PERKIM Anjur Halaqah, Bacaan Yasin, Tahlil, Ceramah Sempena Israk Mikraj
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 28 JANUARI 2025 – “Peristiwa Agung Israk Mikraj, Nabi Muhammad SAW diperjalankan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan seterusnya ke Sidratul Muntaha, di mana Allah memfardukan solat secara langsung kepada Baginda,” kata Ustaz Faiz.
Ustaz Faiz atau nama sebenarnya Muhammad Faiz Osman selaku pendakwah bebas telah menyampaikan ceramahnya di Majlis Bacaan Halaqah, Yasin, Tahlil Sempena Israk Mikraj anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan di Surau PERKIM, Bangunan PERKIM, Jalan Sutlan Azlan Shah, dekat sini pada pagi Selasa.
Majlis tersebut telah menghimpunkan seramai lebih 100 orang terdiri daripada saudara baharu berbangsa Cina, India, Kadazan, Bidayuh, Murut, Melanau dan warga negara daripada Filipina, Kemboja, Indonesia, Myanmar dan lain-lain.
Dalam ceramah tersebut, Ustaz Faiz menekankan kepentingan hubungan manusia dengan Al-Quran dan solat sebagai tunjang kebahagiaan serta kejayaan hidup di mana seseorang yang sentiasa membaca dan mendekatkan diri kepada Al-Quran akan merasai ketenangan jiwa, manakala yang menjauhkan diri daripadanya akan hidup dalam kesengsaraan.
Katanya, di dalam peristiwa Israk dan Mikraj, solat yang pada asalnya diwajibkan 50 waktu sehari, namun setelah Nabi Muhammad SAW bertemu dengan Nabi Musa AS, ia diringankan menjadi 5 waktu sahaja, dengan ganjaran pahala seolah-olah melaksanakan 50 waktu.
Tambah beliau lagi, kisah Nabi Musa bersama Bani Israel turut diangkat sebagai teladan, di mana mereka yang sering diberikan nikmat seperti makanan dari langit dan perlindungan tetap enggan bersyukur dan patuh kepada Allah, hingga akhirnya disesatkan di padang pasir selama 40 tahun.
Ustaz Faiz juga mengingatkan bahawa solat adalah tali penghubung utama antara manusia dan Allah, yang menjamin rezeki serta ketenangan hidup. Ia bukan sekadar ibadah, tetapi ruang untuk menghapus dosa dan mendekatkan diri kepada Pencipta.
Selain hubungan dengan Allah, beliau turut menekankan akhlak dan hubungan sesama manusia.
Ujarnya, golongan yang rajin dan kuat beribadah tetapi menyakiti hati orang lain adalah perbuatan sia-sia, malah boleh membawa seseorang ke neraka.
Beliau turut menekankan bahawa pentingnya menuntut ilmu sebagai satu bentuk jihad besar dengan niat yang ikhlas demi mencari keredaan Allah kerana dunia ini hanyalah permainan dan tipu daya dan kejayaan sebenar adalah ketakwaan serta amal soleh yang diterima oleh Allah.
Jelas beliau, hati manusia diuji dalam tiga keadaan iaitu ketika membaca Al-Quran, berada dalam majlis ilmu dan ketika bersendirian. Kualiti solat juga ditekankan sebagai komunikasi langsung dengan Allah, yang memberikan ketenangan dan menjadi ukuran iman seseorang.
Ustaz Faiz turut mengingatkan bahawa ibadah seperti solat dan membaca Al-Quran bukan hanya amalan rutin, tetapi satu cara untuk menjaga hubungan dengan Allah dan memastikan hati tetap hidup.
Selain itu, doa diajar sebagai medium penting untuk memohon petunjuk, ketakwaan, kehormatan diri, dan kecukupan.
Beliau juga turut memberi peringatan betapa bahaya sikap sombong, tamak dan sifat suka menghina orang lain, yang boleh menghapuskan keberkatan dalam hidup.
Ustaz Faiz turut mengajak para hadirin untuk sentiasa bersyukur atas nikmat Islam, menjaga kehormatan diri, dan sentiasa berharap kepada Allah agar diberikan kebahagiaan dunia dan akhirat.
Sebelum ceramah, Pegawai Dakwah dan Pembangunan Insan, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah memimpin bacaan Halaqah Al-Quran, Yasin dan Tahlil yang turut dibaca bersama oleh lebih 100 saudara baharu.
Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun.
Ustaz Muhammad Faiz Osman menyampaikan ceramah Israk Mikraj kepada lebih 100 saudara baharu.
Ustaz Faiz Osman menekankan kepentingan hubungan manusia dengan Al-Quran dan solat sebagai tunjang kebahagiaan serta kejayaan hidup.
“Solat yang pada asalnya diwajibkan 50 waktu sehari diringankan menjadi 5 waktu dengan ganjaran pahala seolah-olah melaksanakan 50 waktu pada pertemuan Rasulullah bersama Nabi Musa AS,” jelas Ustaz Faiz Osman.
Antara mualaf muslimat yang hadir mendengar ceramah yang disampaikan.
Tekun…mualaf mendengar dan mencatat ceramah yang disampaikan.
Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah memimpin Halaqah Al-Quran, bacaan Yasin dan Tahlil bersama mualaf.
Mualaf mengikuti bacaan surah Yasin yang dipimpin oleh Ustaz Jais Mariappan.
Saudara baharu mengikuti bacaan Surah Yasin dan tahlil bersama-sama.
Ustaz Jais Mariappan memimpin bacaan Yasin dengan tartil dan tertib.
Bacaan perlahan yang mudah untuk saudara baharu mengikutinya.