PERKIM Hulur Sumbangan Aidilfitri Buat Mualaf
Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Ali Imran: 133-134)
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri 1437H kepada Saudara Muslim bertempat di Bangunan Perkim, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada 1 Julai 2016 lalu.
Majlis tersebut telah menghimpunkan seramai 300 orang yang terdiri daripada Saudara Muslim berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan, Bidayuh, Sikh, Indonesia dan Filipina.
Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dalam ucapan perasmiannya melahirkan rasa syukur dan gembira kerana dapat bersama para hadirin yang terdiri dari pelbagai bangsa dan keturunan tetapi berpegang teguh kepada satu agama yang sama iaitu Islam.
Menurutnya, Islam tidak mengira bangsa kerana Islam meraikan kepelbagaian bangsa.
Mereka yang pernah melaksanakan ibadah umrah atau haji di Mekah pasti melihat keadaan ribuan manusia yang berbilang bangsa. Manakala di kaabah (Mekah) itu menjadi tumpuan ibadat bagi semua bangsa tidak kira sama ada mereka dari keturunan Cina, Inggeris, India dan lain-lain. Mereka adalah sama seperti kita iaitu mempunyai keimanan dan mentauhidkan Allah SWT, kerana kehidupan kita semua di dunia ini hanya sementara sahaja dan akan kembali menemui Ilahi.
Dr. Mohd. Yusof menyarankan supaya masyarakat Islam mengamalkan sikap terpuji seperti melakukan kebaikan, bertimbang rasa, tolong-menolong dan sabar serta menahan diri dari sifat mazmumah seperti marah dan perkara yang dilarang Allah.
Beliau turut mengajak tetamu yang hadir bersyukur kepada Allah SWT kerana majlis yang diadakan dapat mengeratkan silaturahim dan ikatan ukhwah Islamiah sesama mereka.
Ujarnya lagi, cara yang paling baik untuk menolong sesama manusia ialah mendoakan sahabat atau kawan-kawan kerana Allah akan memberikan rahmat melalui doa yang dipanjatkan kepadaNya.
“Saya bersyukur kepada Allah kerana semua hadirin berada di dalam keadaan yang sihat. Sekiranya ada daripada keluarga yang jatuh sakit, kita memohon agar Allah pulihkan segera dan memberi kesembuhan. Hari ini mungkin dia yang sakit, esok pula mungkin kita yang sakit, semua orang akan sakit, apa yang penting kita memohon doa kepada Allah supaya sihat seperti sediakala,” kata beliau.
Hari ini adalah hari yang mulia kerana malam ini merupakan malam yang ke-27 atau lebih dikenali sebagai malam tujuh likur di kalangan org Melayu. Jika kita banyak melakukan ibadah maka pahala pun bertambah banyak.
Di sini kami hanya menyampaikan sedikit sumbangan sahaja seperti perbelanjaan barang dapur. Mohon agar mendoakan kebaikan semua.
Majlis diserikan lagi dengan penyampaian sumbangan Aidilfitri yang disampaikan oleh Dr. Mohd. Yusof kepada 250 penerima di antaranya ialah warga orang kelainan upaya (OKU), penyakit kronik, mangsa kemalangan, ibu tunggal, duda, individu yang bercerai, warga emas dan pelajar kelas Perkim yang terdiri daripada Saudara Muslim.
Turut serta lain-lain kategori iaitu seramai 42 penerima sumbangan di kalangan ketua isi rumah yang mempunyai tanggungan yang ramai, individu yang berhutang, gelendangan dan golongan asnaf yang baru memeluk Islam. Selain itu terdapat juga kategori khas iaitu mereka yang turut hadir memeriahkan majlis.
“Sekurang-kurangnya melalui sumbangan tersebut dapat mengurangkan bebanan yang dialami para penerima,” katanya
Sebelum itu diadakan tazkirah bertajuk Lailatul Qadr yang disampaikan oleh Pengerusi Hidayah Centre Foundation, Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah kepada para hadirin.
Sementara itu, Dr Mohd. Yusof berkata, manusia yang terbaik ialah menjalankan aktiviti dakwah. Ini akan menjadikan komuniti Muslim lebih bersatu padu melalui perkataan saya adalah Islam dan kita adalah bersaudara.
Setakat ini Perkim telah mengeluarkan ratusan ribu risalah menerusi lapan bahasa iaitu Bahasa Jepun, Bahasa Mandarin, Bahasa Russia, Bahasa Jerman, Bahasa Korea, Bahasa Tagalog (Filipina), Bahasa Spain dan Bahasa Tamil. Kaedah ini jelas menunjukkan Perkim begitu komited dalam berkongsi ilmu berkaitan agama Islam kepada semua dengan cara yang mudah difahami dengan kos pencetakan melebihi RM300,000.
Sepanjang Ramadan permintaan dan penyebaran risalah mencecah lebih 10,000. Akibat dari permintaan yang semakin meningkat ini Perkim berhasrat mengedarkan risalah di kawasan tumpuan orang ramai seperti di sekitar bazar Ramadan mahupun hotel-hotel yang membuat perkhidmatan berbuka puasa.
Dalam konteks sosial, bazar Ramadan boleh menjadi saluran kepada orang-orang bukan Islam misalnya, pelancong yang datang ke Malaysia pada bulan puasa. Menurut perspektif saya mereka tertarik dan berminat untuk mengetahui Islam ini kerana dapat merasai suasana sebenar dan nikmat orang Islam berpuasa di samping wujudnya bazar-bazar tersebut khususnya di bulan Ramadan.
Namun begitu tidak banyak organisasi Islam yang menggunakan pendekatan menyebarkan risalah-risalah dalam pelbagai bahasa untuk menyampaikan dakwah Islamiah sedangkan sambutan daripada masyarakat asing bukan Islam untuk mengetahui Islam semakin memberangsangkan.
Hal ini dibuktikan menerusi peningkatan kedatangan pelancong asing ke beberapa buah masjid utama di kawasan bandaraya seperti Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk mengetahui budaya Islam walaupun ianya merupakan tempat ibadah.
Perkim akan berusaha untuk memastikan pertambahan bilangan pendakwah dalam aspek memberikan penerangan menerusi komunikasi lisan dan bercetak seperti risalah, selain mampu berhujah dengan baik dalam menjawab beberapa persoalan keagamaan. Setakat ini Perkim tiada perancangan lagi untuk membuat satu institut pelbagai bahasa, tetapi Perkim sudah mula merasai bahawa pendakwah mesti terdiri daripada mereka yang mahir dalam pelbagai bahasa.
Mereka tidak boleh berdakwah dengan hanya satu bahasa sahaja kerana risalah Islam akan lambat berkembang. Disebabkan ini Perkim mencari jalan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak sama ada universiti atau institusi yang mempunyai kepakaran berbahasa misalnya dari Malaysian Muslim bagi mendapatkan khidmat dalam memudahkan komunikasi berbahasa Spain, Mandarin,Tagalog dan sebagainya.
Ihya’ Ramadan merupakan aktiviti tradisi yang dijalankan pada setiap tahun oleh Perkim. Antara pengisiannya ialah ceramah Ramadan, tadarus, majlis berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak, tarawih dan moreh serta qiamulail bersama Saudara Muslim.
Perkim mensasarkan fokus kepada kekeliruan masyarakat supaya tidak mempercayai dan menerima sesuatu maklumat dari sumber yang tidak tepat atau orang ketiga yang tidak mempunyai pengetahuan Islam kerana akhirnya akan menimbulkan salah faham. Tentunya pihak ketiga ini kadangkala mempunyai kepentingan sendiri atau skeptical terhadap Islam maka golongan akan mencari orang lain supaya skeptikal jugak terhadap Islam.
Ada beberapa pihak cuba memburukkan imej Islam dan Malaysia dengan menimbulkan isu laungan azan yang kononnya menggangu ketenteraman. Sedangkan jika bertanya kepada pelancong yang hadir ke Malaysia mereka mendapati bahwa Muslim di sini tidak menjadi punca berlakunya huru-hara sekaligus menangkis tohmahan tersebut. Malah mereka mampu menghayati dan melihat sendrir tidak ada perkara yang menyebabkan kesukaran jika azan berkemundang.
Malaysia merupakan negara yang memberikan mereka pelindungan dan ketenteraman. Antara program ulung Perkim suatu ketika dahulu adalah membantu minoriti Islam yang tertindas dari Kemboja, Burma, Bosnia atau mana-mana negara yang mundur dan bergolak. Perkim juga mempunyai penempatan untuk memberi pertolongan kepada golongan yang susah atau mengalami kesulitan akibat daripada sesuatu masalah, maka Perkim bantu atas dasar kemanusiaan sehingga sekarang. Sehingga kini Perkim masih lagi meneruskan agenda dengan menyalurkan bantuan kepada pelarian-pelarian dari negara yang mempunyai minoriti Muslim seperti Rohingya.
“Saya yakin Islamic State (IS) merupakan satu gerakan yang ditubuhkan oleh satu kuasa besar dunia untuk memberi gambaran negatif terhadap untuk memporak-porandakan masyarakat,” tambah Dr. Mohd. Yusof.
Katanya lagi, kerana itulah kumpulan tersebut dinamakan sebagai IS. Tetapi bagi mereka yang ingin mengetahui kehidupan Islam yang sebenarnya, mereka harus mendalami ilmu berkaitan Islam itu sendiri. Pendamaian Islam jelas berlaku di Mekah walaupun di sana berkumpulnya umat manusia dari pelbagai bangsa dan negara yang berbeza namun Islam menyatukan mereka kerana berpegang kepada prinsip agama yang sama.
Jika Islam benar-benar mengancam keselamatan atau menimbulkan huru-hara sudah pastinya Mekah adalah tempatnya. Tetapi kenapa berlaku di Syria? Kenapa berlaku di Iraq? Hal ini bermakna negara-negara tersebut telah didatangi oleh pelbagai jenis kumpulan manusia yang sudah tidak terkawal lagi untuk menjatuhkan imej Islam.
Idea ini bukan hasil ciptaan Islam, tetapi adalah hasil daripada ciptaan keghairahan untuk menguasai sumber kekayaan negara-negara Islam. Mereka mencipta pelbagai helah untuk memudahkan mereka masuk ke dalam negara-negara.
Bagi Perkim, apa yang penting ialah kita perlu sedaya upaya memberi gambaran yang jelas berkaitan imej Islam secara berterusan bukan hanya ketika timbulnya sesuatu isu yang menjatuhkan Islam seperti IS.
Turut hadir ialah, Penolong Setiausaha Agung Perkim, Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Pengarah Unit Perancangan, Penyelidikan dan Perlaksanaan (UPPP) Perkim, Haji Mamat Che Chik; Timbalan Pengarah UPPP Perkim, Dato’ Haji Abdul Hanif Harun dan Penyelaras Unit Komunikasi dan Media Baru, Dato’ Ahmad Mustafa.
Antara 300 Saudara Muslim yang hadir di Majlis Sumbangan Aidilfitri 1437H diadakan di Bangunan Perkim, Jalan Sultan Azlan Shah ibu negara.
Tetamu yang hadir merupakan penerima sumbangan Aidilfitri 1437H.
Tetamu kehormat menadah tangan ketika doa dibacakan.
Saudara Muslim mengaminkan doa sempena majlis yang dianjurkan.
Haji Suhaimi yang merupakan salah seorang pelajar kelas Perkim mengetuai majlis bacaan doa.
Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Dr. Mohd. Yusof menyampaikan ucapan perasmian di majlis tersebut.
Saudara Muslim mendengar amanat dan nasihat yang disampaikan oleh Dr. Mohd. Yusof.
Nicholas Sylvester selaku Pengerusi Hidayah Centre menyampaikan tazkirah bertajuk Lailatul Qadr.
Dr. Yusof Noor bersalaman dan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada Saudara Muslim.
Saudara Muslim menerima sumbangan daripada Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Dr. Mohd. Yusof (tengah).
Penerima bagi kategori khas turut diberikan sumbangan oleh Dr. Mohd. Yusof.
Mualaf turut diraikan sebagai penerima sumbangan Perkim.
Dr Mohd. Yusof menyampaikan sumbangan kepada mualaf.
Kegembiraan terpancar di wajah penerima sumbangan kategori OKU.
Pelajar kelas Perkim turut tersenarai sebagai penerima sumbangan Aidilfitri.
Dr. Mohd. Yusof (dua dari kanan) memperkenalkan risalah dakwah pelbagai bahasa yang akan dikhususkan di tempat tumpuan pelancong.
Di antara risalah dakwah yang diperkenalkan oleh Dr. Mohd. Yusof pada sidang media baru-baru ini.