Aktiviti Dakwah

PERKIM Selangor & MAIS Anjur Program Syura Pendakwah Saudara Muslim India Peringkat Kebangsaan 2016

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata. (az-Zumar: 22)

Kaedah dakwah merupakan satu wadah penyampaian yang dilihat cukup berkesan untuk membina sahsiah mukmin dan melahirkan pendakwah-pendakwah di kalangan Saudara Muslim.

Dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menganjurkan Program Syura Pendakwah Saudara Muslim India Peringkat Kebangsaan 2016 bertempat di Carlton Holiday and Suite Hotel, Shah Alam, Selangor pada 26 hingga 28 Februari 2016 baru-baru ini.

Program yang menghimpunkan 55 Saudara Muslim berketurunan India dari seluruh semenanjung itu mendapat sokongan Perkim Kebangsaan.

Amran AbdullahsPengarah Program, Ustaz Amran Abdullah berkata, program tersebut diadakan bertujuan untuk menghimpunkan pendakwah-pendakwah Saudara Muslim India dari seluruh Malaysia bagi membincangkan kaedah-kaedah dakwah berkesan yang akan digerakkan sendiri oleh mereka di negeri masing-masing.

Program itu merupakan medan percambahan idea dan fikiran di kalangan pendakwah-pendakwah untuk mewujudkan penyelarasan dalam urusan kerja-kerja dakwah yang yang lebih berkesan sejajar dengan misi program tersebut iaitu memperkenalkan Islam sebagai agama yang sempurna  kepada  masyarakat India  di Malaysia secara berkesan dengan pencapaian 30 peratus pengislaman menjelang tahun 2030.

Jelas Amran, program tersebut merupakan cetusan idea oleh beberapa orang pendakwah dan Ahli Majlis Kebangsaan Perkim untuk mengerakkan kerja-kerja dakwah yang tersusun di kalangan pendakwah Saudara Muslim India di seluruh Malaysia.

Sekurang-kurangnya program tersebut dapat mengenalpasti kelemahan dan tahap perlaksanaan kerja-kerja dakwah yang telah dilakukan selama ini.

“Program itu menggunakan sepenuhnya bahasa ibunda (Tamil) bagi melancarkan komunikasi dan kefahaman dan ia juga merupakan salah satu alternatif untuk mendedahkan ilmu dakwah yang pelbagai khusus untuk masyarakat India,” kata Amran selaku kakitangan Unit Perancangan, Penyelarasan dan Perlaksanaan Perkim Kebangsaan.

Ia juga bertujuan untuk memilih pendakwah-pendakwah yang mampu menggerakkan dakwah serta komited dalam melakukan sebarang kerja-kerja dalam berdakwah.

Selain itu, pendakwah juga turut diberi peluang untuk mencambah idea, pandangan atau pemikiran bagi memperkasakan lagi pendekatan dakwah kepada Saudara Muslim India dan masyarakat India khususnya.

Menurut Amran, melalui program tersebut, ianya dapat mengenalpasti halangan-halangan pendakwah Saudara Muslim India dari seluruh Malaysia dan cara mengatasinya.

Program itu juga diadakan untuk berkongsi pengalaman peserta dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat India dan merangka strategi terkini dalam menyampaikan dakwah.

Ahmad Fauzi Siva AbdullahsSementara itu, Eksekutif Unit Latihan dan Perkaderan MAIS, Ustaz Ahmad Fauzi Siva Abdullah berkata, matlamat program syura itu bersama Perkim Selangor ialah menyatukan pendakwah di kalangan mualaf India dalam usaha, teratur, kemas dan efektif.

Program tersebut diadakan untuk menyahut perintah ‘amar makruf nahi mungkar’ selain memberi kefahaman dan penghayatan Islam khususnya kepada pendakwah untuk disampaikan kepada masyarakat India.

Ia dilaksanakan supaya tidak ada pertindihan program dan tidak mahu dilabelkan sebagai program yang hanya melepaskan batuk di tangga kerana program tersebut dilihat dapat melahirkan pendakwah profesional sekali gus mentransformasikan Saudara Muslim yang berkualiti serta berjaya di dunia dan akhirat.

Menurut Fauzi, kita turut membantu jabatan dan agensi agama dengan memartabatkan dakwah dengan memperkukuhkan akidah ummah melalui pembudayaan ilmu dan pentarbiyahan yang komprehensif dan berkesan seperti yang termaktub di dalam Pelan Tindakan Dakwah Negara 2015 – 2019 yang digazetkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Cetusan idea dan cambahan fikiran di kalangan Saudara Muslim India menjadikan mereka bersatu dalam satu fikrah.

Dengan adanya program seperti itu, kita telah melangkah dengan jayanya pada separuh langkah dalam melengkapi halangan-halangan dan kejayaan dalam berdakwah dalam satu naungan dan wadah.

Sesi taklimat dan taaruf (suai kenal) disampaikan oleh Ustaz Muhammad Fitri Abdullah selaku Ahli Majlis Kebangsaan Perkim.

Fitri yang juga Naib Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Selangor dan ahli jawatankuasa mualaf MAIS turut memimpin slot bengkel kaedah berdakwah berkesan yang diadakan sepanjang ianya berlangsung.

Fitri turut menegaskan kepada pendakwah supaya berhirah untuk mempertingkatkan ilmu perbandingan agama dengan membuat beberapa peneyelidikan dan mengkaji mengenai latarbelakang agama lain agar mudah untuk berkomunikasi dan memberi penerangan kepada mereka yang belum Islam dengan berhikmah.

Peserta dibahagikan kepada lima kumpulan iaitu Abu Bakar As-Siddique, Cahaya Kejayaan, Du’at, Mujahidin dan Ikhwanul Muslimin serta mereka turut mempersembahkan persembahan kumpulan bertajuk ‘Hala Tuju Dakwah’.

‘Wacana Minda Bersama Pendakwah’ merupakan tajuk forum yang dipengerusikan oleh Ustaz Muhammad Fitri Abdullah serta disampaikan oleh tiga ahli panel iaitu Haji Ayob Abdul Rahman selaku mantan paderi, Ustaz Muhammad Naim Islam Abdullah dari Pusat Latihan dan Bimbingan Saudara Baru (PUSBA) dan Ustaz Mohd. Zulkarnain Abdullah dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berkongsi dan berdiskusi bersama peserta.

Forum tersebut turut menyampaikan kaedah berdakwah melalui ‘Comparative Religion Sharing’ (CRS) iaitu dengan cara mengkaji, mengenal pasti  menganalisis dan memahami agama lain melalui teknik perbandingan agama.

Program disusuli dengan pelbagai aktiviti membabitkan solat berjemaah, kuliah selepas solat, bengkel dan persembahan kumpulan.

Bagi menyuntik semangat idealogi dan uslub dakwah kepada para daie, diadakan ‘Bengkel Hala Tuju Dakwah Untuk Masyarakat India’ yang disampaikan oleh Pengerusi Hidayah Centre Foundation, Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah.

Beliau turut menyampaikan kaedah analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, tentangan, peluang, ancaman) yang perlu disiap siaga oleh pendakwah.

Nabila Shila Lama Abdullah daripada Yayasan Mualaf Malaysia turut menyampaikan slot bertajuk ‘Pengenalan Penubuhan Agensi-Agensi Mualaf’.

Beliau turut berkongsi bersama peserta mengenai peranan dan perkhidmatan yang disediakan oleh Koperasi Permodalan Mualaf Berhad iaitu perkhidmatan perumahan untuk membantu mualaf yang memerlukan rumah dan perkhidmatan perniagaan untuk membantu mualaf dalam perniagaan.

“Yayasan Mualaf Malaysia pula berperanan melaksanakan Persidangan Mualaf Malaysia yang diharapkan akan berlangsung pada tahun 2016 ini yang pendapat penajaan daripada beberapa syarikat serta program tersebut akan menghimpunkan 1,000 orang mualaf dari seluruh Malaysia di mana 100 orang daripadanya terdiri daripada ulama dan pendakwah profesional mualaf untuk membincangkan perihal kejayaan dan masalah mualaf atau lebih dikenali sebagai Saudara Muslim,” jelas Shila.

Agensi Pertubuhan Mualaf Berhad pula melaksanakan aktiviti seperti kelas asas fardu ain, kelas pemurnian akidah, bengkel motivasi, kaunseling, dakwah susulan, aktiviti kebajikan dan lain-lain.

Ahmad Shahir MakhtarsMajlis disempurnakan perasmiannya oleh Pengarah Pembangunan Sosial Sektor Pembangunan Sosial MAIS, Haji Ahmad Shahir Makhtar.

Shahir dalam ucapannya berkata, ini merupakan usaha yang cukup baik di mana peranan Perkim Bahaigan Negeri Selangor sebagai tuan rumah untuk mengumpulkan pendakwah-pendakwah dari seluruh semenanjung Malaysia di mana mereka terpaksa mengorbankan masa, tenaga, fikiran dan wang ringgit untuk memberi sepenuh komitmen dalam gerak kerja serta hala tuju dakwah Saudara Muslim India di Malaysia.

MAIS diamanahkan untuk menguruskan mualaf iaitu salah satu daripada asnaf zakat di Selangor dan MAIS juga akan membuat pertemuan dua atau tiga kali setahun bersama semua pendaftar-pendaftar mualaf di seluruh Malaysia yang diselaraskan oleh Bahagian Dakwah, Jakim.

Pada tahun 2015, MAIS turut berjaya mengadakan Program Mahrajat Amal Islamik Mualaf Kebangsaan yang pertama kali diadakan untuk menguji kefahaman, pendidikan di kalangan mualaf di bawah kategori 7 tahun memeluk Islam dengan penglibatan Saudara Muslim dari seluruh Malaysia.

MAIS mengadakan kerjasama di antara pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Islam (NGOi) untuk mengadakan aktiviti-aktiviti ziarah, menyediakan tempat perlindungan, kelas pendidikan serta bantuan kebajikan khususnya kepada Saudara Muslim.

Menurut Shahir, NGOi-NGOi berkenaan mualaf yang aktif seperti Perkim, Pertubuhan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Multiracial Revert Muslims (MRM), Yayasan Mualaf dan lain-lain mereka dapat memberi penekanan kepada Saudara Muslim kerana melalui bangsa dan bahasa mereka lebih mudah memahami, belajar serta berkomunikasi dengan lebih dekat.

Hanya mengharapkan MAIS yang mempunyai bilangan yang terhad, kita tidak mampu tangani isu-isu berbangkit berkaitan mualaf.

“Selangor merupakan di antara negeri yang tertinggi jumlah bilangan pendaftaran mualafnya selepas negeri Sabah mengikut statistik terakhir tahun 2015,” ucap Shahir.

Jelasnya, Perkim merupakan organisasi yang terawal yang menggerakkan mualaf yang diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan dengan kepimpinan yang ada, Perkim boleh memimpin NGOi-NGOi mualaf yang ada supaya ianya dapat diselaraskan.

Harapan yang dicadangkan untuk melaksanakan Persidangan Mualaf Malaysia merupakan idea yang terbaik di mana mereka boleh dihimpunkan dan diberi motivasi dan hala tuju, tanggung jawab dan peranan sebagai seorang Islam.

MAIS sedia bekerjasama untuk membantu dalam program atau perkara-perkara yang boleh dirangkaikan.

Beliau berharap supaya NGOi-NGOi dapat menonjolkan ikon-ikon mualaf profesional yang mempunyai kepakaran pelbagai bidang untuk menjadi satu contoh kepada mualaf lain.

Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan dan hadiah kepada peserta.

Turut hadir ialah Setiausaha Kehormat Perkim Bahagian Negeri Selangor, Haji Harun Haji Hassan dan Pegawai Dakwah Perkim Bahagian Negeri Selangor, Ustaz Mohd. Yusoff Ahmad.

 001
Program membuka tirainya dengan majlis bacaan doa oleh salah seorang pendakwah.

 

002
Ustaz Muhammad Fitri mempimpin program dan bengkel yang diadakan.

 

003
Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Ustaz Muhammad Fitri mengendalikan sesi taaruf dan taklimat.

 

004
Kumpulan Ikhwanul Muslimin membentangkan ahli dan logo kumpulan mereka dalam sesi persembahan kumpulan.

 

005
Khalid salah seorang peserta kumpulan menceritakan kisahnya mendalami Islam di dalam sesi suai kenal.

 

006
Salah seorang pendakwah memberikan pandangan dan pendapat dalam program syura itu.

 

007
Misi dakwah memperkenalkan Islam sebagai agama yang sempurna  kepada  masyarakat India  di Malaysia.

 

008
Solat berjemaah merupakan asas yang utama yang harus dipegang oleh seorang pendakwah.

 

009
Ustaz Muhammad Naim Islam Abdullah selaku ahli panel menyampaikan ceramahnya di forum bertajuk Wacana Minda Bersama Pendakwah.

 

010
Para pendakwah mendengar dengan teliti penyampaian yang disampaikan oleh ahli panel forum.

 

011
Forum bertajuk Wacana Minda Bersama Pendakwah yang dibarisi oleh (dari kiri) Ustaz Muhammad Fitri Abdullah selaku moderator serta ahli panelnya ialah Ustaz Mohd. Zulkarnain Abdullah, Ustaz Muhammad Naim Islam Abdullah dan Haji Ayob Abdul Rahman.

 

012
Ustaz Zulkarnain menyampaikan beberapa nasihat dan amanat kepada para pendakwah India.

 

013
Cikgu Kamarul Zaman menyampaikan kuliah selepas jemaah selesai menunaikan solat fardu Subuh.

 

014
Ustaz Fitri turut memberikan beberapa tips dan tanggungjawab sebagai seorang pendakwah.

 

015
Saudara Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah menyampaikan slot bertajuk Halatuju Dakwah Masyarakat India.

 

016
Nicholas (berdiri) turut memberikan kaedah dakwah melalui analisis SWOT.

 

017
Kumpulan Abu Bakar As-Siddique melontarkan idea dan pendapat masing-masing bagi melaksanakan tugasan yang diamanahkan.

 

018
Para pendakwah bersama-sama memberikan buah fikiran dan pandangan bagi menyelesaikan tugasan yang diberikan.

 

019
Kumpulan Mujahidin menyampaikan Hala Tuju Dakwah Masyarakat India dalam sesi persembahan kumpulan.

 

020
Haniwaran, salah seorang anggota kumpulan sedang membentangkan tugasan.

 

021
Arash (kiri) bersama Haji Ayob (kanan) membentangkan tugasan Hala Tuju Dakwah Masyarakat India.

 

022
Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Mohd. Hafizuddin Raja Abdullah.

 

023
Ustaz Hafizuddin berkongsi bersama para daie dakwah yang dilaksanakannya.

 

024
Ustaz Fitri dalam sesi resolusi program.

 

025
Para pendakwah bersama-sama Ustaz Fitri mengemukakan cadangan dalam slot resolusi program.

 

026
Pengenalan Penubuhan Agensi-Agensi Mualaf merupakan tajuk slot yang disampaikan oleh Nabila Shila Lama.

 

027
Setiausaha Kehormat Perkim Bahagian Negeri Selangor, Haji Harun Haji Hassan menyampaikan ucapan aluan di majlis penutup.

 

028
Pengarah Pembangunan Sosial Sektor Pembangunan Sosial MAIS, Haji Ahmad Shahir Makhtar menyampaikan ucapan perasmian.

 

029
Ahmad Shahir menyampaikan amanat sekali gus menyuntik semangat para pendakwah.

 

030
Fokus…pendakwah memberikan tumpuan penuh kepada ucapan perasmian Pengarah Pembangunan Sosial MAIS.

 

031
Menurut Ahmad Shahir, MAIS sedia bekerjasama untuk membantu dalam program atau perkara-perkara yang boleh dirangkaikan.

 

032
Ahmad Shahir menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta.

 

033
Rosyam (kiri) menerima sijil penghargaan daripada Ahmad Shahir (kanan).

 

034
Harun (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Shahir (kanan) sambil disaksikan oleh Fitri (tengah).

 

035
Ustaz Fitri (kanan) turut menyampaikan hadiah Al-Quran digital kepada pendakwah terbaik.

 

036
Salah seorang penerima Al-Quran digital.

 

037
Majlis diakhiri dengan bacaan doa.

 

038
Pendakwah bersama tetamu kehormat merakamkan gambar kenang-kenangan di akhir program.

Related Articles

Back to top button