Pegawai PERKIM Negeri Hadir Bengkel Buku 60 Tahun PERKIM
Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah menganjurkan Bengkel Penulisan Buku Coffee Table Jubli Intan 60 Tahun PERKIM bertempat di Hotel Grand Pacific, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur pada 29 hingga 30 Ogos 2019 lalu.
Bengkel tersebut dihadiri seramai 22 kakitangan PERKIM dari negeri Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Wanita Kebangsaan.
Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Bendahari Kehormat, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hasbullah L. Isa; Pengarah Program dan Pentadbiran, Mamat Che Chik; Pengarah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM (IDIPKL), Dato’ Abdul Hanif Harun dan Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin.
Penyelaras Unit Penerbitan, Mohd. Zuber Zain mengetuai taklimat sepanjang bengkel tersebut.
Zuber menyampaikan taklimat mengenai asas-asas penulisan rencana dan asas-asas penyuntingan rencana kepada peserta.
Beliau turut menerangkan kepada peserta kaedah, langkah-langkah dan panduan terperinci bagi penyediaan muka surat buku ruangan PERKIM Bahagian.
Zuber turut memaparkan contoh bahan-bahan dan gambar-gambar melalui persembahan slaid multimedia.
Selain itu, bahan-bahan koleksi terbitan PERKIM juga turut menjadi rujukan peserta.
Bengkel bertambah seri lagi dengan perkongsian Ikon Pendidikan Malaysia, Dato’ Dr. Shaari Isa.
Dr. Shaari yang telah menulis 60 buah buku akademik, novel, artikel perakaunan dan kemasyarakatan berkongsi petua-petua penulisan dan kaedah penulisan yang baik bersama peserta.
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd . Yusof Noor turut menyampaikan ucapan perasmian.
Beliau berterima kasih kepada Zuber kerana memainkan peranan untuk menghidupkan konsep yang berkaitan dokumentasi.
Kata Dr. Yusof Noor, kita dapat memikirkan kaedah yang terbaik menerusi bengkel tersebut untuk kita persembahkan yang terbaik sempena Jubli Intan 60 tahun PERKIM.
Kita berhasrat untuk menyediakan satu dokumen buku Coffee Table 60 Tahun PERKIM di mana kita bersama-sama menyumbangkan maklumat atau input bagi merealisasikan tujuan tersebut.
Kata beliau, kita hendaklah menceritakan sejarah PERKIM sejak 60 tahun lalu dengan menjadikan ianya diminati oleh orang ramai memiliki buku tersebut kerana teknik persembahan dokumentasinya mempunyai elemen profesional dan eksklusif.
Banyak perkara-perkara yang unik di dalam PERKIM antaranya pemimpin negara iaitu Mohd. Ali Taib juga terlibat di dalam mesyuarat penubuhan PERKIM sewaktu 1960 dahulu bersama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Mubin Sheppard.
Ali Taib merupakan bapa mertua kepada Perdana Menteri Malaysia merangkap Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ali Taib juga merupakan bapa kepada bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Ahmad Razali Mohd. Ali dan bekas Gabenor Bank Negara, Tun Ismail Mohd. Ali.
Tambah Dr. Yusof Noor, kita mestilah memposisikan organisasi yang usianya 60 tahun itu dengan mempersembahkan beberapa elemen yang unik daripada setiap PERKIM negeri masing-masing.
Jelasnya, Persatuan Islam Seluruh Sabah (USIA) merupakan fungsi yang sama seperti PERKIM. Ini adalah kerana Almarhum Tunku Abdul Rahman tidak mahu mewujudkan PERKIM di Sabah kerana tidak mahu orang Sabah hilang fokus dan mahukan masyarakat Islam di sana memberi tumpuan sepenuhnya kepada USIA.
Jika wujudnya USIA kedua-duanya dalam fungsi dan peranannya sama serta mengelakan berlaku salah faham.
Dr. Yusof Noor meminta supaya setiap pegawai PERKIM di Bahagian membincangkan bersama ahli-ahli mereka mengenai elemen-elemen keunikan PERKIM di negeri masing-masing dengan mengumpulkan bahan-bahan seperti gambar-gambar lama, minit mesyuarat yang pertama tertubuhnya PERKIM dan maklumat yang jarang dilihat.
Misalnya, keunikan terdapat di PERKIM Kebangsaan ialah orang kulit putih yang pertama menjadi Setiausaha Agung Kehormat iaitu Allahyarham Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Mubin Sheppard.
Bahan-bahan sejarah itu penting untuk melengkapkan dokumen 60 tahun yang tinggi nilainya demi menghargai tokoh dan peranan mereka dalam menyebarkan syiar Islam di Malaysia.
Kita juga perlu mencari dokumen mengenai peranan dan sejarah institusi raja-raja, sultan atau pembesar-pembesar negara bersama PERKIM.
Jelas Dr. Yusof Noor lagi, kita perlu ada penelitian dalam pemilihan gambar kerana kadang kala ianya tidak sesuai untuk dipaparkan dan setiap gambar perlu diberi penerangan berkaitannya serta boleh disyorkan gambar-gambar yang menjadi keutamaan.
Di PERKIM ini, ramai berkebolehan untuk menulis, bersajak atau berpuisi dan kalau ia bersesuaian, dicadangkan untuk diadakan pertandingan bersempena 60 tahun PERKIM bertemakan Dakwah dalam Konteks Masyarakat Islam di Malaysia.
Ujarnya, banyak peristiwa yang menarik di PERKIM sepanjang 60 tahun, maka kita akan memilih artikel yang terbaik ditulis oleh warga PERKIM untuk diterbitkan di dalam buku tersebut.
“Kita mengadakan Jubli Intan 60 tahun PERKIM adalah untuk menghargai jasa dan bakti orang terdahulu kerana kewajipan kita menghargai ke atas penyumbang-penyumbang yang telah berkorban apa sahaja demi tertubuhnya PERKIM,” ulas Dr. Yusof Noor.
60 tahun PERKIM adalah suatu jangka masa yang lama dan kita akan menyambutnya dari semua peringkat sama ada bahagian atau cawangan bagi meraikan mereka yang memberi sumbangan sama ada tenaga, masa mahu pun wang ringgit semata-mata demi menzahirkan syiar Islam di Malaysia.
Apakah orang akan ingat akan PERKIM di suatu masa nanti? Dengan adanya perayaan Sambutan Ulang Tahun Jubli Intan 60 tahun PERKIM inilah akan menjadikan detik bersejarah bagi menghargai jasa, bakti dan pengorbanan orang PERKIM terdahulu untuk diperkasakan ia sehingga ke generasi baharu.
Zuber menyampaikan taklimat di Bengkel Penulisan Buku Coffee Table sempena Jubli Intan 60 tahun PERKIM.
Antara pegawai PERKIM negeri-negeri yang hadir di bengkel tersebut.
Pegawai mendengar taklimat penulisan dan penyuntingan rencana disampaikan oleh Zuber Zain.
Ikon Pendidikan Negara, Dato’ Dr. Shaari Isa berkongsi idea dan cara penulisan terbaik bersama peserta.
Tetamu kehormat berkesempatan mendengar taklimat yang disampaikan.
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor menyampaikan ucapan perasmian dan amanat kepada peserta bengkel.
Antara bahan dan elemen yang unik yang perlu ada pada setiap PERKIM Negeri.
Rukiah Sungip memaparkan sejarah mengenai PERKIM Bahagian Negeri Melaka.
Pegawai PERKIM Bahagian Negeri bersedia melaksanakan tugasan mereka sambil memegang bahan rujukan.