Program Mahabbah PERKIM Eratkan Hubungan Bersama Komuniti Portugis Ujong Pasir
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
𝗠𝗘𝗟𝗔𝗞𝗔, 𝟭𝟮 𝗝𝗨𝗟𝗔𝗜 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Program Mahabbah Komuniti Masyarakat Majmuk Portugis Kampung Ujong Pasir anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melabuhkan tirainya hari ini dalam suasana penuh harmoni, muhibah dan semangat perpaduan.
Program berlangsung di Dewan Terbuka Ujong Pasir itu telah mendapat kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Melaka serta PERKIM Cawangan Ujong Pasir yang dihadiri lebih 100 orang terdiri daripada pemimpin setempat, sukarelawan, penduduk kampung serta wakil pelbagai agensi yang bersama-sama menjayakan program berkenaan sejak dua hari lalu.
Program yang bermula pada jam 9.30 pagi itu dimulakan dengan Dialog Harmoni yang dimoderatorkan oleh 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗮𝗿𝗵𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗲 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 selaku Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan bersama dua ahli panel iaitu 𝗧𝘀. 𝗗𝗿. 𝗔𝗱𝗮𝗺 𝗪𝗼𝗻𝗴 𝗬𝗼𝗼𝗻 𝗞𝗵𝗮𝗻𝗴, Ahli Jawatankuasa PERKIM Melaka dan 𝗬𝘂𝘀𝗿𝗶𝗲 𝗠𝗶𝗰𝗵𝗮𝗲𝗹 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵, seorang saudara baharu

Dalam pembentangannya, Dr. Adam berkata, keharmonian bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya perlu dibina melalui usaha berterusan seluruh lapisan masyarakat.
Menurut beliau, Perlembagaan Persekutuan menjadi asas penting kepada perpaduan negara menerusi Perkara 3 yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan, Perkara 8 yang menjamin kesamarataan di sisi undang-undang serta Perkara 11 yang menjamin kebebasan beragama.
“Kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang wujud di Malaysia merupakan satu kekuatan yang perlu dihargai. Keharmonian dapat dilihat melalui amalan kunjung-mengunjung ketika musim perayaan serta semangat kebersamaan rakyat dalam menghadapi bencana tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa masyarakat Malaysia telah berjaya membina keamanan fizikal, namun masih perlu memperkukuhkan hubungan sosial dan kefahaman yang lebih mendalam terhadap budaya serta kepercayaan antara satu sama lain.

Sementara itu, Yusrie Michael berkongsi pengalaman sebagai saudara baharu yang dibesarkan dalam komuniti Portugis di Melaka.
Menurut beliau, pengislamannya tidak pernah memutuskan hubungan dengan keluarga dan masyarakat asal, malah ikatan kekeluargaan terus dipelihara berasaskan kasih sayang, tanggungjawab dan saling menghormati.
“Walaupun berbeza agama, saya tetap menjalankan tanggungjawab sebagai anak menjaga ibu sehingga akhir hayatnya. Keharmonian bukan diukur melalui persamaan agama semata-mata, tetapi melalui rasa hormat, tanggungjawab dan nilai kemanusiaan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan saudara baharu agar terus menjaga hubungan dengan ibu bapa dan ahli keluarga bukan Islam selaras dengan tuntutan syarak.
Menyentuh peranan media sosial, Yusrie berkata, platform digital memberi pelbagai manfaat termasuk dalam aspek komunikasi, pendidikan dan perniagaan, namun boleh membawa kesan negatif sekiranya disalahgunakan melalui penyebaran fitnah, berita palsu, buli siber dan ucapan kebencian.
Kedua-dua panel bersetuju bahawa cabaran utama keharmonian masa kini ialah penyebaran maklumat tidak sahih, kurangnya interaksi antara komuniti serta salah faham terhadap budaya dan kepercayaan masyarakat lain.
Mereka menegaskan bahawa keharmonian perlu dipupuk secara berterusan melalui dialog, toleransi, kerjasama dan saling menghormati, selaras dengan semangat Piagam Madinah yang menjadi contoh kehidupan aman dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
Dialog itu merumuskan bahawa kepelbagaian masyarakat Malaysia merupakan aset berharga yang perlu terus dipelihara demi menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara.
Program diteruskan dengan majlis perasmian penutup yang diacarakan oleh urus setia PERKIM Kebangsaan, Fatin Akmal Aksah itu dimulakan dengan ucapan oleh 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗝𝗮𝘄𝗮𝘁𝗮𝗻𝗸𝘂𝗮𝘀𝗮 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴𝘂𝗻𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗞𝗲𝘀𝗲𝗹𝗮𝗺𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗞𝗮𝗺𝗽𝘂𝗻𝗴 (𝗝𝗣𝗞𝗞) 𝗞𝗮𝗺𝗽𝘂𝗻𝗴 𝗨𝗷𝗼𝗻𝗴 𝗣𝗮𝘀𝗶𝗿, 𝗜𝗴𝗻𝗶𝘁𝗶𝘂𝘀 𝗚𝗲𝗿𝗮𝗹𝗱 𝗗𝗮𝗻𝗸𝗲𝗿.

Beliau merakamkan penghargaan kepada PERKIM Kebangsaan, MAIWP, PERKIM Bahagian Negeri Melaka, PERKIM Cawangan Ujong Pasir, Melaka serta seluruh sukarelawan yang telah memberikan sumbangan dan komitmen tinggi sepanjang program berlangsung.
“Terima kasih atas semangat kerjasama yang ditunjukkan melalui aktiviti gotong-royong, ziarah mahabbah dan pelbagai program kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada penduduk kampung.
Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi mengukuhkan lagi hubungan silaturahim dalam komuniti,” katanya.

Sementara itu, 𝗙𝗮𝗿𝗵𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗲 yang mewakili 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗔𝗴𝘂𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗠𝗮𝗿𝘇𝘂𝗸𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗢𝗺𝗮𝗿 dalam ucapan aluannya berkata, program tersebut merupakan kesinambungan usaha PERKIM mendekati masyarakat pelbagai kaum dan agama menerusi pendekatan kebajikan serta kemasyarakatan.
Menurut beliau, sebelum program berlangsung di Kampung Portugis, rombongan PERKIM terlebih dahulu mengadakan ziarah kebajikan ke Pusat Jagaan Kasih Sayang Prasanna yang menempatkan kira-kira 40 penghuni terdiri daripada warga emas dan golongan memerlukan.
“Sepanjang berada di Melaka, kami turut melaksanakan ziarah mahabbah ke hampir 30 buah rumah penduduk Kampung Portugis walaupun berdepan cuaca hujan lebat. Alhamdulillah, sumbangan bakul makanan dan bantuan tunai berjaya disampaikan kepada penerima yang telah dikenal pasti.
“Penerimaan masyarakat Kampung Portugis amat menggalakkan dan ini membuktikan bahawa program seumpama ini mampu merapatkan hubungan serta memupuk semangat saling memahami antara komuniti berbeza latar belakang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak JPKK Kampung Ujong Pasir yang memberikan kerjasama penuh dalam melancarkan pelaksanaan program termasuk aktiviti gotong-royong, ziarah kebajikan, sukaneka dan Dialog Harmoni yang diadakan sepanjang program berlangsung.

Dalam pada itu, majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh 𝗠𝘂𝗳𝘁𝗶 𝗞𝗲𝗿𝗮𝗷𝗮𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗠𝗲𝗹𝗮𝗸𝗮 merangkap 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗠𝗲𝗹𝗮𝗸𝗮, 𝗦𝗮𝗵𝗶𝗯𝘂𝘀 𝗦𝗮𝗺𝗮𝗵𝗮𝗵 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗪𝗶𝗿𝗮 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗛𝗮𝗹𝗶𝗺 𝗧𝗮𝘄𝗶𝗹.
Dato’ Wira Abdul Halim dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa masyarakat Portugis merupakan sebahagian daripada warisan unik Melaka yang perlu terus dipelihara dan dihargai sebagai khazanah negara.
Menurut beliau, keharmonian dalam masyarakat majmuk hanya dapat dicapai melalui tiga prinsip utama iaitu saling mengenali, saling menghormati dan saling menerima antara satu sama lain.
“Kita hidup dalam sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama. Oleh itu, setiap rakyat perlu mengenali antara satu sama lain, menghormati kepercayaan dan amalan agama yang berbeza serta menerima kepelbagaian tersebut sebagai satu kekuatan.
“Apabila kita mengenali, menghormati dan menerima antara satu sama lain, maka akan lahirlah sebuah masyarakat yang aman, stabil dan bersatu padu,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia menjadi contoh kepada dunia dalam mengurus kepelbagaian masyarakat melalui semangat toleransi dan penghormatan terhadap perayaan serta budaya pelbagai kaum.
Katanya, keistimewaan Malaysia dapat dilihat apabila seluruh rakyat bersama-sama meraikan pelbagai perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas, Hari Gawai dan Kaamatan dalam suasana penuh hormat dan muhibah.
Pada majlis tersebut, Dato’ Wira Abdul Halim turut menyampaikan plak cenderamata PERKIM kepada Ignitius Gerald Danker dan Pengerusi PERKIM Cawangan Ujong Pasir, Cikgu Hasni Dolmat sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang diberikan.
Farhan Tee pula menyampaikan plak penghargaan kepada Dato’ Wira Abdul Halim atas kesudian beliau merasmikan majlis penutup program berkenaan.
Turut berlangsung penyampaian hadiah kepada para pemenang acara sukaneka termasuk belon beracun, tiup belon sehingga pecah, mencari gula-gula dalam tepung dan muzik belon. Sagu hati khas turut diberikan kepada penduduk kampung yang menyambut hari lahir pada bulan Julai.
Hadir sama mewakili 𝙋𝙀𝙍𝙆𝙄𝙈 𝙆𝙚𝙗𝙖𝙣𝙜𝙨𝙖𝙖𝙣 𝙞𝙖𝙡𝙖𝙝 𝙏𝙞𝙢𝙗𝙖𝙡𝙖𝙣 𝙀𝙠𝙨𝙚𝙠𝙪𝙩𝙞𝙛 𝙆𝙚𝙬𝙖𝙣𝙜𝙖𝙣 𝙄𝙄, 𝙈𝙤𝙝𝙖𝙢𝙖𝙙 𝘼𝙯𝙧𝙤𝙡 𝙈𝙤𝙝𝙙. 𝘼𝙯𝙢𝙞; 𝙏𝙞𝙢𝙗𝙖𝙡𝙖𝙣 𝙀𝙠𝙨𝙚𝙠𝙪𝙩𝙞𝙛 𝙋𝙚𝙣𝙩𝙖𝙙𝙗𝙞𝙧𝙖𝙣, 𝙃𝙖𝙨𝙝𝙞𝙢𝙖𝙝 𝙃𝙖𝙨𝙝𝙞𝙢 serta 𝙥𝙚𝙡𝙖𝙟𝙖𝙧 𝙡𝙖𝙩𝙞𝙝𝙖𝙣 𝙞𝙣𝙙𝙪𝙨𝙩𝙧𝙞 𝙐𝙣𝙞𝙫𝙚𝙧𝙨𝙞𝙩𝙞 𝙎𝙖𝙞𝙣𝙨 𝙄𝙨𝙡𝙖𝙢 𝙈𝙖𝙡𝙖𝙮𝙨𝙞𝙖 (𝙐𝙎𝙄𝙈), 𝙐𝙢𝙢𝙪𝙡 𝙈𝙪𝙨𝙝𝙞𝙙𝙖 𝙈𝙖𝙩 𝙎𝙝𝙪𝙦𝙞 𝙙𝙖𝙣 𝙉𝙪𝙧 ‘𝙄𝙯𝙯𝙖𝙝 𝙎𝙖𝙡𝙞𝙢𝙞.
Turut hadir ialah 𝙉𝙖𝙞𝙗 𝙋𝙚𝙣𝙜𝙚𝙧𝙪𝙨𝙞 𝙄𝙄 𝙋𝙀𝙍𝙆𝙄𝙈 𝘽𝙖𝙝𝙖𝙜𝙞𝙖𝙣 𝙉𝙚𝙜𝙚𝙧𝙞 𝙈𝙚𝙡𝙖𝙠𝙖, 𝙃𝙖𝙟𝙞 𝘽𝙖𝙝𝙖𝙪𝙙𝙞𝙣 𝙃𝙖𝙟𝙞 𝘼𝙗𝙙𝙪𝙡𝙡𝙖𝙝; 𝙀𝙠𝙨𝙚𝙠𝙪𝙩𝙞𝙛 𝙋𝙀𝙍𝙆𝙄𝙈 𝘽𝙖𝙝𝙖𝙜𝙞𝙖𝙣 𝙉𝙚𝙜𝙚𝙧𝙞 𝙈𝙚𝙡𝙖𝙠𝙖, 𝙈𝙪𝙝𝙖𝙢𝙢𝙖𝙙 𝙃𝙖𝙯𝙞𝙦 𝘼𝙗𝙙𝙪𝙡𝙡𝙖𝙝 𝙏𝙝𝙖𝙣𝙞; 𝙏𝙞𝙢𝙗𝙖𝙡𝙖𝙣 𝙀𝙠𝙨𝙚𝙠𝙪𝙩𝙞𝙛 𝙋𝙀𝙍𝙆𝙄𝙈 𝘽𝙖𝙝𝙖𝙜𝙞𝙖𝙣 𝙉𝙚𝙜𝙚𝙧𝙞 𝙈𝙚𝙡𝙖𝙠𝙖, 𝙈𝙪𝙝𝙖𝙢𝙢𝙖𝙙 𝙎𝙝𝙖𝙝𝙧𝙞𝙡 𝘼𝙗𝙙𝙪𝙡 𝙍𝙖𝙝𝙢𝙖𝙣; 𝙋𝙚𝙢𝙗𝙖𝙣𝙩𝙪 𝘼𝙢 𝙋𝙀𝙍𝙆𝙄𝙈 𝘽𝙖𝙝𝙖𝙜𝙞𝙖𝙣 𝙉𝙚𝙜𝙚𝙧𝙞 𝙈𝙚𝙡𝙖𝙠𝙖, 𝙈𝙤𝙝𝙙. 𝙕𝙖𝙛𝙧𝙖𝙣 𝙅𝙖𝙗𝙗𝙖𝙧; 𝙆𝙚𝙩𝙪𝙖 𝙒𝙖𝙣𝙞𝙩𝙖 𝙋𝙀𝙍𝙆𝙄𝙈 𝘾𝙖𝙬𝙖𝙣𝙜𝙖𝙣 𝙐𝙟𝙤𝙣𝙜 𝙋𝙖𝙨𝙞𝙧, 𝙍𝙖𝙛𝙚𝙙𝙖𝙝 𝙊𝙩𝙝𝙢𝙖𝙣; 𝙎𝙚𝙩𝙞𝙖𝙪𝙨𝙖𝙝𝙖 𝙒𝙖𝙣𝙞𝙩𝙖 𝙋𝙀𝙍𝙆𝙄𝙈 𝘾𝙖𝙬𝙖𝙣𝙜𝙖𝙣 𝙐𝙟𝙤𝙣𝙜 𝙋𝙖𝙨𝙞𝙧, 𝘼𝙬𝙖𝙢𝙞 𝘼𝙗𝙙𝙪𝙡𝙡𝙖𝙝 serta barisan sukarelawan yang menjayakan program tersebut.
Majlis berakhir dengan sesi fotografi, penyampaian sagu hati kepada penduduk kampung dan jamuan makan tengah hari dalam suasana penuh mesra, sekali gus menutup tirai Program Mahabbah Komuniti Masyarakat Majmuk Portugis yang berjaya memperkukuhkan hubungan antara PERKIM dan komuniti Portugis di Ujong Pasir.

Azrol memeriksa borang ketika sesi pendaftaran peserta masyarakat Kampung Portugis Dialog Harmoni.

Penduduk kampung mengisi nama dan menandatangani pada borang kehadiran.

Dialog Harmoni yang dijayakan oleh 𝗙𝗮𝗿𝗵𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗲 bersama dua ahli panel iaitu 𝗗𝗿. 𝗔𝗱𝗮𝗺 𝗪𝗼𝗻𝗴 dan 𝗬𝘂𝘀𝗿𝗶𝗲 𝗠𝗶𝗰𝗵𝗮𝗲𝗹 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵.

Penduduk kampung yang hadir mendengar barisan panelis menyampaikan Dialog Harmoni.

“Keharmonian dapat dilihat melalui amalan kunjung-mengunjung ketika musim perayaan serta semangat kebersamaan rakyat dalam menghadapi bencana tanpa mengira latar belakang,” kata Dr Adam Wong.

Penduduk kampung Portugis mendengar Dialog Harmoni yang berlangsung di Dewan Terbuka Ujong Pasir.

“Keharmonian bukan diukur melalui persamaan agama semata-mata, tetapi melalui rasa hormat, tanggungjawab dan nilai kemanusiaan,” kata Yusrie Michael.

Yusrie Michael menegaskan bahawa keharmonian perlu dipupuk secara berterusan melalui dialog, toleransi, kerjasama dan saling menghormati, selaras dengan semangat Piagam Madinah.

Azrol (dua dari kiri) menyampaikan pek makanan tajaan MAIWP kepada Tony Mintero.

Tammy Cammy De Mello (tengah) menerima pek makanan tajaan MAIWP daripada Azrol.

Fatin Akmal beraksi selaku pengacara di majlis perasmian penutup.

Ignitius Gerald selaku Pengerusi JPKK Kampung Portugis merakamkan penghargaan kepada PERKIM, MAIWP di atas penganjuran gotong-goyong, ziarah, sukaneka dan dialog harmoni.

Farhan Tee dalam ucapannya berkata, program tersebut merupakan kesinambungan usaha PERKIM mendekati masyarakat Portugis menerusi pendekatan kebajikan serta kemasyarakatan.

Menurut Mufti Kerajaan Negeri Melaka, keharmonian dalam masyarakat majmuk hanya dapat dicapai melalui tiga prinsip utama iaitu saling mengenali, saling menghormati dan saling menerima antara satu sama lain.

“Apabila kita mengenali, menghormati dan menerima antara satu sama lain, maka akan lahirlah sebuah masyarakat yang aman, stabil dan bersatu padu,” kata Dato’ Wira Abdul Halim.

Dato’ Pengerusi PERKIM Melaka dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa masyarakat Portugis merupakan sebahagian daripada warisan unik Melaka yang perlu terus dipelihara dan dihargai sebagai khazanah negara.

Dato’ Abdul Halim menyampaikan plak penghargaan PERKIM kepada Ignitius Gerald.

Cikgu Hosni Dolmat menerima cenderamata plak PERKIM daripada Dato’ Abdul Halim.

Dato’ Abdul Halim menyampaikan hamper kepada johan sukaneka acara ‘belon beracun’.

Juara acara ‘cari gula-gula dalam tepung’ menerima hadiah hamper daripada Dato’ Abdul Halim.

Sahibus Samahah Mufti Melaka menyampaikan hadiah hamper kepada juara acara ‘tiup belon sampai pecah’.

Dato’ Pengerusi PERKIM Melaka menyampaikan hadiah hamper kepada johan ‘belon muzik’.

Awami menyampaikan saguhati MAIWP kepada setiap peserta yang hadir sambil disaksikan oleh Farhan Tee.

Dato’ Mufti Melaka turut menyampaikan hamper kepada penduduk kampung bersempena hari kelahirannya.

Tetamu kehormat PERKIM, PERKIM Melaka dan PERKIM Ujong Pasir merakamkan gambar kenangan manis bersama penduduk Kampung Portugis di akhir program.



