PERKIM Raikan Pengantin Mualaf Berbangsa Cina
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 28 JANUARI 2025 – Dengan sekali lafaz, Tuan Haji Abu Bakar Zakaria telah sah menjadi suami kepada Balqis Florence Abdullah yang merupakan mualaf berbangsa Cina.
Haji Abu Bakar, 66, telah melafazkan ijab dan kabul di hadapan Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’, Ustaz Abdul Basir Mahadi dari Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bertempat di di Surau Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Jalan Sultan Azlan Shah, pagi tadi.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Abdul Hanif Harun dan Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Agihan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Ustaz Mohd Saiful Hafiz Vijia Abdullah.
Majlis anjuran PERKIM Kebangsaan itu dihadiri seramai lebih 150 orang terdiri daripada keluarga pengantin lelaki, kakitangan PERKIM Kebangsaan dan pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK).
Sebelum itu, Ustaz Abdul Basir telah menyampaikan khutbah nikah kepada pasangan pengantin.
Seusai akad nikah, Haji Abu Bakar membaca lafaz taklik dan menurunkan tanda tangannya pada borang perkahwinan sekali gus memberikan mas kahwin sebanyak RM300 kepada isterinya, Balqis Florence, 62.
Menurut Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin, dalam soal perkahwinan ia masih boleh mengekalkan amalan budaya masing-masing kerana Islam itu adalah agama yang sempurna untuk semua bangsa di dunia ini.
Bersandarkan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 221 bermaksud: “Dan janganlah kamu berkahwin dengan wanita-wanita musyrik sehingga mereka beriman.”
“Walaupun di Malaysia budaya dominannya adalah budaya Melayu tetapi masyarakat atau bangsa lain masih boleh mengamalkan dan mengekalkan corak perkahwinan budaya masing-masing mengikut ketetapan dan syarak Islam.
“Perkara atau perkahwinan tidak semestinya perlu mengikut budaya Melayu kerana beranggapan untuk menghormati budaya itu di negara ini semata-mata,” kata Dato’ Razali.
“Dalam perkara ini, ia dapat meningkatkan imej dan martabat Islam pada pihak yang tidak jelas dengan sesuatu perkara tentang ajaran Islam itu sendiri malah memperlihatkan Islam sebagai sebuah agama bersifat sederhana dan menghormati kepelbagaian budaya dan bangsa dalam keluarga,” katanya.
Menurutnya lagi, pasangan mualaf perlu memahami asas Islam seperti syahadah, solat, puasa, dan perkara haram atau halal. Sokongan dan bimbingan daripada pasangan Muslim yang sedia ada sangat penting.
Selain itu, pasangan berlainan bangsa mungkin menghadapi perbezaan budaya. Oleh itu, penting untuk memahami dan menghormati adat budaya masing-masing selagi ia tidak bertentangan dengan Islam.
Sementara itu, pengarah program, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan berkata, memeluk Islam bukan alasan untuk meninggalkan keluarga atau menyisihkan mereka kerana berlainan agama.
Dalam perkahwinan campur ini, kedua-dua pihak perlu berusaha untuk mengekalkan keharmonian dengan keluarga pasangan, terutamanya jika keluarga mualaf masih belum Islam.
Islam menggalakkan hubungan yang baik dengan ahli keluarga bukan Islam, seperti dalam Surah Luqman ayat 15 yang mengajar supaya tetap menghormati ibu bapa walaupun mereka bukan Muslim.
“Tanggapan demikian perlu dikikis dan keluarga mesti dihormati terutama kepada kedua ibu bapa yang masih mengamalkan ajaran agama dan budaya asal mereka.
“Walaupun sudah bergelar seorang Muslim, mereka perlu memupuk hubungan yang lebih baik lagi dengan adik-beradik dan keluarga,” jelasnya.
“Apabila sudah bergelar suami isteri, pasangan juga perlu menjaga persefahaman yang baik di antara satu sama lain supaya tidak timbul sebarang masalah dan persengketaan.
“Perkahwinan dengan mualaf berbilang bangsa bukan sahaja dibolehkan dalam Islam tetapi juga digalakkan sekiranya ia dapat mengukuhkan keimanan kedua-dua pasangan, membawa kebaikan dan mewujudkan keharmonian antara budaya.
“Namun, ia memerlukan persediaan dari segi mental, spiritual, dan fizikal bagi memastikan perkahwinan ini berjalan mengikut syarak dan membawa keberkatan,” ujar Munirah yang juga selaku Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan.
Ustaz Abdul Basir Mahadi (kanan) membaca lafaz ijab akad nikah di hadapan pengantin lelaki, Haji Abu Bakar.
Dengan sekali lafaz, Haji Abu Bakar telah menjadi suami kepada pengantin mualaf perempuan, Balqis Florence Abdullah.
Ustaz Abdul Basir Mahadi membaca doa seusai upacara akad nikah.
Balqis Florence Abdullah kelihatan gembira selepas sah bergelar isteri kepada Haji Abu Bakar.
Haji Abu Bakar membaca lafaz taklik di hadapan Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’, BPPK JAWI.
Haji Abu Bakar menyerahkan mas kahwin kepada isterinya, Balqis Florence.
Haji Abu Bakar menyarungkan cincin belah rotan ke jari manis isterinya.
Pengantin bergambar bersama tetamu kehormat PERKIM dan JAWI.
Dato’ Razali dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada pengantin baru.
Dato’ Razali menasihatkan pengantin mualaf wajar diberi sokongan dan bimbingan daripada pasangan Muslim yang sedia ada.
Dato’ Razali menyampaikan sumbangan dan hadiah perkahwinan kepada pengantin baru.
Ustaz Saiful (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan MAIWP sebanyak RM2,500 kepada pasangan pengantin.
Balqis Florence berkesempatan bergambar kenang-kenangan bersama rakan-rakannya.