Aktiviti Dakwah

PERKIM Anjur Forum Sempena Maal Hijrah 1441 H

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI


“Malaysia merupakan negara Islam terawal menyambut tahun baharu Islam iaitu awal Muharam atau Maal Hijrah,” kata Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.

Katanya, satu Muharam pada asalnya tiada sambutan dan tiada siapa yang menyedari ketibaan tahun baharu Islam kerana cuti pada waktu itu dikaitkan sempena hari as-Syura sahaja.

“Saya terlibat dalam pembabitan awal perayaan sambutan Maal Hijrah sewaktu menjawat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dahulu,” ujar beliau.

“Saya berbincang dengan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai rancangan untuk diadakan sambutan awal Muharam yang lebih meriah perayaannya berbanding sambutan Krismas,” katanya.

Tambah beliau lagi, negara Islam yang lain juga tidak menyedari akan ketibaan awal Muharam kerana sudah lazim dengan kalender masihi.

Hasil daripada perbincangan tersebut, Malaysia perlu mengadakan sambutan besar-besaran dengan memberi kesedaran mengenai peristiwa di sebalik Maal Hijrah kerana tanpa hijrah mungkin Islam tidak akan berkembang dan hanya berada di Mekah sahaja.

Katanya, tahun baharu Islam dijadikan perkara asas untuk mengelak dari rakyat Malaysia terus mengagung-agungkan sambutan Krismas, walhal sebagai umat Islam wajib menghayati keagungan ibrah serta peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari kota Mekah ke kota Madinah.

Dr. Yusof Noor berkata ketika merasmikan Forum Perdana Sempena Maal Hijrah 1441 H anjuran PERKIM Kebangsaan bertempat di Surau PERKIM, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada 15 September 2019 lalu.

Ia dihadiri seramai 180 saudara baharu berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Melanau dan warga dari negara Filipina, Indonesia dan Thailand dari sekitar lembah klang.

Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Naib Yang DiPertua, Dato’ Dr. Mustapha Ma; Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hasbullah L. Isa; Pengarah Program dan Pentadbiran, Mamat Che Chik; Penyelaras Unit Pembangunan dan Aset, Dato’ Ahmad Mustafa serta Imam Surau, Muhammad Ahmad.

Menurut Dr.  Yusof Noor lagi, beliau turut terbabit dalam sejarah penciptaan logo Maal Hijrah yang diguna pakai sehingga kini di mana logo tersebut membawa maksud tersendiri.


Huruf ha dalam jawi melambangkan susah dan sulitnya perjalanan hijrah di padang pasir dan warna merah bermaksud cuaca yang panas manakala warna biru bermaksud perpaduan antara kaum Muhajirin dan Ansar.

Latar belakang bewarna kuning bermaksud gambaran perjalanan di padang pasir tanpa pokok.

Jaringan di atas latar belakang kuning simbolik kepada sarang labah-labah di mana Allah SWT mengutuskan labah-labah untuk membuat sarangnya demi menyelamatkan Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar As-Siddiq ketika bersembunyi dari kafir Quraisy di Gua Tsur.

Bulatan berwarna putih dan tulisan Maal Hijrah rumi diletakkan dilengkungan bawah manakala huruf jawi diletakkan dilengkungan atas yang melengkapkan logo tersebut.

Dr. Yusof Noor turut mengajak peserta bersama-sama berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW seperti firman Allah SWT di dalam surah al-Ahzab, ayat 56 bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selalu bershalawat kepada Nabi Muhammad. Wahai orang-orang yang beriman bershalawatlah kalian kepadanya dan bersalamlah dengan sungguh-sungguh.”

Katanya, selawat merupakan salah satu acara ketika perarakan menyambut Maal Hijrah dan Maulidur Rasul.

Ujar beliau, perbezaan di antara tiga selawat ialah manusia berselawat bermaksud memuji, mendapat syafaat Rasulullah SAW; Allah SWT berselawat bermaksud Allah memberi rahmat kepada Nabi Muhammad SAW; dan malaikat berselawat bermaksud para malaikat memohon keampunan untuk Nabi Muhammad walaupun baginda seorang maksum

Dr. Yusof Noor berharap Allah SWT menguatkan lagi PERKIM dan Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Turut diadakan persembahan kumpulan nasyid Jheewa mendendangkan lagu bertajuk Islam Telah Berkembang, Selawat Medley, Bukan Milik Kita, Azimat Ibunda.

Kumpulan Jheewa turut berkongsi jenis-jenis pemakaian tanjak antaranya Lang Menyusur Angin berasal dari Perak, Balung Raja berasal dari Negeri Selangor, Sekelonsong Bunga dan Cogan Daun Kopi masing-masing berasal dari Pahang.

Sebelum itu, Mohd. Hafizuddin Raja Abdullah mempengerusikan forum bertajuk ‘Bagaimana Menjadi Muslim Sejati’ serta ahli panelnya ialah Prof. Madya Dr. Mohd. Sukki Othman, Lim Jooi Soon dan Jasni Ajom.


Menurut Dr. Mohd. Sukki, perkataan Islam sendiri bermakna selamat di mana selamat yang hakiki bila dibangkitkan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Orang Islam akan meraikan selepas masuk ke dalam syurga dan sebaliknya neraka tempat mereka yang kufur.

Beliau  turut memetik ayat 102 dari surah Ali-Imran bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Muslim.”

Jelas Dr. Mohd. Sukki, sebanyak 6236 ayat di dalam Al-Quran, Allah SWT memilih ayat pertama dari surah al-A’laq bermaksud : “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).”

Perkara pertama yang wajib diketahui semua orang adalah mengenali Allah melalui jalan ilmu kerana Islam adalah agama ilmu. Tercetusnya masalah apabila kita menerima dan menuruti apa sahaja yang dilakukan oleh kebanyakan orang tanpa mengetahui dan faham apa yang dilakukan.

Dr. Mohd. Sukki yang juga Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, Allah Maha Penyayang dan Allah Maha Adil tetapi bukan semua orang dapat memasuki syurgaNya kerana sesiapa yang berusaha melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya serta mendapat keredaan-Nya yang layak ke syurga-Nya.

Terdapat dua kaedah untuk menjadi muslim sejati antaranya ialah tahu dan mahu. Ramai yang mengetahui halal dan haram, tetapi ramai yang tidak mengikutinya serta ramai yang mengetahui kebenaran Islam, tetapi tidak mahu menerima Islam.

Jelas beliau, lima perkara perlu ada pada Muslim sejati berteraskan cara hidup Islam iaitu mengetahui nilai dunia berbanding nilai akhirat; mengetahui akhirat merupakan tempat kekal abadi untuk selama-lamanya; menyedari hakikat di mana setiap yang bernyawa pasti akan merasi kematian; kewajipan menutut ilmu untuk mengenali larangan dan kewajipan serta menghindari dari perkara-perkara jahiliah dan maksiat.


Lim Jooi Soon
pula berpendapat, berkelakuan baik sahaja tidak cukup untuk menjadi Muslim sejati kerana di dalam agama Islam kita diwajibkan untuk mengenali Tuhan Yang Maha Esa dahulu sebelum melaksanakan ibadah lain seperti solat, puasa dan sebagainya.

Katanya, ciri-ciri Tuhan adalah kekal selamanya dan ciptaan Tuhan adalah tidak kekal. Tuhan tidak bergantung kepada apa-apa serta tiada permulaan dan pengakhiran manakala ciptaan Tuhan pula perlu bergantung kepada sesuatu dan adanya permulaan serta pengakhiran.

Lim yang juga Pengerusi Pusat Latihan Interaktif Dakwah (IDT) turut menyarankan peserta supaya belajar dan mengkaji dengan lebih mendalam tentang agama Islam.

Beliau turut mengajak peserta menyertai kursus Diploma Pengajian Islam di IDT dengan secara tidak langsung mereka dapat mendekati Islam dengan lebih mendalam.

Agama lain tidak menyebut ciri-ciri tuhan mereka tetapi hanya mengajar untuk menyembah Tuhan dan melakukan kebaikan.

Jelas Lim, terdapat tiga peringkat untuk menuntut ilmu iaitu mereka perlu ada kitab terjemahan al-Quran, tafsir, hadis dan kitab-kitab utama Islam; rujuk kepada muhaddisin atau pakar; serta berlapang dada untuk menerima teguran dan nasihat.


Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Jasni Ajom
turut merujuk ayat kedua dari surah al-Mulk bermaksud: “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”

Jelasnya, ujian buat orang yang memeluk Islam meninggalkan kekufuran kerana pengorbanan mereka meninggalkan keluarga, harta dan benda yang disukai kerana mereka yakin serta mengharapkan ‘fadlan minallah’ iaitu limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah SWT.

Jasni turut mengingatkan peserta bahawa apakah erti memiliki kekayaan di dunia jika hati tidak bahagia kerana bergelumang dengan maksiat dan dosa. Sumber kejahatan paling besar adalah nafsu diri sendiri yang merupakan cabaran utama pada diri sendiri.

Bila azan dikumandangkan oleh bilal di surau yang mengajak Muslim menuju kepada Allah, berapa ramaikah yang bersama-sama untuk hadir mengerjakan kefarduan lima waktu, ternyata ia mengecewakan di sesetengah kawasan.

Beliau turut berpesan sambil memetik satu hadis riwayat Muslim, bermaksud: Rasulullah SAW berkata: “Sesungguhnya mereka yang muflis dalam kalangan umat aku ialah mereka yang datang pada hari kiamat kelak membawa pahala daripada solat, puasa dan zakatnya. Namun pada masa yang sama dia juga membawa dosa memaki-hamun sesama manusia, dosa menuduh seseorang dengan tuduhan yang jahat, dosa memakan harta orang lain dengan zalim, dosa menumpahkan darah sesama manusia, dosa memukul atau mencederakan sesama manusia.”

Jasni turut menasihatkan peserta supaya tidak menumpukan ibadah semata-mata tanpa membuangkan sifat sombong di dalam diri dan  perlu merendahkan diri untuk mencapai Muslim sejati.


Saudara baharu mendapatkan makanan dan kupon ketika sesi pendaftaran.


(Dari kiri:) Mohd. Hafizuddin Raja Abdullah, Lim Jooi Soon, Jasni Ajom dan  Prof. Madya Dr. Mohd. Sukki Othman menjayakan forum bertajuk ‘Bagaimana Menjadi Muslim Sejati’.


Saudara Muslimah antara majoriti yang hadir di dalam forum tersebut.


Dr Mustapha Ma (kiri) turut mendengar forum yang disampaikan.


Kumpulan nasyid Jheewa mendendangkan lagu bertajuk Islam Telah Berkembang, Selawat Medley, Bukan Milik Kita dan Azimat Ibunda kepada peserta.


Kepimpinan tertinggi PERKIM turut menghadiri forum.


Peserta mengaminkan ketika doa dibaca oleh kumpulan nasyid Jheewa.


Tetamu kehormat PERKIM turut menadah tangan ketika doa dibacakan.


Dr. Yusof Noor menyampaikan ucapan perasmian di majlis itu.


Dr. Yusof Noor turut berkongsi kisah awal penciptaan logo Maal Hijrah kepada peserta.

[youtube url=”https://www.youtube.com/watch?v=jYOiVBhWb7E” width=”700″ height=”468″]

Related Articles

Back to top button