PERKIM Anjur Ibadah Korban Bersama Pelajar KPIPK
KUALA LUMPUR, 18 JUN 2024 – Aidiladha adalah perayaan istimewa bagi umat Islam dalam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail dalam mentaati perintah Allah SWT selain umat Islam yang berkemampuan menyempurnakan ibadah haji yang merupakan rukun Islam yang kelima.
Mengambil semangat itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menganjurkan Majlis Ibadah Korban Bersama Pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) bertempat di perkarangan Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah pada pagi Selasa.
Program yang mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu dihadiri seramai 200 mualaf terdiri daripada kaum Cina, India, Kadazan, Iban, Bidayuh, Murut serta warganegara dari Thailand, Indonesia dan Filipina.
Penyelaras program, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan berkata, ibadah suci ini menekankan perpaduan Islam yang dibina atas dasar takwa bagi mengharmoni dan memantapkan hubungan sesama saudara Muslim yang terdiri daripada pelbagai kaum sejajar dengan moto PERKIM iaitu ‘Islam Itu Persaudaraan’.
Katanya, ibadah itu secara tidak langsung dapat memupuk semangat berkorban sesama Muslim dengan menjaga hubungan persaudaraan, bersatu hati, menghindari sikap mementingkan diri agar membentuk kekuatan yang perlu difahami dan dijunjung oleh setiap Muslim.
“Sebanyak enam ekor lembu dan seekor kambing dikorbankan di mana haiwan korban tersebut diambil bahagian oleh pelajar KPIPK untuk dikorbankan serta diagihkan kepada mualaf,” kata Munirah selaku Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI) PERKIM Kebangsaan.
Jelas Munirah lagi, pelajar KPIPK sangat teruja kerana dapat mengambil bahagian pada tahun ini dengan menabung seawal Zulhijjah tahun lalu.
Inisiatif tersebut merupakan idea daripada Penyelaras KPIPK, Muhammad Jais Mariappan Abdullah yang akan meminta pelajarnya menabung tiap-tiap bulan RM80 sehinggalah bulan Zulhijjah tahun hadapan.
Program dimulakan dengan sebahagian peserta dan urus setia dibawa ke Ladang Aadriana Gombak bagi melihat sendiri binatang korban disembelih sekali gus bergotong-royong membantu untuk memotong kepada empat bahagian.
Ia bersandarkan dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj, ayat 36 bermaksud: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan ia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.”
Sesungguhnya Allah mensyariatkan ke atas Nabi Ibrahim ketika Allah menebus anak Nabi Ibrahim dengan seekor binatang sembelihan yang besar.
Dalam hadis riwayat Zaid bin Arqam, dikatakan kepada Rasulullah SAW: Maksudnya: ”Apa itu korban?.” Baginda bersabda, ”Ia sunnah bapa kamu, iaitu Nabi Ibrahim,” Beliau bertanya lagi, ”Apakah padanya kebaikan kepada kami wahai Rasulullah ?” Baginda bersabda,” Setiap helai rambut adalah pahala.”
Katanya lagi, ”Bagaimana pula dengan bulunya?” Baginda bersabda, ”Setiap helaian rambut daripada bulunya ialah pahala.” (Riwayat Imam Ahmad, al-Baihaqi, Ibnu Majah)
Jelas Munirah lagi, haiwan korban yang disembelih kemudiannya dibawa ke perkarangan Bangunan PERKIM untuk dipotong, dilapah dan diasingkan daging serta tulangnya secara bergotong-royong sekali gus dimasak sebagai menu makan tengah hari dan sebahagiannya untuk diagihkan.
Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun turut bersama meraikan Hari Raya Aidil Adha bersama saudara baharu serta berkesempatan bergotong royong melapah dan memotong daging serta tulang korban.
Beliau dalam ucapannya berkata, Aidiladha merupakan hari kemenangan umat Islam dalam menyambutnya sama ada dengan melaksanakan ibadah korban atau menunaikan haji bagi yang berkemampuan dan wajib bagi setiap umat Islam berniat untuk mengerjakannya apabila tiba masanya.
Beliau turut berterima kasih kepada peserta yang mengambil bahagian korban untuk diagihkan kepada mualaf.
Dato’ Abdul Hanif bersama Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin berkesempatan mengagihkan sebanyak 415 daging korban kepada saudara baharu, jemaah Surau PERKIM serta warganegara Pakistan dan Bangladesh.
Di akhir majlis, peserta menikmati makanan segar istimewa seperti sup tulang lembu, rendang daging, kambing masak masala dan ayam goreng bersama saudara baharu.
Lembu-lembu yang dipilih dan ditempah pelajar KPIPK untuk dikorbankan.
Saudara baharu yang juga pelajar KPIPK yang mengambil bahagian menyaksikan haiwan yang akan dikorban.
Petugas menumbang lembu dan disembelih oleh Pegawai PERKIM, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong.
Senarai nama yang mengambil bahagian korban lembu pertama.
Lembu korban kedua yang telah disembelih.
Antara penama lembu korban ketiga.
Muhammad Jais (kanan) membaca senarai nama bahagian lembu korban keempat sambil disembelih oleh Sulaiman Ding.
Senarai penama yang mengambil bahagian dalam lembu korban kelima.
Lembu korban keenam disembelih oleh Pegawai Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong.
Muhammad Jais berkesempatan menyembelih kambing korban.
Saudara baharu dan orang awam beratur ketika pendaftaran untuk mendapatkan kupon daging korban.
Saudara baharu bergotong-royong memotong daging korban.
Mualaf memotong daging korban bagi mengasingkan daging daripada tulang.
Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan, Datin Mawanchik Che Jais (kiri) bersama-sama saudara baharu memotong daging korban.
Petugas menggunakan mesin pemotong untuk memotong tulang haiwan korban.
Mualaf memotong tulang yang keras menggunakan mesin berkuasa tinggi.
Petugas dan mualaf bersama-sama menimbang daging dan memasukkan ke dalam bekas sebelum diagihkan.
Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Abdul Hanif Harun berkesempatan memotong tulang lembu dengan sebilah kapak.
Muhammad Jais menggunakan sebilah kapak untuk memotong tulang lembu.
Pelajar KPIPK memasak daging rendang.
Petugas dan mualaf bergotong-royong untuk menyediakan makanan tengah hari.
Antara petugas yang menjayakan masakan rendang daging.
Antara daging korban yang telah siap untuk diagihkan.
Dato’ Abdul Hanif (berjubah kelabu) mengagihkan daging korban kepada mualaf.
Pelajar KPIPK menerima daging korban daripada Dato’ Abdul Hanif.
Zulkefli Arifin selaku Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan berkesempatan menyampaikan daging korban kepada orang awam.
Dato’ Abdul Hanif mengagihkan daging korban kepada mualaf dan petugas yang hadir.
Antara 250 mualaf dan pelajar KPIPK yang hadir di program tersebut.
Mualaf dan orang awam mengambil juadah makanan yang disediakan.
Mualaf yang juga pelajar KPIPK menikmati hidangan makanan menu daging korban yang segar.