Aktiviti Dakwah

Mufti Perak Sampaikan Ceramah Bertajuk “Ancaman Terhadap Akidah Umat Islam”

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 6 FEBRUARI 2025 – “Akidah diibaratkan sebagai nyawa bagi jasad, dan tanpa akidah yang benar, amalan seseorang tidak membawa makna yang sebenar,” kata Mufti Kerajaan Negeri Perak, YBhg Sahibus Samahah Dato’ Haji Wan Zahidi Wan Teh.


Dato’ Wan Zahidi menyampaikan ceramahnya dalam Siri Kuliah Dakwah Perdana (SKOP) bertajuk “Ancaman Terhadap Aqidah Umat Islam: Implikasi Sosial dan Pendekatan Pembaharuan Dakwah yang Berkesan” di Dewan Seminar Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini pada pagi Khamis.

SKOP siri ke-15 itu menghimpunkan seramai lebih 350 peserta terdiri daripada PERKIM Bahagian Negeri Sembilan, PERKIM Cawangan Datuk Keramat, Wanita PERKIM KL Utara, Pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) dan Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam Bangi.

Program kuliah dakwah perdana anjuran PERKIM Kebangsaan itu telah dimoderatorkan oleh Penolong Pegawai Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), Abdul Qawi Navine Abdullah.

Menurut Dato’ Wan Zahidi, para ulama telah sepakat bahawa terdapat penyelewengan dalam akidah dan salah satu kumpulan yang pertama kali melakukan penyelewengan ini adalah Khawarij yang muncul pada zaman Saidina Ali bin Abi Talib RA.

Jelasnya, Khawarij terkenal sebagai golongan yang membaca al-Quran tetapi tidak memahami maksudnya dengan betul kerana mereka berpegang kepada zahir ayat tanpa merujuk kepada tafsiran yang benar daripada para ulama.

Tambah Mufti Negeri Perak itu lagi, hal ini menyebabkan mereka tersesat, meskipun mereka terkenal dengan kesungguhan dalam ibadah seperti solat dan membaca al-Quran.

Rasulullah telah memberi amaran bahawa umat Islam akan berpecah kepada banyak kumpulan, namun hanya satu golongan yang benar iaitu “al-firqah al-najiyah” (golongan yang selamat).

Beliau turut menekankan bahawa memahami al-Quran memerlukan bimbingan daripada ulama yang mujtahid, bukan sekadar bergantung kepada pemahaman sendiri.

Al-Quran mempunyai ayat-ayat yang bersifat umum dan khusus dan seseorang perlu memahami kedua-duanya secara bersamaan agar tidak tersalah dalam mentafsir hukum-hukum Allah.

Sebagai contoh, golongan Khawarij tersalah memahami ayat yang menyatakan bahawa sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah adalah kafir.

Mereka menggunakannya untuk mengkafirkan sesama Muslim tanpa memahami tafsiran yang sebenar.

Oleh itu, penting bagi setiap Muslim untuk merujuk kepada ulama dalam memahami agama agar tidak terjerumus dalam kesesatan seperti golongan Khawarij.

Dato’ Wan Zahidi juga menekankan kepentingan bermazhab kerana mazhab merupakan warisan kefahaman Islam yang bersambung daripada para ulama mujtahid yang telah memahami al-Quran dan Sunnah dengan mendalam.

Bermazhab bukanlah satu bentuk taklid buta, sebaliknya ia merupakan satu cara untuk memahami agama dengan lebih sistematik dan benar.

Beliau juga mengingatkan bahawa menafsirkan al-Quran tanpa ilmu adalah perbuatan yang sangat berbahaya, kerana Rasulullah telah memberi amaran bahawa sesiapa yang mentafsirkan al-Quran tanpa ilmu akan mendapat tempat di neraka.

Oleh itu, setiap Muslim harus berhati-hati dalam memahami agama dan sentiasa merujuk kepada ulama yang berkelayakan untuk mendapatkan bimbingan yang benar.

Dato’ Haji Zahidi turut membincangkan mengenai akidah Islam yang sebenar, kepentingan mengikuti fahaman yang benar dan bagaimana kita boleh memastikan diri kita berada di atas jalan yang selamat.

Ujarnya, Islam telah menggariskan prinsip yang jelas dalam berakidah kerana dalam sejarah Islam, kita melihat bagaimana perbezaan fahaman telah membawa kepada perpecahan umat.

Salah satu isu utama adalah tafsiran yang salah terhadap Al-Quran dan Hadis tanpa merujuk kepada ulama yang muktabar.

Hal ini sering terjadi apabila seseorang atau sekumpulan individu menganggap diri mereka lebih memahami ajaran Islam tanpa berguru atau merujuk kepada mazhab yang benar.

Menurutnya lagi, kita perlu memahami bahawa Islam bukan sekadar mengamalkan rukun Islam semata-mata, tetapi ia juga menuntut kita untuk memahami akidah dengan benar.

Salah satu pegangan utama umat Islam adalah berpegang teguh kepada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Pegangan ini berdasarkan kepada mazhab fiqh yang empat, iaitu Syafie, Maliki, Hanafi, dan Hanbali serta akidah yang berasaskan kepada Asy’ariyah dan Maturidiyah.

Ini adalah jalan yang telah dipegang oleh para ulama sejak dahulu dan telah diiktiraf sebagai pegangan yang benar.

Ulas Dato’ Wan Zahidi, Rasulullah SAW telah berpesan kepada kita bahawa di akhir zaman nanti akan muncul banyak perbezaan dan perselisihan dalam agama.

Oleh itu, baginda menasihatkan agar kita tetap berpegang teguh kepada sunnahnya dan sunnah para sahabat yang mendapat petunjuk. Inilah jalan yang akan menyelamatkan kita daripada kesesatan.

Selain itu, kita harus berhati-hati dengan golongan yang menolak mazhab atau mengatakan bahawa mereka hanya berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah tanpa merujuk kepada ulama.

Ini adalah satu fahaman yang boleh membawa kepada kekeliruan dalam beragama. Al-Quran dan Hadis perlu difahami dengan panduan ulama yang berkelayakan, kerana mereka telah mengkaji dan memahami ilmu ini secara mendalam.

Di dalam kehidupan seharian, terdapat banyak cabaran yang boleh menggugat akidah kita seperti hiburan, media sosial, filem, dan pelbagai bentuk serangan pemikiran sering kali secara halus mempengaruhi minda kita untuk menjauhkan diri daripada Islam yang sebenar.

Mufti Perak menasihatkan peserta sentiasa berhati-hati dan memperkukuhkan ilmu agar tidak terpengaruh dengan anasir yang boleh melemahkan akidah kita.

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa merujuk kepada ulama yang sahih, memahami ajaran Islam melalui mazhab yang benar, dan berpegang kepada ajaran yang telah ditetapkan oleh para ulama sejak dahulu.

Jelas beliau, hendaklah memastikan bahawa kita berada di atas jalan yang benar dengan berpegang teguh kepada Ahli Sunnah wal Jamaah, mengikut ulama yang muktabar serta berusaha memperbaiki diri dan ilmu agama kita agar tidak mudah terpengaruh dengan fahaman yang menyimpang.

Beliau berharap peserta dapat berpegang teguh kepada jalan yang lurus ini serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyampaikan ucapan aluannya.


Dr Yusof Noor dalam ucapannya mengucapkan selamat datang kepada Mufti Negeri Perak, para tetamu kehormat, serta semua yang hadir.

Katanya, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana diberikan kesempatan untuk bersama dalam program bulanan PERKIM yang menjadi salah satu wadah utama dalam menjalankan aktiviti dakwah dan kebajikan.

Menurut Dr Yusof Noor, keunikan PERKIM adalah keterbukaannya dalam menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum, latar belakang dan budaya.

Keistimewaan PERKIM ialah kita dapat melihat saudara-saudara kita dari pelbagai etnik iaitu Melayu, Cina, India, Kemboja, Thailand dan lain-lain bersama-sama dalam satu majlis ilmu.

Ini membuktikan bahawa Islam adalah agama yang merangkumi semua tanpa mengira asal-usul.

“Saya amat berbesar hati menerima kehadiran Dato’ Mufti yang sudi meluangkan masa untuk berkongsi pandangan dan ilmu dengan kita kerana beliau merupakan seorang tokoh yang berpengalaman luas, bukan sahaja dalam bidang agama tetapi juga akademik dan pentadbiran negara,” kata Dr Yusof Noor.

Jelasnya, kini, kita berada dalam bulan Syaaban yang merupakan satu tempoh yang amat bermakna dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi Ramadan.

Tambah beliau, ini adalah peluang dan masa terbaik untuk kita memperbaiki amalan serta memperkukuh hubungan kita dengan Allah SWT.

“Saya berharap hadirin dapat memanfaatkan peluang ini sebaiknya agar Ramadan kali ini menjadi lebih baik daripada sebelumnya,” kata beliau mengakhiri ucapannya.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian cenderahati berupa buku Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM dan plak disampaikan Dr Yusof Noor kepada Dato’ Wan Zahidi.

Majlis berakhir dengan sesi fotografi dan jamuan merarau.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, YBhg Dr Nur’azah Dato’ Abdul Manaf dan Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin.


Muhammad Farhan Tee Abdullah selaku juruacara majlis SKOP ke-15.


Muhammad Jais Mariappan Abdullah memimpin bacaan doa pembuka majlis.


Peserta menadah tangan dan mengaminkan doa yang dibacakan.


Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan aluan di awal SKOP 15.


Dr Yusof Noor mengingatkan hadirin bahawa bulan Syaaban yang merupakan satu tempoh yang amat bermakna dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi Ramadan.


Abdul Qawi Navine selaku moderator yang mengajukan soalan kepada SS Dato’ Mufti Perak.


Dato’ Wan Zahidi menyampaikan ceramahnya dengan pesanan dan nasihat kepada hadirin.


Menurut Dato’ Wan Zahidi, golongan yang pertama kali melakukan penyelewengan akidah adalah Khawarij.


Peserta dari kalangan IPG KPI Bangi mendengar ceramah yang disampaikan.


Dato’ Mufti menekankan kepentingan bermazhab kerana mazhab merupakan warisan kefahaman Islam yang bersambung daripada para ulama mujtahid.


Mualaf PERKIM Cawangan Datuk Keramat turut menyertai SKOP ke-15.


Salah seorang peserta mengajukan soalan kepada Dato’ Mufti Perak.


Pelajar IPG KPI tidak melepaskan peluang untuk mengajukan soalan.


Dr Yusof Noor menyampaikan cenderahati kepada Dato’ Wan Zahidi.


Dato’ Wan Zahidi menerima buku berjudul Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM daripada Dr Yusof Noor.


Tetamu kehormat PERKIM bersama hadirin merakamkan gambar kenang-kenangan di akhir program.

Related Articles

Back to top button