Aktiviti KebajikanBerita PERKIM Bahagian & Cawangan

PERKIM Santuni Penghuni Pusat Jagaan Kasih Sayang Prasanna

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝗠𝗘𝗟𝗔𝗞𝗔, 𝟭𝟬 𝗝𝗨𝗟𝗔𝗜 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengadakan Program Ziarah Kebajikan ke Pusat Jagaan Kasih Sayang Prasanna di Taman Pertam Jaya, Ujong Pasir dekat sini pada 4 petang tadi.

Program yang mendapat kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Melaka dan PERKIM Cawangan Ujong Pasir, Melaka itu bertujuan menyantuni penghuni pusat jagaan berkenaan selain menyampaikan sumbangan kit makanan tajaan MAIWP kepada golongan yang memerlukan.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengacara program, Nurul ‘Izzah Salimi yang menyatakan bahawa program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PERKIM dan MAIWP dalam memperkukuhkan nilai kemanusiaan serta menyantuni golongan yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama.


𝗠𝘂𝗳𝘁𝗶 𝗞𝗲𝗿𝗮𝗷𝗮𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗠𝗲𝗹𝗮𝗸𝗮 merangkap 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗠𝗲𝗹𝗮𝗸𝗮, 𝗦𝗮𝗵𝗶𝗯𝘂𝘀 𝗦𝗮𝗺𝗮𝗵𝗮𝗵 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗪𝗶𝗿𝗮 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗛𝗮𝗹𝗶𝗺 𝗧𝗮𝘄𝗶𝗹 dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan pusat jagaan atas komitmen mereka dalam menjaga dan membimbing golongan yang memerlukan perhatian khusus.

Beliau berkata, nilai kasih sayang, kebajikan dan kemanusiaan merupakan nilai sejagat yang dikongsi oleh semua masyarakat serta menjadi asas penting dalam membina kehidupan yang harmoni.

“Golongan yang berada di pusat jagaan ini merupakan insan-insan istimewa yang memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada masyarakat. Mereka memberi peluang kepada kita untuk menunjukkan sifat ihsan serta melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap sesama manusia.

“Saya berharap seluruh tenaga kerja di pusat ini terus komited dalam memberikan penjagaan, bimbingan dan layanan terbaik kepada para penghuni. Saya juga yakin pelbagai pertubuhan dan individu akan terus tampil membantu bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara,” kata Dato’ Abdul Halim.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PERKIM Kebangsaan dan MAIWP kerana memilih negeri Melaka sebagai lokasi pelaksanaan program kebajikan tersebut.

Menurut Dato’ Abdul Halim, PERKIM sejak penubuhannya sentiasa memainkan peranan penting dalam menyantuni masyarakat pelbagai kaum dan agama menerusi pelbagai program kebajikan, pendidikan serta dakwah di seluruh negara.


Sementara itu, 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝘀𝗮𝘀 dan 𝗣𝗲𝗻𝗷𝗮𝗴𝗮 𝗨𝘁𝗮𝗺𝗮 𝗣𝘂𝘀𝗮𝘁 𝗝𝗮𝗴𝗮𝗮𝗻 𝗞𝗮𝘀𝗶𝗵 𝗦𝗮𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗣𝗿𝗮𝘀𝗮𝗻𝗻𝗮, 𝗠𝗮𝗹𝗶𝗴𝗮 𝗔𝗻𝗴𝗲𝗹 berkata, pusat jagaan tersebut menempatkan warga emas, ibu tunggal serta golongan orang kurang upaya (OKU) yang terbiar dan memerlukan penjagaan berterusan.

Beliau berkata, pusat berkenaan kini mempunyai enam cawangan di sekitar negeri Melaka yang memberi perkhidmatan kepada penghuni daripada pelbagai latar belakang termasuk warga emas, pesakit kemurungan, individu kurang upaya serta mereka yang tidak mendapat sokongan keluarga.

Tambahnya, pusat tersebut menempatkan seramai 45 penghuni wanita yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum iaitu 30 berbangsa India, 12 berbangsa Cina dan tiga berbangsa Melayu.

“Kami berusaha memberikan penjagaan terbaik kepada setiap penghuni walaupun berdepan pelbagai cabaran. Sokongan daripada badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan orang ramai amat membantu kami meneruskan operasi pusat ini.

“Sumbangan dan kunjungan seperti yang dilakukan oleh PERKIM dan MAIWP hari ini bukan sahaja membantu dari segi kebajikan malah memberi semangat kepada para penghuni serta petugas pusat jagaan,” katanya.


Dalam pada itu, 𝗣𝗲𝗻𝘆𝗲𝗹𝗮𝗿𝗮𝘀 𝗣𝗿𝗼𝗴𝗿𝗮𝗺, 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗮𝗿𝗵𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗲 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 berkata, program ziarah kebajikan tersebut merupakan salah satu inisiatif PERKIM dan MAIWP untuk mendekati golongan yang memerlukan serta menyemarakkan semangat kasih sayang dan perpaduan dalam masyarakat.

Menurut Farhan Tee, program berkenaan turut memberi peluang kepada para peserta untuk melihat sendiri kehidupan penghuni pusat jagaan serta memahami cabaran yang mereka hadapi.

“Kehadiran kami hari ini adalah untuk berkongsi kegembiraan, menyantuni penghuni dan memberikan sedikit sumbangan sebagai tanda keprihatinan.

“Kami amat menghargai usaha pihak pengurusan yang telah berkhidmat selama lebih 20 tahun dalam menjaga kebajikan golongan yang memerlukan.

“Pusat seperti ini memainkan peranan penting dalam memastikan mereka yang kurang mendapat perhatian keluarga dan masyarakat terus mendapat perlindungan, penjagaan serta sokongan yang sewajarnya,” katanya.

Farhan Tee yang juga Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan turut memuji komitmen pengurusan pusat yang kini mengendalikan enam buah pusat jagaan di sekitar Melaka demi membantu golongan yang memerlukan perlindungan dan penjagaan berterusan.

Pada akhir program, Dato’ Abdul Halim diiringi Farhan Tee telah menyampaikan 25 set sumbangan makanan yang mengandungi bijirin oat, biskut, susu kotak dan tuala kepada penghuni pusat jagaan sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan mereka.

Dato’ Abdul Halim turut menyampaikan plak cenderamata PERKIM kepada Maliga Angel sebagai simbol penghargaan.

Hadir sama mewakili 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻 ialah 𝗧𝗶𝗺𝗯𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗞𝗲𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗜𝗜, 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗔𝘇𝗿𝗼𝗹 𝗠𝗼𝗵𝗱. 𝗔𝘇𝗺𝗶; 𝗧𝗶𝗺𝗯𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗣𝗲𝗻𝘁𝗮𝗱𝗯𝗶𝗿𝗮𝗻, 𝗛𝗮𝘀𝗵𝗶𝗺𝗮𝗵 𝗛𝗮𝘀𝗵𝗶𝗺; 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝘁𝘂 𝗧𝗮𝗱𝗯𝗶𝗿, 𝗙𝗮𝘁𝗶𝗻 𝗔𝗸𝗺𝗮𝗹 𝗔𝗸𝘀𝗮𝗵 serta 𝗣𝗲𝗹𝗮𝗷𝗮𝗿 𝗟𝗮𝘁𝗶𝗵𝗮𝗻 𝗜𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝗶 𝗨𝗻𝗶𝘃𝗲𝗿𝘀𝗶𝘁𝗶 𝗦𝗮𝗶𝗻𝘀 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺 𝗠𝗮𝗹𝗮𝘆𝘀𝗶𝗮 (𝗨𝗦𝗜𝗠), 𝗨𝗺𝗺𝘂𝗹 𝗠𝘂𝗿𝘀𝗵𝗶𝗱𝗮 𝗠𝗮𝘁 𝗦𝗵𝘂𝗾𝗶.

Turut hadir ialah 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗠𝗲𝗹𝗮𝗸𝗮, 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗛𝗮𝘇𝗶𝗾 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 𝗧𝗵𝗮𝗻𝗶; 𝗧𝗶𝗺𝗯𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗠𝗲𝗹𝗮𝗸𝗮, 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗦𝗵𝗮𝗵𝗿𝗶𝗹 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗥𝗮𝗵𝗺𝗮𝗻; 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝘁𝘂 𝗔𝗺 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗠𝗲𝗹𝗮𝗸𝗮, 𝗠𝗼𝗵𝗱. 𝗭𝗮𝗳𝗿𝗮𝗻 𝗝𝗮𝗯𝗯𝗮𝗿; 𝗞𝗲𝘁𝘂𝗮 𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗖𝗮𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗨𝗷𝗼𝗻𝗴 𝗣𝗮𝘀𝗶𝗿, 𝗥𝗮𝗳𝗲𝗱𝗮𝗵 𝗢𝘁𝗵𝗺𝗮𝗻 serta 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗖𝗮𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗨𝗷𝗼𝗻𝗴 𝗣𝗮𝘀𝗶𝗿, 𝗔𝘄𝗮𝗺𝗶 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵.

 


PERKIM Kebangsaan bersama PERKIM Melaka dan PERKIM Ujong Pasir menyantuni penghuni di Pusat Jagaan Kasih Sayang Prasanna, Ujong Pasir, Melaka.

 


Farhan Tee (kanan) berbual dan bertanyakan khabar penghuni pusat jagaan tersebut.

 


Penghuni di sini terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk warga emas, pesakit kemurungan, individu kurang upaya serta mereka yang tidak mendapat sokongan keluarga.

 


Nurul ‘Izzah selaku pengacara memulakan acara majlis di pusat tersebut.

 


Mufti Melaka, SS Dato’ Wira Abdul Halim Tawil bersama barisan PERKIM Melaka dan PERKIM Ujong Pasir.

 


Maliga Angel dalam ucapannya berkata sumbangan dan kunjungan seperti yang dilakukan oleh PERKIM hari ini bukan sahaja membantu dari segi kebajikan malah memberi semangat kepada para penghuni serta petugas pusat jagaan.

 


Farhan Tee pula berkata, ziarah kebajikan tersebut merupakan salah satu inisiatif PERKIM dan MAIWP untuk mendekati golongan yang memerlukan serta menyemarakkan semangat kasih sayang dalam masyarakat.

 


Menurut Dato’ Mufti Melaka merangkap Pengerusi PERKIM Melaka, golongan yang berada di pusat jagaan ini merupakan insan-insan istimewa yang memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada masyarakat.

 


Sahibus Samahah Dato’ Wira Abdul Halim menyampaikan sumbangan makanan tajaan MAIWP kepada penghuni pusat.

 


Penghuni menerima sumbangan makanan yang mengandungi bijirin oat, biskut, susu kotak dan tuala daripada Dato’ Wira Abdul Halim.

 


Dato’ Pengerusi PERKIM menyampaikan sumbangan makanan tajaan MAIWP kepada penghuni berbangsa Cina.

 


Dato’ Abdul Halim menyampaikan sumbangan makanan kepada penghuni yang kurang upaya.

 


Dato’ Wira Abdul Halim diiringi Farhan Tee, Shahril dan Haziq menyampaikan cenderamata plak penghargaan PERKIM kepada Maliga.

 


Rombongan PERKIM mengambil gambar kenang-kenangan bersama penghuni Pusat Jagaan Kasih Sayang Prasanna di akhir program.

Related Articles

Back to top button