PERKIM Negeri Sembilan Ziarah Pesakit
Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu’, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti (yang banyak berbuat kebajikan).” (Ali Imran: 193)
Amalan kebajikan yang dilakukan oleh seseorang sebenarnya adalah untuk menyucikan diri, sekaligus memberi manfaat kepada kehidupan kerana Islam menganjurkan umatnya agar saling bantu-membantu di mana yang sihat membantu yang sakit manakala yang kaya memberi kepada mereka yang memerlukan.
Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan dengan kerjasama Perkim Bahagian Negeri Sembilan berkesempatan menziarahi 70 pesakit di Hospital Tuanku Jaafar, Jalan Rasah, Negeri Sembilan pada 30 Jun 2016 lalu.
Dalam program itu, Perkim Kebangsaan bersama lapan ahli jawatankuasa Perkim Bahagian Negeri Sembilan menghulurkan buah tangan kepada 70 pesakit.
Rombongan ziarah itu diketuai oleh Bendahari Kehormat Perkim, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim.
Menurut Dr. Muhammad Rais, program ziarah itu bertujuan menyedarkan masyarakat tentang tanggungjawab sosial terhadap golongan yang memerlukan bantuan serta ia juga aktiviti yang sering dilakukan bukan sahaja di sekitar Lembah Klang malah juga di seluruh Malaysia menerusi Perkim bahagian atau cawangan.
Terangnya, program itu sebagai menyahut seruan kerajaan serta sokongan terhadap usaha dan tindakan yang diambil sebagai organisasi Islam yang prihatin. Mesej keprihatinan ziarah yang mulia ini dapat membuka mata masyarakat bertapa pentingnya amalan budaya menziarahi pesakit ini.
Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah SWT, nescaya penyeru (malaikat) akan berseru iaitu sebagaimana dalam hadis riwayat at-Tirmidzi yang bermaksud: “Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga!”
“Apatah lagi bagi mereka yang mengalami penyakit kronik, mereka ini perlu dikuatkan jiwa dan emosi supaya memberikan lebih berkeyakinan dan bersemangat untuk terus berjuang untuk melawan penyakit yang dideritai selama ini,”jelasnya.
Tambahnya, kata-kata perangsang dan simpati merupakan satu terapi yang boleh meringankan beban pesakit. Ini kerana, tanpa semangat yang kuat, pesakit tidak mempunyai kekuatan untuk mengharungi keperitan dan penderitaan akibat daripada penyakit yang ditanggungnya.
Terangnya lagi, kerja dan usaha seumpama ini memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa pesakit memerlukan sokongan untuk mengharungi detik-detik sukar mereka.
Beliau yang juga Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Sembilan itu berkata, ia bukan sahaja dapat merapatkan silaturahim malah mengeratkan perpaduan tanpa mengira batasan agama, bangsa dan warna kulit.
Mesej keprihatinan ziarah yang mulia ini dapat membuka mata masyarakat betapa pentingnya budaya menziarahi pesakit ini serta ganjaran yang Allah SWT sediakan kepada mereka yang menjadikan ini satu amalan.
Rombongan telah dibawa melawat ke Wad 2A di mana ia menempatkan pesakit-pesakit wanita manakala Wad 2B menempatkan pesakit lelaki.
Semoga kerjasama yang terjalin di antara Hospital Tuanku Jaafar dengan Perkim akan terus dilakukan untuk memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan dan berharap agar Perkim dapat mendedahkan aktivitinya melalui pameran untuk maklumat umum.
Sementara itu, Pegawai Perkim Bahagian Negeri Sembilan, Zafri Ismaiskandar Abd Ghani berkata, mereka yang mengalami penyakit kronik perlu dikuatkan jiwa dan emosinya agar dapat dibina semula keyakinan diri mereka, meskipun diduga dengan masalah kesihatan.
“Dengan menziarahi pesakit-pesakit kita dapat menyelami dan menghayati penderitaan mereka yang sedang menghadapi musibah,” ujar Zafri.
Ada di antara pesakit mengalami gangguan saraf, kecederaan kepala disebabkan kemalangan, mendapat rawatan saraf susulan, pembedahan kerana ketumbuhan, kanser tulang, keabnormalan semula jadi dan menjalani pembedahan plastik.
Di samping itu, rombongan Perkim turut menghiburkan pesakit dan menasihatkan terutamanya kepada waris pesakit supaya terus tabah serta bersama-sama mendoakan agar pesakit segera sembuh.
Turut hadir ialah Pengerusi Tetap Perkim Bahagian Negeri Sembilan, Dato’ Ismail Mohd Yassin; Naib Pengerusi Merangkap Setiausaha Kehormat Perkim Bahagian Negeri Sembilan, Dato’ Hj Ali Hj Ab Majid; Bendahari Perkim Bahagian Negeri Sembilan Suzlyana Mahayuddin; Pengerusi Ekonomi Perkim Bahagian Negeri Sembilan, Ibrahim Khan Bin Amanulla Khan; ahli jawatankuasa Perkim Bahagian Negeri Sembilan, Datin Asmah Md Rashid, Noor Azlina Dato’ Hj Sidek dan Mohd Khuzairie Sharif.
Kemudian rombongan meneruskan penjalanan ziarah ke kediaman mantan Pegawai Perhubungan Akhbar Perkim Bahagian Negeri Sembilan, Adam Shah Sendut bertempat di Bukit Kepayang, Seremban, Negeri Sembilan.
Walaupun kaki tidak mampu bergerak disebabkan beberapa penyakit yang dialami, namun warga emas yang lebih mesra dipanggil Cikgu Adam itu mula bersemangat dan rancak apabila ditemubual.
Cikgu Adam merupakan salah seorang guru kepada Dr. Muhammad Rais semasa menjadi murid darjah satu pada tahun 1952 dan Dr. Muhammad Rais sempat merasa belajar di bawah pokok mangga yang dijadikan sebagai kelas kerana ketiadaan sekolah yang berhampiran pada ketika itu.
Adam Shah yang berusia 84 tahun ketika diziarah itu menghidap penyakit buah pinggang dan penyakit gout yang menyebabkan bengkak pada kaki dan mengalami kesukaran untuk berjalan dan bergerak.
Di atas keprihatinan tersebut, Dr. Muhammad Rais bersama rombongan menyampaikan sumbangan kerusi roda baharu yang bernilai RM950 kepada Adam Shah sekali gus memindahkannya ke kerusi roda yang baharu.
Hasrat hati tertunai apabila cita-cita untuk menjadi seorang wartawan menjadi kenyataan setelah Adam Shah bersara dari guru pada tahun 1985 dan beliau telah menjadi seorang wartawan di Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Negeri Sembilan sebagai penulis skrip peristiwa dan berita-berita Kerajaan Negeri Sembilan sehingga tahun 2015.
Beliau yang juga ahli Perkim Negeri Sembilan yang ke sebelas itu telah menjadi Pengasas Suara Negeri Kerajaan Negeri Sembilan bermula tahun 1982 hingga 2005 dan turut menyandang jawatan Penolong Pengarang Suara Negeri Kerajaan Negeri Sembilan pada tahun yang sama.
Bekas Setiausaha Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Sekolah Kebangsaan (KKGSK), Adam Shah bersama isterinya Hajah Maimon Abu, 77, turut meluahkan perasaan gembira dan terharu kerana rombongan Perkim telah menziarahi serta memberikan sumbangan sekali gus mereka telah memberi keceriaan dan kesyukuran kepada kami.
Maimon sebelum ini pernah menyandang jawatan sebagai Setiausaha Wanita Perkim Negeri Sembilan semenjak tahun 1990 hingga 2015.
Adam Shah pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Wartawan 1996 dan turut dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negeri Sembilan pada tahun 2014.
Perkim Bahagian Negeri Sembilan mengadakan program ziarah di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.
Dr. Muhammad Rais menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada pesakit.
Jururawat menerima sumbangan daripada Bendahari Kehormat Perkim untuk diberikan kepada pesakit.
Salah seorang pesakit dikunjungi oleh rombongan Perkim yang diketuai oleh Dr. Muhammad Rais (tengah).
Dr. Muhammad Rais menyampaikan hamper kepada wakil hospital.
Pesakit menerima sumbangan daripada Dr. Muhammad Rais ketika diziarahinya di Hospital Tuanku Jaafar.
Rombongan Perkim menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada pesakit.
Rombongan Perkim menziarahi Adam Shah Sendut (kanan) selaku mantan Pegawai Perhubungan Akhbar Perkim Bahagian Negeri Sembilan di kediamannya di Taman Bukit Kepayang, Seremban.
Dr. Muhammad Rais (kiri) menyampaikan sumbangan kerusi roda baharu kepada Adam Shah.
Rombongan Perkim tidak ketinggalan merakamkan gambar kenangan bersama Adam Shah dan isterinya ketika menziarahi mereka.