Aktiviti Dakwah

PERKIM Hadir Amanat Perdana Menteri Membangun Malaysia Madani

PUTRAJAYA, 19 JANUARI 2023, “Memahami Madani ini ialah sekadar menginsafi bahawa tanggungjawab kita mengangkat martabat insan sebagai karamah insaniah yang berpaksikan kepada keyakinan, nilai dan akhlak, tatakelola yang adil dan berkesan,” kata Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ketika menyampaikan amanatnya kepada lebih 1,000 orang terdiri daripada Jemaah Menteri, penjawat awam, badan bukan kerajaan serta agensi kerajaan dan swasta bertempat di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dekat sini.

Pegawai Tadbir Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, Mohd Syahril Rosdi Ahmad Zahudi hadir bagi mewakili Setiausaha Kerja Pentadbiran dan Program PERKIM Kebangsaan, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik untuk mendengar intipati amanat yang disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia Kesepuluh itu.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra Putrajaya, YBhg Ustaz Haji Salahuddin Haji Ghozali.

Menurut Anwar, Madani pada asasnya merupakan kepercayaan antara kerajaan dengan rakyat atas dasar ketelusan dan kerjasama.

“Malaysia Madani merupakan sebuah kerangka visi baru buat negara, suatu ikhtiar nirmala yang bersepadu dan holistik, bertunjangkan dasar-dasar yang berorientasikan masa depan untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang moden, maju, terampil dan terangkum.

“Malaysia Madani mewakili enam rukun iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan) yang menjadi tonggak dalam memeta hala tuju Malaysia menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.

“Ia dikarang hasil daripada pengalaman lebih empat dekad di dalam bidang perkhidmatan awam, mengepalai beberapa kementerian dalam kerajaan, menerajui beberapa badan antarabangsa, serta menjadi pendidik di beberapa universiti berprestij di dunia.

“Wahana utama yang menjadi teras Malaysia Madani akan bertunjangkan empat teras strategik utama iaitu membina semula ekonomi, menjamin kesejahteraan insan, reformasi institusi demokrasi dan perundangan serta mewujudkan pentadbiran beramanah.

“Tiga pembolehdaya strategik akan berfungsi sebagai enjin penggerak iaitu Digitalisasi Perkhidmatan Rakyat, Pendayaupayaan Bakat Terbaik Negara dan Pemerkasaan Pengurusan Projek Strategik,” kata Anwar.

Tambah Perdana Menteri lagi, dalam konteks sejarah pula pengalaman junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam Perjanjian Madinah yang sendirinya membina kekuatan umat iaitu umat Islam dan umat manusia.

“Pemerkasaan ini merupakan pemerkasaan yang muncul dari kekuatan dan semangat peribadi membina keluarga dan masyarakat pada peringkat awal disebut Madinah serta Madani ini akan muncul kekuatan tamadun.

“Dalam Fiqh Al-Mawadalah, tokoh demokrat Islam Sheikh Rachid Al-Ghannouchi menyebut dan menggesa masyarakat bahawa bukan sekadar membina, memperkukuh keyakinan dan kefahaman tetapi membina suatu tradisi budaya yang mampu membina tamadun kehidupan manusia,” ujar beliau.

Anwar Ibrahim turut memetik kenyataan Amartya Sen yang merupakan pemenang Nobel Ekonomi menyatakan “While democracy is not yet universally practiced, nor indeed uniformly accepted, in the general climate of world opinion, democratic governance has now achieved the status of being taken to be generally right.”

Tambah beliau, mengenepikan bahawa demokrasi itu bermakna hanya sekiranya kita memartabatkan manusia, maruah manusia yang merangkul kekuatan baru, membangkitkan kesedaran baru dengan sistem dan tatakelola yang baik.

“Madani menekankan pemerkasaan ekonomi dan budaya tetapi terasnya adalah nilai, etika serta akhlak.

“Madani diperkenal dan dihebahkan kerana ia menekankan soal keyakinan dan kemanusiaan.

“Bila negara itu dipacu untuk maju dan kadangkala tercemar kerana salah laku atau rasuah, ia akan runtuh nilai maruah negara serta perlu ada kesedaran bersama di antara kita untuk menghidupkan semula kekuatan dan luhur bangsa dari semua kaum dan agama di Malaysia bahawa ada nilai-nilai murni yang perlu dihidupkan semula.

Ulas Anwar, sementara kita bergelut dalam bidang ekonomi, teknologi dan digital, kita perlu pacu pertubuhan serta tidak meninggalkan nilai kemanusiaan kerana meninggalkannya bermakna kita akan menerima fahaman dan mula mengalah serta permisif tanpa mengira latar belakang.

“Kita mudah berkompromi dengan rasuah, penyelewengan dan penindasan serta membangunkan kota-kota besar tanpa memikirkan nasib rakyat yang terhimpit di bawahnya.

“Selama ini kita peduli dengan gedung-gedung dan pasaran yang baharu tetapi tidak peduli tentang kedudukan taraf gerai-gerai rakyat miskin.

“Pimpinan, persekutuan atau negeri dan daerah, penjawat awam dari peringkat tertinggi hingga ke peringkat rendah dalam membincangkan soal pasca norma perlulah dimanfaatkan pengalaman itu untuk belajar dari kelemahan yang lalu dan bertindak sesuai dengan tuntutan baharu.

“Pasca normal atau pasca COVID lebih kompleks dilihat sifat-sifat kontradiksi atau pertembungan di mana masalah itu berlaku dalam keadaan yang rumit dan berlaku dengan pantas.

“Unjuran dana kewangan antarabangsa (IMF) tentang pertumbuhan ekonomi global menurun setiap suku tahun bila dibuat kajian semula 3.2 peratus sehingga 2.7 peratus pada tahun 2023.

“Unjuran daripada Bank Dunia memberikan keupayaan kemelesetan ekonomi dunia meningkat maksima sehingga empat peratus.

“Ini mengandaikan ekonomi negara juga berada di dalam keadaan yang lebih rapuh,” ulas beliau.

“Kaedah dan cara lama tidak dapat menyelesaikan masalah negara, maka kita harus menamatkan salah satu ukuran kemajuan dengan pertumbuhan ekonomi.

“Kadar inflasi empat peratus, inflasi makanan tujuh peratus,” ujar Perdana Menteri.

Anwar memetik kata Albert Einstein, “Everything that can be counted does not necessarily count; everything that counts cannot necessarily be counted.”

“Ekonomi manusiawi menolak prinsip kapitalisme yang sedikit sebanyak yang diamalkan oleh kita dahulu iaitu golongan kaya terpilih menguasai semua bidang di dalam negara seolah-olah jentera kita tidak ada keupayaan diperluaskan peluang.

“Tanpa keadilan sosial, tanpa ekonomi manusiawi, apa berlaku adalah sistem baharu yang disebut seperti langkah penswastaan (contoh), rompakan itu terus menerus berlaku setiap jam. Kalau lanun zaman silam dia rompak satu tahun sengsara beberapa bulan, mereka hidup dengan aman kemudian rompak lagi.

“Dalam sistem yang tidak adil atas nama penswastaan atau apa saja jika tidak dikawal dengan kekuatan politik yang telus dengan tatakelola yang baik akan menyebabkan rompakan itu berlaku, terus menerus.

“Setiap minit kegunaan air dan elektrik umpamanya akan menyebabkan rompakan kecil berterusan setiap minit, setiap bulan, setiap tahun. Sebab itu sokongan dasar kita itu harus menjamin sokongan kepada pelabur supaya dapat dijalankan kegiatan ekonomi dengan baik tapi jangan menyebabkan penekanan dan sengsara bagi rakyat di bawah.

Perdana Menteri berkata, asas ekonomi manusiawi dalam konteks Madani adalah falsafah pembangunan yang holistik dan menyeluruh berpandukan keprihatinan, etika dan sosial serta berasaskan prinsip keadilan dan kebajikan Al-Adl Wal Ehsan.

Mengambil kira faktor dimensi manusiawi atau dimensi insan, tidak ada kemanusiaan insan jika kita memilih untuk mencemuh sesama manusia berdasarkan warna kulit dan daerahnya.

Jelasnya, Madani menuntut kita mempunyai nilai dan etika dan memuliakan dan mengangkat martabat insan seperti mana disebut di dalam Al-Quran Surah Al-Israa, ayat 70 bermaksud : “Dan sungguh, Kami telah memuliakan anak cucu Adam.”

“Mendepani 2023 ini, saya percaya tema Membangun Negara Madani akan kekal relevan dan akan diwacanakan sebagai satu iltizam serta pendekatan untuk menyelamatkan negara.

“Saya yakin sekiranya kita dapat urus tadbir dengan baik, kita dapat mendepani kemelut ekonomi mendatang ini dengan jauh lebih yakin.

“Kekuatan badan penguatkuasa sekiranya menjalankan dengan teliti, telus dan bertanggungjawab, saya yakin berbilion ringgit boleh diselamatkan.

“Teras yang disebut dalam Madani tidak sama sekali boleh mengenepikan tunggak atau sistem yang lebih mampan kerana kemampanan ekonomi bagi sesebuah negara dengan tatakelola yang baik adalah ukuran utama untuk menjamin.

“Semua langkah-langkah yang akan dibentangkan dalam belanjawan pada 24 Februari nanti, akan mengembalikan kita kepada beberapa asas seperti percepatkan kelulusan sekali gus menghentikan kaedah mendapat komisen yang bukan hak kita.

“Jentera kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar dan fungsi secara optimal serta kita selesaikan isu tatakelola dengan penyelarasan dan koordinasi tetapi harus bermula dengan pengurusan atasan.

“Tidak boleh menerima negara yang merdeka lebih dari enam abad dengan membiarkan segolongan rakyat miskin di kota mahupun di desa.

“Adalah mengaibkan dan memalukan kerana sehingga Julai 2022, masih ada 136,000 isi rumah dalam kategori miskin tegar.

“Haram hukumnya jika kita mengamalkan rasuah atau membazir dengan mengizinkan pimpinan mewah hidup dengan terus mengutip habuan yang bukan hak mereka dan membiarkan golongan miskin tegar terus merana keperitan,” ujarnya.

Kata Anwar, Jabatan Perangkaan Malaysia mendedahkan bahawa 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 telah beralih kepada kumpulan B40 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penyakit berjangkit COVID-19.

“Dalam menentukan dasar ekonomi kita, keutamaan itu harus dianjak daripada melihat projek-projek raksasa kepada projek yang boleh membantu jumlah rakyat yang terbanyak.

“Pemulihan dan menjana ekonomi merupakan keutamaan pada ketika ini termasuklah dalam bidang ekonomi hijau, tenaga diperbaharui, digital, pelancongan, industri, teknologi tinggi.

“Tumpuan juga diberi kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di mana selama ini semua kontrak besar diberikan kepada konglomerat atasan di mana harus ada pendekatan yang lebih jelas untuk mempastikan bahawa golongan PKS termasuk bumiputera diberikan peluang supaya dapat diangkat kedudukan mereka dan tidak dibolot sama ada dalam isu perolehan atau kontrak-kontrak besar oleh kerajaan.

“Peranan PKS di seluruh negara membentuk 97.2 peratus daripada jumlah keseluruhan syarikat-syarikat perniagaan di Malaysia dan PKS membayar upah hampir 70 peratus kepada tenaga kerja negara. Perkembangan dan kemajuan PKS itu lebih bermakna daripada melukut kelompok konglomerat yang terpilih.

“Negara kita tunggaknya masih kaum Melayu dengan penegasan dalam prinsip-prinsip perlembagaan, kedudukan Islam agama persekutuan, memartabatkan bahasa Melayu dan hak keistimewaan Melayu serta Raja-Raja Melayu.

“Tetapi negara ini adalah negara pelbagai kaum dan kita tidak mahu negara ini dikembangkan dengan membiarkan segolongan rakyat kita sama ada kaum minoriti atau kaum miskin dari semua kaum atau kawasan pedalaman atau Sabah Sarawak, masih terus memikirkan mereka masih terpinggir dan tersisih.

“Tanggungjawab kita dalam membawa usul Madani ini dengan merangkul semua kekuatan ini. Jika ada yang terpinggir termasuk majoriti Melayu Bumiputera yang miskin dan miskin tegar adalah menjadi tanggungjawab kita berikhtiar sedaya upaya kita untuk menyelamatkan mereka serta membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.

“Kita juga harus sedar bahawa ada golongan masyarakat minoriti dalam negara kita sama ada Cina atau India yang merasakan seolah-olah ada pendekatan untuk meminggirkan dan merendahkan martabat mereka.

“Saya ingin beri jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak mengizinkan dasar ini berlaku lebih-lebih lagi di Sabah dan Sarawak.

“Saya percaya dengan semangat dalam melahirkan masyarakat dan negara Madani yang berteraskan nilai kemanusiaan dan keyakinan serta membangkitkan membangunkan semula negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat.

“Saya menaruh keyakinan tinggi apabila melihat keupayaan pimpinan menteri dan penjawat awam yang berupaya mengangkat semula Malaysia di persada dunia sebagai negara kukuh dan kuat.

“Kita tidak mahu nama Malaysia tercemar dengan skandal, permasalahan atau pertelingkahan kaum atau agama. Kita mahu Malaysia dikenali sebagai Madani yang mampu diangkat martabat rakyat dan negaranya.

Malaysia akan menjadi salah satu negara yang harus dikenali dan dihormati sebagai negara makmur, adil sekali gus menolak sebarang bentuk kezaliman individu atau kaum.

“Kita mahu negara ini dikenali dengan semangat baru di mana semangat rakyat yang faham erti kebebasan dan kemerdekaan serta mengembalikan semangat rakyat yang bermaruah.

“Saya percaya bahawa barisan pimpinan, penjawat awam mahupun sektor swasta memahami akan keselesaan hidup, kebahagiaan dan kejayaan tetapi ingin ditegaskan keselesaan ini adalah untuk semua bukan hanya untuk satu dua kelompok terpilih.

“Saya pohon kerjasama kita letak satu asas dan budaya baharu dengan meninggalkan perkara yang lampau serta cuba memartabatkan nilai hidup yang lebih bermakna.

“Saya tegaskan semula, bukakan pintu hati kita dan selamatkanlah negara kita kerana negara kita pernah menunjukkan potensi yang baik.

“Berikanlah kesempatan untuk anak-anak kita atau generasi seterusnya supaya harapan ini boleh dibina dengan kekuatan yang dimulai dari sekarang.

“Seperti kita tahu, harta-harta yang diambil secara tidak sah, harus dipulangkan semula kepada negeri dan rakyat.

“Kita akan bersama betulkan ketempangan yang lalu dan akan menegakkan pemerintahan demokratik,” jelas Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri kemudiannya menandatangani serta melancarkan Buku Membangun Negara Madani Visi dan Kerangka Dasar Reformasi.

Anwar Ibrahim berkesempatan menurunkan tandatangannya pada 20 naskah buku tetamu terpilih sebagai kenagan dan cenderamata.

Turut diadakan, pameran dan informasi mengenai Membangun Malaysia Madani di perkarangan Dewan Perdana PICC.

Sebelum itu, hadirin disajikan Wacana Membangun Malaysia Madani disampaikan oleh empat ahli panel iaitu Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari; Presiden Kolej Dar al-Hikmah, YBhg Dato’ Prof Dr Muhd Dr Manuty; Naib Chanselor Universiti Selangor (UNISEL), YBhg Dato’ Prof Dr Mohammad Redzuan Othman dan Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia (UPM), YBhg Prof Dr Haslinda Abdullah.

Wacana tersebut dipengerusikan oleh Ikon Siarawan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Sayed Munawar Sayed Mustar.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri 1, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Perdana Menteri 2, YB Dato’ Sri Fadhillah Yusof; Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Tuan Haji Mohamad Sabu; Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli; Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Haji Mohamad Haji Hasan; Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Haji Mohamed Khalid Nordin; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri; Menteri Luar Negeri, YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital, YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil serta Ketua Setiausaha Negara, YBhg Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali.

Related Articles

Back to top button