PERKIM Changlun Agih Food Bank Buat 15 Mualaf
oleh: ZAATIL HIDAAYAH AHMAD BUSTAMAN
CHANGLUN, 20 DISEMBER 2022 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Kedah telah mengadakan pengagihan bantuan makanan kepada saudara baru bertempat di Masjid Saiyidina Abu Bakar As Siddiq, Kampung Lembah Palas dekat sini.
Seramai 15 orang saudara baru di Changlun telah disantuni dengan menerima bantuan sumbangan barangan keperluan seperti beras, kicap, sos cili dan gula.
Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Kedah, Tuan Haji Turedy Haji Abdullah.
Menurut Haji Turedy, tujuan utama pelancaran Food Bank Zakat Negeri Kedah ini adalah untuk membantu golongan saudara baru yang memerlukan di seluruh Negeri Kedah bagi mendapatkan bekalan makanan asas secara percuma.
Tambahnya, food bank itu juga akan dijadikan sebagai salah satu saluran untuk PERKIM Bahagian Negeri Kedah menghulurkan sumbangan kepada saudara baru.
Jelas Haji Turedy, bekalan makanan asas yang dibekalkan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah di bawah program Bantuan Pusat Bekalan Makanan itu digunakan sebaik mungkin untuk diagihkan kepada saudara baru yang berkelayakan.
Operasi itu dikendalikan sepenuhnya oleh pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah dari aspek pengumpulan dana, kerja-kerja pembelian barang serta mengenal pasti golongan sasaran.
Pihak zakat telah menyediakan satu sistem Food Bank iaitu “Zakat On Touch” di mana sistem tersebut merupakan aplikasi yang pertama dilancarkan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah dalam memudahkan pengurusan PERKIM Bahagian dalam urusan menyemak status bantuan, pengumpulan dana terkini kutipan zakat seluruh negeri Kedah, laporan berkaitan asnaf mualaf yang memerlukan bantuan serta pelbagai lagi.
Turut hadir ialah Setiausaha PERKIM Cawangan Changlun, YBhg Prof Dr Haji Abdul Halim Abdul Majid.
Pihak PERKIM Bahagian Negeri Kedah juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah di atas manfaat tersebut.
Haji Turedy menyampaikan sumbangan food bank kepada saudara baru.
Saudara baru berbangsa Siam menerima sumbangan food bank seperti beras, kicap, sos cili dan lain-lain.
Mualaf menerima sumbangan daripada Haji Turedy (tengah) sambil disaksikan oleh Prof Abdul Halim (kiri).
Haji Turedy mengagihkan Food Bank Zakat Negeri Kedah kepada saudara baru yang memerlukan.
Perasaan gembira terukir di wajah mualaf ketika menerima sumbangan food bank disampaikan oleh Haji Turedy.
Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Kedah mengagihkan sumbangan food bank kepada mualaf di Masjid Kampung Lembah Palas.
Prof Dr Abdul Halim berkesempatan mengagihkan sumbangan food bank kepada mualaf.
Saudara baru menerima sumbangan food bank disampaikan oleh Prof Abdul Halim.
Setiausaha PERKIM Cawangan Changlun (kiri) mengagihkan sumbangan food bank kepada mualaf sambil diperhatikan oleh Haji Turedy (tengah).