Aktiviti Dakwah

PERKIM, Dunia Islam Berduka Cita Atas Pemergian As-Syahid Ismail Haniyeh

KUALA LUMPUR, 2 OGOS 2024 – Seramai lebih 40 pegawai dan kakitangan Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan memulakan Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan dengan solat sunat hajat, bacaan surah Yasin dan doa selamat bertempat di Surau PERKIM, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini pada pagi Jumaat.

Ia dihadiri pegawai kakitangan PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa Islam PERKIM (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Majlis solat sunat hajat, bacaan Surah Yasin dan doa selamat tersebut telah dipimpin oleh Pembantu Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI) PERKIM Kebangsaan, Tuan Haji Ishak Othman.

Sejurus itu, perhimpunan dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis disampaikan oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI) PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah disusuli dengan bacaan doa disampaikan oleh Pegawai UDPI, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Seusai Lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan dinyanyikan, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyampaikan ucapan amanat kepada warganya.


Dr Yusof Noor dalam ucapannya merakamkan ucapan takziah kepada Pengarah Unit Komunikasi dan Media PERKIM Kebangsaan, Firdaus Lokman Tah di atas pemergian anak syurganya tercinta ke rahmatullah pada petang Khamis selepas dilahirkan pada 25 Julai 2024 lalu.

Beliau berdoa mudah-mudahan Allah menggantikan kehilangan itu dengan perkara yang lebih baik.

Katanya, dalam ajaran agama, jika hilang sesuatu tentulah ada hikmahnya dan Lokman sebagai bapa kepada bayi berkenaan akan berasa sedih seperti kita juga kerana jika kita kehilangan sesuatu, fitrahnya kita akan bersedih.

Jelas beliau, perhimpunan pada kali ini secara kebetulannya juga berlakunya peristiwa yang sedih di kalangan dunia Islam walaupun PERKIM ini badan yang kecil sahaja tetapi kita sebagai warga PERKIM ingin merakamkan takziah kepada keluarga Almarhum As-Syahid Ismail Haniyeh, Ketua Kepimpinan Hamas yang telah diijemput oleh Allah SWT baru-baru ini.

“Insya-Allah, selepas ini saya dijadualkan akan ke Kedutaan Palestin bagi mewakili pengurusan PERKIM untuk mengucapkan takziah kepada waris saudara dan keluarga As-Syahid Ismail Haniyeh,” ujar Dr Yusof Noor.

Kehilangan itu sememangnya menyedihkan, tetapi kita sebagai warga PERKIM di dalam konteks dakwah kita telah kehilangan seorang yang telah menggegarkan dunia seluruhnya termasuk yang bukan Islam turut bersimpati dengan kesyahidan Almarhum Ismail Haniyeh kerana pengorbanan beliau yang tinggi dan merupakan pemimpin yang cekal hatinya.

Walaupun perwatakan beliau dilihat sebagai seorang yang lemah lembut, tetapi hatinya keras berhadapan dengan musuh Islam.

“Saya fikir, bukan senang untuk mencari ganti kepada As-Syahid Ismail Haniyeh, walaupun saya tidak berkesempatan untuk bertemu dengannya, tetapi ramai pemimpin dunia telah bertemu dengan beliau.

“Ke semua pemimpin yang berjumpa dengan Almarhum ini berasa macam terpegun kerana beliau merupakan seorang pemimpin selepas Yasir Arafat dan yang istimewanya kerana Almarhum merupakan seorang hafiz al-Quran dan juga seorang graduan daripada Universiti Islam Gaza.

“Mudah-mudahan Allah SWT akan memberikan kekuatan kepada orang-orang yang menjadi mangsa di Palestin ini,” ujar Dr Yusof Noor.

Tambah beliau lagi, bermula pada hari ini eloklah kita tanam dalam diri kita rasa kecewa dengan kezaliman yang dilakukan oleh rejim zionis terhadap orang Palestin.

Jika tidak terbentuknya negara Israel dalam tahun 1948 oleh penjajah, keadaan dengan kematian berpuluh-puluh ribu orang dan mungkin akan meningkat kepada juta orang tidak akan berlaku.

Semalam saya edarkan satu peta Palestin yang asal kepada media sosial, tetapi peta yang asal itu telah berubah selepas daripada tahun 1948 kerana kedurjanaan penjajah dan rakyat Palestin telah menjadi mangsa korban beberapa tahun hingga sekarang.

Mereka mendakwa mereka berkata bahawa bumi itu bumi yang dijanjikan oleh Allah kepada mereka dan mereka menggunakan ayat al-Quran tetapi mereka kafir dan mereka juga menuntut bahawa al-Quran pun sebut bahawa bumi itu milik mereka.

Dr Yusof Noor memetik firmah Allah SWT di dalam Surah Al-Maidah, ayat 21 bermaksud: (Nabi Musa berkata lagi): “Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)”.

“Orang Yahudi di Israel ini merupakan orang yang menderhaka dan telah banyak membunuh nabi-nabi.

“Dalam konteks dakwah di PERKIM kita telah mendapat macam satu faedah kerana ada pejuang dan pemimpin As-Syahid Ismail Haniyeh yang secara tidak langsung sebenarnya penyampaian dakwah tersebar.

“Maka sebab itulah orang orang intelektual di Amerika yang masuk Islam kerana mereka bersimpati kepada orang-orang Palestin yang telah ditekan oleh Yahudi yang kejam ini.

“Jika tiada Almarhum Ismail Haniyeh, saya fikir mungkin perkembangan dakwah berkurangan tetapi bila ada pengorbanan yang dilakukan oleh orang Palestin, maka faedahnya orang Islam di Eropah semakin ramai kerana sumbangan yang dimainkan oleh As-Syahid Ismail Haniyeh.

“Kita doakanlah supaya Allah memberi balasan yang terbaik kepada Almarhum As-Syahid Ismail Haniyeh kerana sumbangan dan pengorbanannya kepada perkembangan dakwah dan Islam,” ulas beliau.

“Kini, kita sudah masuk ke satu pertiga terakhir dan bila sahaja kita masuk ke akhir tahun, maka kita akan nilaikan apakah yang telah kita lakukan pada bulan serta tahun lalu.

“Kita masih ada peluang lagi untuk perbaiki kekurangan kita dengan lebih baik daripada tahun lepas dan sumbangan kita dalam konteks dakwah,” ujarnya.

Kata Dr Yusof Noor menerusi firman Allah di dalam Surah Ibrahim, ayat 7 bermaksud: “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”

Semantara itu, Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah turut menyampaikan ucapan ringkas pada majlis tersebut.


Katanya, beliau turut mencadangkan kepada pihak pentadbiran supaya perhimpunan tersebut dapat diberi ruang serta peluang kepada kepimpinan Naib-naib Yang Dipertua untuk memberikan amanat dan taklimat kepada warga PERKIM Kebangsaan.

Katanya, sebarang aktiviti mahupun program PERKIM perlulah melibatkan Naib-naib Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua kerana mereka memikul amanah yang dipilih dalam mesyuarat agung tahunan.

Jelas Dr Ridhuan Tee lagi, warga PERKIM Kebangsaan juga perlu sedari fungsi dan struktur organisasi PERKIM.

Beliau berharap pihak pentadbiran dapat mengadakan penyampaian amanat dari Naib-naib Yang Dipertua secara bergilir dapat direalisasikan supaya warganya dapat pacu PERKIM ke arah kemajuan untuk memartabatkan dakwah Islamiah di negara kita ini.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin serta Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasi PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad.


Haji Ishak Othman memimpin solat sunat hajat bersama warga PERKIM.


Warga PERKIM membaca surah Yasin bersama-sama.


Haji Ishak mempimpin bacaan doa selamat seusai bacaan Yasin.


Kepimpinan PERKIM mengaminkan doa yang dibacakan.


Farhan Tee selaku pengacara Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan.


Perhimpunan PERKIM kali ini dihadiri Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.


Warga PERKIM berdiri tegak ketika menyanyikan lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.


Jais Mariappan membuka majlis perhimpunan dengan memimpin bacaan doa.


Warga PERKIM menadah tangan mengaminkan doa yang dibaca.


Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan amanat pada perhimpunan bersama warganya.


Menurut Dr Yusof Noor, PERKIM bersedih di atas dua peristiwa iaitu pemimpin Islam Hamas yang terkorban iaitu As-Syahid Ismail Haniyeh dan anak syurga Firdaus Lokman yang meninggal dunia pada petang Khamis.


Dr Yusof Noor berpesan kepada warganya supaya meneruskan usaha dakwah dan memperbaiki segala kekurangan daripada tahun lalu.


Dr Ridhuan Tee mencadangkan supaya perhimpunan akan datang anak diberi peluang kepada Naib-naib Yang Dipertua atau Timbalan Yang Dipertua untuk memberikan amanat kepada warganya.


Dr Ridhuan Tee mahukan warganya menyedari fungsi dan struktur organisasi PERKIM.


Dr Ridhuan Tee memberi nasihat ketika berucap di hadapan warga PERKIM Kebangsaan.

Related Articles

Back to top button