PERKIM Langkawi Anjur Seminar Saudara Kita
oleh: ZAATIL HIDAYAAH AHMAD BUSTAMAN
LANGKAWI, 19 DISEMBER 2022 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Langkawi telah menganjurkan Seminar Bagi Saudara Kita (Mualaf) bersama Bro Ben Ooi Chooi bertempat di Panggung Seri Kota Mahsuri dekat sini.
Program yang mendapat kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan PERKIM Bahagian Negeri Kedah itu dihadiri seramai 60 orang yang terdiri daripada saudara baru dan Ahli Jawatankuasa PERKIM Cawangan Langkawi.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Kedah, YBhg Dato’ Mansor Haji Ismail.
Kata Dato’ Mansor, program itu bertujuan untuk memberikan kefahaman Islam yang lebih jelas serta memperkukuhkan hubungan silaturahim sesama peserta.
Selain itu, penganjuran program tersebut dapat memberikan pengamalan dan kesedaran untuk membentuk keperibadian sahsiah diri Muslim yang unggul serta pemantapan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Beliau berharap program seumpama ini dapat diadakan secara berterusan dan dapat menyantuni sahabat-sahabat yang baru dan ingin mendekati ajaran Islam.
Semoga penganjuran ini memberi manfaat untuk semua, khususnya saudara baru.
Pengerusi Pertubuhan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Pulau Pinang, Ben Ooi Chooi yang juga merupakan penceramah telah menyampaikan ceramah bertajuk ‘Cabaran-cabaran Sebelum dan Selepas Memeluk Islam’.
Ben juga berkongsi pengalaman kehidupannya sebelum Islam, detik-detik pengislaman beliau dan cabaran serta dugaan yang dihadapi.
Menurutnya, beliau telah berkahwin dengan wanita Indonesia yang memang asal Islam namun, sebagaimana yang kita tahu perkahwinan campur di antara orang Islam dengan bukan Islam bukan perkara yang pelik di sana.
Alhamdulillah, mereka berdua dijentik dengan hidayah Allah, setelah suatu masa isterinya juga kembali berhijab dan kembali mengamalkan Islam yang sebenarnya.
Ben memberitahu apa yang mendorongnya berdakwah kepada ahli keluarganya ialah kerana beliau ingin menarik ahli keluarganya bersama di Jannah dan untuk itu mereka ada perlu ada ‘tiket’ untuk ke sana iaitu dengan cara memeluk Islam.
Walaupun dulu beliau dipandang hebat, bengis dan hidup senang, namun beliau tinggalkan semua itu dan memilih Islam sebagai pegangan akidah walaupun mulanya susah meneruskan hidup kerana ditinggalkan rakan dan saudara mara selepas bergelar Muslim.
Turut diadakan sesi soal jawab bersama peserta.
Ben menyampaikan sesi ceramahnya bertajuk Cabaran Sebelum dan Selepas Memeluk Islam.
Antara peserta yang hadir di dalam seminar tersebut.
Seramai 60 peserta hadir di seminar yang disampaikan oleh Ben.
Dato’ Mansor menyampaikan ucapan perasmian di seminar tersebut.
Peserta mengajukan soalan kepada Ben dalam sesi soal jawab.
Dato’ Mansor menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta cilik.
Ben (kiri) menerima cenderahati daripada Dato’ Mansor.
Peserta bergambar kenang-kenangan di akhir seminar.
Dato’ Mansor berkesempatan bergambar dengan penceramah jemputan, Ben Ooi Choi.