Aktiviti Dakwah

PERKIM Selangor & MAIS Anjur Program Syura Pendakwah Saudara Muslim Cina

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.” (az-Zumar: 22)

Kaedah dakwah merupakan satu wadah penyampaian yang dilihat cukup berkesan untuk membina sahsiah mukmin dan melahirkan pendakwah-pendakwah di kalangan Saudara Muslim.

Dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menganjurkan Program Syura Pendakwah Saudara Muslim Cina Peringkat Kebangsaan 2016 bertempat di Hotel Impian Morib, Banting, Selangor pada 20 hingga 22 Mei 2016 baru-baru ini.

Program yang menghimpunkan 55 Saudara Muslim berketurunan Cina dari seluruh semenanjung itu mendapat kerjasama Pertubuhan Mualaf Malaysia dan sokongan Perkim Kebangsaan.

Amran AbdullahsPengarah Program, Ustaz Haji Amran Abdullah berkata, program tersebut diadakan bertujuan untuk menghimpunkan pendakwah-pendakwah Saudara Muslim Cina dari seluruh Malaysia bagi membincangkan kaedah-kaedah dakwah berkesan yang akan digerakkan sendiri oleh mereka di negeri masing-masing.

Program itu merupakan medan percambahan idea dan fikiran di kalangan pendakwah-pendakwah untuk mewujudkan penyelarasan dalam urusan kerja-kerja dakwah yang yang lebih berkesan sejajar dengan misi program tersebut iaitu memperkenalkan Islam sebagai agama yang sempurna kepada masyarakat Cina di Malaysia secara berkesan dengan pencapaian 30 peratus pengislaman menjelang tahun 2030.

Jelas Amran yang juga Pengerusi Pertubuhan Mualaf Malaysia, program tersebut merupakan cetusan idea oleh beberapa orang pendakwah dan Ahli Majlis Kebangsaan Perkim untuk mengerakkan kerja-kerja dakwah yang tersusun di kalangan pendakwah Saudara Muslim Cina di seluruh Malaysia.

Sekurang-kurangnya program tersebut dapat mengenalpasti kelemahan dan tahap perlaksanaan kerja-kerja dakwah yang telah dilakukan selama ini.

“Program itu menggunakan sepenuhnya bahasa ibunda (Mandarin, Hokkien dan Kantonis) bagi melancarkan komunikasi dan kefahaman dan ia juga merupakan salah satu alternatif untuk mendedahkan ilmu dakwah yang pelbagai khusus untuk masyarakat Cina,” kata Amran selaku kakitangan Unit Perancangan, Penyelarasan dan Perlaksanaan Perkim Kebangsaan.

Ia juga bertujuan untuk memilih pendakwah-pendakwah yang mampu menggerakkan dakwah serta komited dalam melakukan sebarang kerja-kerja dalam berdakwah.

Selain itu, pendakwah juga turut diberi peluang untuk mencambah idea, pandangan atau pemikiran bagi memperkasakan lagi pendekatan dakwah kepada Saudara Muslim Cina dan masyarakat Cina khususnya.

Menurut Amran, melalui program tersebut, ianya dapat mengenalpasti halangan-halangan pendakwah Saudara Muslim Cina dari seluruh Malaysia dan cara mengatasinya.

Program itu juga diadakan untuk berkongsi pengalaman peserta dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat Cina dan merangka strategi terkini dalam menyampaikan dakwah.

Ini adalah suatu perjuangan yang besar untuk meneruskan usaha-usaha dakwah kepada mualaf. Di Malaysia begitu banyak badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Saudara Muslim wujud ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Mereka yang telah bersyahadah adalah golongan yang perlu diberikan perhatian kerana mereka sangat hampir dengan ibu, bapa, adik, kakak, abang dan saudara mereka yang bukan Islam. Masyarakat bukan Islam akan melihat mualaf sebagai testimoni produk Islam. Baik atau buruknya Islam, mereka akan lihat kepada mualaf.

Kita harus memastikan kebajikan mualaf terpelihara kerana terdapat juga beberapa perkara yang kita terlepas pandang. Misalnya setelah memeluk Islam kehidupan berubah menjadi miskin dan meminta sedekah sedangkan sebelumnya merupakan ahli perniagaan tersohor,

Menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mualaf memahami Islam dengan sepenuhnya, Masuk Islam tidak bermaksud masuk Melayu. Islam meraikan kepelbagaian bangsa untuk saling kenal-mengenal. Tunjukkan akhlak yang baik kepada mereka dan kepada yang bukan Islam.

Ahmad Fauzi Siva AbdullahsSementara itu, Eksekutif Unit Latihan dan Perkaderan MAIS, Ustaz Ahmad Fauzi Siva Abdullah berkata, matlamat program syura itu bersama Perkim Selangor ialah menyatukan pendakwah di kalangan mualaf Cina dalam usaha, teratur, kemas dan efektif.

Program tersebut diadakan untuk menyahut perintah ‘amar makruf nahi mungkar’ selain memberi kefahaman dan penghayatan Islam khususnya kepada pendakwah untuk disampaikan kepada masyarakat Cina.

Ia dilaksanakan supaya tidak ada pertindihan program dan tidak mahu dilabelkan sebagai program yang hanya melepaskan batuk di tangga kerana program tersebut dilihat dapat melahirkan pendakwah profesional sekali gus mentransformasikan Saudara Muslim yang berkualiti serta berjaya di dunia dan akhirat.

Cetusan idea dan cambahan fikiran di kalangan Saudara Muslim Cina menjadikan mereka bersatu dalam satu fikrah.

Dengan adanya program seperti itu, kita telah melangkah dengan jayanya pada separuh langkah dalam melengkapi halangan-halangan dan kejayaan dalam berdakwah dalam satu naungan dan wadah.

Program seperti ini perlu diadakan kerana mengambil sunnah Rasulullah SAW, di mana Baginda sendiri yang telah menjalankan dakwah bukan sahaja di negeri Arab tetapi meliputi seluruh dunia dari timur ke barat.

Banyak input yang dapat diambil dari program kali ini melalui perkongsian para ilmuan Cina yang tersohor seperti Prof. Dr Taufiq Yap, Nicholas Sylvester, Dr. Ann Wan Seng dan Hafiz Ng. Pendekatan dakwah yang disampaikan dapat membantu para peserta menyebarkan dakwah kepada masyarakat Cina yang masih belum memeluk Islam dengan kaedah yang berbeza  tetapi masih berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

Pihak MAIS mengharapkan kesepakatan membina satu fikrah dakwah yang telah dipersetujui bersama pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Majlis Agama Islam Negeri-negeri dapat dilaksanakan. Walaupun berbeza pendapat dan pendekatan, tetapi dalam waktu yang sama kita perlu ada satu fikrah yang dapat menyatukan semua pendakwah-pendakwah Cina Muslim supaya hasilnya itu lebih berkesan.

Program syura tersebut akan dijadikan program berkala setelah melihat beberapa aspek melalui maklum balas daripada peserta dan resolusi.

Peranan pendakwah lebih mudah dan teratur dengan adanya penganjuran khusus yang dilaksanakan oleh MAIS, Perkim Bahagian Negeri Selangor dan Pertubuhan Mualaf Malaysia di samping sokongan daripada NGO-NGO seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Al-Hidayah, Hidayah Centre Foundation  supaya para pendakwah boleh bergerak dengan lebih baik lagi.

Mais mengharapkan umat Islam dapat bersatu padu di atas nama dakwah dan akidah  dengan mengadaptasi segala risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW seperti yang diwar-warkan oleh ulama’, para pendakwah mahupun jabatan agama.

MAIS turut berhasrat menganjurkan Konvensyen Saudara Muslim pelbagai kaum dan etnik pada masa akan datang.

Sesi taklimat dan taaruf (suai kenal) disampaikan oleh Ustaz Noor Lee Abdullah selaku Pegawai Dakwah MAIS.

Noor Lee turut memimpin slot bengkel kaedah berdakwah berkesan yang diadakan sepanjang ianya berlangsung.

Noor Lee turut menegaskan kepada pendakwah supaya berhijrah untuk mempertingkatkan ilmu perbandingan agama dengan membuat beberapa penyelidikan dan mengkaji mengenai latarbelakang agama lain agar mudah untuk berkomunikasi dan memberi penerangan kepada mereka yang belum Islam dengan berhikmah.

Peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan dan mengadakan persembahan kumpulan bertajuk ‘Pelan Tindakan Dakwah Kebangsaan (Masyarakat Cina)’

‘Wacana Minda Bersama Pendakwah’ pula merupakan tajuk forum yang dipengerusikan oleh Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah selaku Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Perlaksanaan Perkim serta disampaikan oleh empat ahli panel iaitu Dr. Ann Wan Seng dari Persekutuan Seruan Islam (Jam’iyah) Selangor & Wilayah Persekutuan, Ustaz Taufik Tee Abdullah dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Ustaz Mohd. Hafiz Ng dari Macma Ipoh dan Wahab Mah Abdullah dari Macma Kluang berkongsi dan berdiskusi bersama peserta.

Forum tersebut turut menyampaikan kaedah berdakwah melalui ‘Comparative Religion Sharing’ (CRS) iaitu dengan cara mengkaji, mengenal pasti menganalisis dan memahami agama lain melalui teknik perbandingan agama.

Program disusuli dengan pelbagai aktiviti membabitkan solat berjemaah, kuliah selepas solat, bengkel dan persembahan kumpulan.

Bagi menyuntik semangat idealogi dan uslub dakwah kepada para daie, diadakan ‘Bengkel Hala Tuju Dakwah Untuk Masyarakat Cina’ yang disampaikan oleh Pengerusi Hidayah Centre Foundation, Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah.

Beliau turut menyampaikan kaedah analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, tentangan, peluang, ancaman) yang perlu disiap siaga oleh pendakwah.

Nabila Shila Lama Abdullah daripada Yayasan Mualaf Malaysia turut menyampaikan slot bertajuk ‘Pengenalan Penubuhan Agensi-Agensi Mualaf’.

Beliau turut berkongsi bersama peserta mengenai peranan dan perkhidmatan yang disediakan oleh Koperasi Permodalan Mualaf Berhad iaitu perkhidmatan perumahan untuk membantu mualaf yang memerlukan rumah dan perkhidmatan perniagaan untuk membantu mualaf dalam perniagaan.

“Yayasan Mualaf Malaysia pula berperanan melaksanakan Persidangan Mualaf Malaysia yang diharapkan akan berlangsung pada tahun 2016 ini yang pendapat penajaan daripada beberapa syarikat serta program tersebut akan menghimpunkan 1,000 orang mualaf dari seluruh Malaysia di mana 100 orang daripadanya terdiri daripada ulama dan pendakwah profesional mualaf untuk membincangkan perihal kejayaan dan masalah mualaf atau lebih dikenali sebagai Saudara Muslim,” jelas Shila.

Agensi Pertubuhan Mualaf Berhad pula melaksanakan aktiviti seperti kelas asas fardu ain, kelas pemurnian akidah, bengkel motivasi, kaunseling, dakwah susulan, aktiviti kebajikan dan lain-lain.

Ahmad Shahir MakhtarsMajlis disempurnakan perasmiannya oleh Pengarah Pembangunan Sosial Sektor Pembangunan Sosial MAIS, Haji Ahmad Shahir Makhtar.

Shahir dalam ucapannya berkata, program syura yang julung kali diadakan di Morib melibatkan pendakwah-pendakwah Muslim Cina di Semenanjung bersandarkan kepada objektif iaitu merangka strategi berdakwah kepada masyarakat Cina bukan Islam di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan perkara yang berkaitan dengan mualaf. Program yang sama telah diadakan sebelumnya di Shah Alam khusus bagi pendakwah India.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada peserta kerana sudi meluangkan masa dan berkorban tenaga serta meninggalkan seketika orang yang tersayang di rumah atau di kampung semata-mata untuk turut serta bersama-sama memberi idea, pandangan dan cadangan bagi memastikan program yang telah diaturkan dapat berjalan dengan lancar.

Ucapan tahniah juga diucapkan kepada Shila Lama kerana beliau sedaya upaya menghimpunkan mualaf berbangsa Cina dari beberapa agensi dalam memastikan perjuangan dakwah wanita mualaf di Malaysia terpelihara dan berjalan dengan baik.

Jelasnya, peningkatan kutipan zakat Selangor melalui perbankan internet telah berjaya diinovasikan dari semasa ke semasa oleh pihak MAIS. Pemberian bantuan zakat yang telus menunjukkan sistem pengurusan MAIS terhadap kebajikan mualaf semakin mantap di samping menitikberatkan keperluan asnaf yang lain.

Sejajar dengan perkembangan teknologi kini, proses pengagihan zakat kepada saudara baru boleh dilakukan  dengan cukup mudah. Begitu juga yang berlaku dalam proses pendaftaran pengislaman boleh dilaksanakan secara atas talian.

“Saya mengandaikan pertemuan yang berfokus kepada pendakwah Muslim Cina pada hari ini adalah bergantung kepada minat para peserta sendiri,” ujar Shahir.

Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu telah berjaya merangka strategi dan idea-idea baru dalam penambahbaikan mutu pendakwah yang boleh dilaksanakan pada kelas pengajian Islam dalam pelbagai bahasa ibunda seperti Mandarin dan Tamil.

Pendakwah mualaf perlu mendekati golongan yang berpotensi untuk memeluk Islam dan mempunyai minat yang mendalam terhadap Islam. Kita tidak boleh bergerak secara bersendirian dan sehala tanpa meminta sokongan daripada para sahabat Muslim yang lain. 

Berdakwah kepada keluarga bukan Islam pastinya berhadapan dengan pelbagai ujian. Sebagai manusia, kita perlu mempunyai kesabaran dalam menghadapi cabaran sosial sama ada ketika masih mukalaf atau mualaf. Selain itu perlu banyak menghadiri majlis ilmu dan sentiasa bersedia dengan dugaan yang mendatang.

Seperti yang kita sedia maklum, kes murtad adalah yang paling mencabar serta perlu dipandang serius selain cabaran-cabaran sosial yang lain seperti penagihan dadah dan hubungan songsang di kalangan sesama umat Islam.

Shahir juga berharap, melalui diskusi tersebut kita akan cuba mencari jalan penyelesaian terutama yang melibatkan program kebudayaan yang tidak berkaitan dengan upacara agama seperti Tahun Baru Cina dan Deepavali. Peningkatan saudara baru di kalangan masyarakat Cina di Selangor saban tahun semakin meningkat, maka dengan ini usaha dakwah terhadap orang-orang Cina perlu dipergiatkan lagi.

Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan dan hadiah kepada peserta.

Turut hadir ialah Pegawai Dakwah Perkim Bahagian Negeri Selangor, Ustaz Mohd. Yusoff Ahmad.


001
Ustaz Noor Lee Abdullah memimpin dan mengendalikan program yang diadakan sepanjang ianya berlangsung.

002
Forum bertajuk Wacana Minda Bersama Pendakwah yang disampaikan oleh (dari kiri:) Muhammad Farhan Tee, Mohd. Taufik Tee, Mohd. Hafiz Ng, Dr. Ann Wan Seng dan Wahab Mah.

003
Para pendakwah menyaksikan forum yang disampaikan.

004
Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong (kanan) menyampaikan kuliah Subuh.

005
Kumpulan 1 menyediakan idea, pandangan dan khidmat di dalam perbincangan bengkel.

007
Peserta bersama-sama mengemukakan pandangan dan buah fikiran di dalam sesi perbincangan.

008
Kumpulan 2 membuat latihan sebelum persembahan diadakan.

009
Mohd. Danial Au menyampaikan persembahan di bengkel Pelan Tindakan Dakwah Kebangsaan.

010
Masyitah Choon turut menyampaikan dengan gaya dan pendapat yang tersendiri.

011
Ridhuan Lau (kiri) yang mengetuai kumpulan 2 menyampaikan persembahan di bengkel tersebut.

012
Peserta kumpulan 3 menyampaikan pandangan dan pendapatnya di dalam sesi tersebut.

013
Peserta kumpulan memberikan penerangan melalui tulisan dan kata-kata dalam bahasa ibunda mereka.

014
Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin selaku Pengerusi MACMA mengemudikan slot Bengkel Pelan Tindakan Dakwah Kebangsaan (Masyarakat Cina).

015
Pelan Tindakan Dakwah Kebangsaan (Masyarakat Cina) merupakan tajuk yang disampaikan oleh Pengerusi Hidayah Centre Foundation, Hj. Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah.

016
Peserta mencatat beberapa kaedah dan fakta yang penting sewaktu pembentangan yang dilakukan oleh Nicholas Sylvester.

017
Peserta menadah tangan ketika doa dibacakan.

018
Solat lima waktu merupakan asas utama bagi para daie dalam melaksanakan usaha dan kerja dakwah.

019
Peserta bersama-sama mengemukan idea dan cadangan untuk menyempurnakan resolusi.

020
Ustaz Mohd. Taufik Tee menyampaikan kuliah Subuh kepada peserta.

021
Peserta mendengar amanat dan pesanan yang disampaikan melalui kuliah tersebut.

022
Antara peserta yang hadir di program tersebut.

023
Tekun…peserta mengambil ilmu ketika ceramah disampaikan.

024
Majlis Perasmian Penutup Program Syura Pendakwah Saudara Muslim Cina Peringkat Kebangsaan.

025
Peserta mengaminkan doa ketika doa dibacakan.

026
Ridhuan Lau menyampaikan ucapan selaku wakil pendakwah.

027
Pengarah program, Amran Abdullah menyampaikan ucapan aluan.

028
Majlis diserikan lagi dengan ucapan perasmian oleh Haji Ahmad Shahir Makhtar.

029
Pengarah Pembangunan Sosial, Sektor Pembangunan Sosial MAIS, Haji Ahmad Shahir menyampaikan nasihat dan semangat bagi para pendakwah.

030
Shahir (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ridhuan Lau (kanan).

031
Shahir (kanan) menyampaikan hamper kepada ibu Shila Lama yang masih belum memeluk Islam.

032
Ustaz Mohd. Yusoff Ahmad (tengah) menyampaikan hamper kepada Shahir (kanan).

033
Pendakwah lelaki bersama-sama merakamkan gambar di akhir program.

034
Peserta wanita turut tidak ketinggalan mengambil gambar kenang-kenangan bersama tetamu kehormat.

035
Keikhlasan wajah ceria urus setia Program Pendakwah Saudara Muslim Cina Peringkat Kebangsaan 2016

untuk melihat lagi gambar sila ke pautan ini>>>facebook-logo-spaced

Related Articles

Back to top button