Aktiviti Dakwah

PERKIM Raikan Rombongan Pendakwah Rusia Ke IDIP-KL

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 7 FEBRUARI 2025 – “Selamat datang ke Malaysia dan selamat datang ke Institut Dakwah Antarabangsa Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kuala Lumpur (IDIP-KL),” ucap Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.


Datuk Nordin berkata ketika menyampaikan ucapannya di Majlis Meraikan Rombongan Pendakwah Rusia bertempat di Hotel De Moccis Boutique, Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini pada pagi Jumaat.

Terdahulu, IDIPKL dengan kerjasama Pertubuhan Qurban dan Amal Kebajikan As-Salam telah menganjurkan Kursus Latihan Dai untuk Pendakwah Rusia bermula dari 6 hingga 14 Februari 2025.

Datuk Nordin turut mengalu-alukan kehadiran ketua delegasi dari Rusia, Mufti Wilayah Irkutsk Siberia, Rusia, Farit Mingaleev bersama 11 ahli rombongannya.

Katanya, kursus yang diadakan itu bertujuan untuk memperkasakan ilmu dakwah dalam kalangan pendakwah Rusia melalui pelbagai modul latihan.

Antara aspek utama yang ditekankan ialah psikologi dakwah, metodologi dakwah, dakwah jalanan, serta komunikasi dakwah.

Para peserta didedahkan dengan teknik berkesan dalam menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat pelbagai latar belakang, khususnya dalam konteks cabaran di Rusia.

Kursus yang masih berlangsung selama lapan hari itu turut diadakan sesi teori dan latihan praktikal sekali gus mengaplikasikan ilmu yang dipelajari.

Beliau berharap ia melahirkan dai yang lebih cekap dan berkesan dalam menyampaikan Islam secara hikmah selain dapat mengeratkan hubungan antara pendakwah antarabangsa dalam usaha memperkukuh dakwah di peringkat global.

Tambah Datuk Nordin lagi, di Malaysia, Islam sebagai agama rasmi persekutuan kerana ia termasuk di dalam perlembagaan Malaysia dan nilai-nilai Islam merangkumi semua aspek kehidupan.

Katanya, terdapat ratusan masjid yang cantik tersergam indah di setiap negeri dan daerah serta kami mempunyai sekitar 30 ribu imam di seluruh Malaysia.

Beliau berharap pendakwah Rusia dapat mendoakan yang terbaik buat mufti dan ulama serta mendoakan kesejahteraan Malaysia agar dapat hidup dalam kedamaian dan keharmonian sepanjang masa.

Sementara itu, Pengarah IDIP-KL, Tuan Haji Mamat Che Chik dalam ucapannya berkesempatan menyampaikan salam hormat daripada Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor kerana tidak dapat turut serta disebabkan mempunyai urusan rasmi.


Kata Haji Mamat lagi, kita semua berada dalam perjalanan untuk meneroka dakwah kerana Islam adalah agama keamanan, rahmat, dan petunjuk bagi seluruh umat manusia serta Islam membawa nilai-nilai hikmah, keikhlasan, dan belas kasihan.

Tambahnya, dunia hari ini penuh dengan cabaran dan salah faham mengenai Islam. Namun, walaupun menghadapi pelbagai cabaran, masih banyak peluang untuk menyampaikan ajaran Islam yang sebenar.

Ujarnya, kehadiran pendakwah Rusia adalah bukti komitmen terhadap misi dan visi dakwah kerana pengorbanan dari Rusia ke Kuala Lumpur menunjukkan keazaman dan dedikasi yang tinggi.

Jelas Haji Mamat, dakwah bukan sekadar berbicara, tetapi ia memerlukan penyampaian yang berkesan kepada masyarakat dan dunia.

“Kursus ini bukan sekadar latihan, tetapi juga peluang untuk membina jaringan ukhuwah yang kukuh.

“Anda bukan sekadar peserta, tetapi sebahagian daripada keluarga besar pendakwah yang berusaha menyebarkan Islam.

“Selepas kembali ke Rusia, jambatan ukhuwah yang kita bina di sini akan terus dikenang dan dikembangkan.

“Ingatlah, anda tidak pernah bersendirian dalam misi ini. Anda mempunyai sokongan dari saudara-saudara Islam di seluruh dunia.

“Saya ingin menegaskan kepentingan untuk terus menuntut ilmu dan memperluaskan pemahaman mengenai dakwah.

“Latihan ini hanyalah permulaan, dan pembelajaran sepanjang hayat adalah kunci kepada kejayaan dalam dakwah.

“Bersama-samalah kita berusaha dalam menyebarkan mesej Islam supaya membuahkan kejayaan,” kata Haji Mamat mengakhiri ucapannya.

Mufti Wilayah Irkutsk Siberia, Rusia, Farit Mingaleev turut menyampaikan rasa bersyukur dan berbesar hati kerana dijemput ke Malaysia untuk mengikuti Kursus Latihan Dai IDIPKL.


Farit yang menyampaikan dalam Bahasa Rusia itu berkata, kursus ini bukan sahaja membuka ruang bagi saya untuk menimba ilmu yang lebih mendalam tentang metodologi dakwah, tetapi juga mengukuhkan ukhuwah Islamiah antara pendakwah dari pelbagai negara.

Sebagai Mufti Wilayah Irkutsk, saya bertanggungjawab dalam membimbing umat Islam di Rusia, khususnya dalam mendepani cabaran dakwah di negara bukan majoriti Muslim.

Tambah Farit lagi, peribahasa Arab “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga liang lahad” membawa makna yang sangat mendalam dalam Islam dan kehidupan manusia secara umum.

Ia menekankan kepentingan menuntut ilmu sepanjang hayat, tanpa mengira usia atau kedudukan seseorang.

Katanya, dalam Islam, ilmu adalah kunci kepada kejayaan dunia dan akhirat. Rasulullah SAW bersabda: “Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Ini menunjukkan bahawa ilmu bukan sekadar satu pilihan, tetapi satu keperluan dalam kehidupan setiap individu.

“Ilmu yang saya peroleh di sini amat berharga untuk diaplikasikan dalam usaha menyebarkan Islam secara hikmah dan penuh kebijaksanaan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada IDIPKL atas kesungguhan mereka dalam menyokong usaha dakwah global.

“Semoga Allah SWT memberkati usaha ini dan memberikan ganjaran yang besar kepada semua yang terlibat.

“Saya berharap agar hubungan antara umat Islam di Malaysia dan Rusia terus diperkukuhkan demi menyebarkan keindahan Islam ke seluruh dunia.

“Terima kasih sekali lagi di atas jemputan ke Malaysia untuk mengambil bahagian dalam pembelajaran dan pelajaran ini.

“Ia memberi keyakinan dan idea kepada kami untuk melawat Malaysia. Ini adalah satu cara yang sangat baik.

“Kami berharap dapat melawat Malaysia lagi pada masa akan datang,” kata Farit mengakhiri ucapannya.

Majlis berakhir dengan bacaan doa dipimpin oleh Penolong Pegawai Dakwah IDIP-KL, Abdul Qawi Navine Abdullah serta jamuan makan cicipan.


Datuk Nordin mengalu-alukan kehadiran delegasi pendakwah Rusia dan meminta mendoakan kesejahteraan Malaysia dalam kedamaian dan keharmonian.


“Agama Islam merupakan agama persekutuan Malaysia kerana ia termasuk di dalam perlembagaan Malaysia,” jelas Datuk Nordin.


Haji Mamat menyampaikan ucapannya dan diterjemahkan dalam Bahasa Rusia di paparan skrin.


Mufti Wilayah Irkutsk berkata, saya bertanggungjawab dalam membimbing umat Islam di Rusia, khususnya dalam mendepani cabaran dakwah di negara bukan majoriti Muslim.


Ucapan Mufti Serbia, Farit Mingaleev (kanan) yang disampaikan dalam Bahasa Rusia diterjemah oleh salah seorang ahli rombongannya ke dalam Bahasa Inggeris.


Di antara pendakwah dari Rusia yang turut serta.


Pendakwah wanita Rusia menikmati hidangan merarau yang disediakan.


Datuk Nordin, Farit Mingaleev dan kepimpinan PERKIM menjamu makan merarau di akhir majlis.

Related Articles

Back to top button