Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Aktiviti Kebajikan

PERKIM Anjur Program Memperkasa Wanita Mualaf dan Asnaf

KUALA LUMPUR, 22 JUN 2024 – “Memperkasakan ekonomi wanita mualaf dan asnaf memerlukan pendekatan holistik yang melibatkan pelbagai aspek seperti pendidikan, latihan kemahiran, sokongan kewangan, serta jaringan sokongan komuniti,” kata Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan.

Munirah selaku penyelaras program berkata di Program Memperkasa Wanita Mualaf dan Asnaf anjuran Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI) Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan bertempat di Institut Dakwah Antarbangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIPKL), Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini pada pagi Sabtu.

Program tersebut dihadiri seramai 30 wanita mualaf terdiri daripada pelbagai keturunan iaitu Cina, India, Kadazan, Iban serta warganegara daripada Thailand, Indonesia, Kemboja dan Filipina.

Program tersebut dimulakan dengan nyanyian lagu Asmaul Husna diikuti dengan Selawat Tafrijiyyah.

Munirah yang juga Pegawai UDPI berkata, wanita mualaf dan asnaf dapat memperkasakan diri mereka dari segi ekonomi, membina kehidupan yang lebih stabil, serta menyumbang kepada pembangunan komuniti dan negara melalui beberapa langkah iaitu pendidikan dan latihan kemahiran; bimbingan keusahawanan; jaringan dan sokongan komuniti; pembinaan kapasiti; teknologi serta digitalisasi.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin.


Dato’ Razali dalam ucapannya berkata, menurut sejarah Islam, ahli perniagaan yang hebat di zaman Rasulullah SAW ialah Saidatina Khadijah Khuwalid iaitu isteri kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Jelas beliau, kita masih belum terlambat lagi untuk menelusuri jejak langkah Saidatina Khadijah Khuwalid yang berjaya di dalam perniagaannya.

Katanya, ini merupakan program yang akan menggerakkan langkah ke hadapan bagi wanita mualaf dan asnaf.

Tambah Dato’ Razali, jika kita pergi ke Negeri Kelantan Darul Naim di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, majoriti di antara peniaga adalah terdiri di kalangan kaum wanita.

“Melalui program yang diadakan ini, kita masih belum terlewat untuk melaksanakan tanggungjawab demi membantu ahli keluarga bagi menampung perbelanjaan harian.

“Program kita pada hari ini merupakan tajaan dan sumbangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” kata Dato’ Razali.

Ujar beliau, kita akan berusaha meneruskan program ini bukan dalam jahitan sahaja bahkan dalam pelbagai bidang.

“Kita akan berkolaborasi bersama Institut Kemahiran Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (IKB-MAIWP) untuk memberi mereka peluang menjalani latihan kemahiran kepada wanita mualaf dan asnaf dalam bidang makanan, fesyen, pembuatan makanan, seni reka dan lain-lain lagi.

“Di IKB mempunyai peralatan yang lengkap bagi sesuatu kursus yang diambil serta institusi tersebut mempunyai dana yang cukup untuk membantu membangunkan ekonomi wanita mualaf dan asnaf.

“Saya berharap melalui program pertama ini, kita akan mengadakan program susulan bagi memberikan suntikan semangat kepada para wanita untuk terus maju ke hadapan,” kata beliau mengakhiri ucapannya.

Sebelum itu, Pengarah Akreditasi Pengajaran Berasaskan Pengalaman (APEL), Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMUC), Penolong Prof Dr Nurliza Haslin Muslim telah menyampaikan dua ceramah bertajuk Pemerkasaan Wanita serta Kesedaran Gender dan Sokongan Sosial kepada peserta.


Dr Nurliza berkata, peserta perlu meningkatkan akses wanita kepada pendidikan berkualiti dari peringkat asas hingga ke peringkat tinggi.

Selain itu, mereka juga perlu menjalani latihan kemahiran seperti perniagaan atas talian seperti perkhidmatan makanan atau fesyen pakaian.

Jelas beliau, kita perlu membantu wanita dalam memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka sendiri melalui bimbingan perniagaan, sokongan kewangan dan pengukuhan rangkaian perniagaan.

Tambah Dr Nurliza lagi, menjaga kesihatan mental dan fizikal juga merupakan aspek yang sangat penting bagi meningkatkan produktiviti, kreativiti dan kualiti hidup.

Katanya, wanita juga perlu meningkatkan kesedaran dan perlindungan terhadap hak-hak wanita, termasuk hak kepada pendidikan, pekerjaan yang saksama, dan perlindungan daripada keganasan.

Ceramah kedua pula, Dr Nurliza menerangkan kesedaran gender yang melibatkan pemahaman tentang pentingnya memperjuangkan hak yang sama untuk semua jantina, termasuk hak untuk bekerja dan membuat keputusan sendiri tanpa diskriminasi.

Manakala sokongan sosial pula menyediakan bantuan kepada wanita yang menghadapi kesusahan ekonomi, keganasan rumah tangga, atau masalah kesihatan mental.

Dengan kesedaran gender yang tinggi dan sokongan sosial yang kukuh, wanita mualaf dapat mengatasi cabaran yang mereka hadapi, memperkasakan diri mereka sekali gus memberikan hasil yang terbaik kepada masyarakat.

Peserta juga diberi kesempatan untuk berbincang dalam kumpulan sekali gus membentangkan perniagaan yang dihasratkan dan diimpikan.

Slot terakhir, Dr Nurliza turut mengajar teknik jahitan smock kepada setiap peserta.

Di akhir program, Dato’ Razali turut menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta wanita mualaf dan asnaf.

Turut diadakan, penyampaian hadiah cabutan nombor bertuah kepada pemenang.

Turut hadir ialah Pegawai Unit Kewangan PERKIM Kebangsaan, Hamidah Ismail dan Pegawai Unit Pentadbiran, Safiyya Nur Sakeena Sallehuddin.


Siti Munirah (kiri) memeriksa nama kehadiran peserta dalam sesi pendaftaran.


Safiyya memulakan ucapan selaku pengacara majlis.


Siti Munirah memimpin bacaan doa pembuka majlis.


Peserta menadah tangan ketika doa dibacakan.


Peserta berdiri sambil menyanyikan lagu Asmaul Husna.


Dr Nurliza menyampaikan ceramahnya bertajuk Pemerkasaan Wanita.


Dalam ceramahnya, Dr Nurliza menyarankan peserta untuk menjalani latihan kemahiran.


Ceramah kedua, Dr Nurliza menerangkan kesedaran gender yang melibatkan pemahaman tentang pentingnya memperjuangkan hak yang sama untuk semua jantina.


Peserta kumpulan berbincang mengenai cadangan perniagaan yang bakal diusahakan.


Peserta kumpulan membentangkan cadangan mereka untuk mengusahakan perniagaan makanan tradisi Filipina.


Fesyen pakaian dan jahitan antara pilihan peserta kumpulan ini.


Peserta kumpulan mencadangkan akan mengusahakan perkhidmatan makanan pelbagai etnik.


Dr Nurliza mengajar teknik jahitan smock kepada peserta.


Peserta mencuba menjahit teknik jahitan smock yang telah dipelajari.


Peserta wanita menunjukkan teknik jahitan smock yang telah siap.


Dato’ Razali menyampaikan ucapan perasmian program.


Menurut Dato’ Razali majoriti peniaga di Pasar Siti Khadijah adalah terdiri dari kalangan kaum wanita.


Dato’ Razali menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan nombor bertuah.


Dato’ Razali menyampaikan cenderahati kepada Dr Nurliza.


Dato’ Razali menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta wanita berbangsa India.


Peserta Wanita berasal dari Sarawak menerima sijil penyertaan dan wang saguhati daripada Dato’ Razali.


Munirah menyampaikan cenderahati kepada Dato’ Razali.


30 peserta Program Memperkasa Wanita Mualaf dan Asnaf bergambar kenang-kenangan sambil menunjukkan sijil penyertaan di akhir program.

Related Articles

Back to top button