

Dato’ Bendahari Kehormat PERKIM menyampaikan sumbangan zakat wakalah DAS-2 kepada bapa tunggal berbangsa Cina.

Barisan kepimpinan PERKIM bersama DAS-2 bergambar dengan ibu bapa mualaf tunggal seusai majlis.



