PERKIM Perkukuh Kefahaman Saudara Baharu Cina Melalui Kursus Intensif Fardu Ain Mandarin
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 31 OGOS 2025 – Seramai 21 saudara baharu berketurunan Cina berusia antara 23 hingga 68 tahun telah menyertai Kursus Intensif Fardu Ain Saudara Baharu (Mandarin) selama tiga hari bermula 29 Ogos lalu di Hotel Grand Continental, Chow Kit dekat sini.
Kursus ini merupakan anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang bertujuan memperkukuh kefahaman agama dan memantapkan penghayatan Islam dalam kehidupan seharian para peserta.
Majlis perasmian kursus disempurnakan oleh Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin yang mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Dr Mohamad Marzuki Mohamad Omar.

Dato’ Razali dalam ucapannya menekankan bahawa kesyukuran adalah asas utama kehidupan seorang Muslim. Beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud: “Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambahkan nikmat-Ku; tetapi jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat pedih.”
Jelas beliau, syukur bukan sekadar di bibir tetapi mesti dizahirkan melalui penghayatan hati dan perbuatan. Nikmat paling besar yang diterima oleh para peserta pada hari ini ialah nikmat Islam. Ia bukan satu kebetulan tetapi pilihan Allah SWT yang memilih insan-insan tertentu untuk menerima hidayah.
Dato’ Razali yang juga menyampaikan ceramah motivasi bertajuk Erti Syukur dan Nikmat Islam mengingatkan peserta bahawa hidayah adalah anugerah istimewa daripada Allah, bukan milik semua orang. Sebagai contoh, beliau menyebut tentang Abu Talib, bapa saudara Nabi SAW yang tidak mendapat hidayah walaupun rapat dengan Rasulullah SAW.
“Saya mahu semua peserta sedar bahawa kalian adalah insan terpilih. Ramai di luar sana masih belum mendapat petunjuk,” ujarnya.
Dato’ Razali turut berkongsi bahawa sebab seseorang memeluk Islam berbeza-beza, sama ada kerana perkahwinan, persahabatan, mimpi atau pengalaman rohani, namun semuanya adalah asbab hidayah Allah.
Menurut beliau, tidak salah seseorang memeluk Islam kerana perkahwinan kerana ia juga merupakan jalan yang diatur oleh Allah. Beliau sendiri berkongsi pengalaman berumahtangga dengan isterinya yang juga seorang mualaf Cina dan hidup bersama selama lebih 40 tahun.
Beliau menegaskan bahawa orang yang baru memeluk Islam umpama kain putih yang bersih daripada dosa lalu. Syurga adalah janji Allah untuk orang yang mengucap syahadah, namun jalan ke sana bergantung kepada istiqamah dan amal soleh.
Justeru, beliau menggesa para peserta agar terus menuntut ilmu dan menghadiri bimbingan supaya tidak goyah dengan cabaran selepas memeluk Islam.

Menurut penyelaras program, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah, kursus ini disusun untuk memberi pendedahan menyeluruh kepada saudara baharu mengenai asas-asas penting dalam Islam.
Katanya, ramai mualaf masih memerlukan bimbingan dalam perkara asas seperti wuduk, solat, Rukun Iman dan Rukun Islam. “Kami mahu mereka yakin beribadah dan jelas tentang akidah,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa penyampaian dalam bahasa ibunda iaitu Mandarin, Kantonis dan Hokkien memberi kelebihan besar dari segi kefahaman.
“PERKIM mengambil pendekatan mesra budaya supaya setiap ilmu yang diajar dapat diserap dengan baik,” ujar Ustaz Jais Mariappan yang juga merupakan Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan itu.
Sepanjang kursus selama tiga hari, peserta mengikuti pelbagai sesi ilmu dan aktiviti bimbingan. Pada hari pertama, mereka diperkenalkan dengan objektif kursus melalui sesi suai kenal taklimat bersama Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah.
Hari kedua dimulakan dengan solat Subuh berjemaah yang dipimpin oleh Ustaz Jais Mariappan diikuti dengan slot ceramah “Rukun Iman” yang disampaikan oleh Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong dalam bahasa Mandarin, menghuraikan secara terperinci enam rukun iman.
Pada sesi berikutnya, Ustazah Masturina Maryam Wong selaku tenaga pengajar mualaf Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membimbing para peserta dalam slot ceramah bertajuk “Bersuci” yang menjelaskan konsep kebersihan rohani dan fizikal, jenis-jenis air, najis, istinjak, mandi wajib serta rukun wuduk.
Peserta dibahagikan kepada empat kumpulan bagi menjalani latihan praktikal berwuduk dan mandi wajib di kawasan kolam renang hotel serta diadakan latihan pergerakan dan bacaan dalam solat dikendalikan oleh barisan fasilitator.
Pada sebelah malam, tenaga pengajar mualaf JAWI, Ustaz Haji Mohd Amir Al-Karim Ng Abdullah turut menyampaikan slot “Rukun Islam” dalam bahasa Kantonis dan Mandarin dengan menghuraikan lima kewajipan utama seorang Muslim.
Selain itu, program turut diserikan dengan ceramah khas pada hari terakhir oleh Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, YBhg Dr Ann Wan Seng bertajuk “Pengurusan Keluarga Dalam Islam.”
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa perkahwinan dalam Islam bukan sekadar adat tetapi ibadah yang berpaksikan syarat dan rukun yang jelas. “Perkahwinan yang sah mengikut syariat melahirkan keluarga sakinah dan masyarakat yang kukuh. Jika asas ini tidak betul, ia menjejaskan institusi kekeluargaan,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa perkahwinan membawa keberkatan, rezeki, ketenangan dan mengelakkan maksiat. “Islam mengiktiraf fitrah manusia. Perkahwinan bukan sahaja menghalalkan hubungan, tetapi mengawal nafsu agar tidak terjebak dalam zina atau hubungan haram,” tambahnya.
Bagi melihat tahap kefahaman dan pencapaian peserta, fasilitator turut menandakan markah pada borang soal selidik yang merangkumi Rukun Iman, Rukun Islam dan bersuci.
Majlis penutup kursus diadakan dengan penyampaian sijil penyertaan dan sesi bergambar kenang-kenangan.
Dalam ucapannya, Ustaz Jais Mariappan turut menekankan bahawa kursus ini hanyalah permulaan dan peserta perlu terus menghadiri kelas susulan.
“Saudara baharu mesti terus hadir kelas susulan. Islam ini luas, mencakupi seluruh kehidupan. Jangan berhenti belajar,” pesannya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MAIWP, penceramah, urus setia, fasilitator dan para peserta yang sanggup datang dari jauh serta mengambil cuti kerja demi menuntut ilmu.
“Ingat, anda tidak keseorangan. PERKIM sentiasa ada untuk membimbing. Semoga Allah memberi kita semua kekuatan untuk istiqamah,” katanya.
Kursus ini membuktikan bahawa pendekatan mesra budaya dan bahasa mampu memberi kesan mendalam kepada saudara baharu. PERKIM optimis usaha ini akan melahirkan mualaf yang berilmu, berkeyakinan dan berperanan aktif dalam masyarakat.
Turut menjayakan program ini ialah fasilitator Ustaz Sulaiman Ding, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah, Norlailialpin Suratman dan Mariati Mohd Amin serta urus setia Azura Abdul Rahman dan Fatin Akmal Aksah.

Ustaz Farhan Tee selaku fasilitator menyampaikan taklimat kepada peserta kursus dalam Bahasa Melayu dan Hokkien.

Mualaf berbangsa Cina yang memeluk Islam kurang dari tiga tahun menyertai kursus tersebut.

Peserta kursus mendengar taklimat yang disampaikan.

Dato’ Razali menyampaikan ucapan mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM merakamkan penghargaan kepada MAIWP kerana penglibatan dalam penganjuran bersama.

Dato’ Razali turut menyampaikan ceramah motivasi bertajuk Erti Syukur dan Nikmat Islam dan sesi interaktif bersama peserta.

Dato’ Razali meminta salah seorang peserta berkongsi kisah memeluk Islam beliau.

Penyelaras program, Ustaz Jais Mariappan dalam ucapannya berkata bahawa kursus tersebut memberi pendedahan kepada mualaf Cina mengenai asas-asas penting dalam Islam.

Salah seorang peserta memperkenalkan diri dalam sesi ta’aruf atau suai kenal.

Peserta mualaf wanita turut memperkenalkan diri dan berkongsi kisah memeluk Islam.

Ustaz Jais Mariappan memimpin solat Subuh berjemaah bersama peserta.

Ustaz Jais Mariappan meminta salah seorang peserta mualaf untuk memimpin doa dalam Bahasa Mandarin.

Ustaz Sulaiman Ding menyampaikan slot ceramah bertajuk “Rukun Iman” kepada peserta dalam Bahasa Mandarin.

Ustaz Sulaiman menghuraikan secara terperinci enam Rukun Iman kepada peserta.

Pelajar menunjukkan cara membasuh muka dengan betul dalam sesi praktikal berwuduk.

Peserta membuat latihan praktikal cara mengambil wuduk yang sempurna.

Peserta meratakan air keseluruh tubuh badan dalam latihan mandi wajib sambil dibimbing oleh Ustaz Sulaiman.

Ustaz Sulaiman menerangkan kepada peserta keperluan berwuduk dan mandi wajib kepada peserta.

Ustaz Farhan Tee memberi penerangan kepada peserta kumpulan tentang bersuci.

Peserta kumpulan mendengar penerangan yang disampaikan oleh fasilitator, Norlailialpin mengenai bersuci.

Norlailialpin menunjukkan cara-cara membasuh muka kepada peserta kumpulan.

Norlailialpin menunjukkan cara membasuh tangan yang betul kepada peserta.

Ustazah Masturina Wong menyampaikan slot ceramah “Bersuci” kepada peserta dalam Bahasa Mandarin.

Ustazah Masturina menjelaskan konsep kebersihan rohani dan fizikal, jenis-jenis air, najis, istinjak, mandi wajib serta rukun wuduk.

Ustaz Sulaiman memimpin solat fardu dengan bacaan kuat (jahar) agar dapat diikuti oleh peserta.

Fasilitator, Mariati (berdiri) membimbing peserta dalam latihan praktikal solat.

Peserta mengangkat takbir sambil diperhatikan oleh fasilitator, Mariati.

Ustaz Farhan menunjukkan kaedah yang betul dalam rukuk ketika solat.

“Ada tujuh anggota sujud dalam solat,” kata Ustaz Farhan Tee sambil menunjukkan kepada peserta.

Ustaz Amir Ng menyampaikan slot ceramah bertajuk “Rukun Islam” kepada peserta dalam Bahasa Mandarin dan Kantonis.

Ustaz Amir Ng menghuraikan lima kewajipan utama dalam Rukun Islam sebagai seorang Muslim.

Dr Ann Wan Seng menyampaikan slot ceramah bertajuk “Pengurusan Keluarga Dalam Islam.”

Dr Ann yang juga Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM menekankan bahawa perkahwinan dalam Islam bukan sekadar adat tetapi ibadah yang berpaksikan syarat dan rukun yang jelas.

“Perkahwinan membawa keberkatan, rezeki, ketenangan dan mengelakkan maksiat,” jelas Dr Ann dalam ceramahnya.

Ustaz Jais Mariappan menyampaikan ucapan penutup dalam kursus tersebut.

Peserta kursus menerima sijil penyertaan disampaikan oleh Ustaz Jais Mariappan.

Ustaz Jais Mariappan menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta wanita mualaf Cina.

Peserta bergambar kenang-kenangan sambil menunjukkan sijil penyertaan mereka di akhir kursus.

Peserta menunjukkan isyarat kalimah syahadah sambil bergambar kenangan.



