Aktiviti Kebajikan

PERKIM Raikan Lima Pasangan Pengantin Silang Budaya

oleh : SRZ

KUALA LUMPUR, 26 NOVEMBER 2023 – Perkahwinan adalah jambatan penghubung sebuah keluarga dengan keluarga baru. Selain itu, pernikahan juga bertujuan memelihara nasab dan keturunan.

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menganjurkan Majlis Meraikan Pengantin Silang Budaya melibatkan lima pasangan pengantin Islam yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India, Iban dan warganegara dari Tunisia diadakan di Dataran Dakwah, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, tengah hari tadi.

Majlis tersebut dihadiri seramai 200 orang terdiri daripada pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) dan saudara baharu.

Majlis persandingan ini memperlihatkan sebahagian keunikan Islam sebagai agama yang syumul sekali gus menangkis prasangka bahawa Islam adalah milik orang Melayu sahaja.

PERKIM meraikan lima pasangan pengantin di kalangan saudara baharu yang baru sahaja diijab kabulkan pada tahun ini iaitu Nurul Julinica Ezra Nicholas bersama pasangannya, Muhammad Adib Daniel Mohammad Nasahruddin; Muhammad Jibril Abdullah dan Noor Fatimah Abdullah; Lee Siew Vee dan Abdel Aziz Gattoufi; Siti Aisyah Abdullah dan Muhammad Ibrahim Abdullah serta Muhammad Pham Uluthiat dan Khadijah Abdullah.

Menurut Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin, perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini membuktikan walaupun masyarakat negara ini berbeza budaya dan fahaman tetapi ia tidak menjadi penghalang menjalinkan hubungan yang baik di antara satu sama yang lain.

Katanya, dalam soal perkahwinan ia masih boleh mengekalkan amalan budaya masing-masing kerana Islam itu adalah agama yang sempurna untuk semua bangsa di dunia ini.

Jelas Dato’ Razali, PERKIM sebelum ini telah mengadakan majlis perkahwinan seperti ini pada tahun 2007 yang dirasmikan oleh Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad.

“PERKIM menganjurkan kali terakhir Majlis Perkahwinan Silang Budaya pada sembilan tahun lalu dan pada tahun ini kita menganjurkan semula bagi meraikan sekali gus memberi sokongan kepada saudara baharu yang baru mendirikan masjid.

“Walaupun di Malaysia budaya dominannya adalah budaya Melayu tetapi masyarakat atau bangsa lain masih boleh mengamalkan dan mengekalkan corak perkahwinan budaya masing-masing mengikut ketetapan dan syarak Islam.

“Perkara atau perkahwinan tidak semestinya perlu mengikut budaya Melayu kerana beranggapan untuk menghormati budaya itu di negara ini semata-mata,” kata Dato’ Razali semasa merasmikan Majlis Perkahwinan Silang Budaya di Bangunan Perkim, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya, kekecewaan mungkin berlaku di kalangan ahli keluarga sekiranya budaya asal bangsa tadi disisihkan dan ini boleh mewujudkan situasi yang tidak baik malah menimbulkan kerenggangan hubungan kekeluargaan.

Jelasnya, Islam menyeru penganutnya berbuat baik sesama ahli keluarga dan tidak menyekat umatnya kerana ia bersifat universal dan menerima setiap budaya selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

“Dalam perkara ini ia dapat meningkatkan imej dan martabat Islam pada pihak yang tidak jelas dengan sesuatu perkara tentang ajaran Islam itu sendiri malah memperlihatkan Islam sebagai sebuah agama bersifat sederhana dan menghormati kepelbagaian budaya dan bangsa dalam keluarga,” katanya.

Sementara itu pengarah program, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan berkata, memeluk Islam bukan alasan untuk meninggalkan keluarga atau menyisihkan mereka kerana berlainan agama.

“Tanggapan demikian perlu dikikis dan keluarga mesti dihormati terutama kepada kedua ibu bapa yang masih mengamalkan ajaran agama dan budaya asal mereka.

“Walaupun sudah bergelar seorang Muslim, mereka perlu memupuk hubungan yang lebih baik lagi dengan adik-beradik dan keluarga,” jelasnya.

“Apabila sudah bergelar suami isteri, pasangan juga perlu menjaga persefahaman yang baik di antara satu sama lain supaya tidak timbul sebarang masalah dan persengketaan,” ujar Munirah yang juga selaku Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan.

Dato’ Razali bersama Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasi PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad dan Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan, YBhg Datin Hajah Mawancik Che Jais berkesempatan menyampaikan hadiah-hadiah kepada setiap pasangan pengantin yang diraikan.
Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun serta Pengarah Unit Komunikasi dan Media PERKIM Kebangsaan, Firdaus Lokman Tah.

Sebelum itu, seramai 25 pasangan saudara baharu telah menghadiri Seminar Keluarga Bahagia Saudara Muslim bertempat di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini pagi tadi.

Seminar tersebut telah disampaikan oleh Kaunselor Berdaftar, YBhg Tuan Haji Hushim Haji Salleh dengan tajuk Konsep Rumah Tangga Dalam Pandangan Islam dan Tanggung jawab Sebagai Suami Isteri.

Haji Hushim yang juga merupakan Pengerusi PERKIM Cawangan Klang menekankan peserta supaya mengutamakan solat kerana solat merupakan tiang agama dan suami yang mempimpin keluarga hendaklah mementingkan solat secara berjemaah bersama keluarga kerana banyak kes yang dikendalinya pasangan bercerai kerana tidak mengutamakan solat.

Beliau membaca petikan Hadis Riwayat al-Bukhari, daripada Abu Said al-Khudri RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Solat orang yang berjemaah lebih afdhal berbanding orang yang solat secara bersendirian dengan 25 darjat.”

“Sesungguhnya solatku, sembelihanku, hidupku dan matiku, hanya semata-mata untuk Allah Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya. Maka, aku patuh kepada perintah-Nya, dan aku termasuk dalam kalangan orang yang aku berserah diri.” (Hadis Riwayat An-Nasa’ie)

Selain itu, beliau turut memperkenalkan konsep kasih sayang dalam Islam iaitu bercinta kerana Allah, kasih sayang menarik rezeki, kasih sayang sebagai salah satu amalan utama dan penting kasih sayang dalam Islam.

Haji Hushim yang juga Pengarah Urusan Hushim Motivational & Counselling Consultancy turut menekankan kepada peserta betapa pentingnya hak-hak isteri ke atas suami dan hak-hak suami ke atas isteri serta hak-hak bersama bagi suami isteri.

Beliau turut mengadakan aktiviti meningkatkan kebahagiaan di antara pasangan suami isteri saudara baharu.

Di akhir ceramah, Haji Hushim Salleh turut menghadiahkan buku berjudul ‘Psikologi Perkahwinan dan Keluarga Semakin Hari Semakin Sayang’ kepada peserta.


Ketibaan lima pasang pengantin silang budaya di perkarangan Bangunan PERKIM.


Tetamu kehormat PERKIM menyambut ketibaan pengantin pelbagai kaum yang diraikan.


Pertunjukan seni Silat Fatani Malaysia dipersembahkan kepada lima pasang pengantin.


Lima pasang pengantin silang budaya tiba di Dataran Dakwah Bangunan PERKIM.


Pasangan lima raja sehari duduk di meja makan beradab.


Suasana penuh ceria menyambut lima pasangan pengantin silang budaya anjuran PERKIM Kebangsaan.


Mohd Johnson Gantinius berketurunan Kadazan Dusun Muslim mengetuai majlis bacaan doa.


Kepimpinan PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan.


Barisan Raja Sehari mengaminkan doa yang dibacakan.


Dato’ Razali menyampaikan ucapan di Majlis Meraikan Pengantin Silang Budaya anjuran PERKIM Kebangsaan.


Saudara mara dan pelajar KPIPK hadir bagi meraikan pengantin.


Dato’ Razali berkata, dalam soal perkahwinan ia masih boleh mengekalkan amalan budaya masing-masing kerana Islam itu adalah agama yang sempurna untuk semua bangsa di dunia ini.


Muhammad Jibril Abdullah menyuapkan nasi ke mulut isterinya, Noor Fatimah Abdullah ketika majlis makan beradab.


Pengantin perempuan berbangsa Cina, Lee Siew Vee menyuapkan makanan ke mulut suaminya, Abdel Aziz Gattoufi yang merupakan warganegara Tunisia.


Nurul Julinica Ezra Nicholas merupakan pengantin berbangsa Iban menyuapkan nasi ke mulut pasangannya, Muhammad Adib Daniel Mohammad Nasahruddin.


Rakan-rakan mualaf hadir meraikan sahabat-sahabat mereka yang bergelar Raja Sehari.


Dato’ Razali menyampaikan hadiah kepada pasangan Lee Siew Vee dan Abdel Aziz Gattoufi.


Muhammad Jibril Abdullah dan isterinya, Noor Fatimah Abdullah menerima sebuah hadiah daripada Datin Mawanchik (dua dari kiri).


Pengantin berbangsa Cina, Muhammad Pham Uluthiat dan Khadijah Abdullah menerima hadiah daripada Datin Mawanchik.


Datin Mawanchik menyampaikan hadiah kepada pasangan pengantin Nurul Julinica Ezra Nicholas dan Muhammad Adib Daniel Mohammad Nasahruddin.


Siti Aisyah Abdullah dan Muhammad Ibrahim Abdullah menerima hadiah daripada penganjur.


Pasangan pengantin Lee Siew Vee dan Abdel Aziz Gattoufi memotong kek.


Pasangan pengantin, Muhammad Jibril Abdullah dan Noor Fatimah Abdullah dalam acara memotong kek.


Muhammad Pham Uluthiat dan Khadijah Abdullah memotong kek pengantin.


Kek pengantin dipotong oleh pasangan Raja Sehari, Nurul Julinica Ezra Nicholas dan Muhammad Adib Daniel Mohammad Nasahruddin.


Siti Aisyah Abdullah, Muhammad Ibrahim Abdullah bersama anaknya berkesempatan memotong kek pengantin.


Pada sebelah pagi, diadakan Seminar Keluarga Bahagia Saudara Muslim disampaikan oleh Kaunselor Berdaftar, Haji Hushim Haji Salleh.


Haji Hushim memberi penerangan terperinci berkenaan konsep rumahtangga dalam pandangan Islam kepada 30 pasangan saudara baharu.


Saudara baharu bersama pasangan mereka menghadiri Seminar Keluarga Bahagia.


Haji Hushim mengendalikan aktiviti mengenali pasangan masing-masing


Antara aktiviti yang dikendalikan oleh Haji Hushim yang menambahkan lagi kasih sayang di antara pasangan suami isteri.


Haji Hushim menghadiahkan salah satu bukunya berjudul ‘Psikologi Perkahwinan dan Keluarga Semakin Hari Semakin Sayang’ kepada pasangan saudara baharu.


Peserta Seminar Keluarga Bahagia Saudara Muslim bersama Haji Hushim dan Dato’ Razali bergambar dengan menunjukkan isyarat syahadah di akhir program.

Related Articles

Back to top button