Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Aktiviti Dakwah

25 Pegawai, Kakitangan PERKIM Kebangsaan, PERKIM Johor Lawat Darul Arqam Singapura

oleh: SRZ

SINGAPURA, 29 JULAI 2024 – Selang beberapa jam melawat, berkongsi ilmu dan bertukar-tukar idea serta pandangan mengenai usaha kebajikan, pendidikan dan kerjasama di Jamiyah Singapura, ahli rombongan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan PERKIM Bahagian Negeri Johor meneruskan sesi lawatan ke Persatuan Mualaf Singapura (MCAS) Darul Arqam bertempat di 32 Onan Road, The Galaxy, dekat sini pada tengah hari Isnin.

Kehadiran 25 ahli rombongan PERKIM disambut dengan penuh mesra dengan ucapan selamat datang ke MCAS Darul Arqam Singapura oleh Penolong Ketua Bahagian Hal Ehwal Korporat MCAS, Razali Tompang.

Lawatan kerja sambil belajar Pegawai dan Kakitangan PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Johor itu diketuai oleh Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Dr Ramle Abdullah.

Majlis dimulakan dengan ucapan Pengurus Besar MCAS Darul Arqam, Norsiah Saad.


Norsiah memulakan ucapannya dengan penyampaian pantun empat kerat yang menjadi salah satu tradisi budaya di Malaysia.

Norsiah mewakili Presiden MCAS, Muhammad Imran Kuna Abdullah menyampaikan salam hormat kerana tidak dapat bersama disebabkan mempunyai urusan yang penting.

Sejurus itu, ahli rombongan turut disajikan dengan tayangan video korporat yang memaparkan mengenai latar belakang, sejarah dan aktiviti MCAS Darul Arqam.

Menurut sejarah MCAS Darul Arqam, pada tahun 1973, “Kumpulan Saudara Baru” atau “New Brother Group” telah ditubuhkan dengan objektif untuk mempunyai tempat di mana mualaf baru boleh berkumpul dan mengembangkan hubungan persaudaraan, agama dan sosial sesama mereka.

Kumpulan itu beroperasi dari sebuah rumah wakaf sederhana (untuk memberi mengikut garis Islam dan penyebarannya) di 24, Pheng Geck Avenue, yang ditadbir dan disewakan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Rumah itu dinamakan ‘Rumah Saudara Baru’ atau ‘Rumah Mualaf Muslim’ dan telah dibuka secara rasmi oleh Presiden MUIS pada ketika itu, Haji Buang Siraj pada 27 November 1977.

Pada tahun 1980, persatuan tersebut telah dinamakan “Darul Arqam” diberikan oleh Mufti Singapura, Syed Isa Semait yang sinonim dengan Persatuan Mualaf Singapura.

Darul Arqam atau Rumah Arqam tercetus sempena nama sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu Abu Abdullah Arqam bin Abi al-Arqam yang merupakan seorang yang awal memeluk Islam selama tiga tahun pertama kenabian di Makkah. Arqam telah membenarkan rumahnya digunakan untuk pembelajaran dan penyebaran agama Islam.

Razali Tompang dalam penerangan beliau berkata, MCAS ialah pertubuhan amal berdaftar yang berdedikasi ke arah pendidikan awam, kebajikan sosial dan keagamaan peningkatan masyarakat.

Silang budaya dalam ahli dan masyarakat sememangnya mewakili intipati kehidupan yang harmoni dalam negara berbilang kaum yang merentasi sempadan global.

Objektif dan misi MCAS ialah memberi bimbingan dan penerangan agama Islam kepada mualaf; menganjurkan kesasteraan agama dan aktiviti rekreasi serta menerbitkan kesasteraan islam.

Selain itu, MCAS menyediakan dan mengambil bahagian dalam perkhidmatan kebajikan untuk masyarakat serta bertanggungjawab kepentingan semua mualaf di Singapura.

Antara perkhidmatan MCAS yang disediakan kepada mualaf ialah penyaluran bantuan kewangan, pengagihan zakat di bulan Ramadan, majlis iftar Ramadan, kelab pelbagai negara, ceramah umum, Pusat Sumber Al-Mawrid dan Kedai Buku Islam.


Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Dr Ramle Abdullah
dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada MCAS Darul Arqam kerana sudi menerima dan menyambut rombongan PERKIM dengan penuh sukacita.

Katanya, ini merupakan lawatannya kedua kalinya beliau berkunjung ke MCAS Darul Arqam di mana pada kali pertama beliau hadir ke sini pada tahun 1990 bersama rombongan PERKIM Bahagian Negeri Terengganu.

“Saya melihat perkembangan, perubahan, penaik tarafan bangunan dan sistem organisasi Darul Arqam MCAS begitu memberangsangkan dan patut dicontohi oleh PERKIM.

“Menerusi tayangan tersebut, terdapat tiga fasa pengislaman di MCAS iaitu pra memeluk Islam, pasca memeluk Islam dan kehidupan sebagai seorang Muslim.

“Strategi dan susun atur secara terperinci dilaksanakan MCAS sehingga terdapatnya peningkatan pengislaman begitu ketara dari satu tahun ke satu tahun.

“Antara kaedah yang dilihat ialah melalui perkongsian ilmu iaitu penulisan atau artikel, membuat kaji selidik di mana data-data dan maklumat boleh menjadi sumber untuk dimantapkan lagi usaha serta sumber maklumat melalui perkongsian secara fizikal,” kata Dr Ramle.

Beliau sekali lagi berterima kasih kerana menerima undangan dari PERKIM dan dapat berkongsi pengalaman berhubung dengan mualaf dan metodologi yang dijalankan di MCAS Darul Arqam.


Sementara itu, Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin berharap lawatan kerja sambil belajar ini dapat mendapat input-input yang segar bagi Pegawai dan Kakitangan PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Johor dalam merancang serta menjalankan program serta aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan saudara baru di Malaysia.

Insya Allah, PERKIM akan mengadakan jalinan kerjasama yang lebih utuh dengan MCAS Darul Arqam yang memberikan kekuatan kepada kami dalam menggerakkan aktiviti dan program dakwah selaras misi atau visi dan objektif PERKIM dalam kebajikan, pendidikan serta kerjasama kepada saudara baharu.

Beliau juga berharap pertemuan tersebut dapat mempergiatkan lagi program-program dakwah kolaborasi di antara PERKIM dan MCAS Darul Arqam Singapura pada masa akan datang.

Turut diadakan sesi soal jawab di antara ahli rombongan PERKIM dengan MCAS Darul Arqam.

Kepimpinan PERKIM turut diberi peluang melawat pusat pengislaman dan pusat informasi, kedai buku MCAS Darul Arqam Singapura.

Dr Ramle turut menyampaikan cenderahati jam PERKIM kepada Norsiah manakala Dato’ Razali menyampaikan buku coffee table Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM serta plak PERKIM kepada Norsiah.

Norsiah juga berkesempatan menyampaikan cenderahati balas berupa bingkai bunga orkid masing-masing kepada Dr Ramle, Dato’ Razali, Naib Pengerusi 1 PERKIM Bahagian Negeri Johor, YBhg Datin Paduka Hajah Hapipah Endot; Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Johor, Mohamad Shaiful Bahri Abdullah serta Pengerusi PERKIM Cawangan Batu Pahat, YBhg Dato’ Haji Awang Mohamad.

Majlis berakhir dengan jamuan makan dan sesi fotografi di hadapan Bangunan MCAS Darul Arqam Singapura.

Turut hadir ialah Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasi PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad; Timbalan Pengurus Besar MCAS, Hanim Yahya; Ketua Bahagian Penjagaan dan Perkhidmatan Sosial Mualaf MCAS, Junaidi Ali;  Penolong Ketua Bahagian Dakwah, Muhammad Khidhir Md Idris; Pegawai Eksekutif Kanan Pendidikan MCAS, Nuraizah Amin; Pegawai Eksekutif Kanan Kewangan MCAS, Nur Atikah Jamil; Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Muhammad Jais Mariappan Abdullah, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan, Nur Syahirah Musa; Pegawai Tadbir PERKIM Kebangsaan, Azizah Mohd Yusoff, Hashimah Hashim; Pegawai Tadbir Kewangan PERKIM Kebangsaan, Hamidah Ismail; Pegawai Pembangunan Wanita PERKIM Kebangsaan, Fatin Hamizah Ismail; Pegawai Dakwah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), Muhammad Hizam Abdul Rahim; Pegawai Dakwah PERKIM Johor, Ghazali Ismail, Mohamad Nizam Abd Razak.

Hadir sama, Penolong Pegawai Dakwah IDIP-KL, Abdul Qawi Navine Abdullah; Penolong Pegawai Unit Pembangunan dan Aset PERKIM Kebangsaan, Md. Eakzam Jaafar serta Pembantu Tadbir PERKIM Kebangsaan, Nor Azlifah Haji Haron, Mariati Mohd Amin, Siti Nor Aishawati Mamat, Rohaiza Mohd Tan, Norlailialpin Suratman dan Siti Masliana Mohd Ariffin.


Rombongan PERKIM tiba di Persatuan Mualaf Singapura (MCAS) di Onan Road dekat sini.


Rombongan PERKIM disambut mesra dan diberikan cenderahati MCAS Darul Arqam.


Penolong Ketua Bahagian Hal Ehwal Korporat MCAS, Razali Tompang menyampaikan sepatah dua kata dengan mengalu-alukan kehadiran rombongan ke Darul Arqam Singapura.


Norsiah Saad selaku Pengurus Besar MCAS Darul Arqam memulakan ucapannya dengan penyampaian pantun empat kerat.


Ahli rombongan dan warga MCAS yang berada di Dewan Auditorium MCAS Darul Arqam.


Turut diadakan tayangan video korporat dan persembahan korporat MCAS Darul Arqam Singapura.


Razali Tompang turut memberi penerangan dalam persembahan korporatnya di mana terdapat tiga fasa utama selepas seseorang itu memeluk Islam.


Menurut Dr Ramle, dalam kunjungan kali keduanya, beliau melihat perkembangan, perubahan, penaik tarafan bangunan dan sistem organisasi Darul Arqam MCAS begitu memberangsangkan dan patut dicontohi oleh PERKIM.


Ketua Bahagian Penjagaan dan Perkhidmatan Sosial Mualaf MCAS, Junaidi Ali menjawab persoalan yang dikemukakan oleh rombongan PERKIM.


Rombongan PERKIM mendengar penjelasan dan penerangan disampaikan Darul Arqam.


Pegawai Eksekutif Kanan Pendidikan MCAS, Nuraizah Amin turut memberikan maklum balas dan penerangan kepada rombongan PERKIM.


Dato’ Razali berkata, melalui aktiviti dan program yang ditunjukkan MCAS Darul Arqam, ia dapat memberikan kekuatan kepada PERKIM dalam menggerakkan aktiviti dan program dakwah, kebajikan dan pendidikan.


Norsiah menyampaikan cenderahati dari Darul Arqam berupa bingkai bunga orkid kepada Dr Ramle


Kepimpinan PERKIM bergambar bersama Norsiah setelah menerima cenderahati berupa bingkai orkid.


Dato’ Razali menyampaikan sebuah jam PERKIM sebagai cenderahati balas kepada Norsiah diiringi Hanim Yahya (kiri).


Dato’ Razali menyampaikan buku Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM kepada Norsiah sebagai cenderahati.


Norsiah menerima plak cenderahati PERKIM daripada Dato’ Razali diiringi Dr Ramle (kanan) dan Hanim Yahya (kiri).


Pusat Informasi Persatuan Mualaf Darul Arqam Singapura.


Pelbagai jenis buku-buku yang dijual di Kedai Buku Inggeris Darul Arqam Singapura.


Dato’ Razali berkesempatan melakukan adegan lakonan memeluk Islam sambil menunjukkan isyarat dua kalimah syahadah ketika melawat di Pusat Pengislaman Darul Arqam bersama Shaiful Bahri (kanan) serta disaksikan Junaidi Ali (tengah).


Rombongan PERKIM menikmati hidangan juadah makanan kampung di Darul Arqam Singapura.


Rombongan Muslimat PERKIM menikmati jamuan makan tengah hari menu lauk kampung.


Kenangan manis…rombongan PERKIM dan warga Darul Arqam bergambar bersama di hadapan Bangunan Muslim Converts Association of Singapore (Darul Arqam Singapore).

Related Articles

Back to top button