Berita PERKIM Bahagian & Cawangan

PERKIM Selangor, IDIP-KL Santuni Warga Chow Kit

Foto: UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI

KUALA LUMPUR, 21 JANUARI 2023 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Selangor anjuran bersama Institut Dakwah Antarbangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) telah mengadakan Program Da’wah Training: Chat To Heal bertempat di Pusat Pembelajaran Komuniti Jalan Chow Kit dekat sini.

Program dimulakan pada jam lima petang dengan pemberian taklimat oleh Pengarah IDIP-KL, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad disusuli ucapan oleh Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Selangor, YBhg Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah bertempat di Dewan Al-Ilm, IDIP-KL, Jalan Sultan Azlan Shah.

Naib Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Selangor merangkap Tokoh Kaunselor Negara, YBhg Tuan Haji Hushim Salleh turut menyampaikan amanat dan nasihat kepada 20 peserta terdiri daripada Kaunselor IDIP-KL dan Pusat Kaunseling PERKIM Selangor.

15 orang kader dakwah turut bersama menyertai program bagi menyantuni komuniti sekitar Chow Kit bertujuan untuk membantu dan mendengar segala permasalahan yang dihadapi oleh mereka.

Selain itu, ia memberi pengharapan serta motivasi kepada golongan yang ditimpa pelbagai isu dan masalah dalam kehidupan mereka.

Ia juga memberi latihan kepada kader dai bagi memperkasakan akhlak peribadi sebagai dai profesional yang kompeten dalam melaksanakan dakwah di lapangan.

Ini merupakan bentuk latihan dakwah serta mengaplikasikan elemen intelektual, emosi dan spiritual di lapangan dakwah bersama golongan komuniti di situ.

Peserta dai dibahagikan kepada lima kumpulan sebelum menuju ke beberapa lorong, rumah kedai dan kaki lima sekitar Chow Kit.

Selain meneroka dan mendekati komuniti tersebut secara lebih dekat, pendakwah turut menyampaikan berkenaan kasih sayang Allah SWT dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Pelbagai cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh pendakwah sewaktu bertemu dengan komuniti tersebut, ada yang mengelak, melarikan diri dan tidak memberi sebarang respon.

Seramai 50 komuniti Chow Kit terdiri daripada golongan gelandangan, penagih dadah, pelacuran serta lesbian, gay, bisexual atau transgender (LGBT) mengikuti pendakwah ke pusat pembelajaran untuk mendekati mereka dengan lebih rapat lagi.

Usaha tersebut secara tidak langsung dapat menyelami isi hati mereka yang penuh dengan permasalahan atau kesulitan serta disantuni dengan rahmah Islam.

Pihak IDIP-KL juga berkesempatan memberikan sumbangan makanan dan wang sumbangan kepada 50 orang warga yang disantuni.

PERKIM Selangor turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana memberikan kerjasama di atas kebenaran menggunakan Pusat Komuniti Pembelajaran Chow Kit.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pegawai Dakwah PERKIM Bahagian Negeri Selangor, Mohd Yusoff Ahmad dan Pegawai Dakwah IDIP-KL, Muhammad Hizam Abdul Rahim.


Ucapan alu-aluan daripada Pengarah IDIP-KL, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad.


Ucapan Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Selangor, YBhg Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah.


Tokoh Kaunselor Negara merangkap Pengerusi PERKIM Cawangan Klang, YBhg Tuan Haji Hushim Haji Salleh menyampaikan ucapan kepada peserta pendakwah.


Haji Hushim memberikan taklimat mengenai komuniti Chow Kit kepada pendakwah.


Peserta terdiri daripada Kaunselor IDIP-KL, Pusat Kaunseling PERKIM Selangor dan kader dai bergambar kenang-kenangan selepas sesi taklimat.


Pusat Pembelajaran Komuniti Jalan Chow Kit yang dibangunkan oleh DBKL untuk membantu pembelajaran golongan terpinggir.


Haji Hushim bergambar bersama Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun (kanan).


Haji Hushim memberi panduan kepada pendakwah sebelum bertolak ke lorong, kaki lima dan rumah kedai.


Haji Hushim menyantuni pemuda di kaki lima Jalan Chow Kit.


Haji Hushim bersama-sama pendakwah meneroka suasana di Jalan Chow Kit, ibu negara.


Salah seorang gelandangan yang menceritakan kisah hidupnya kepada pendakwah.


Pendakwah beramah mesra dengan gelandangan yang sedang bangun dari tidurnya.


Wanita berkongsi kisah hidupnya kepada Kaunselor PERKIM Selangor.


Wanita gelandangan dibawa ke Pusat Pembelajaran Jalan Chow Kit untuk mendengar rintihannya.


Lelaki menceritakan kisah silamnya kepada kaunselor pendakwah.


Hizam mendengar rintihan sambil menjawab dengan berhikmah kepada golongan terbabit.


Abdul Qawi Navine (kanan) menyampaikan makanan kepada golongan yang disayangi.


Warga Chow Kit menerima sumbangan makanan dan wang tunai daripada Abdul Qawi (kanan).


Pendakwah dan kaunselor mengambil butir-butir data pengenalan diri daripada warga Chow Kit untuk dakwah susulan.

Related Articles

Back to top button